
Isi Kandungan
ToggleRamai nak pergi Langkawi tetapi rasa agak mahal? Eh.. kalau korang rancang dengan betul, memang tak akan lari bajet sebenarnya.
Langkawi tak macam dulu, sekarang ada pelbagai tempat yang menarik boleh pergi. Ini antara tempat-tempat baharu yang anda boleh lawati dan aktiviti menarik kena cuba.
Ini antara tarikan-tarikan menarik di Langkawi..
Sebagai destinasi pelancongan yang dikelilingi lautan, mestilah rasa nak bermandi manda di pantai dan bermain aktiviti air. Tetapi kali ini anda boleh cuba nanti selain aktiviti air.
Dream Forest Langkawi
Bila masuk ke dalam hutan, suasana Dream Forest ini seakan-akan dunia magis yang menakjubkan! Hutan ajaib ini adalah yang pertama di Malaysia.
Perjalanan imersif ini dipenuhi dengan keajaiban teknologi pelbagai deria, unjuran peta, pencahayaan canggih dan skop bunyi sepanjang 1.2km.
Sepanjang berada dalam hutan magis ini, skop bunyi menceritakan tentang kisah legenda Langkawi seperti Kisah Puteri Dayang Bunting, Tun Teja, Merong Mahawangsa dan Gunung Machinchang.
Bayangkan seperti memasuki dunia Avatar, taman imersif Hutan Impian ini menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan!
Selepas berjalan hampir sejam di dalam Dream Forest Langkawi, anda boleh dinner di Restoran Paloh.
Restoran Paloh, Temple Tree, Chenang
Restoran Paloh bukan sekadar restoran biasa, tetapi merupakan sebuah Resort Warisan yang mengekalkan konsep seni bina tradisional Malaysia seperti Penang Colonial House, Rumah Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Tempat ini telah menjadi destinasi kuliner yang mengangkat budaya dan keindahan alam Langkawi. Menunya gabungan antara hidangan tradisional Malaysia dan teknik kuliner modern.
Langkawi UNESCO Global Cruise
Terokai pula pulau-pulau kehijauan dan geopark yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kali keempat pada tahun ini.
Sepanjang perjalanan di dalam bot ini, terdapat lebih 40 spesies paya bakau di Geopark Kilim ni dan ini merupakan spesies terbanyak di seluruh Malaysia.
Selain itu juga, terdapat Gua Buaya yang dipenuhi dengan kelawar-kelawar yang tergantung di lelangit gua. Gua batu kapur ini mendapat nama sebagai Gua Buaya kerana rupa bentuk luar gua ini seakan-akan rupa mulut buaya gergasi.
Selepas itu, boleh singgah di lokasi burung helang makan yang menjadi ikon Pulau Langkawi ini terbang bebas di langit.
Tak cukup puas lagi dengan aktiviti air? Jom ke Pantai Cenang Water Activities pula!
Aktiviti Air di Pantai Cenang
Di sini bukan hanya boleh mandi di pantai dan bermain bola tampar, malah boleh menaiki jetski, banana boat, parasailing dan banyak lagi.
Anda juga berpeluang menunggang jetski melalui ombak yang bergelora di pantai. Tapi kena berhati-hati, ombak sini boleh tahan tinggi. Takut terpelanting nanti.
Aktiviti yang paling best boleh cuba adalah parasailing! Anda akan menaiki satu bot dan akan dipakaikan harness dan dicantumkan dengan payung terjun. Kemudian, kru bot akan menaikkan anda dengan meningkatkan kelajuan bot sampai terus terbang ke langit.
Pemandangan di atas langit memang cantik sangat dan boleh nampak seluruh Pantai Chenang.
Langkawi Skycab & Skybridge
Sepanjang 2.2km, kereta kabel ini lagi panjang daripada Switzerland. Pemandangan memang mengujakan! Anda boleh nampak seluruh pulau-pulau yang terdapat di Langkawi.
Kereta kabel pun ada yang jenis! Ada 4 jenis iaitu Standard Gondola, Glass Gondola, 360 Gondola dan VIP Gondola.
Anda memang akan akan rasa kedinginan angin di atas puncak gunung.
Tempat yang baharu yang akan dibuka Disember ini adalah Eagle’s Nest Skywalk Langkawi, yang mana ini adalah sebuah platform sepanjang 38 meter di puncak Gunung Machinchang pada ketinggian 650 meter.
Tidak lupa juga dengan Skybridge yang panjangnya 125 meter, ini merupakan jambatan gantung yang paling panjang di dunia. Angin di atas jambatan memang kuat, jadi kena hati-hati dengan barang peribadi.
Selepas itu, boleh ke 3D Art Museum di mana satu tarikan yang imersif dan penuh dengan ilusi yang sangat instagrammable! Dengan keluasan 21,000 kaki persegi, anda akan terpukau dengan ilusi-ilusi lukisan dalam tempat ini.
Underwater World Langkawi
Menempatkan 4000 hidupan akuatik dan 500 spesies, Underwater World merupakan akuarium marin dan air tawar terbesar di Asia Tenggara.
Kawasan pertama yang korang akan masuk adalah Zon Hutan Hujan Tropika yang mana burung tropika seperti Swan, Itik Mandarin dan Flamingo terbang bebas di sekeliling habitat.
Selain itu, terdapat Zon Iklim Sederhana dan Antartik yang menempatkan haiwan seperti Anjing Laut Selatan yang comel dan penguin-penguin yang berkeliaran dan berenang dalam habitat mereka. Memang best!
Anda juga boleh menikmati suasana pemandangan matahari terbenam di sini.
Kalau masih lagi bertenaga, boleh menaiki banana boat, berenang di dalam laut, paddle board dan juga meluncur gelongsor di atas Pontoon.
Haaa… jangan skip salah satu, tak lengkap percutian anda kalau tidak pergi ke tempat-tempat tarikan ini dekat Langkawi.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Itinerari ‘Trip Percutian Keluarga Kecil’ Ke Prague, Czech Republic (Part1)

Semua orang mengimpikan lokasi indah untuk dilawati dan menghabiskan masa meneroka destinasi idaman terutamanya bersama seisi keluarga. Teruja dengan destinasi pelancongan di luar negara yang unik dan cantik seperti yang ditonton dalam filem, drama mahupun dokumentari mendorong ramai daripada kita menanam impian untuk ke negara tersebut.
Prague, Czech Republic antara destinasi yang seringkali dipilih untuk melancong, antaranya kerana keindahan negaranya. Ini ada perkongsian menarik daripada sumber: Mummy Kaki Jalan bersama keluarga kecilnya ketika bercuti di Prague, Czech Republic.
27 November & 28 November 2019
We’ve started the journey to Prague from Amsterdam. Naik Easyjet, one of the famous low cost airline kat Europe ni. Walaupun low cost, tapi family with small children boleh boarding dulu. Harga tiket kami dapat about RM 800 for 3 person including 69kg baggage allowance. Smooth landing. Recommended.
Upon arrival, ada 3 aunties from Indonesia tegur kami. Serumpun kan, memang diorang cam la. Diorang dah lama tinggal kat Netherlands. Dah 30 tahun. Borak-borak sekejap je sebab kami ada car shuttle yang sedang menunggu. Pick up luggages pastu jalan je ke pintu keluar, dah nampak ada org pegang kertas with husband’s name.
Nasib baik kereta besar since bag kami pon besar .Jalan kat Prague agak sibuk. Siren police merata-rata. Tapi bangunan semuanya cantik-cantik. Baru terasa berasa kat negara orang putih We’ve glad that we chose the shuttle car because the journey to the hotel is quite far.
Sampai kat hotel, rasa lega sebab boleh beli tiket dan tukar duit kat hotel. Good rates. Boleh baca review tentang hotel kat post ni : klik sini
Usai solat, kami get ready untuk keluar makan. Bila google, ada kedai makan nearby hotel tapi dah tutup pukul 3pm. Jam 6pm baru bukak balik. Kami dah lapar, so we’ve decided untuk makan kat Hallal Fast Food. Beli single journey ticket (24 czk) sebab takde plan nak pergi mana-mana pon harini. Naik tram nombor 9 or 5 depan hotel (station: Lipanska) and stop at Jindrisska (about 3 stop). Dari situ, jalan kaki about 5 minutes ke Hallal Fast Food.
Kami order 1 meal sahaja sebab takdela lapar sangat. Nasib baik jugak, sebab nasi sepinggan banyak sangat. Boleh share 2 orang. Harga sepinggan about 135 CZK lebih kurang RM 25 . Nampak simple tapi agak sedap. Mango Lassi (55 CZK) pon sedap. Then, kami jalan-jalan sekitar Jindrisska. Adalah 1-2 tourist attraction nearby kalau ikut GOOGLE.
Lepas tu, kami ke TESCO untuk beli barang keperluan. Jumpa orang Malaysia kat sini yang baru sampai dari Poland, which happened to be our next destination. Then, kami ke sekitar Old Town, strolling around without specific plan. Jumpa kedai souvenirs, masuk. Jumpa kedai jual Tredelnik aka Chimney Cake (Prague Food Guide), kami stop, beli yang ada filling ice cream and makan. Harga sekitar 130 CZK. Dah penat sangat, balik hotel untuk dinner and rest. Since tram station bawah hotel je, kami tido bertemankan bunyi tram yang indah.
The next day, we woke up early untuk solat subuh then breakfast. Makan ala kadar je hanya untuk alas perut. Then kami bersiap-siap untuk ke Charles Bridge. Kami beli day tiket yang valid untuk 24 hours for the price of 110 CZK per person. Children under 6 years old masih boleh naik public transport for free. Naik tram nombor 15 dari Lipanska ke station Malostranke namesti. Then jalan kaki follow the crowd about 5 minutes. Since it is not that early morning, dah ramai orang kat Bridge. Kami ambil beberapa gambar sebelum meneruskan perjalanan ke hujung Bridge. Jumpa kedai souvenirs, singgah jap beli baju sebab murah-murah.
Then kami ke Prague Castle, naik tram no 22 dan berhenti kat station Prazky hrad. Nak masuk castle ni, kena lalu security check. Barangan yang ada metal kena keluarkan letak dalam bakul lepas tu lalu body scanner. Kami singgah ke toilet nearby. Kalau takde duit CZK jangan risau, kat toilet ni siap ada ATM machine dan tempat untuk tukar syilling. Duit syiling Euro pon diterima.
Lepas ambil gambar kat sekitar Prague Castle, kami jalan-jalan nearby Katedrala sv vita, Prazsky hrad dan ambil gambar Old Town dari atas bukit. Kemudian kami naik tram dan turun ke station Pohorelec ke Petrin Hill untuk ke Petrin Lookout Tower dengan niat nak naik funicular. Puas cari jalan yang betul untuk ke station funicular tapi tak jumpa. Pelik sebab semalam dah tengok dalam google maps, ada je option untuk ke Petrin Hill guna funicular. So we’ve decided untuk jalan kaki naik bukit dan turun dengan funicular. Penat mendaki, tapi sampai je kat atas tu, the sky was so blue. Cantik. Nak turun ke bawah balik, kami follow sign untuk ke Funicular station but we were so unfortunate sebab rupanya harini tak beroperasi. My son was so upset till he’s crying his heart out. We promise to come back again tomorrow just to ride the Funicular. Semasa dalam perjalanan turun ke bawah, we’ve found a beautiful lake. Stop ambil gambar sekejap. Well, I guess it is a blessing in disguise.
Since Aydin was so upset, we’ve decided to go to Lego Exhibition Czech Repubrick. Boleh tengok bangunan skala kecil yang diperbuat dari lego. Harga tiket masuk untuk satu family is about 580 CZK ( RM 105). Ada a few activities inside yang boleh dibuat bersama. I’m so exhausted so I just rest on the bean bag. Penat la! Oh, by the way, this place is located inside HAMLEYS. So, lepas keluar dari Repubrick, anak-anak boleh sambung menge’paw’ mak bapak kat HAMLEYS haha!
Dari Hamleys, kami berjalan ke Barakat Restaurant. It is Lebanon Restaurant. The food is cheap, yummy and the decoration inside the restaurant is so cozy. Kami take away the foods since my son dah exhausted and I really need to go back to the hotel to freshen up a bit. We took the same tram dari Hlavni Nadrazi back to hotel then we called it a day!
Sambungan hari ke 3, 4 dan 5 di PRAGUE in the next next post!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pengalaman Indah Tawan Gunung Semanggol, Perak

Perkongsian oleh Mohamad Zulfazdli Mohamad Hisam

Cabaran pendakian beri semangat kepada lapan anak muda
Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Semanggol yang terletak di daerah Kerian, Perak amat mencabar mental dan fizikal kami yang pergi dalam satu kumpulan seramai lapan orang. Bermula dengan laluan ladang kelapa sawit dan suasana sekeliling yang gelap membuatkan perjalanan cukup mencabar.
Seawal jam 5 pagi kami sudah bertolak bagi memastikan perancangan untuk sampai ke puncak sebelum matahari naik.
Dek kerana melalui ladang kelapa sawit, cahaya bulan yang mengambang tidak dapat menyinari laluan kami kerana dihalangi dengan pelepah pokok sawit. Mengambil masa hampir 30 minit akhirnya kami sampai ke penghujung ladang sawit.
Dari situ kami meneruskan pendakian di kawasan batu kapur pula. Pemilihan kasut sukan amat penting kerana untuk memelihara kaki daripada kulit melecet atau pun tergeliat.
Laluan kawasan batu kapur juga bagi kami begitu sukar kerana jalannya yang tidak rata dan terpaksa mendaki sedikit.

Setelah merintangi laluan kawasan batu kapur, kami menyeberangi sungai kecil untuk misi sampai ke puncak Gunung Semanggol. Tidak dapat dinafikan bunyi cengkerik di sekeliling amat menenangkan di tambah pula dengan suhu yang dingin, memberi semangat kepada kami untuk menawan gunung.
Hayati keindahan alam
Sewaktu perjalanan ada salah seorang daripada ahli kumpulan mengalami keletihan kerana laluan yang penuh ranjau. Mujurlah keperluan seperti air dan gula-gula telah di bawa kerana kami tahu keperluan ini amat penting ketika misi mendaki gunung atau bukit.
Walaupun kami semua telah bersedia dari awal, keadaan yang tidak dijangka ini tidak dapat dielakkan untuk aktiviti lasak seperti ini.
Bagaimanapun ketika di pertengahan perjalanan, ada satu lagi laluan yang amat mencabar berbanding laluan yang dilalui sebelum itu. Keadaan permukaan tanah yang licin membuatkan kami perlu sama-sama bertolak ansur.
Nasib kami agak baik kerana ada disediakan tali. Hal ini kerana tanah yang begitu licin mencabar permukaan tapak kasut untuk mengimbangi badan kami.
Sewaktu dalam perjalanan itu juga, kami dapat melihat binatang seperti kelip-kelip yang menyinari di suatu sudut kawasan. Sungguh perasaan ini merasa nikmat kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa.
Pada jam 6.30 pagi kami solat dipertengahan jalan dan seterusnya kami meneruskan perjalanan dan sampai ke puncak gunung setinggi 390 meter kira-kira jam 7 pagi.
Di atas puncak gunung, kami dapat melihat keindahan alam ciptaan ALLAH yang begitu menakjubkan. Dapat melihat matahari terbit antara yang paling dinantikan. Bukan sahaja suasana sekeliling sahaja yang mendamaikan tetapi kehijauan alam begitu mengasyikkan.
Bahkan kami dapat melihat kawasan sawah padi dan kampung yang berdekatan dari atas dan ia betul-betul membuatkan kami begitu teruja.


