
SEMUA orang pasti pernah membayangkan betapa seronoknya dapat travel ke luar negara buat kali pertama. Lebih-lebih lagi selepas penat bekerja dan menyimpan duit, akhirnya ada peluang untuk melihat sendiri kehidupan, budaya dan suasana di negara orang.
Namun, antara perkara yang sering menjadi penghalang sudah tentulah soal bajet. Tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan perbelanjaan sepanjang perjalanan perlu diambil kira, terutama jika anda merancang untuk mengembara secara solo.
Sebenarnya, percutian ke luar negara tidak semestinya memerlukan bajet ribuan ringgit. Beberapa negara jiran di Asia Tenggara menawarkan kos perjalanan yang lebih mesra poket, selain mudah diterokai oleh rakyat Malaysia.
Buat anda yang sedang merancang percutian pertama ke luar negara, ini lima destinasi yang boleh dipertimbangkan.
Kredit Foto : Khan ishaan / Pexels
Thailand sememangnya antara destinasi paling mudah untuk dicuba oleh mereka yang pertama kali mahu melancong ke luar negara.
Selain penerbangan terus dari Malaysia, anda juga mempunyai pilihan untuk ke Thailand menggunakan bas atau kereta api terutamanya jika mahu menuju ke Hatyai.
Bagi yang mempunyai lebih banyak masa dan mahu merasai pengalaman perjalanan berbeza, anda juga boleh meneruskan perjalanan dari selatan Thailand menuju ke Bangkok menggunakan pengangkutan darat.
Thailand turut terkenal dengan pilihan makanan jalanan, pusat beli-belah dan tarikan pelancongan yang pelbagai. Di Bangkok, rangkaian pengangkutan awam seperti BTS dan MRT memudahkan pelancong bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa perlu terlalu bergantung kepada teksi.
Hatyai pula cukup dekat dengan pelancong Malaysia. Faktor lokasi serta kehadiran ramai pelancong dari negara ini menjadikannya antara destinasi popular untuk percutian singkat.
Cuma bagi pelancong Muslim, seperti ketika melancong ke mana-mana negara bukan majoriti Muslim, pastikan anda menyemak status halal restoran sebelum membuat pilihan.
Kredit Foto : Huynh Duc / Pexels
Vietnam juga boleh dimasukkan dalam senarai jika anda mahu menikmati percutian luar negara tanpa berbelanja terlalu besar.
Nilai Ringgit Malaysia berbanding Dong Vietnam (VND), ditambah pula dengan pilihan makanan, pengangkutan dan penginapan dalam pelbagai julat harga, menjadikan Vietnam popular dalam kalangan pelancong bajet.
Hanoi menawarkan suasana kota lama, seni bina bersejarah dan budaya tempatan yang menarik untuk diterokai. Ho Chi Minh City pula lebih sibuk dan moden dengan pelbagai tarikan membeli-belah, muzium serta kafe.
Vietnam juga terkenal dengan budaya kafenya. Jadi, kaki cafe hopping memang boleh memasukkan aktiviti ini dalam itinerari.
BACA JUGA: Air Terjun Bukit Nanas, Port Healing Tersembunyi di Tengah KL
Bagi rakyat Malaysia yang gemar membeli-belah, Vietnam turut terkenal dengan tekstil, pakaian dan kain. Tidak hairanlah ada pelancong yang datang dengan beg ringan tetapi pulang dengan bagasi tambahan!
Bagaimanapun, pelancong Muslim perlu membuat sedikit perancangan awal untuk mencari restoran dan makanan halal, terutama apabila keluar dari kawasan pelancongan utama.
Kredit Foto : Jenni Agustina / Pexels
Kalau mahukan destinasi yang kurang mencabar dari segi komunikasi, Yogyakarta boleh menjadi pilihan menarik.
Bahasa Indonesia mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Melayu, jadi urusan bertanya arah, membeli makanan atau berkomunikasi dengan penduduk tempatan biasanya lebih mudah untuk rakyat Malaysia.
Yogyakarta turut mempunyai pelbagai pilihan penginapan daripada hostel, guesthouse hinggalah hotel yang boleh disesuaikan mengikut bajet.
Soal makanan halal juga secara umumnya lebih mudah kerana Indonesia mempunyai penduduk Muslim yang sangat besar. Malah, anda boleh mencuba sendiri pelbagai hidangan tempatan seperti gudeg, bakso, sate dan nasi goreng dalam versi yang lebih autentik.
Antara tarikan terkenal berhampiran Yogyakarta sudah tentulah Borobudur, sebuah kompleks candi Buddha yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Selain Borobudur, anda juga boleh menerokai kawasan Malioboro, Keraton Yogyakarta serta pelbagai tarikan budaya dan alam semula jadi di sekitarnya.
Kredit Foto : Serg Alesenko / Pexels
Kemboja mungkin tidak menjadi pilihan pertama sesetengah rakyat Malaysia apabila merancang percutian ke luar negara, tetapi negara ini sebenarnya mempunyai banyak tarikan menarik.
Bagi peminat sejarah dan seni bina, Siem Reap merupakan antara destinasi yang patut dikunjungi kerana di sinilah terletaknya kompleks Angkor yang terkenal, termasuk Angkor Wat.
Phnom Penh pula memberikan pengalaman berbeza dengan suasana ibu kota serta lokasi bersejarah yang boleh membantu pelancong memahami perjalanan dan sejarah Kemboja.
Kos penginapan dan makanan juga mempunyai banyak pilihan mengikut bajet. Namun, bagi pelancong Muslim, lakukan sedikit kajian terlebih dahulu mengenai restoran halal dan kemudahan yang diperlukan sepanjang perjalanan.
Kemboja sesuai untuk mereka yang mahu menikmati pengalaman budaya dan sejarah yang berbeza daripada destinasi serantau yang lebih biasa dikunjungi.
Kredit Foto : Stephen Leornadi / Pexels
Laos pula sesuai untuk anda yang mahukan perjalanan lebih santai dan tidak terlalu mengejar kesibukan kota besar.
Luang Prabang terkenal dengan warisan budaya, seni bina tradisional serta kuil-kuil Buddha. Bandar bersejarah ini turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Vang Vieng pula menjadi pilihan pencinta alam kerana dikelilingi landskap batu kapur, sungai dan kawasan pergunungan yang cukup menarik.
Satu lagi kemudahan yang menjadikan perjalanan dalam Laos lebih mudah ialah Laos-China Railway (LCR). Rangkaian kereta api ini menghubungkan beberapa destinasi utama termasuk Vientiane, Vang Vieng dan Luang Prabang, sekali gus memendekkan masa perjalanan antara lokasi.
Walaupun Laos boleh menjadi destinasi menarik untuk pelancong bajet, kemudahan makanan halal mungkin lebih terhad berbanding Malaysia atau Indonesia. Jadi, perancangan awal sangat membantu.
Bagi mereka yang pertama kali melancong ke luar negara, jangan hanya melihat harga tiket penerbangan sebelum membuat keputusan.
Semak keseluruhan kos perjalanan termasuk bagasi, penginapan, pengangkutan tempatan, makanan, tiket masuk tarikan dan keperluan internet.
Jika mahu berjimat, cuba beli tiket ketika promosi dan elakkan musim cuti sekolah, perayaan atau musim puncak sekiranya jadual anda fleksibel. Harga tiket penerbangan boleh berubah dengan ketara mengikut tarikh, permintaan dan waktu tempahan.
Sebelum berlepas, semak juga kaedah pembayaran yang biasa digunakan di destinasi berkenaan. Sediakan wang tunai secukupnya, kad pembayaran yang sesuai serta aplikasi navigasi dan pengangkutan yang diperlukan.
Paling penting, jangan gunakan keseluruhan bajet untuk bercuti. Simpan sedikit wang sebagai dana kecemasan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka seperti penerbangan tertunda, kehilangan barang, masalah pengangkutan atau perubahan rancangan.
Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bajet terlalu besar untuk melihat dunia. Mulakan dengan destinasi yang dekat, mudah dan sesuai dengan kemampuan sendiri.
Percutian pertama ke luar negara mungkin sederhana, tetapi pengalaman itulah yang boleh menjadi permulaan kepada lebih banyak perjalanan selepas ini.