25/09/2017 Kuala Lumpur: Seorang rakyat Malaysia berusia 27 tahun meninggal dunia di Istanbul, Turki dipercayai akibat gigitan serangga selepas menaiki belon udara panas di Cappadocia, kelmarin.
Perkara itu disahkan oleh Pengurusan Syarikat Pelancongan IBC Tours yang menguruskan pakej percutian mangsa berkenaan di Turki.
Mangsa yang mengikuti pakej pelancongan di Turki bermula 16 sehingga 24 September bersama keluarganya sebelum arwah dimasukkan ke hospital kerana terkena gigitan.
Pengarah Syarikat IBC Tours Corporation Sdn Bhd Mohammad Rizal Narusuddin berkata, mangsa, Noor Azmeera Sahudin tidak menyedari berhubung gigitan berkenaan dan hanya mengadu mengalami kegatalan saja.
“Ketika kami membawa pelancong melawat di Cappadocia, mangsa menaiki belon udara panas dan dipercayai digigit sesuatu di bahagian kaki, sama ada labah-labah atau serangga.
Ads
“Kemudian, mangsa mengadu mengalami gatal-gatal. Tiga hari kemudian mangsa mengadu mengalami kesakitan di bahagian kaki dan ketua pelancong kami membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan di sebuah hospital di Bursa.
“Doktor di hospital Bursa memberikan ubat seperti antibiotik, namun mangsa sekali lagi mengadu sakit sehingga ke bahagian pinggang. Kemudian, mangsa terus dibawa ke Hospital Besar Istanbul,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Mohammad Rizal berkata, doktor mengesahkan bahawa mangsa digigit sesuatu dan racun itu sudah merebak ke bahagian pinggang.
Ads
Katanya, wakil IBC Tours berada dengan mangsa daripada hari pertama di hospital sehingga kritikal dan menguruskan pengkebumian termasuk kepulangan keluarga mangsa ke Malaysia.
Beliau berkata, pihak IBC Tours menerima panggilan jam 9 malam kelmarin bahawa mangsa sudah meninggal dunia di hospital itu.
“Kami mengambil tanggungjawab dan menghubungi syarikat insurans mangsa untuk menguruskan jenazah supaya dibawa pulang ke Malaysia, namun keluarga mangsa mahu arwah dikebumikan di Turki.
Ads
“Sehingga kini, kami belum mendapat laporan perubatan lengkap berhubung punca kematian, cuma doktor yang merawat arwah mengesahkan mangsa terkena gigitan,” katanya.
Katanya, IBC Tours menguruskan kepulangan keluarga sebaik urusan pengkebumian jenazah selesai di Turki.
Sumber: IBC Tours Corporation Malaysia Sdn Bhd / Harian Metro
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Gas penyaman udara bocor, masalah litar pintas dan paip utama pecah merupakan kemalangan 'maut' yang sering berlaku di hotel penginapan seluruh dunia.
Baru-baru ini, lima tetamu sebuah hotel terbunuh manakala enam lagi cedera apabila paip air panas pecah menyebabkan air melimpahi ruang yang didiami penghuni sebuah hotel.
Seorang kanak-kanak bersama ibunya dilaporkan menjadi mangsa dalam kejadian yang berlaku di pergunungan Ural, Rusia. Ketika itu rata-rata daripada mereka sedang nyenyak tidur.
Tiga mangsa yang cedera pula dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius akibat direbus hidup-hidup dengan air panas yang melimpah.
Hotel sembilan bilik itu terletak di bahagian bawah tanah sebuah bangunan kediaman dan dikatakan tidak diselenggara dengan baik.
Susulan kejadian, Ahli Parlimen Rusia, Oleg Melnichenko berkata parlimen mungkin akan mempertimbangkan pengharaman membina hotel bajet mahupun asrama di bahagian bawah tanah bangunan kediaman. Ini kerana semua saluran paip terletak di bahagian bawah tanak.
Bagi yang mempunyai perancangan untuk berkunjung ke Kuching, inilah masa terbaik buat anda mengabadikan kenangan di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Kampung Budaya Sarawak menempatkan replika banyak rumah kaum etnik Sarawak di dalam satu kawasan rekreasi. Kalau ke sini, anda boleh merasai sendiri pelbagai kebudayaan Sarawak seperti pemakaian kostum, membuat juadah tradisi di samping mencuba permainan sumpitan, gasing atau menari bersama kumpulan kebudayaan yang membuat persembahan setiap hari.
Potongan harga menarik sebanyak 33 peratus dilaksanakan serta-merta dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan negara selepas bergerak perlahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lalu. Langkah yang diambil itu juga dapat meransang pertumbuhan sektor pelancongan tempatan khasnya di Bumi Kenyalang. Strategi ini dipercayai dapat melonjakkan semula ekonomi negara yang terjejas sejak kebelakangan ini.
Harga baharu bayaran masuk ke SCV ialah RM20 dikenakan bagi dewasa rakyat Sarawak dan RM10 bagi kanak-kanak.
Bagi bukan rakyat Sarawak, bayaran masuk dikurangkan dari RM95 kepada RM60 bagi dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak.
Pantang viral, habis diserbu. Inilah sebahagian mentaliti orang kita hari ini tanpa menyedari perbuatan itu salah di sisi undang-undang.
Lebih menakutkan mereka membuat “undang-undang rimba” sendiri tanpa menyedari perbuatan itu boleh menyusahkan banyak pihak termasuk kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain selepas berkumpul beramai-ramai di lorong kecemasan lebuhraya tersebut.
Terkini, memetik laporan Harian Metro, pihak polis akan membuat pemeriksaan berkala di Lebuhraya Temiang-Pantai, di sini, yang mendapat jolokan ‘New Zealand’ Malaysia bagi memastikan tiada aktiviti bersantai di lorong kecemasan terutama pada hujung minggu.
Pemandangan indah di lebuhraya Pantai-Temiang ini menarik minat ramai orang untuk berkumpul dan bergambar di sini.Keadaannya yang agak berkabus seolah-olah kita berada di New Zealand
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad berkata, pemandangan menghijau di lokasi itu seolah-olah di luar negara menjadi tumpuan pengguna jalan raya untuk berhenti dan mengambil gambar.
“Meletakkan kenderaan di lorong kecemasan lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak tidak dibenarkan dan ia menjadi satu kesalahan.
“Justeru polis akan melakukan rondaan pemeriksaan bagi memastikan tiada kenderaan diletakkan di lorong kecemasan dan melakukan aktiviti berbahaya lain.
“Saya difahamkan ada juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga, ia memang tidak dibenarkan kerana menjadi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya tadi.
Di hujung minggu, lebuhraya ini menerima jumlah kehadiran orang ramai yang tinggi semata-mata untuk bergambar
Shafiei berkata, pihaknya akan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai lokasi sesuai yang dibenarkan bergambar.
“Orang ramai diminta tidak melakukan sesuatu aktiviti di lokasi terbabit yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Menjadi satu kesalahan meletakkan kenderaaan di lorong kecemasan tanpa sebab kukuh.
Harian Metro melaporkan beberapa gambar menunjukkan sekumpulan individu daripada kelab kereta berkumpul di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang- Pantai di sini.
Tindakan itu tular di media sosial sebelum polis memanggil sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan.
Difahamkan polis sudah mengenal pasti 48 kereta terbabit dalam insiden itu.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...