
Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei, 2020, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Keselamatan Negara dan Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan secara panjang lebar dalam mencari jalan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19. Ia juga atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.
“Saya katakan hampir semua kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal. Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.
Perdana Menteri dalam perutusannya berkata beliau memahami bahawa setelah hampir dua bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai dalam kalangan tenaga kerja ingin kembali bekerja kerana sepanjang PKP mereka terputus mata pencarian dan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing.
Sejak dari awal kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 serta menghadapi krisis ekonomi, menggunakan strategi yang merangkumi enam pendekatan.Pendekatan pertama adalah ketegasan dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP; Kedua, membina ketahanan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi manaka ketiga, menjana semula ekonomi secara teratur dan terkawal.
Antara Aktiviti Dibenarkan & Dilarang (Berkuatkuasa 4 Mei 2020)
Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara. Senarai lengkap ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI