Ramai Tak Tahu Meriam Penggawa Di Bukit Malawati Pernah Tiga Kali Meletup Sendiri

Share

Bukit Malawati terletak di Kuala Selangor menjadi destinasi sempurna untuk menyaksikan pemandangan indah dari kawasan puncak bukit setinggi kira-kira 100 meter. Bukit Malawati terkenal dengan kisah sejarah panjang berusia ratusan tahun ketika era pemerintahan Kesultanan Selangor. Kawasan itu pernah menjadi pusat pentadbiran bagi kerajaan Kesultanan Selangor sebelum berpindah ke Jugra, Banting dan Bandar Diraja Klang.

Bukit Malawati pernah ditakluki Belanda daripada tangan Sultan Ibrahim pada Julai 1784. Setahun kemudian iaitu pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Datuk Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Abd Majid dari Pahang, menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Serangan bermula selepas waktu Isyak itu berjaya menawan bukit ini ketika fajar Subuh.

Dibuka dari awal pagi hingga 7 petang, Bukit Malawati memiliki pelbagai tarikan menarik antaranya Muzium Permainan Tradisional, Perigi Beracun, Laman Budaya, Muzium Sejarah Kuala Selangor, Makam Diraja, Telaga Tujuh, Meriam Penggawa, Tangga Seratus,Batu Hampar, Busut Malawati, Kota Malawati, Baitulhilal dan Rumah Api.

  • Meriam Penggawa di Makam Tiga Sultan dikatakan pernah meletup sendiri pada 1961 dan 1978. Malah, terdapat cerita mengatakan meriam yang sentiasa dibalut dengan kain kuning itu sering meletup sendiri setiap kali pertabalan Sultan Selangor yang baharu. Itu antara kisah misteri yang terdapat di Bukit Malawati. Ada juga yang mengatakan terdapat batu delima di dalam meriam ini. Mengikut ceritanya, meriam ini ditemui dalam keadaan tenggelam timbul seolah-olah orang sedang berenang di Sungai Buluh.



  • Makam Tiga Sultan pula adalah tempat bersemadinya tiga sultan Selangor terawal iaitu Sultan Salahuddin (1756-1778), Sultan Ibrahim (1788-1826) dan Sultan Muhammad (1826-1857).
  • Di bukit ini juga terdapat Busut Malawati yang dipercayai menjadi tempat istirahat sultan. Nama Malawati juga dipercayai diambil daripada busut ini. Mengikut bahasa Sanskrit, ‘mala’ bermaksud kotor manakala ‘wati’ pula bersih dengan flora dan fauna.
  • Tidak jauh dari situ, terletak Batu Hampar yang asalnya batu tambatan bahtera di Pengkalan Batu Buruk. Ia dibawa ke pintu masuk Kota Malawati sebagai tempat bermain dam dan congkak oleh Nakhoda Omar atas arahan Sultan Ibrahim.
  • Bukit Malawati juga menempatkan Perigi Beracun yang pernah dijadikan tempat penyeksaan kepada penderhaka. Difahamkan, air perigi berkenaan terkandung pelbagai jenis racun dan miang rebung. Penderhaka dikatakan direndam dalam air separas bahu dalam perigi itu sehingga mati. Bagaimanapun, perigi yang ada sekarang dibina semula pada 1985 selepas perigi asal yang dipercayai terletak di hadapan pokok besar berdekatan tempat letak kereta Muzium Permainan, dikambus pada pertengahan 1977.



Tinggalkan sebentar segala sejarah yang ada di situ. Kini ada tarikan lain yang menyebabkan Bukit Malawati dikunjungi ramai iaitu kewujudan habitat beberapa spesies monyet mendiami Bukit Malawati. Haiwan itu umpama duta dan menjadi satu tarikan utama kepada pengunjung yang mahu melihat gelagat monyet itu.


Turut tersedia ruang parkir percuma untuk pengunjung yang datang menaiki kenderaan sendiri. Tiket dikenakan jika anda memilih untuk menaiki trem keretapi untuk ke atas Bukit Malawati, iaitu RM3 dewasa dan RM2 kanak-kanak. Perkhidmatan trem ini hanya berjalan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Namun jika anda mempunyai stamina yang tinggi dan tidak kisah berjalan kaki naik ke atas, tiada sebarang caj dikenakan. Sementara pada hari bekerja biasa, pengunjung boleh berjalan kaki atau naik dengan kenderaan sendiri sehingga ke puncak bukit.


IKLAN