
Bagi kaki travel, bukan setakat pasport Malaysia malah memiliki pasport yang ‘kuat’ bukan sekadar satu kelebihan, malah boleh memudahkan banyak urusan ketika merancang perjalanan ke luar negara.
Berdasarkan Henley Passport Index, Singapura terus berada dalam kelompok teratas dunia dengan akses ke sejumlah besar destinasi tanpa perlu mendapatkan visa tradisional terlebih dahulu. Jepun dan Korea Selatan juga kekal sebagai antara negara yang memiliki pasport paling berkuasa.
Malaysia pula turut mencatatkan kedudukan yang membanggakan apabila pasport Malaysia berada dalam kelompok teratas dunia, sekali gus memberikan akses mudah kepada rakyat Malaysia untuk melancong ke banyak destinasi antarabangsa.
Kekuatan sesebuah pasport lazimnya berkait rapat dengan hubungan diplomatik antara negara, kestabilan, tahap keselamatan serta perjanjian perjalanan yang dimeterai dengan negara-negara lain.
Bagi rakyat Malaysia, kelebihan memiliki pasport yang diterima secara meluas tentunya memberi lebih banyak pilihan ketika merancang percutian.
Destinasi popular seperti Jepun dan Korea Selatan antara negara yang boleh dikunjungi rakyat Malaysia tanpa perlu mendapatkan visa pelancong tradisional terlebih dahulu bagi lawatan jangka pendek, tertakluk kepada syarat kemasukan semasa.
Namun, jangan terus anggap semua negara yang tidak memerlukan visa mempunyai prosedur kemasukan yang sama.
Ada negara menawarkan kemasukan visa-free, ada yang menyediakan Visa on Arrival (VoA), manakala sesetengah destinasi pula mewajibkan pelawat mendapatkan Electronic Travel Authorisation (ETA) sebelum berlepas.
Ini perbezaannya.
Visa-free bermaksud pemegang pasport tidak perlu memohon visa pelancong tradisional sebelum berangkat.
Kebiasaannya, pelancong hanya perlu menyediakan pasport yang sah serta memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan negara berkenaan seperti tiket pulang, bukti penginapan atau bukti kewangan sekiranya diminta pegawai imigresen.
Tempoh dibenarkan berada di sesebuah negara pula berbeza mengikut destinasi.
Penting untuk diingat, bebas visa tidak bermaksud kemasukan dijamin secara automatik kerana keputusan akhir tetap tertakluk kepada pihak imigresen negara yang dikunjungi.
Visa on Arrival pula bermaksud pelancong tidak perlu mendapatkan visa melalui kedutaan sebelum berlepas, tetapi proses mendapatkan visa dilakukan apabila tiba di pintu masuk negara berkenaan.
Bergantung kepada destinasi, pelancong mungkin perlu mengisi borang, menunjukkan dokumen sokongan dan membuat bayaran sebelum visa diberikan.
Prosedur, bayaran dan tempoh tinggal berbeza mengikut negara, jadi semak dahulu syarat rasmi sebelum membeli tiket penerbangan.
Ini yang selalu membuatkan traveller keliru.
ETA bukan visa tradisional, tetapi merupakan kebenaran perjalanan elektronik yang perlu diperoleh sebelum seseorang menaiki penerbangan atau memasuki sesebuah negara.
Permohonan biasanya dilakukan secara dalam talian atau menerusi aplikasi rasmi. Pelancong perlu memasukkan maklumat pasport, menjawab beberapa soalan dan membuat bayaran jika dikenakan.
Sebagai contoh, Australia mempunyai sistem ETA untuk pemegang pasport yang layak, manakala United Kingdom juga menggunakan sistem ETA bagi pelawat daripada negara tertentu termasuk Malaysia.
Jadi walaupun anda tidak perlu memohon visa tradisional, jangan terus beli tiket dan terbang tanpa memeriksa sama ada ETA diperlukan.
Berbeza dengan ETA, eVisa merupakan visa sebenar, cuma proses permohonannya dilakukan secara dalam talian.
Pelancong mungkin diminta memuat naik beberapa dokumen seperti salinan pasport, gambar, tempahan penginapan, tiket penerbangan atau dokumen kewangan, bergantung kepada syarat negara berkenaan.
Selepas diluluskan, pemohon akan menerima pengesahan visa secara elektronik untuk digunakan ketika perjalanan.
Walaupun pasport Malaysia memberikan kemudahan perjalanan ke banyak negara, setiap destinasi mempunyai syarat imigresen tersendiri.
Ada negara yang meminta pasport mempunyai baki tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan, tetapi syarat ini bukan peraturan universal untuk semua negara. Ada destinasi menggunakan tempoh sah yang berbeza.
Selain itu, sesetengah negara mungkin meminta tiket penerbangan pulang, alamat penginapan, bukti kewangan atau pendaftaran ketibaan secara dalam talian.
Sebab itu sebelum terbang, biasakan membuat semakan di laman rasmi imigresen atau kedutaan negara yang ingin dikunjungi.
Memiliki pasport yang diterima secara meluas di peringkat antarabangsa sememangnya satu kelebihan besar buat rakyat Malaysia.
Kurang urusan visa bermakna perancangan perjalanan boleh menjadi lebih mudah, fleksibel dan dalam sesetengah keadaan, lebih menjimatkan.
Tetapi jangan kerana terbaca perkataan ‘visa-free’, terus anggap tiada apa-apa yang perlu dibuat.
Semak sama ada destinasi memerlukan ETA, Visa on Arrival, eVisa atau pendaftaran ketibaan, periksa tempoh sah pasport Malaysia dan pastikan semua syarat perjalanan dipenuhi sebelum berangkat.
Pasport Malaysai dah kuat, tinggal pilih destinasi sahaja. Jadi, negara mana pula yang ada dalam wishlist anda selepas ini?