Walaupun ini hanyalah aktiviti yang singkat buat kami, terpancar kepuasan di wajah masing-masing setelah penat mengharungi perjalanan selama dua jam untuk sampai ke puncak.
Pastinya aktiviti lasak ini akan diteruskan lagi di lokasi yang berlainan kerana bukan sahaja dapat mengisi masa lapang tetapi meningkatkan stamina.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Travelog SIT 2019: Cinta Pandang Pertama Bermula Di Tioman

Isi Kandungan
TogglePada tanggal 27 Jun 2019, saya berpeluang untuk hadir ke Kampung Genting, Pulau Tioman bagi memenuhi jemputan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Pahang (MOTAC Pahang) sempena program ‘Start In Tioman’ atau SIT yang berlangsung selama empat hari di sana.
Pada mulanya, saya rasa biasa saja dengan program berkenaan kerana tanggapan kali pertama, ia sama dengan tugasan-tugasan lain yang diterima seorang wartawan untuk membuat liputan mengenai sesuatu program. Tambahan pula, program SIT ini membabitkan aktiviti skuba dan saya tidak mempunyai lesen untuk menyelam.
Terasa rugi untuk saya pergi membuat liputan berkenaan kerana ada rakan sepejabat yang lain mempunyai lesen skuba. Lebih baik beliau yang ke sana kerana boleh turut sama menyelam di dalam laut dan menyaksikan beberapa aktiviti yang direncanakan sepanjang program.

Tapi, atas desakan beliau sendiri, saya akur juga untuk ke Pulau Tioman pada tarikh yang ditetapkan. Kata rakan sepejabat itu kepada saya, “bagus kalau kau yang pergi. Kau sendiri pun tak ada lesen, jadi cerita tu fresh dari sudut pandang orang noob yang tak ada lesen macam kau”, hahahaha.
Tergelak kami apabila dia berkata demikian. Ada betulnya juga, saya sendiri pun tak pernah lagi membuat liputan berkenaan aktiviti yang membabitkan skuba dan menyelam di dasar laut ni.
Jadi boleh saya manfaatkan peluang yang ada untuk ambil tahu serba sedikit berkenaan aktiviti skuba kepada pembaca-pembaca Libur nanti. Bersetuju untuk pergi ke tugasan tersebut, saya pun membuat persiapan di pejabat dan di rumah. SIT 2019, here I come!
Perjalanan dari pejabat di Shah Alam, Selangor menaiki kereta Proton Saga ke Jeti Tanjung Gemuk, Kuala Rompin mengambil masa lebih kurang dalam 5 jam memandu. Membuatkan masa terasa lebih lama adalah disebabkan saya memandu seorang diri.
Terdetik dalam hati betapa ruginya terasa kerana tugasan ini terpaksa saya pergi sendirian – sayalah wartawan dan sayalah jurugambar! Kalau ada kawan kan seronok, tak adalah kesorangan!
Tapi tak apa, dengan jiwa kental yang ada, kita harung je perjalanan yang ada. Lumrah seorang wartawan, tak ada tempat untuk mereka yang berhati tisu untuk kerjaya ini.
Percaya lagi Google, itu makan dia
Saya tiba di Kuala Rompin sekitar pukul 4.30 petang. Hasil maklumat daripada encik Google menunjukkan ada feri yang akan berlepas ke Pulau Tioman pada pukul 5 petang dan saya tiba Jeti Tanjung Gemuk pada pukul 4.50 petang, lebih kurang 10 minit lagi sebelum masa berlepas.

