Mewah & Maju. Ini 9 Port ‘Lepak’ Terbaik Di Dubai & Abu Dhabi

Share

Sesiapa sahaja yang berpeluang menjejak kaki ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutamanya Dubai dan Abu Dhabi atau jolokan negara padang pasir pasti berasa teruja. UAE adalah gabungan tujuh wilayah iaitu Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, Ajman, Umm al-Qaywayh, Ras Al Khaimah dan Al- Fujayrah.

Dubai dan Abu Dhabi antara bandar raya terkaya dunia. Dubai adalah bandar raya kosmopolitan, perdagangan selain pusat komersial. Abu Dhabi pula ibu negara dan bandar pentadbiran UAE selain  kaya dengan penghasilan minyaknya.

Perasaan kagum pasti terasa tatkala menyelusuri lebuh raya di bandar Dubai sambil menyaksikan pelbagai rekabentuk bangunan pencakar langit futuristik sebelum mema­suki kawasan padang pasir rata. Abu Dhabi, terletak lebih kurang dua jam perjalanan melalui laluan darat dari Dubai.

Antara lokasi tumpuan pelancong dunia di Dubai & Abu Dhabi adalah:

  1. Sheikh Zayed Grand Mosque

Sheikh Zayed Grand Mosque merupakan masjid terbesar di UAE dengan kapasiti lebih 41 ribu jemaah. Dibina pada tahun 1996 dan dibuka pada 2007, masjid berwarna putih dihiasi ukiran dinding serta seni bina mengagumkan ini memegang beberapa rekod dunia antaranya lampu gantung chandelier dan permaidani buatan tangan terbesar di dunia.

2. Yas Island

Yas Island, pulau buatan manusia, hanya 30 minit pemanduan dari Abu Dhabi. Terdapat banyak tempat menarik di sini seperti Yas Marina Circuit (Litar Formula 1), Ferrari World (Taman tema Ferrari pertama dunia), Yas Waterworld dan Yas Mall (Pusat beli-belah terbesar di Abu Dhabi).

3. Palm Jumeirah

Palm Jumeirah, Dubai adalah pulau buatan manusia di pesisir pantai Jumeirah. Dibina pada 2001 sebelum dihuni pada 2007, pulau ini menyerupai pokok palma serta dilengkapi kawasan perumahan, kedai dan hotel mewah seperti Atlantis The Palm, Dubai.

4. Burj Al-Arab

Burj Al-Arab hotel tujuh bintang mewah dunia, berketinggian 321 meter, dan berbentuk kapal layar atas pulau buatan Teluk Persia. Pasir putih pesisiran pantai pula diimport dari Nigeria.

5. Burj Khalifa

Burj Khalifa adalah bangunan setinggi 829.8 meter yang memegang rekod bangunan tertinggi dunia dan dibuka secara rasmi pada 2010 memegang rekod lif terpantas dunia – dari tingkat satu ke 124 mengambil masa seminit.

6. Heritage Village & Desert Safari

Heritage Village di Dubai dan Desert Safari membawa pengunjung untuk merasai pengalaman sebenar di kawasan padang pasir. Kenderaan pacuan empat roda (4WD) sewa khas akan membawa pengunjung ke kawasan pendalaman padang pasir dalam masa sejam setengah. Tiba di perhentian oasis, pengujung akan dijamu hidangan bufet ala padang pasir sambil berhibur menyaksikan tarian tradisional gelek.

7. Dubai Mall

Dubai Mall, pusat beli-belah terbesar dunia menempatkan Dubai Aquarium dan Underwater Zoo. Terdapat juga pertunjukan pancutan air warna-warni terbesar dunia berlatarbelakang bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa dalam suasana malam.

Luas 900 kaki dan pancutan air setinggi 500 kaki, pertunjukan selama empat minit itu diselang seli muzik arab klasik.

8. IMG Worlds of Adventure

IMG Worlds of Adventure, Dubai merupakan taman tema tertutup terbesar dunia yang dibuka pada Ogos 2016 terbahagi empat zon, Cartoon Network, Marvel, IMG Boulevard dan Lost Valley – Dinosaur Adventure.

9. Dubai Marina

Di Dubai Marina, pengunjung boleh menaiki Dhow Cruise, kapal persiaran kayu sambil menikmati makan malam atas kapal yang menyelusuri Dubai Creek yang memisahkan Dubai kepada dua, Deira dan Bur Dubai.

IKLAN