Nak Tengok Kampung Melayu Asli Melaka, Kena Singgah Ke Kampung Morten

Share

Kalau anda pernah menaiki Melaka River Cruise, ketika menyusuri sungai Melaka pasti akan melalui satu kawasan perumahan kampung kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan. Kawasan tersebut dipanggil Kampung Morten.

Yang pasti ramai terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut. Bukan sahaja pelancong asing, malah penduduk tempatan juga seperti ‘khayal’ dan terpesona dengan keunikkan seni bina rumahnya.

Ramai mengagumi keunikan Kampung Morten yang masih teguh walaupun terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Melaka. Kampung Morten cukup terkenal dengan keunikan tradisi lama masyarakat kaum Melayu yang masih terpelihara.

Kebanyakkan penduduk Kampung Morten tetap mengamalkan cara hidup lama di samping mempamerkan dan menjaga keunikan reka bentuk rumah mereka. Bukan sahaja kunjungan daripada pelancong dalam dan luar negara, kampung tradisional ini juga sering mendapat perhatian bagi mengadakan beberapa program khususnya dalam memperkenalkan budaya Melaka. Malah, banyak juga produksi tempatan dan antarabangsa yang memilih dan menggunakan kawasan di Kampung Morten ini sebagai lokasi set penggambaran.

Seni Bina Tradisi Dipelihara

Antara faktor yang menghidupkan keunikan dan keistimewaan kampung ini ialah melalui konsep reka bentuk rumah dan landskapnya. Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu dihiasi jubin. Tangga batu merupakan ciri utama keunikan rumah ini, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik.

Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga. Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa. Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka.

Jika rasa ingin menginap di sini, terdapat beberapa buah rumah penduduk yang dijadikan sebagai homestay. Tetamu akan diberi pilihan pakej-pakej tertentu yang pastinya akan meninggalkan pengalaman berharga tatkala menginap di sini.

Sejarah Kampung Morten

Nama Kampung Morten diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten. Pembukaan Kampung Morten diasaskan oleh Allahyarham Othman Mohd. Noh pada sekitar 1920-an. Ketika ini, kampung tersebut mempunyai 85 rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka. Sewaktu pembukaannya, kampung ini terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka dan menjadi satu-satunya kampung Melayu asli yang wujud sehingga hari ini.

Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong. Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindahkan oleh kerajaan negeri.

 

IKLAN