
Ada sesuatu tentang Sabah yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Ia bukan sekadar destinasi, tetapi sebuah rasa tenang yang perlahan-lahan meresap. Di utara negeri ini, terletaknya Tuaran, sebuah kawasan pesisir yang masih mengekalkan keaslian alamnya.
Kini, pengalaman itu diperkaya dengan kehadiran rangkaian Hotel Hilton menerusi Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran, sebuah penginapan yang membawa konsep santai ke tahap lebih moden dan praktikal.
Terletak kira-kira 30 minit dari pusat bandar Kota Kinabalu, hotel ini menjadi titik pertemuan antara ketenangan alam dan kemudahan akses. Pemandangan laut terbuka, deretan paya bakau serta suasana damai menjadikan lokasi ini cukup ideal untuk mereka yang ingin “slow down” seketika daripada rutin harian.
Dalam masa sama, pelancong masih boleh meneroka keindahan Taman Negara Kinabalu yang diiktiraf UNESCO atau menyelami budaya tempatan di Linangkit Cultural Village tanpa perlu perjalanan yang terlalu jauh.
Dari segi penginapan, hotel ini menampilkan 167 bilik yang direka dengan pendekatan minimalis tetapi fungsional. Setiap ruang disusun bagi memberikan keselesaan maksimum, sama ada untuk pasangan, keluarga atau pengembara solo. Bilik premium pula hadir dengan patio peribadi, satu sentuhan eksklusif yang membolehkan tetamu menikmati angin laut dan suasana senja dalam ruang privasi sendiri.
Apa yang menjadikan pengalaman di sini lebih menarik adalah kemudahan yang benar-benar memahami keperluan pelancong masa kini. Kolam renang luaran lengkap dengan taman permainan air kanak-kanak menjadikan ia pilihan mesra keluarga, sementara pusat kecergasan 24 jam memberi ruang untuk kekal aktif walaupun sedang bercuti.
Ditambah dengan kemudahan dobi layan diri, Wi-Fi serta parkir percuma, semuanya dirancang untuk memudahkan perjalanan buat pelancong tanpa sebarang kerumitan yang membantutkan suasana.
Bab makanan pula tidak kurang istimewanya, Restoran Together & Co. menawarkan gabungan hidangan Barat dan lokal dalam suasana santai sepanjang hari. Menjelang petang, tumpuan beralih ke bar dek terbuka di tingkat atas, lokasi terbaik untuk menyaksikan matahari terbenam yang mewarnai langit Sabah.
Di sinilah minuman signature seperti Tuaran Breeze menjadi pelengkap sempurna kepada pengalaman percutian yang lebih relaks.
Bagi yang merancang percutian sambil bekerja atau mengadakan acara kecil, ruang serbaguna yang disediakan mampu menampung sehingga 80 tetamu. Sama ada untuk sesi latihan, team building atau majlis santai, suasana tepi pantai memberikan kelainan yang jarang ditemui di lokasi lain.
BACA JUGA: Gaya Resort Dalam Bandar, Hilton Shah Alam Glenmarie Destinasi Staycation Baharu Di Selangor
Sebagai sebahagian daripada rangkaian global Hilton, tetamu juga boleh menikmati pelbagai kelebihan melalui program Hilton Honors. Malah, sempena pembukaan hotel ini, ahli berpeluang mengumpul mata ganjaran tambahan bagi setiap malam penginapan, menjadikan pengalaman di sini lebih berbaloi.
Akhirnya, Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran bukan sekadar tempat bermalam. Ia adalah ruang untuk bernafas, untuk menikmati keindahan alam tanpa gangguan, dan untuk kembali kepada diri sendiri. Di sinilah percutian sebenar bermula, tenang, sederhana, tetapi penuh makna.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!