Sempat kot! Sempat beli tiket ni! Getis hati sambil-sambil mata tu laju menjeling jam dan berlari-lari anak menuju ke kuanter tiket. Setibanya di kaunter, Allah! Haru rasanya apabila semua kuanter yang ada di situ tutup!
Macam mana nak beli tiket? Dengan hampa saya berpatah balik ke tempat letak kereta yang berada di luar perkarangan kompleks terminal feri dan terjumpa dengan seorang pakcik yang menjaga tempat letak kereta depan terminal feri.


Lupa saya nak bertanyakan nama beliau tetapi selepas memberi salam dan bersalaman, saya bertanyakan kepadanya pasal feri dari Tanjung Gemuk ke Pulau Tioman. Dalam perbualan kami, pakcik tu kata feri terakhir pada hari tersebut adalah pukul 4.30 petang.
Menurut pakcik itu, jadual pergerakan feri akan berubah-ubah setiap hari berdasarkan kepada pasang surut air laut.

Ohh.. Jadi maklumat saya dari Google tu dah salah. Saya pun mungkin terbaca waktu pelepasan feri tu entah di website mana-mana. Nasihat beliau, ada baiknya telefon dahulu perkhidmatan feri ke Pulau Tioman dari Tanjung Gemuk untuk tahu bilakah waktu terakhir akan berlepas dan terus membuat tempahan. Takut nanti terlepas feri!
Jadi kepada anda yang nak ke Pulau Tioman, nasihat saya, hubungi dahulu perkhidmatan feri supaya tak terlepas feri seperti saya ni ya. Dah la memandu jauh, sekali sampai, feri pula tak ada. Malang sungguh.
Bermalam di Kuala Rompin
Tanpa melengahkan masa, saya ambil keputusan untuk bermalamdi Kuala Rompin. Pada mulanya saya mencari hotel yang berada di sekitar Tanjung Gemuk tapi kesemuanya menawarkan harga yang agak tinggi, lebih kurang RM130 semalam.
Tugasan luar kawasan ni tak ada selera nak ambil hotel yang mahal-mahal. Kalau boleh berjimat, selagi boleh saya akan cuba untuk berjimat. Cara alternatif yang saya terfikir adalah menggunakan aplikasi mencari hotel dan antara yang terbaik saya boleh cadangkan kepada anda adalah aplikasi Booking.com.
Melalui aplikasi tersebut, saya dapat satu guesthouse bernilai RM50 untuk satu malam. Okay la kan? Duduk pun sorang. Tetapi guesthouse tu berada lebih kurang 30 kilometer dari Tanjung Gemuk. Dalam waktu tu tak kisah dah, asalkan ada tempat untuk bermalam sementara menunggu esok pagi.
Esok seawal jam 8 pagi saya dah bertolak semula dari guesthouse ke Tanjung Gemuk untuk naik feri yang paling awal ke Pulau Tioman. Cuba juga untuk dapatkan feri yang paling awal sebab takut terlambat, nanti terlepas banyak perkara menarik membabitkan tugasan di sana.

Tiba di terminal feri, saya terus membeli tiket pukul 11 pagi dan dalam masa membeli tiket, mata ralit memerhatikan keadaan sekeliling di terminal feri Tanjung Gemuk tu.
Dah jadi kebiasaan, kita kena peka dengan keadaan sekeliling dan apa yang dapat saya simpulkan adalah keadaan terminal feri Tanjung Gemuk ini adalah cukup selesa dan bersih untuk kegunaan pengunjung yang tiba.
Keselesaan untuk pengunjung
Terminal itu lengkap dengan kedai serbaneka dan cenderahati bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung. Tak perlu risau kalau ada satu dua benda terlupa nak beli di luar. Di terminal ada kedai yang menjual sedikit barang-barang runcit.



Sebut pasal kemudahan, saya nak salurkan maklumat mengenai kemudahan tempat letak kereta di sini. Kalau anda memandu, tak kisah daripada mana sekalipun, untuk ke terminal jeti Tanjung Gemuk, rasanya tak ada masalah untuk anda tinggalkan kereta beberapa hari di sini.
Kemudahan tempat letak keretanya juga mempunyai penjaga yang akan berkawal di situ 24 jam untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin daripada segala perkara yang tak diingini dengan sedikit bayaran yang akan dikenakan iaitu sebanyak RM10 semalam.
Macam kes saya, saya akan bermalam selama tiga malam di Pulau Tioman, maknanya bayaran sebanyak RM30 dikenakan. Okay la RM30 kalau nak dibandingkan dengan keselamatan kereta kalau parking merata-rata.




