Taman Negeri Rompin, Pahang yang merupakan antara hutan hujan tropika tertua di dunia.

Taman Negeri Rompin yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Rompin sebelum ini pernah ditutup hampir empat tahun kembali menerima pelancong dan ‘kaki nature’ sejak 1 Oktober 2020 lalu. Penutupan destinasi alam ini adalah bagi kerja menaik taraf dan pembinaan infrastruktur yang menelan belanja sebanyak RM15 juta, seperti jambatan gantung, menara tinjau, dewan serba guna dan bilik makmal penyelidikan termasuk pembinaan log cabin chalet dan chalet atas pokok.

IKLAN

Taman Negeri Rompin yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin, kini dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun serta mempunyai hutan yang dikelaskan sebagai hutan tropika tanah pamah malar hijau. Nama baharu Taman Negeri Rompin diluluskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang bagi mengelakkan kekeliruan dengan Taman Negara Endau-Rompin di Johor.

IKLAN

Taman negeri ini bukan hanya terkenal sebagai destinasi ekopelancongan dalam kalangan rakyat tempatan, malah turut popular dalam kalangan pelancong asing kerana ciri hutannya yang menarik dari segi flora dan fauna, geologi dan sejarah. Ia juga mempunyai keindahan semula jadi yang unik dan hutan asli yang sukar ditemui di kawasan lain, selain turut mempunyai Air Terjun Seri Mahkota yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke sini.

Bagi memelihara kelestarian taman negeri itu, Jabatan Perhutanan Pahang telah melaksanakan polisi ‘Tiada Beg Plastik’ di taman tersebut. Bayaran masuk akan dikenakan:

IKLAN
  • Antara RM10 dan RM30 kepada pelancong tempatan bergantung kepada kategori
  • Warga asing dikenakan bayaran sekitar RM30 ke RM50
  • Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masuk percuma

Jom cuti-cuti di Pahang~

image via google & endaurompin.my | sumber: Bernama