Museum Of Broken Relationships, Muzium Di Croatia Yang Menyimpan Kisah Cinta Tidak Kesampaian

Share

Tidak semua hubungan berakhir dengan bahagia. Ada cinta yang terhenti di tengah jalan, persahabatan yang semakin jauh dan kenangan yang masih tersimpan walaupun pemiliknya sudah lama membawa haluan masing-masing.

Di Zagreb, Croatia, kisah-kisah itu dikumpulkan dalam sebuah lokasi unik dikenali sebagai Museum of Broken Relationships atau Muzium Hubungan Yang Terputus.

Museum Of Broken Relationship, Croatia Kredit Foto: Ozge Solak / Pexels

Berbeza daripada muzium biasa, tempat ini mempamerkan barangan peribadi seperti surat, pakaian, kasut, patung permainan, gambar dan hadiah yang pernah menjadi sebahagian daripada sesuatu hubungan.

Setiap barang disertakan dengan kisah sebenar daripada pemilik asalnya. Ada cerita mengenai cinta pertama, perceraian, persahabatan yang terputus, kehilangan ahli keluarga dan pemergian insan tersayang.

Idea Tercetus Selepas Perpisahan

Muzium ini diasaskan oleh dua seniman Croatia, Olinka Vištica dan Dražen Grubišić, selepas hubungan mereka berakhir.

Daripada memikirkan apa yang perlu dilakukan terhadap barang-barang peninggalan hubungan mereka, tercetus idea untuk mengumpulkan objek daripada hubungan orang lain yang turut berakhir.

Museum Of Broken Relationship, Croatia Kredit Foto: avrelia / Pexels

Projek ini bermula sebagai pameran bergerak sebelum dibuka secara tetap di Zagreb pada tahun 2010.

Setiap Barang Ada Makna

Walaupun sesetengah objek kelihatan biasa, kisah di sebaliknya membuatkan pameran ini cukup menyentuh perasaan.

Ada cerita yang lucu, pelik dan menyedihkan. Pengunjung seolah-olah sedang membaca diari peribadi milik orang asing sambil berjalan dari satu ruang ke ruang lain.

Museum Of Broken Relationship, Croatia Kredit Foto: Lis K / Pexels

Konsep muzium ini bukan sekadar mengenai pasangan bercinta. Ia turut membawa tema kehilangan, keluarga, persahabatan dan proses melepaskan seseorang daripada kehidupan.

Harga Tiket Masuk Museum Of Broken Relationships

Harga tiket masuk ke Museum of Broken Relationships ialah €9, sekitar RM45 untuk dewasa. Manakala pelajar sepenuh masa, warga emas berusia 65 tahun ke atas dan orang kurang upaya dikenakan bayaran €7 sekitar RM35. Kumpulan seramai 15 orang atau lebih turut menikmati kadar €7 bagi setiap pengunjung, namun perlu membuat tempahan lebih awal.

Tarikan Unik Di Bandar Lama Zagreb

Museum of Broken Relationships terletak di Kulmer Palace, kawasan Upper Town, Zagreb.

Lokasinya berhampiran beberapa tarikan terkenal seperti Gereja St. Mark, menjadikannya mudah dimasukkan dalam itinerari berjalan kaki sekitar bandar lama.

Museum Of Broken Relationship, Croatia Kredit Foto: Zeedeey /pexels

Ruang pamerannya direka secara ringkas dan minimalis supaya perhatian pengunjung tertumpu kepada objek serta cerita yang dipaparkan.

Museum of Broken Relationships bukan sekadar tempat untuk melihat barang-barang lama. Ia menjadi ruang untuk memahami bahawa setiap perpisahan mempunyai cerita tersendiri.

Cinta mungkin berakhir, tetapi kenangannya tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup seseorang.

 

Oleh
Syahir Hannan