Jadual ketibaan feri tepat pada waktunya. Anda jangan berlengah-lengah dan diminta untuk berada 45 minit lebih awal di ruang menunggu sebelum waktu pelepasan sebab feri akan bergerak tepat, tak ada delay macam anda naik pesawat.
Saya menaiki feri Wawasan 2 dan untuk sampai ke Pulau Tioman, jarak perjalanannya lebih kurang 1 jam 30 minit. Pemerhatian saya selama berada dalam perut feri menuju Pulau Tioman adalah ramai pelancong yang mabuk dan muntah-muntah. Habis satu feri berbau minyak angin.
Kalau anda mudah mabuk laut, bersiap sedia dengan segala ubat yang ada kalau tak nak percutian bermula dengan kejadian yang tak elok dan berakhir dengan kekecewaan kerana sakit pening. Rugi tau dah sampai Pulau Tioman tapi kesihatan tak mengizinkan, baik duduk rumah je.






Bang.. Dekat mana Damai Tioman Resort?
Setibanya di Pulau Tioman, saya turun di jeti Kampung Genting. Anda harus peka di sini – feri tersebut akan berhenti di beberapa jeti sebelum berpatah balik ke Tanjung Gemuk. Pastikan anda tahu di mana resort penginapan anda dan jangan tersalah kampung. Kalau anda tersalah, jenuh tau nak berenang balik. Hahaha.
Di Kampung Genting, saya ke lokasi tugasan yang terletak di Damai Tioman Resort mengikut alamat yang diberikan oleh pihak penganjur. Ini kali pertama saya ke Kampung Genting, jadi saya tidak berapa arif tentang selok-belok Kampung Genting ni. Saya ingatkan kampung ni besar pada mulanya.
Saya cuba untuk menghubungi penganjur tetapi gagal. Kemungkinan beliau sedang sibuk dengan acara program, jadi beliau tidak mendengar panggilan daripada saya. Tapi tidak apa, itu semua tak ada masalah. Sekurang-kurangnya saya dah sampai di lokasi tugasan.



Kalau anda seorang traveller yang baik, anda tidak akan duduk setempat terlalu lama. Pada mulanya saya duduk menunggu di hadapan jeti. Mana lah tahu kemungkinan penganjur akan menghubungi saya semula, jadi boleh saya beritahu kepada beliau yang saya sudah berada di sini.
Tapi tunggu punya tunggu, bulan tak timbul-timbul (macam cerita P.Ramlee) hahaha. Saya ambil keputusan di saat itu untuk berjalan sekeliling Kampung Genting, kot terjumpa penanda program yang diletakkan, tak perlu lah penganjur susah datang mencari saya.
Dari jeti Kampung Genting, saya berjalan lebih kurang dalam 5 minit ke laluan sebelah kiri kampung dan akhirnya! Saya tiba di lokasi program di Damai Tioman Resort. Tak sempat peluh nak keluar dah sampai, hahaha. Saya ingan kampung ni besar, tapi kecil je. Pusing dua tiga kali dah boleh khatam dah.
Jarak diantara satu resort dengan resort yang lain pun sebelah menyebelah. Tak ada istilah anda akan tersesat di Kampung Genting ni melainkan anda memang jenis makan roti cicah semut sampai tak ingat jalan.
Setibanya di Damai Tioman Resort, saya disambut mesra oleh Anwar Anhar atau lebih mesra dengan panggilan Anwar. Beliau merupakan juruvideo dari Radio Television Malaysia dan juga instructor penyelam untuk program SIT yang berlangsung ketika itu. Beliau juga seorang jurugambar bawah air atau underwater photographer. Nanti saya belanja gambar-gambar yang beliau ambil sepanjang masa SIT 2019 ni berlangsung.

Dengan beliau lah saya berkenalan dengan krew penganjur, Mazlin Suhardi dari MOTAC Pahang, yang ketika itu sedang makan tengah hari. waktu saya tiba di Kampung Genting lebih kurang dalam pukul 2 petang, jadi itu waktunya untuk makan tengah hari. Jadi, terima kasih Abang Anwar sebab sudi melayan saya waktu itu.
Program skuba ada kenduri? Ya, ada kenduri
Usai bersalam-salaman dan mendapat kunci bilik, saya berjalan ke bilik penginapan yang disediakan untuk urusan kendiri sementara menunggu aktiviti seterus yang dijadualkan pada sebelah malam iaitu kenduri. Oh, ada kenduri? Ya, ada kenduri bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan semasa SIT 2019 kali ini.
Sebelum menjelang malam waktu kenduri, semua peserta SIT 2019 termasuk penganjur bergotong-royong, sama-sama memasak juadah hidangkan malam nanti dan di sini lah titik tolak yang mana saya lihat satu nilai yang amat saya suka berkenaan dengan SIT, seperti yang saya ceritakan dalam entri Libur sebelum ini.
BACA: ‘Start In Tioman’ Platform Terbaik Dan Murah Nak Dapatkan Lesen Skuba Open Water




