ALA Riverview Lodge Tawarkan Resort Eksklusif Berkonsepkan Desa

Share

Privasi diutamakan dengan pelbagai aktiviti menarik

Pertama kali menjejakkan kaki ke ALA Riverview Lodge, anda akan rasa satu aura positif kerana resort ini begitu mendamaikan. Resort yang didirikan di tebing Sungai Pengkalan Datu dengan airnya yang bersih sudah cukup membangkitkan mood percutian menyeronokkan.

Malah dari rumah ini, pengunjung boleh melihat Jambatan Pulau Melaka dan suasana kampung yang menyamankan.

Di sekililing resort ini, pokok-pokok hiasan yang terjaga rapi menjadi penyejuk mata kepada pengunjung. Ia seolah-olah terapi minda bagi anda yang inginkan privasi dalam bercuti.

Bagi sesiapa yang menginap di sini pastinya teruja kerana dapat melihat bot nelayan kecil yang menelusuri sungai tersebut pada waktu pagi atau petang untuk menangkap ikan.

Istimewanya resort ini juga, bagi kaki pancing mereka boleh melakukan aktiviti memancing dari balkoni rumah sambil beristirehat. Cara ini akan memberi momen indah yang sukar diperoleh di mana-mana resort.

Selain itu, bagi yang ingin merasai pengalaman berkayak dan menaiki bot, perkhidmatan itu turut disediakan. Pengunjung boleh berkayak di sepanjang kawasan sungai dengan pakej bayaran yang berpatutan.

Suasana kampung

Menurut Pemilik ALA Riverview Lodge, Sharifah Mastura Syed Mohamad, resort yang dibina di atas tanah persendirian ini sebenarnya diilhamkan oleh suami, Azmi Ludin yang juga seorang arkitek.

“Sebenarnya resort ini adalah rumah tetamu untuk keluarga kami. Memandangkan kawasannya yang cantik kami telah bersetuju untuk memberi peluang kepada orang ramai menginap di sini sambil menikmati suasana desa yang sebenar.

“Resort ini adalah sebuah rumah eksklusif dan kita sasarkan kepada pengunjung yang berkeluarga dan kumpulan kecil sama ada lelaki atau perempuan dengan kapasiti tidak melebihi lapan orang. Bayaran untuk satu malam adalah RM290,” katanya.

Di samping itu, kemudahan kolam renang yang besar antara yang menjadi tarikan kepada pengunjung yang mempunyai anak-anak. Bagaimanapun, pemantauan harus sentiasa diberikan sepanjang masa.

Tidak setakat kolam renang yang menjadi daya tarikan kanak-kanak, pengunjung juga berpeluang untuk mendekati haiwan di ALA Agro Farm seperti rusa, lembu, ayam, itik dan arnab dengan memberi makanan.

Sekurang-kurangnya bagi anak-anak yang tinggal di bandar besar mereka akan rasa gembira dan mendapat pengalaman baharu dengan aktiviti sebegini.

Utamakan keselesaan

Menjengah kepada hiasan dalaman resort ini, elemen moden antara yang diberi keutamaan. Panel kaca yang digunakan pada ruang tamu memberi pencahayaan semulajadi.

Penggunaan perabot rotan dan kayu menambahkan lagi konsep hiasan rumah ini dengan dindingnya masih mengekalkan batu-bata merah untuk tampak lebih unik.

Kemudahan lain yang turut disediakan di resort ini seperti peti sejuk, pendingin hawa, kipas, televisyen, set sofa, oven dan sebagainya.

Untuk yang berminat mengadakan BBQ, kemudahan tempat BBQ turut disediakan atas permintaan pengunjung.

Paling menarik, pengunjung boleh menikmati suasana matahari terbenam yang begitu cantik dari balkoni resort dan semestinya ia membuatkan sesiapa pun tidak melepaskan peluang ini.

Jadi tidak mustahil bagi pengunjung yang inginkan privasi sepanjang percutian, lokasi ini patut anda pilih.

Info:

Alamat: Lot 677 Lorong KP, Jalan Raja Perempuan Zainab 2, 15200 Kota Bharu, Kelantan.

Facebook: alariverviewlodge

IKLAN