Bila cari port nak bercuti tentulah yang selamat dan sesuai untuk bawa anak-anak terutamanya yang masih kecil. Lagi seronok dan best bila lokasi yang menjadi pilihan juga mempunyai persekitaran dan suasana yang cukup indah.
Lata Air Deru yang terletak di Besut, Terengganu antara pilihan destinasi nak bercuti bersama keluarga. Airnya yang jernih dan ada tempat yang cetek untuk anak-anak bermain memang sesuai untuk berkelah.
Kalau rasa nak spend masa lebih sedikit boleh juga bermalam di sini. Kalau nak rasa adventure boleh memilih untuk tidur di dalam khemah dan kalau tiada kelengkapan, anda boleh menyewa chalet yang ada di sini.
Perkongsian daripada seorang wanita yang dikenali sebagai Daten Gweng tentang air terjun ini cukup mengujakan. Melihat perkongsian gambar-gambar sahaja sudah buatkan hati tak sabar nak sampai sendiri ke sini. Cantik dan menarik untuk diteroka.
Ads
Lata Air Deru, Besut Tempat healing seisi keluarga
Ada tempat kita pergi berkali kali pun tak pernah jemu..
Dalam perjalanan balik rumah pun kita masih teringat keindahan dan tenangnya tempat itu..
Inilah tempatnya Lata Air Deru ,Besut.
Ni baru betul betul…Tenang..ribut jiwa
Ads
Ada pilihan untuk berkhemah atau sewa chalet.
Kami pilih berkhemah.Khemah sendiri rm15 sorang.
Ads
Ada 2 pengkalan untuk berkhemah atau berkelah mandi manda-Pengkalan Suri dan pengkalan dua.
untuk kanak kanak mandi -Pengkalan suri -air cetek dan kawasan landai
Tandas bersih
coverage telefon ada.
plugpoint -ada boleh sewa .
Tips:
Untuk keluarga dan ada anak kecil lebih sesuai berkelah dan berkhemah di Pengkalan Suri. Meriah dan banyak lampu.
Air cetek untuk kanak kanak
Yang penting elakkan nak healing healing pacak khemah hari jumaat kerana hari jumaat adalah HARI KELUARGA RAKYAT TEGANUNG…bermakna..penuhhhhh orang berkhelah bersama keluarga di mana saja..bukan sekadar di tepi sungai,di tepi tepi pantai pun penuh orang hampar tikar bawak bekal.
Sungai Bangan atau Sungai Balu terletak di Hulu Dungun, Terengganu terkenal dengan kejernihan air sungai yang berwarna hijau kebiruan.
Lokasinya tersorok atas ketinggian lebih kurang 800 meter dari paras laut menjadikan ia sukar diakses. Tak ramai orang ke sini menjadikan air di sini sangat jernih. Sungai Bangan biasa dikunjungi pendaki. Untuk ke sini, trip popular dikalangan pendaki dengan trip gelaran CBL (Puncak Chemerong, Gunung Berembun, dan Air Terjun Langsir) tiga spot utama ini wajib dilalui. Permit diperlukan untuk pendakian.
Gunung Berembun setinggi 1038 meter, Air Terjun Chemerong antara yang tertinggi di Malaysia setinggi 370 meter dan Air Terjun Lansir pada ketinggian 801 meter dari paras laut. Pendakian biasanya bermula di Hutan Lipur Chemerong yang terletak di Hulu Dungun iaitu kira-kira 100 km dari Kuala Terengganu dan 30 km dari Bandar Al-Mukhtafibillah Shah melalui Jalan Jabor – Jerangau. Pendakian ke puncak Gunung Berembun mengambil masa enam jam atau lebih bergantung kepada cuaca, stamina, dan jumlah pendaki. Kebiasaannya trip mengambil masa 3 hari 2 malam atau 2 hari 1 malam yang juga bergantung kepada faktor-faktor tersebut.
