Ramai yang lebih mengenali Pulau Aoshima selepas pulau itu dilandai taufan yang teruk dan paling malang, pulau itu dihuni oleh ratusan ekor kucing. Rata-rata simpati dengan nasib si bulus yang tidak pandai membuat persediaan untuk menyelamatkan diri. Namun sebenarnya, semua kucing dipulau tersebut telah berjaya di bawa pindah ke tempat lebih selamat dengan lebih awal.
Sebuah pulau terpencil di selatan Jepun, Pulau Aoshima menjadi antara lokasi pelancongan popular selepas dihuni beratus kucing liar. Kucing liar tersebut hidup bebas di pulau Aoshima dengan mendiami rumah terbiar dan merayau di kampung nelayan.
Sehingga kini populasi si bulus berkenaan mengatasi jumlah penduduk di situ dengan nisbah kemungkinan 1 manusia bersamaan 6 ke 10 ekor kucing. Disebabkan tiada haiwan pemangsa, kucing bebas berkeliaran di pulau berkenaan tanpa rasa takut.
Ads
Sejarah awal pulau kucing tersebut pada awalnya haiwan itu dibawa ke pulau Aoshima untuk mengatasi masalah tikus yang merosakkan bot nelayan dan peralatan menangkap ikan. Sejak itu jumlah kucing terus membiak berlipat kali ganda sehingga tidak terkawal.
Ads
Pulau ini kini hanya didiami berpuluh penduduk warga emas. Majoriti penduduk, termasuk golongan muda, berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari pekerjaan dan hanya balik ke kampung halaman ketika musim cuti atau perayaan.
Ads
Pada 1945, seramai 900 penduduk yang majoritinya nelayan menetap di pulau itu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menaiki feri dari pantai wilayah Ehime. Kini satu-satunya tanda menunjukkan aktiviti manusia di pulau itu ialah bot dipenuhi pelancong harian dari tanah besar untuk melihat populasi kucing liar di situ.
Di sini tiada sebarang kafe atau kemudahan pelancongan disediakan. Penduduk pulau kucing cuma berharap pelancong yang datang ke sini tidak menganggu kehidupan mereka yang aman dan damai dengan sebarang masalah. Pelancong juga disarankan untuk membawa bekalan makanan untuk diberi kepada kucing sendiri dari tanah besar, ini kerana tiada satu kedai pun menjual makanan khas untuk kucing. Kucing-kucing di sini hanya diberi makan sumber dari nasi atau ikan sahaja.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Untuk perancangan cuti hujung tahun nanti, mungkin kebanyakan daripada kita sudah pun merancang tarikh percutian untuk sepanjang tahun ini lebih awal selalunya 6 bulan sebelum. Ada yang sudah menempah tiket percutian atau sekadar mencari-cari lokasi terbaru untuk diterokai bersama keluarga, sahabat handai mahupun insan tersayang.
Jika masih tertanya-tanya apakah lokasi terbaik untuk dikunjungi ke luar negara pada hujung tahun ini, Libur cadangkan destinasi percutian sepanjang hayat terbaik buat anda untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup sebelum menutup mata.
Bagi yang suka kepada alam sekitar, apa kata anda cuba kelainan percutian pada kali ini dengan berkunjung ke Tasik Myvatn, Iceland. Aurora merupakan fenomena alam yang terjadi di ruang atmosfera bumi di bahagian Kutub Utara. Ia terhasil daripada interaksi di antara medan magnetik bumi dengan partikel-partikel daripada pancaran matahari.
Cahaya yang biasa terhasil adalah bewarna hijau, merah, biru dan ungu. Jadikan kenangan melihat fenomena aurora sebagai yang terindah dalam hidup anda.
Berkunjunglah ke Maldives yang terletak di Lautan Hindi, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda dan ianya pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Maldives bukan hanya sebuah pulau tetapi terdiri daripada gugusan 1,192 kepulauan yang terbentuk hasil pergerakan muka bumi dan letusan gunung berapi sejak berjuta tahun lalu. Pulau-pulaunya mendatar, sama ada ditumbuhi pepohon pantai atau pulau pasir sahaja.
Terletak 700 kilometer di barat daya Sri Lanka dan 400 kilometer India, Maldives adalah republik berteras agama Islam sebagai agama rasmi. Ini bermakna mencari makanan halal tidak sukar. Dari lapangan terbang, semua penumpang dihubungkan dengan pengangkutan seperti feri, bot, kapal terbang kecil yang mendarat di atas air untuk membawa tetamu ke pulau dan resort pilihan. Di sebelah pulau ini ada pulau lain iaitu perkampungan nelayan, biarpun dekat, mereka tidak dibenarkan masuk ke pulau ini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah snorkling tengah lautan, berenang di pantai, berkelah ke sebuah pulau lain atau memancing ikan.
Turki merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua. Sebahagian besar negara yang didiami 80 juta penduduk iaitu 97 peratus keluasannya terletak di benua Asia, selebihnya terletak di benua Eropah. Aktiviti mesti cuba ketika di Turki adalah menaiki belon panas. Seawal jam 6 pagi, anda dicadangkan ke tempat dikhaskan untuk aktiviti menerbangkan belon panas yang sangat popular di Cappadocia. Belon panas ini akan berlepas tepat jam 7 pagi. Mengikut pengusahanya, masa antara pukul 7 hingga 8 pagi paling sesuai untuk menerbangkan belon panas kerana angin tenang. Jika tiupan angin melebihi 17 kilometer sejam, belon panas tidak dibenarkan terbang oleh pihak berkuasa.
Belon panas yang digunakan datang dalam pelbagai saiz dan boleh menampung 8 hingga 28 penumpang dalam gondola atau bakul mengikut saiz tertentu. Pengalaman menaiki belon panas dan berdiri dalam gondola setinggi paras dada pasti amat mengujakan. Belon panas ini akan berlegar di langit Cappadocia sehingga paras maksimum 610 meter, kemudian turun di beberapa tempat hingga paras terendah 10 meter dari bumi bagi melihat bentuk muka bumi Cappadocia. Satu saranan untuk anda, cari pengendali belon panas yang berlesan untuk mengelakkan berlakunya beberapa perkara yang tidak diingini.
Jika gemar aktiviti sukan berbasikal, apa kata cuba lakukan kayuhan berbasikal, sekurang-kurangnya untuk sekali seumur hidup ke luar negara seperti di New Zealand pada tahun ini. Laluan sepanjang 2500 kilometer Nga Haerenga Cycle Trail di New Zealand baru siap untuk digunakan pada akhir Januari lalu yang mempamerkan landskap, budaya dan warisan terbaik negara tersebut.
Rangkaian laluan itu terdiri daripada 23 laluan mencabar untuk mereka yang lasak serta gemar aktiviti berbasikal. Dalam pada itu, kerajaan New Zealand turut menyalurkan dana untuk menyiapkan binaan tersebut yang turut dilengkapi dengan kereta kabel bagi memudahkan pengunjung bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi berlainan.
Keindahan kota tinggalan sejarah dan binaan agung menjadikan Mesir antara destinasi yang mesti dikunjungi pelancong. Kehebatan kota ini berjaya menarik berjuta pelancong setiap tahun. Selain itu, Mesir kerap menjadi pilihan pelancong ke sini kerana negara ini sangat kaya dengan tinggalan tamadun silam berharga dan artifak unik. Lebih menarik, negara berkenaan menyajikan lebih daripada apa yang dijangka.
Anda berpeluang menyelongkar khazanah misteri Mesir purba dengan mengunjungi piramid di Giza, Colossi of Memnon, Kuil Karnak, Kuil Kom Ombo, KUil Edfu dan Lembah Raja-Raja. Selain itu, jangan lupa untuk melawat beberapa tarikan menarik lain di sini termasuk ke Kubu Pertahanan Saladin, Istana Gawhara, Masjid Mohamed Ali Pasha, Saidina Hussein dan Imam Shafie.
Pada yang sukakan aktiviti pantai, boleh singgah ke pantai Playas de Nosara, Semenanjung Nicoya yang terletak di Costa Rica. Pantai ini sangat terkenal lebih-lebih lagi selepas pantai itu menerima anugerah Blue Flag. Ia merupakan sebuah anugerah khas pensijilan antarabangsa yang telah diberikan kepada pantai itu kerana menawarkan perkhidmatan pelancongan kualiti tinggi dan pengalaman mesra alam.
Pantai Playas de Nosara ini amat bersih dan kini merupakan salah satu daripada pantai terbaik di Amerika Latin.
Semestinya kunjungan ke India tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke ikon pelancongan India iaitu Taj Mahal. Tiada ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan kecuali mereka yang pernah merasai sendiri pengalaman berdiri di depan binaan paling ajaib di dunia itu. Selain mahligai hadiah Shah Jehan kepada isterinya iaitu Mumtaz, pelancong ke India juga boleh melawat kehebatan Kota Pertahanan yang terletak di Agra di samping memerhatikan keunikan budaya masyarakatnya
Memamng tidak lengkap percutian ke China jika tidak menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Binaan yang telah diisytihar sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban dunia merupakan tarikan utama pelancong ke negara itu sejak dulu lagi. Tembok ini mengunjur dari Shanhaiguan di bahagian timur hingga ke Lop Nur di barat. Kajian arkeologi telah mencatatkan bahawa panjang Tembok Besar China bersama cabang-cabangnya adalah 8,851.8 kilometer.
Keunikannya adalah bahagian dalam temboknya berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Jika anda seorang kaki berjalan, Tembok Besar China merupakan destinasi yang perlu anda jejak dalam hayat ini. Sebagai tanda sudah sampai di sini, pengunjung yang melawat ke Tembok Besar China boleh mendapatkan sijil pendakian beserta gambar peribadi berlatarkan Tembok Besar itu dengan bayaran beberapa yuan sahaja. Pengunjung boleh mendapatkan sijil serta gambar kenangan sebaik sahaja pendakian selesai.
Apa kata rancang percutian sepanjang hayat ke Australia, pulau negara benua terbesar yang terletak di hemisfera selatan. Australia menjanjikan tempat dan tarikan pelancongan menarik dengan pelbagai keistimewaan yang mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain. Selain terkenal sebagai destinasi yang menjanjikan percutian dekat dengan hidupan liar, melancong ke Australia juga bererti merasai keindahan alam sekitar. Bagi yang sukakan aktiviti menyelam skuba atau snorkel boleh melihat keindahan batu karang dan ikan pelbagai warna di The Great Barrier Reef.
The Great Barrier Reef adalah salah satu destinasi yang wajib dikunjungi ketika melancong di Australia. Sepanjang 2300 kilometer dari Cairns ke Bundaberg, The Great Barrier Reff mengandungi 900 pulau menakjubkan dan terumbu karang. Di sini juga anda boleh melihat pemandangan indah pantai di Pulau Lady Elliot dengan terumbu karang yang berwarna warni. Pulau itu dianggap sebagai salah satu destinasi menyelam terbaik di dunia.
Sebut sahaja Itali, terbayang kehebatan bangunan bersejarah peninggalan tamadun Empayar Roman di mana ibu kota Itali, Rom telah berkurun dijadikan pusat peradaban politik dan agama. Begitu juga tempat menarik lain seperti Pisa dengan menara condong, Florence dengan Santa Maria del Fiore, Venice dengan terusannya dan Milan, kota fesyen terkenal dunia. Jangan lupa ambil peluang bersiar di lokasi menarik seperti Venice yang terletak di utara pantai timur Itali.
Anda akan tiba di Venice dengan melalui jambatan Ponte della Liberta yang menghubungkan tanah besar dengan bahagian utara Pulau Venice. Dari situ anda boleh berjalan ke Tronchetto Pier untuk menaiki teksi air (Venezia) ke Bandar Venice untuk tiba di jeti Piazza San Marco. Aktiviti yang mesti dilakukan adalah menaiki gondola menyusuri terusan bandar Venice. Alangkah indah dan romantik berada di atas gondola menyaksikan deretan bangunan lama di kiri kanan. Di antara terusan paling sibuk dan terkenal adalah Grand Canal.
Air Terjun Niagara terletak di kawasan sempadan antarabangsa di antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kawasan air terjun di bahagian AS mempunyai ketinggian 55 meter dan 318 meter lebar. Sementara air terjun di Kanada atau dikenali sebagai Air Terjun Horseshoe pula mempunyai ketinggian 53 meter dan selebar 660 meter. Walaupun bukan air terjun tertinggi atau paling lebar di dunia, ia mampu menghasilkan aliran air untuk janakuasa elektrik.
Perjalanan untuk ke kawasan air terjun itu boleh dimulakan dari mana-mana bahagian iaitu sama ada dari pangkalan di Ontario atau New York. Di Ontario, terdapat tiga buah kapal besar dengan kapasiti 600 orang penumpang disediakan kepada para pengunjung sementara dua buah kapal yang boleh memuatkan 300 orang, setia menanti pengunjung di pangkalan New York.
Sepanjang pengembaraan itu, pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan dua buah pulau besar iaitu Grand Island dan Goat Island yang terletak di AS. Lebih menarik lagi, terdapat empat buah jambatan yang merentasi kawasan air terjun tersebut seperti Jambatan Peace, Jambatan Rainbow dan Jambatan Whirpool. Jika melancong ke sini, jangan lepaskan peluang merasai pengalaman menarik ini di Air Terjun Niagara.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Nampaknya harapan untuk travel semakin terbuka kala ini kerana sudah semakin banyak negara menerima kedatangan pelancong. Sekali pun syarat agak ketat dengan wajib sudah ada dua dos vaksin, ia tidak mendatangkan masalah buat kaki travel.
Dalam satu perkongsian oleh Cikgu Loh, bekas seorang guru yang suka travel ke seluruh dunia, dirinya berkongsi view ohsem negara Kanada yang amat mudah mendapat makanan halal serta muslim friendly. Cikgu Loh merupakan member dalam Backpackers Buddies Malaysia (BBM) dan sudah banyak jelajah ke negara orang. Jadi korang bolehlah masukkan dalam list ya bila ada peluang.
Baca perkongsian Cikgu Loh di fbnya.
Macam mana nak travel ke Canada?
Canada merupakan negara kedua paling terbesar di dunia selepas Russia. Dengan keluasan negara yang begitu besar dan masih banyak belum diterokai, negara ini menyimpan khazanah alam yang cukup mengagumkan.
Malah ramai juga menyimpan hasrat ke sini dan jangan terkejut kerana kos travel di sini tidak terlalu mahal.
Kos flight ke sini juga agak berpatutan dan lebih kurang kos flight ke eropah. Antara flight yang anda boleh pilih untuk datang ke Canada dari Malaysia ialah:
ANA (All Nippon Airways) (Transit Tokyo Narita) Cathay Pacific (Transit Hong Kong) Philipines Airlines (Transit Manila) Eva Air (Transit Taiwan) Air Canada (Agak Mahal)
Anda boleh pilih sama ada nak Fly ke bandar Vancouver, Toronto, Quebec, Montreal atau Ottawa.
Kalau tanya saya, sudah tentu saya pilih Vancouver, sebab nak ke British Columbia dan Alberta lebih dekat. Lagi best lagi di 2 kawasan inilah kawasan nature paling cantik yang terdapat di Canada seperti area kamploops- Jasper-Banff & Calgary.
Membuatkan Canada lagi best, sebab cara paling best explore di sini ialah dengan mod driving sendiri sama seperti pengalaman saya di Scandinavia & New Zealand. Anda dapat explore countryside dan rural areas
Makanan Halal pun sangatlah mudah didapati di Canada. Memang muslim friendly! Jom planning travel ke Canada nanti
Klik Follow FB Cikgu Loh untuk info travel sebelum border buka nanti. Sumber : FB Cikgu Loh
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Brunei Darussalam, salah satu negara jiran kita di Kepulauan Borneo dan berkeluasan 5,765 kilometer persegi. Kalau nak dibandingkan, keluasan Brunei ni hampir-hampir dengan keluasan Negeri Sembilan. Kepada anda yang nak travel ke Brunei, boleh practice ronda-ronda Negeri Sembilan dulu ambil mood, hehe.
Okay tapi bukan itu yang nak Libur fokuskan dalam artikel ni. Libur nak fokuskan mengenai tips and trick untuk anda yang ada perancangan ke Brunei Darussalam. Sekalipun Brunei mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Malaysia, jangan pula anda sesuka hati melanggar peraturan di sana ya. Alamatnya tak balik Malaysia la nanti.
Jadi, tanpa melengahkan waktu, jom kita ambil tahu apa yang perlu kita buat sekiranya ingin travel ke Brunei Darussalam.
Jangan pandang rendah dengan Brunei walaupun dia hanya berkeluasan 5,765 kilometer persegi
Ramai orang yang datang melancong ke Brunei hanya ambil masa sehari atau dua hari. Rugi sebenarnya sebab ada banyak tempat yang anda boleh lawati di sana. Sehari dua di Brunei, Taman Negara Ulu Temburong pun anda tak sempat pergi. Libur cadangkan ambil masa antara tiga ke empat hari untuk melancong di Brunei. Brunei adalah satu negara yang sangat menarik dan jangan rushing untuk balik rumah.
Rakyat Brunei adalah masyarakat yang sangat ramah sewaktu anda travel di sana
Rakyat Brunei adalah antara masyarakat yang peramah di dunia dan mereka juga sukakan pelancong datang ke negara mereka. Boleh dikatakan di setiap jalan, akan ada yang menyapa anda sekalipun mengucapkan perkataan ‘hi’ sahaja. Rakyat Brunei juga suka travel, jadi siap sedia sekiranya mereka berkongsi kisah travel mereka kepada anda.
Walaupun undang-undang syariah di Brunei tidak terpakai untuk semua, tapi anda perlu berhati-hati
Brunei adalah negara yang menggunakan undang-undang syariah dan undang-undang syariah tidak terpakai kepada yang bukan beragama Islam. Walaupun begitu, kepada anda yang bukan beragama Islam, tidak bermakna anda boleh melakukan apa sahaja di sana. Begitu juga kepada yang beragama Islam. Jaga pemakaian dan sentiasa berpakaian sopan sekalipun anda jauh dari rumah. Cuba jaga nama baik Malaysia sewaktu anda berkunjung ke sana. Perbuatan yang bertentangan dengan syariah boleh jadi viral dan membuatkan anda terkenal di Malaysia.
Brunei adalah negara yang bosan sekiranya anda ada niat untuk berparty
Hanya orang yang membosankan sahaja yang cepat bosan. Ramai orang rasa Brunei ini bosan sebab tiada apa-apa aktiviti yang anda boleh lakukan di waktu malam. Tapi cuba anda buka jiwa dan minda anda untuk menyelami budaya masyarakat Brunei, mesti anda akan merasai keseronokkannya. Di Brunei, anda tidak boleh berpakaian yang mendedahkan aurat seperti berseluar pendek. Tidak ada kelab malam di sana dan tidak ada satu kedai pun yang menjual minuman alkohol. Walau bagaimanapun, anda yang minum minuman alkohol boleh minum tuak bersama masyarakat Iban di daerah Temburong sewaktu persa menuai. Itu sahaja. Aktiviti malam masyarakat Brunei pada waktu malam hanyalah minum kopi di kedai kopi atau restoran sehingga pukul 11 malam kerana kedai tidak lagi beroperasi selepas waktu itu.
Bagaimana cara berpakaian yang sesuai di Brunei?
Kepada yang bukan muslim, tidak perlu untuk anda try-hard berpakaian menutup litup seperti kawan-kawan muslim anda yang lain. Cukup sekadar anda berpakaian yang tidak menjolok mata. Baju biarlah di bawah paras lengan dan kain pula biarlah di bawah paras lutut. Kepada lelaki, seeloknya anda berseluar panjang ketika keluar bersiar-siar menikmati keindahan negara Brunei Darussalam.
Elakkan bercakap soal politik bila anda berada di sana
Hati-hati bila bercakap tentang Brunei lebih-lebih lagi berkaitan Sultan mereka. Perkara ini adalah perkara sensitif dan ada tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya anda menyinggung perkara berkenaan Sultan Brunei. Jadi, lebih baik anda elakkan daripada berbual soal politik di sana lebih-lebih lagi jika anda ada perkara-perkara kritikal yang ingin dibualkan. Ingat, Brunei tiada hak kebebasan bersuara.
Pengangkutan awam tidak selalu digunakan di sana
Sekiranya anda travel ke sana dan tidak memandu kenderaan, adalah elok sekiranya anda boleh merancang perjalanan anda terlebih dahulu. Ada bas dari lapangan terbang ke pusat bandar, tapi kekerapannya tidak banyak dan bas akan bertolak tepat pada waktunya. Kebanyakkan tempat-tempat menarik di Brunei boleh diakses dengan hanya berjalan kaki sahaja dan sekiranya jarak tempat yang anda tuju itu jauh, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Lebih berbaloi sekiranya anda boleh menginap di kawasan pusat bandar kerana anda boleh menjimatkan kos untuk menaiki teksi di sana. Untuk menggunakan perkhidmatan teksi, download aplikasi Dart atau Grab. Aplikasi ini akan memberikan lokasi anda, jumlah kos dan pemandu teksi akan mengambil anda di lokasi yang diberikan.
Brunei juga adalah syurga makanan
Rakyat Brunei juga adalah pencinta makanan dan anda jangan tinggalkan negara Brunei tanpa mencuba beberapa menu makanan tempatan tatkala travel di sana. Anda perlu cuba ambuyat dan street food Brunei apabila berkunjung ke night market. Makanan laut di sana fresh dan cukup rempah ratusnya. Sekiranya anda travel ke sana, cuba makanan laut mereka. Antara menu makanan lain yang dicadangkan adalah Nasi Katok.
Jangan lepaskan peluang ke Taman Negara Ulu Temburong
Walaupun hasil utama negara Brunei adalah petroleum, kerajaan mereka turut mementingkan usaha untuk penjagaan alam sekitar bagi melindungi alam semulajadi mereka yang kaya dengan flora dan fauna ini. Dan untuk pengetahuan anda, Brunei antara negara yang mempunyai hutan hujan dara yang terbaik di dunia. 60% daripada keluasan negara ini masih ditutupi hutan hujan dan masih belum diteroka oleh manusia. Walapun hanya sebahagian sahaja kawasan Ulu Temburong yang boleh dilawati orang awam, itu sahaja sudah cukup memuaskan bila melihat keindahan alam semulajadi di sana.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Sebelum bercuti, ramai lebih fokus pada pakaian, pasport dan tiket penerbangan. Namun, ada beberapa barang harian yang nampak biasa tetapi sebenarnya boleh menimbulkan masalah...