Seni & Budaya

Menjejak Seni & Jiwa, HIKAYAT Oleh Noura AR Dipamerkan Di Galeri HARTA

Share

Di celah kesibukan bandar Ampang yang pesat membangun, sebuah ruang seni bernama HARTA kini membuka jendela kepada sebuah perjalanan yang jauh lebih mendalam daripada sekadar pengalaman visual.

Melalui pameran HIKAYAT oleh Noor ‘Aishah Abdul Rahman (Noura AR), pengunjung bukan sahaja dibawa melihat karya seni, tetapi turut diajak menelusuri kisah hidup, emosi dan pencarian spiritual seorang seniman wanita yang kembali mewarnai dunia seni kontemporari tanah air.

Berlangsung dari 3 hingga 31 Mac 2026, pameran ini memberi peluang kepada pencinta seni serta pelancong yang gemar meneroka sisi budaya Malaysia untuk merasai pengalaman yang lebih intim dan reflektif.

Dalam dunia pelancongan, lokasi seperti ini sering dianggap sebagai permata tersembunyi  yang direalisasikan menerusi ruang seni yang menyimpan cerita besar tentang manusia, kehidupan dan perjalanan jiwa.

HIKAYAT menampilkan karya autobiografi oleh Noura AR yang kembali ke dunia seni dengan siri lukisan yang lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri.

Setiap kanvas seakan menjadi helaian dalam sebuah kitab kehidupan, merakam memori, ujian, kehilangan serta harapan yang membentuk perjalanan seorang insan.

Menurut Noura AR, HIKAYAT merupakan “a performance of voices and stories”, sebuah terjemahan memori dan sejarah hidup melalui gerak tangan, lapisan warna serta elemen alam.

Dari satu karya ke satu karya, pengunjung bakal merasakan suara hati yang berbicara tentang kegembiraan, harapan, ketakutan, keresahan serta kekuatan jiwa yang sering tersembunyi di sebalik kehidupan seharian.

Pengalaman berjalan di ruang galeri ini terasa seperti menelusuri sebuah kisah yang diceritakan tanpa kata-kata.

Ada lukisan yang penuh warna cerah, menggambarkan detik kegembiraan, manakala sebahagiannya tampil dengan nada yang lebih gelap dan mendalam yang melambangkan luka, kehilangan dan proses bangkit semula.

BACA JUGA: Hong Kong Semakin Mesra Muslim Melalui Infrastruktur Halal, Tarikan Ikonik dan Penceritaan Kreatif

Lebih menarik, pameran ini tidak sekadar berdiri sebagai karya seni visual, tetapi juga sebagai refleksi spiritual. Bagi Noura AR, setiap karya adalah simbol perjalanan manusia menuju Pencipta sebagai sebuah proses penyerahan diri, muhasabah dan pencarian makna kehidupan yang lebih hakiki.

Bagi pengembara yang gemar menyelitkan pengalaman seni dan budaya dalam jadual perjalanan mereka, HIKAYAT menawarkan sesuatu yang berbeza.

Lawatan ke galeri ini boleh menjadi persinggahan yang tenang di tengah hiruk-pikuk kota, memberi ruang untuk menikmati seni sambil merenung kisah hidup yang diterjemahkan melalui warna dan tekstur.

Pameran HIKAYAT oleh Noura AR berlangsung di HARTA, Level 1, Lot 93–95 Lorong Memanda 2, Ampang, Selangor, dan dibuka kepada pengunjung setiap Selasa hingga Ahad dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang.

Oleh
Fiezreen