Selepas di puncak, pendaki turun untuk berkhemah. Ada yang berkhemah di Jeram Lesung. Di sini ada kolam besar dan agak dalam, serta dua lubang air seolah-olah lesung. Ada juga bermalam di kawasan khemah Air Terjun Sungai Langsir yang lebih luas. Untuk ke Sungai Bangan perlu menyeberangi Air Terjun Sungai Langsir dan masuk ke dalam hutan melalui trek yg sedia ada. Perjalanan mengambil masa sekitar sejam atau lebih untuk ke kolam hijau jernih ini.
Sungai ini melalui antara tebing batu lalu membentuk kolam memanjang dan tidak lebar namun cukup dalam untuk anda terjun tiruk dari tebing setinggi lebih kurang 1 meter. Air di sini memang sangat jernih. Kalau direkod foto atau video, memang jelas nampak anda dalam air. Jika anda berpeluang ke Sungai Bangan ini, nikmati keindahan alam dengan baik serta jangan buang sampah merata-rata.
Jom cuti-cuti Malaysia!
Foto: Google image
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Pasti bukan calang-calang orang apabila sebuah rumah, mampu diletakkan bersebelahan dengan istana. Empunya rumah tersebut adalah ‘Tukang Kahar’. Namanya sahaja seperti tiada kena mengena dengan golongan bangsawan malah jauh sekali kerabat Diraja.
Rumah Tukang Kahar, kediaman seorang tukang kayu yang terkenal dengan seni ukiran dan pembinaan yang unik di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu, dibuka untuk kunjungan orang ramai dan dijadikan sebagai muzium.
Rumah berusia 140 tahun itu, terletak bersebelahan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti. Tapak asal rumah Tukang Kahar ini terletak di Kampung Tengah, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke lokasi ini. Setiap pelawat yang berkunjung ke sini hanya 15 orang sahaja dibenarkan berada di atas rumah kayu berkenaan pada satu-satu masa. Waktu lawatan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Tukang Kahar atau nama sebenarnya Kahar Siak Bakhi merupakan seorang tukang kayu dan pengukir yang berasal dari Kampung Tengah. Tukang Kahar mewarisi ilmu dan kemahiran pertukangan daripada bapanya, Siak Bakhi, yang juga bekerja sebagai tukang kayu dan berasal dari Acheh. Seni ukiran yang dihasilkan oleh Tukang Kahar sangat berlainan dengan ukiran milik tukang lain. Oleh kerana hasil tangannya yang unik ini, maka beliau hanya terlibat dalam kerja pertukangan bangunan penting, seperti istana dan masjid dan tidak melibatkan diri dalam pertukangan rumah kediaman, melainkan rumah miliknya sendiri. Ini bagi memastikan kualiti seni ukiran yang dihasilkan tetap terpelihara.
Disebabkan keunikan hasil pertukangannya, Tukang Kahar diberikan kepercayaan untuk membina Istana Lama Seri Menanti, istana kayu setinggi empat tingkat dengan menggunakan pasak. Istana berkenaan mempunyai 99 batang tiang, termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki dan kerja pembinaan bermula pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908 manakala kediamannya telah dibina pada tahun 1880-an.
Foto: FB The Interesting Historical Facts of Malaysia | Sumber: Bernama
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Bagi generasi hari ini, cerita-cerita rakyat mungkin tidak popular. Namun bagi generasi 90-an ke bawah yang belum terlalu terdedah kepada dunia internet, cerita-cerita begini amat popular sekaligus masih berbekas dalam ingatan.
Dalam satu perkongsian dari fb Laksamana Studio, penulis berkongsi kisah Sang Kelembai yang bertukar menjadi batu dan bongkah-bongkah batu ini jelas ketara di beberapa buah negeri. Bagi korang yang mungkin berminat meneroka lokasi pelancongan ini, boleh memilih ke lokasi dinyatakan. Mana tahu, korang lebih berminat dengan sejarah dan cerita zaman lalu.
Berikut adalah perkongsian dari Laksamana Studio
Sang Kelembai atau Sang Gedembai begitu sinonim dalam cerita-cerita rakyat dalam masyarakat melayu yang sering diceritakan mempunyai kuasa sakti dan kebolehannya menyumpah manusia atau haiwan menjadi batu ketika dia sedang marah.