Hubungan yang ada diantara mereka itu seakan dah lama terjalin, penuh mesra dan gelak tawa serta gurau senda sedangkan kedatangan masing-masing ke sini hanyalah untuk menyelam malah, ada diantara mereka yang datang hanya untuk membuat lesen sahaja.
Bagi saya sebagai orang yang baru pertama kali menyertai program tersebut rasa sangat tertarik dengan suasana tersebut. Daripada yang tua hingga yang muda, semuanya saling ringan tulang bergotong-royong untuk memastikan persiapan kenduri di sebelah malam berjalan dengan lancar.
Dalam hati saya berkata, “okey, ini hubungan yang menarik”, sebab mereka tidak kekok untuk bergaul bersama sekalipun ada yang baru pertama kali bersua muka.
Anda mahu rock?! Saya bagi anda rock!
Seusai kenduri pada sebelah malam, satu lagi acara yang menjadi penantian adalah persembahan daripada kumpulan rock terkenal tanah air satu masa dulu – Wings! Baru saya tahu waktu itu bahawa kumpulan Wings adalah duta tetap untuk program SIT sejak penganjuran pertama pada tahun 2010 sehingga sekarang.
Ini sudah menarik! Dalam program skuba, ada lagi aktiviti-aktiviti atas darat yang boleh kita buat. Bukan setakat ‘mati’ dengan aktiviti air sahaja. Jimat duit makan, duit berbelanja dan duit hiburan sekiranya saya menjadi peserta program SIT.

Sepanjang masa kumpulan Wings itu memainkan lagu-lagu rock yang terkenal sepanjang zaman, kami sekampung beramai-ramai berkumpul di sekeliling dataran di hadapan Damai Tioman Resort. Layannn..
Selesai sudah tugasan hari pertama saya di Kampung Genting. Kalau diikutkan itu merupakan hari kedua program tetapi dek kerana saya terlepas feri pada hari pertama, hari itu menjadi hari pertama liputan saya di sana.
Selepas sarapan pagi, saya dimaklumkan bahawa beberapa peserta program akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Ada yang turun menyelam untuk menurunkan tukun-tukun tiruan yang telah dibuat sempena SIT 2019 dan ada yang akan lakukan aktiviti selain skuba – ini acara untuk orang yang tak ada lesen macam saya lahh.



Tukun ketupat, lemang dan pelita bawah laut
Memandangkan SIT 2019 mengambil tema perayaan Hari Raya Aidilfitri, maka tukun tiruan yang dibuat juga bertemakan beberapa elemen penting yang ada sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu tukun pelita, tukun ketupat dan tukun lemang.
Saya berkesempatan untuk menemubual Pengarah MOTAC Pahang, Datuk Haji Idros Yahya, dan menurut beliau, setiap edisi SIT mempunyai tema yang berlainan dan setiap edisi turut mempunyai tukun tersendiri yang akan diletakkan di dasar laut.





Ini sebab nak bagi satu kelainan kepada setiap edisi dan menjadi peringatan kepada peserta yang datang pada setiap program SIT akan datang.
Kalau anda ikut serta dalam program ini, anda akan ada satu tukun sebagai tanda peringatan yang diletakkan di dasar laut – membuat anda akan ada kenang-kenangan dan berasa dialu-alukan di situ.
Di masa akan datang, apabila anda datang menyelam di Pulai Tioman, tukun itu akan mengingatkan anda bahawa anda pernah berada di sini satu masa dahulu dan memori itu yang cuba untuk dizahirkan menurut Datuk Idros.
Ukhwah lebih dari sekadar skuba
Bagi saya, tindakan pengajur mencipta momen seperti itu sangat menarik kerana program ini bukan hanya touch and go kerana ada sentimental value yang ditinggalkan kepada para peserta dan akan membuatkan mereka ingin kembali lagi di masa akan datang.
Bukan kembali sebagai seorang pelajar yang baru nak ambil lesen lagi, tetapi sebagai seorang penyelam yang mahir tentang selok-belok selam skuba satu hari nanti, Insha-Allah.








