Dunia

Noctourism, Trend Melancong Waktu Malam Yang Semakin Popular

Share

Noctourism mungkin kedengaran baharu, tetapi konsep sebenarnya dekat dengan cara ramai orang bercuti hari ini. Ia merujuk kepada aktiviti melancong atau meneroka sesuatu destinasi selepas matahari terbenam.

Kalau sebelum ini waktu malam dianggap masa untuk berehat di hotel, kini ramai pelancong mula menjadikan malam sebagai sebahagian penting dalam itinerary. Aktiviti seperti berjalan di night market, menikmati lampu bandar, menyertai night tour, melihat bintang, menaiki cruise malam atau mencuba makanan jalanan selepas gelap semakin menjadi tarikan.

Kenapa noctourism semakin popular

Salah satu sebab utama trend ini mendapat perhatian ialah cuaca. Di negara panas seperti Malaysia, berjalan pada waktu siang kadang-kadang memenatkan, terutama jika destinasi terlalu sesak atau cuaca terlalu terik. Sebab itu aktiviti waktu malam terasa lebih selesa, santai dan kurang panas.

Selain itu, pengalaman waktu malam biasanya memberi suasana yang berbeza. Bandar yang biasa dilihat pada waktu siang boleh nampak lebih hidup apabila lampu mula menyala. Jalan yang sibuk dengan kenderaan pada siang hari pula boleh berubah menjadi kawasan makan, pasar malam atau tempat bergambar pada waktu malam.

A group of people enjoying a serene camping night illuminated by distant lighting, surrounded by tents and nature. Kredit Foto: Bence Szemerey / Pexels.com

Trend ini juga bukan sekadar tentang keluar malam tanpa tujuan. Laporan terbaharu tentang noctourism menyebut semakin banyak destinasi dan hotel mula merancang pengalaman selepas gelap secara lebih tersusun, seperti acara budaya, persembahan malam, lawatan berpandu dan aktiviti alam semula jadi pada waktu malam.

Bukan sekadar “nightlife”

Ramai yang mungkin menyangka noctourism sama seperti nightlife, tetapi sebenarnya konsep ini lebih luas. Ia tidak semestinya berkaitan kelab malam atau hiburan dewasa. Noctourism boleh merangkumi aktiviti keluarga, aktiviti alam, budaya, makanan dan fotografi.

Contohnya, berjalan di pasar malam, makan di street food area, melihat pertunjukan lampu, menyertai lawatan bandar waktu malam, menaiki bot malam atau mencari lokasi melihat bintang. Di Asia Tenggara, noctourism juga sering dikaitkan dengan aktiviti tidak beralkohol seperti night safari, acara budaya, stargazing dan night market.

A bustling night market in Cebu City filled with people enjoying street food and vibrant atmosphere. Kredit Foto: Angelyn Sanjorjo / Pexels.com

Untuk keluarga, konsep ini boleh jadi pilihan menarik kerana anak-anak biasanya suka suasana malam yang meriah, lampu berwarna-warni dan makanan ringan. Untuk pasangan pula, aktiviti malam boleh jadi lebih romantik dan santai. Bagi mereka yang suka fotografi, waktu malam pula memberi peluang untuk merakam suasana bandar, cahaya lampu dan pemandangan yang berbeza daripada waktu siang.

Aktiviti noctourism yang boleh dicuba

Antara aktiviti yang sesuai dimasukkan dalam itinerary noctourism adalah berjalan di night market, mencuba makanan jalanan, melihat city lights, menyertai night walk, menikmati cruise malam, mencari lokasi stargazing atau melawat tempat yang mempunyai pencahayaan menarik.

adorned with warm festival lights, Nepal Kredit Foto: Shahil Jung Karki / Pexels.com

Di Malaysia sendiri, konsep ini sebenarnya sudah lama wujud walaupun mungkin tidak dipanggil noctourism. Contohnya pasar malam, Jalan Alor, Uptown, Dataran Merdeka pada waktu malam, River of Life, i-City, kawasan waterfront, bazar malam dan lokasi makan popular selepas gelap. Cuma kini, trend ini diberi nama dan mula dilihat sebagai satu gaya melancong tersendiri.

Crowd in Bazaar, Malaysia Kredit Foto: Theodore Nguyen / Pexels.com

Untuk mereka yang bercuti ke luar negara pula, noctourism boleh dirancang melalui aktiviti seperti night market di Thailand, night safari di Singapura, cruise malam di bandar besar, kawasan neon di Hong Kong atau lokasi melihat aurora dan bintang di negara yang mempunyai langit lebih gelap.

Tip sebelum cuba noctourism

Walaupun menarik, aktiviti waktu malam tetap perlu dirancang dengan baik. Pilih lokasi yang selamat, mudah diakses dan mempunyai pengangkutan balik. Semak waktu operasi kerana tidak semua tempat dibuka sehingga lewat malam.

Jika pergi bersama keluarga, elakkan lokasi yang terlalu sesak atau terlalu jauh dari tempat penginapan. Bawa wang tunai secukupnya, power bank, air minuman dan pastikan telefon mempunyai bateri yang cukup. Untuk aktiviti luar bandar seperti stargazing atau night walk, lebih baik pergi bersama pemandu pelancong atau kumpulan yang sah.

Keselamatan tetap perlu diutamakan. Jangan terlalu leka bergambar sehingga terpisah daripada kumpulan, dan elakkan membawa barang berharga secara berlebihan.

Trend yang sesuai untuk pelancong moden

Noctourism menunjukkan bahawa melancong tidak lagi tertumpu kepada aktiviti waktu siang sahaja. Bagi sesetengah orang, pengalaman paling menarik mungkin berlaku selepas matahari terbenam  ketika suasana lebih redup, lampu mula menyala dan sesuatu tempat terasa lebih hidup.

Star Gazing Kredit Foto: 虎 曼 / Pexels.com

Trend ini juga sesuai untuk mereka yang mahu bercuti secara santai tanpa terlalu terikat dengan jadual padat. Daripada keluar awal pagi hingga petang, pelancong boleh berehat pada siang hari dan mula meneroka destinasi pada sebelah petang hingga malam.

Bagi yang mahu cuba gaya travel berbeza, noctourism boleh jadi idea menarik untuk dimasukkan dalam perancangan percutian. Sama ada sekadar makan di pasar malam, berjalan melihat lampu bandar atau mencari lokasi melihat bintang, pengalaman waktu malam mampu memberi sisi lain kepada sesuatu destinasi.

 

Oleh
Syahir Hannan