Menurut cerita lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu.
Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang. Ia amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain.
Sang Kelembai biasanya tinggal di dalam hutan belantara dan berhampiran sungai. Ia juga dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh.
Cerita Sang Kelembai sangat popular dikalangan masyarakat melayu yang tinggal di Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang dengan masing-masing mempunyai versi cerita yang berbeza.
Versi Perak Diceritakan, pada suatu hari Sang Kelembai sedang membuat belat ikan merentangi Sungai Perak tiba-tiba turun lima ekor gajah untuk mandi-manda disitu dan membuat bising hingga mengganggu ikan yang ingin ditangkap oleh Sang Kelembai. Lantaran daripada itu, ia hilang sabar lalu bertempik menyebabkan 5 ekor gajah sekali gus menjadi batu. Batu itu masih ada di Kampung Ara Panjang. Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah-gajah di situ telah membuat bising dan telah ditegur oleh Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.
Dikatakan juga, pemukaan berbatu di sekitar air terjun Lata Kinjang di Tapah dan Lata Batu Hampar di Padang Rengas terbentuk hasil sumpahan Sang Kelembai selepas berang ekoran anaknya mati dihempap pokok.
Versi Pahang Menurut cerita orang-orang tua di Kampung Batu Sawar, terdapat sebuah batu berbentuk sawar iaitu sejenis alat menangkap ikan di dalam Sungai Pahang. Para pengunjung boleh melihat sendiri batu sawar ini lebih-lebih lagi menjelang air surut. Batu ini dikatakan terkena sumpahan Sang Kelembai kerana menghalang laluannya. Batu tersebut kemudiannya digelar Batu Sawar dan akhirnya menjadi nama rasmi bagi kampung tersebut.
Kisah Sang Kelembai di Kuala Tahan biasa diperkatakan dikalangan masyarakat kampung dan orang asli suku kaum Batek dan Semelai. Di khabarkan, ia suka singgah di kawasan air terjun 4 tingkat dan sebuah taman yang kini digelar sebagai ‘Wray’s Camp’ disebabkan keindahannya. Terdapat juga kesan tapak kakinya di puncak Gunung Tahan.
Banyak kawasan kampung dikaitkan dengan kisah Sang Kelembai. Antaranya ialah Batu Papan, Gua Kota Gelanggi dan Batu Katak.
Di Gua Kota Gelanggi ia sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Di situ juga wujud batu menyerupai pengantin bersanding, ular dan singa yang dipercayai akibat sumpahan Sang Kelembai.
Versi Kedah Di Kodiang, terdapat batu seperti seekor kerbau yang dikatakan di sumpah oleh Sang Kelembai di Gua Kerbau yang mana, satu daripada gunung disitu menjadi destinasi pelancongan terkenal.
Versi Pulau Pinang Pulau Pinang juga turut mendapat tempias Sang Kelembai. Di Batu Maung, Pulau Pinang, kesan tapak kaki sepanjang 33 inci yang ditemui dan dipercayai tapak kaki Sang Kelembai. Kesan tapak kaki yang sama turut ditemui di Bayan Lepas, Pulau Jerejak dan Pulau Aman.
Memandangkan kesan tapak kaki Sang Kelembai sudah wujud beratus tahun di beberapa pulau sekitar Pulau Pinang, penduduk berbilang bangsa di sana mempunyai pelbagai cerita dan kepercayaan tentang Gedembai, mengikut budaya masing-masing.
***** Masyarakat Melayu dahulu sering mengaitkan sesuatu penyakit atau kejadian pelik dengan alasan yang tidak rasional. Contohnya, bentuk batu-batu aneh dan batu menyerupai manusia yang dikatakan telah 'ditegur' oleh Sang Kelembai akibat melanggar pantang larang orang tua-tua.
Mungkin cerita mengenai Sang Kelembai direka bagi menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak bermain jauh dari rumah hingga ke kawasan hutan.
Kini, kisah Sang Kelembai dan sumpahannya kian dilupakan saban hari, namun namanya masih menjadi cerita lagenda yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...