Datuk Idros juga ada menambah bahawa ramai alumni-alumni skuba yang lahir daripada program SIT datang setiap tahun untuk memeriahkan lagi program disamping datang bagi meraikan kedatangan ahli baharu yang ‘lahir’ daripada SIT pada tahun berkenaan.
Jadi terjawab persoalan saya, mengapa program ini begitu unik sekali dan mengapa saya begitu mengesyorkan kepada anda untuk menyertai program ini untuk mendapat lesen skuba yang pertama!
Aktiviti orang tak ada lesen
Keesokkannya, saya di bawa berjalan mengelilingi pulau di ke tempat-tempat menarik yang ada di sekitar Pulai Tioman. Ada banyak tempat-tempat menarik di Pulau Tioman yang boleh anda lawati dan tempat-tempat menarik ini akan saya kongsikan di entri Libur yang akan datang ya.
Program bersiar-siar kami yang tak menyelam dek kerana tak ada lesen ni berterusan sehingga ke petang. Maklumlah, dah tak ada lesen skuba, kita naik bot sajalah jalan-jalan pusing lihat pemandangan kampung orang.
Indah pemandangan Pulai Tioman ni. Bukan setakat pemandangan sahaja cantik, gadis-gadis Melayu yang ada di sini pun cantik belaka! Hahahaha sambil menyelam minum air la katakan. Maafkan la saya, saya ni bujang lagi, kalau ada berjumpa jodoh di sini, apa salahnya betul tak?
Pada malam terakhir saya disitu, saya dan beberapa kawan baik yang baharu di bawa oleh abang yang kami panggil Abang Adik atau nama betulnya Syed Mohd Amieryuzi Syed Abu Bakar melihat keadaan kampung pada waktu malam.
Hantu Pulau Tioman
Rupa-rupanya, ada aktiviti mystery walk di kampung ini dan guide yang tukang cakap kepada aktiviti tersebut adalah Abang Adik sendiri! Hahaha.
Banyak lah kisah-kisah misteri berkenaan Pulau Tioman yang dikongsikan oleh Abang Adik kepada kami seperti kisah Gunung Daik Bercabang Tiga, Naga Tasik Chini dan kaitannya dengan Pulau Tioman, jambatan puntianak bertenggek. Macam-macam cerita hantu yang akan saya tuliskan di entri yang lain kepada anda.

Saya takut, nanti kalau semua tulis panjang-panjang di sini, ada yang akan tertidur. Buku pun boleh bersawang dalam almari tak ada orang baca, ini kan pula cerita saya dalam website, takut orang tekan butang skip! Hahaha
Keesokkan harinya, seawal pukul 8 pagi, berakhirlah program SIT 2019 yang berlangsung selama empat hari di Kampung Genting, Pulau Tioman. Tepat pukul 9 pagi, feri telah tiba dan membawa kami semua balik ke jeti Tanjung Gemuk.
Setelah bersalam surai dengan semua kawan-kawan baharu di jeti Tanjung Gemuk, saya mengambil kereta yang ditinggalkan sebelum ini dan balik semula ke Shah Alam.

Kesimpulan dua perkara paling menarik
Sepanjang saya menulis travelog SIT 2019 ini, ada dua perkara yang saya rasa amat berbaloi untuk saya sampaikan kepada pembaca terutamanya kepada anda yang nak ambil lesen skuba di sini.
Dua perkara ni akan terkait bersekali dengan entri saya yang awal berkenaan mengapa saya kata kan program Start In Tioman adalah satu tempat terbaik untuk anda mulakan perjalanan mengenal dunia skuba.
Yang pertama, adalah kerana kos yang berbaloi untuk anda. Tidak ada hidden cost dikenakan dan segalanya service termasuk sekali dengan harga yang anda bayar. Anda masih tak percaya lagi dengan testimoni yang saya berikan ini, anda boleh tanya sendiri dengan semua alumni SIT sejak tahun 2010 sehingga sekarang.
Saya yakin, pasti semua bersetuju dengan saya berkenaan kos untuk anda mengambil lesen skuba ini.
Keduanya adalah, saya amat tertarik dengan cara bagaimana program ini dianjurkan. Persahabatan dan persaudaraan yang ada itu melebihi daripada aktiviti selam skuba semata-mata. Saya, yang pergi tugasan ini seorang diri tak terasa keseorangan, kerana ada kawan-kawan sempoi sepanjang berada di sini.
Jadi, kalau anda nak ambil lesen skuba dan dalam masa sama nak buat kawan baharu, Start In Tioman adalah satu program yang terbiak untuk anda pertimbangkan. Tapi kena ingat, SIT hanya berlaku setahun sekali. Oleh itu, jumpa anda di SIT 2020 dan saya pasti akan kembali lagi tahun hadapan. Kalau bukan sebagai seorang diver, saya akan datang sebagai seorang kawan untuk berjumpa kawanya di sana..
Jumpa lagi di Start In Tioman! Dive! Dive! Dive!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI