Restoran Bawah Laut Terletak Di Norway Bakal ‘Tenggelamkan’ Pelanggan

Share

Sebuah restoran bawah laut terbesar di dunia sepanjang 30 meter telah mulakan operasinya baru-baru ini. Restoran bawah laut ini terletak di Norway dan sudah penuh ditempah hingga musim panas.

Restoran dikenali sebagai Under itu terletak di sebuah perkampungan tepi pantai di Baly, Lindesnes di hujung selatan Norway. Ia adalah restoran bawah air pertama di Eropah dan terbesar di dunia serta memiliki tingkap seluas 11 meter untuk pemandangan dasar laut yang biru.

Under terletak di dasar laut, lima meter dari permukaan dan kelihatan seperti sebuah kubu moden. Bangunan berkenaan dibina di atas sebuah baj selama setahun setengah dan direka untuk bertahan ketika cuaca ekstrem.

Selepas siap ia kemudian ditunda sejauh 183 meter kemudian diturunkan ke dalam air dan disambung pada tiang asas di dasar laut.

Cef restoran itu, Ellitsgaard Pedersen berkata, pelanggan akan disajikan dengan makanan enak dan paling segar.

Dia dan pasukannya bekerjasama dengan petani, nelayan dan pemburu bagi menyediakan ramuan yang paling segar. Dengan cara ini mereka akan mencipta hidangan paling berperisa dan inovatif yang melambangkan Restoran Under.

Menu di restoran itu sebahagian besarnya terdiri daripada hidangan makanan laut daripada sumber tempatan termasuk udang karang, ikan kod dan kupang.

Restoran itu direka oleh firma Snohetta yang mempunyai ibu pejabat di Oslo dan New York City serta mempunyai studio di San Francisco, Innsbruck, Singapura dan Stockholm.

Menurut arkitek firma itu Rune Grasdal, cabaran pertama mereka untuk merealisasikan projek ini adalah tekanan air kerana restoran ini terletak lima meter di dasar laut tetapi masalah terbesar adalah ombak.

Tetamu berpeluang untuk menikmati pemandangan panorama ikan laut, anjing laut dan lobster. Pencahayaan dalaman yang redup di restoran itu, menghalang pantulan-pantulan dari kaca di restoran itu dan para pelawat dapat melihat pemandangan dengan sempurna.

Restoran itu mempunyai tiga bahagian pada kawasan seluas 492 meter persegi termasuk bar dan kawasan makan yang luas.

Ia juga direka untuk menempatkan kira-kira 80 hingga 100 tetamu yang boleh menikmati hidangan sambil melihat pemandangan dasar laut yang menakjubkan.

Selepas waktu perniagaan sebahagian bangunan restoran itu akan digunakan untuk kajian biologi marin. Menurut syarikat itu, penyelidik datang ke restoran itu untuk membuat beberapa kajian termasuk adakah ikan liar boleh dilatih menggunakan isyarat bunyi.

Sumber: Boredpanda

IKLAN