
Kalau anda suka jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur sambil mencari lokasi baharu yang cantik untuk bergambar, Chinatown 1974 di Jalan Petaling boleh masuk dalam senarai.
Destinasi baharu ini rasmi dibuka pada 5 September 2026 dan membawa konsep warisan Chinatown Kuala Lumpur sekitar era 1970-an dalam sebuah bangunan moden setinggi lapan tingkat. Dalam satu lokasi, pengunjung boleh menikmati makanan, wellness, penginapan butik dan pemandangan bandar dari rooftop.
Menariknya, anda boleh masuk dan meneroka kawasan bangunan ini tanpa perlu membeli tiket kemasukan khas. Jadi kalau sekadar mahu datang tengok suasana, ambil gambar atau singgah makan, memang sesuai dijadikan salah satu pit stop ketika berjalan di sekitar Petaling Street.
Konsep Chinatown 1974 memang agak unik kerana setiap tingkat membawa pengalaman tersendiri, seolah-olah pengunjung sedang bergerak dari satu babak kehidupan Chinatown ke babak yang lain.
Ground Floor – Huat n Co.
Di tingkat bawah ada konsep Muhibbah Kopitiam, dengan menu berinspirasikan makanan kegemaran rakyat Malaysia. Sesuai kalau mahu mulakan kunjungan dengan sarapan atau lepak santai sambil menikmati suasana klasik kopitiam.
Level 1 – Thirty-One Mansion
Naik satu tingkat, anda akan jumpa restoran berkonsepkan Nanyang dim sum dan KungFu Tea. Ruangnya mengambil inspirasi daripada rumah teh sekitar era 1970-an.
Level 2 – Xi Ju
Kalau datang dengan geng dan mahu makan ramai-ramai, tingkat ini menampilkan konsep Nanyang Charcoal Fish Hotpot. Konsepnya berteraskan budaya berkumpul di sekeliling hidangan panas dan berkongsi makanan bersama.
Level 3 – Yang He
Penat berjalan sekitar Petaling Street? Di tingkat tiga terdapat ruang wellness berkonsepkan Thai Wellness, termasuk pengalaman spa dan rawatan relaksasi.
Level 5 hingga 7 – The Seven Stars Hotel
Chinatown 1974 juga menempatkan sebuah hotel butik dengan 32 bilik. Konsep penginapannya menggabungkan elemen nostalgia era 1970-an dengan sentuhan mewah moden.
Bahagian yang mungkin paling menarik untuk kaki OOTD ialah Twilight Terrace di rooftop.
Dari sini, pengunjung boleh menikmati pemandangan skyline Kuala Lumpur sambil menikmati minuman seperti kopi, teh dan kombucha. Antara panorama yang boleh dilihat termasuk Menara KL serta kawasan sekitar Merdeka 118
.Kalau datang menjelang petang, bolehlah tunggu sehingga matahari terbenam dan lihat suasana Kuala Lumpur berubah dari siang ke malam.
Menariknya, Chinatown 1974 bukan dibina sekadar sebagai lokasi baru untuk makan dan bergambar.
Projek ini merupakan usaha menghidupkan semula sebuah bangunan lama yang sebelum ini terbiar. Keseluruhan projek merangkumi kawasan lebih 44,000 kaki persegi
, dengan konsep yang cuba menggabungkan karakter Petaling Street lama dengan pengalaman gaya hidup masa kini.Sebab itu banyak sudut bangunan ini menggunakan elemen visual vintage, papan tanda nostalgia serta reka bentuk yang mengingatkan pengunjung kepada Chinatown Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.
Bagi pengunjung Muslim, pengurusan Chinatown 1974 menyatakan operasi makanan dan minuman di sini dibangunkan sebagai pengalaman Muslim-friendly, manakala premis F&B sedang dalam proses ke arah pensijilan halal.
Jadi untuk status halal terkini setiap restoran, elok semak terus dengan pihak premis sebelum membuat pesanan.
Lokasinya di Jalan Petaling menjadikan Chinatown 1974 mudah dimasukkan dalam itinerary jalan kaki sekitar pusat bandar.
Boleh mulakan dengan pusing Petaling Street, singgah Central Market dan kawasan berdekatan, kemudian masuk ke Chinatown 1974 untuk makan atau berehat sebelum naik ke rooftop pada sebelah petang.
Pendek kata, kalau anda dah lama tak berjalan di Petaling Street, sekarang ada satu lagi alasan untuk datang semula.
Daripada kopitiam, dim sum, hotpot dan spa sehinggalah hotel butik serta rooftop, semuanya berada dalam satu bangunan.
Lokasi: Jalan Petaling, City Centre, 50000 Kuala Lumpur.
Kalau nak cari port baharu di KL yang boleh makan, healing dan OOTD sekali jalan, Chinatown 1974 memang boleh masuk dalam itinerary hujung minggu.