
Siapa kata nak cuba aktiviti lasak perlu pergi jauh ke kawasan hutan atau pusat peranginan di luar bandar?
Rupanya di Putrajaya pun ada lokasi menarik yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman meluncur sejauh 420 meter di udara sambil menikmati pemandangan kawasan hijau dari tempat tinggi!
Lebih menarik, aktiviti flying fox ini bukan seperti yang biasa kerana ia menggunakan dua kabel selari, membolehkan dua peserta meluncur secara serentak.
Jadi, kalau datang bersama kawan atau pasangan, bolehlah mencuba pengalaman mencabar ini bersama-sama!
Terletak di Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya Wetland Adventure Park menawarkan pelbagai aktiviti outdoor yang sesuai untuk mereka yang gemar mencabar diri.
Tarikan utamanya ialah flying fox berkembar sepanjang 420 meter yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada 2024 sebagai zipline berkembar selari terpanjang di Malaysia.
Flying Fox 420 Meter, Boleh Meluncur Serentak Dengan Kawan
Bayangkan berada di atas platform tinggi sebelum dilepaskan untuk meluncur merentasi kawasan wetland yang menghijau.
Sepanjang perjalanan sejauh 420 meter itu, pengunjung dapat menikmati pemandangan kawasan hutan dan landskap Taman Wetland Putrajaya dari sudut berbeza.
Keunikan flying fox ini ialah sistem dua kabel selari yang membolehkan dua orang meluncur pada masa yang sama.
Jadi, tidak perlu menunggu seorang demi seorang untuk merasai keseronokan. Anda dan rakan boleh meluncur bersebelahan seolah-olah sedang berlumba di udara! Aktiviti ini turut menawarkan dua gaya luncuran, iaitu posisi duduk dan gaya Superman.
Nak Lagi Mencabar? Cuba Flying Fox Gaya Superman!
Kalau flying fox posisi duduk belum cukup mencabar, pengunjung juga boleh memilih pengalaman Superman Flying Fox.
Berbeza dengan posisi biasa, peserta akan meluncur dalam keadaan meniarap menghadap ke hadapan, seolah-olah sedang terbang seperti watak adiwira Superman.
Pengalaman ini memberikan sensasi yang berbeza kerana pandangan peserta lebih terbuka ke arah laluan di hadapan.
Berdasarkan harga rasmi 2026–2027, flying fox biasa ditawarkan pada harga RM43 seorang, manakala gaya Superman berharga RM52 seorang.
Namun begitu, semua peserta perlu memenuhi syarat keselamatan dan mengikuti arahan petugas sebelum memulakan aktiviti.
Bukan Flying Fox Sahaja, Ada 3 Cabaran Lain!
Bagi mereka yang mahukan lebih banyak cabaran, taman ini turut menawarkan beberapa aktiviti lasak lain.
Antaranya ialah wall climbing, aktiviti memanjat tembok yang menguji kekuatan tangan, kaki serta koordinasi badan.
Pengunjung juga boleh mencuba abseiling, iaitu aktiviti menuruni struktur tinggi menggunakan tali dan kelengkapan keselamatan.
Sementara itu, aktiviti Leap of Faith pula mencabar peserta untuk melakukan lompatan terkawal dari platform tinggi menggunakan sistem keselamatan.
Menariknya, keempat-empat aktiviti ini boleh dicuba melalui satu pakej yang dikenali sebagai Full Experience.
Dengan harga RM88 seorang, pengunjung boleh menikmati flying fox, Leap of Faith, abseiling dan wall climbing.
Malah, peserta yang berjaya menyelesaikan semua empat cabaran boleh memohon sijil penyertaan sebagai kenangan.
Nak Redah Hutan? Ada ATV Juga!
Kalau anda lebih gemar aktiviti di darat, Putrajaya Wetland Adventure Park turut menawarkan pengalaman menunggang ATV melalui laluan hutan.
Terdapat dua pilihan utama, iaitu ATV Fun Ride dan ATV Adventure Ride.
ATV Fun Ride menggunakan laluan sejauh 2.1 kilometer dengan tempoh sekitar 30 minit. Ia lebih sesuai untuk mereka yang mahu mencuba pengalaman santai.
Sementara itu, ATV Adventure Ride menggunakan laluan lebih mencabar sejauh 2.63 kilometer, dengan tempoh sekitar sejam. Harga ATV Fun Ride bermula RM100 bagi seorang penunggang, manakala ATV Adventure Ride berharga RM180 setiap ATV.
Untuk aktiviti ini, tempahan dan pembayaran perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal supaya pihak pengendali boleh mengatur petugas serta kelengkapan keselamatan.
Harga Tiket Putrajaya Wetland Adventure Park 2026
HARGA FLYING FOX
RM43
Flying fox posisi duduk / seorang
RM52
Flying fox gaya Superman / seorang
| Aktiviti | Harga |
|---|---|
| Flying Fox (Duduk) | RM43 |
| Flying Fox (Superman) | RM52 |
| