Melaka, Kuala Terengganu & Seremban Diiktiraf Bandar Paling Bahagia Di Malaysia

Share

Kalau ingin rasa ‘bahagia’, mungkin anda boleh berkunjung ke beberapa buah bandar yang telah diangkat sebagai lokasi yang ‘disenangi’ ini.

Bandaraya Melaka Bersejarah, Bandaraya Kuala Terengganu dan Seremban diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020. Turut tersenarai adalah bandar Bentong, Kuantan, Jasin, Kulai, Taiping, Jeli dan Yan yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Pengiktirafan Bandar Paling Bahagia 2019 ini adalah susulan daripada Anugerah Bandar Mampan 2019 yang telah diisytiharkan pada November tahun lepas sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 oleh PLANMalaysia.

Menurut PLANMalaysia, Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 telah merekodkan tahap kebahagiaan negara secara keseluruhan berada pada paras bahagia dengan pencapaian 80.4 peratus. Pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.

MURNInets merupakan alat yang digunakan bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di negara ini di bawah seliaan PLANMalaysia. Indeks kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

Antara aspek utama yang menyumbang kepada tahap kebahagiaan ini adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

Indeks Kebahagiaan merupakan satu daripada indikator dalam MURNInets yang dinilai melalui borang soal selidik kepada penduduk yang merangkumi 14 aspek utama iaitu:

  • Tahap kehidupan dan kesihatan
  • Keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam
  • Infrastruktur asas yang disediakan
  • Kebahagiaan bersama keluarga dan saudara-mara serta keseronokan bekerja
  • Pengurusan kewangan
  • Hubungan dengan jiran
  • Aktiviti bersama komuniti
  • Infrastruktur asas yang disediakan
  • Perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan
  • Kualiti alam sekitar

Sebanyak 106 PBT telah menyertai kajian ini termasuk PBT Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan), Sabah (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) dan Sarawak (Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Perbandaran Sibu dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan).

 

Sumber: SinarHarian | Bernama

IKLAN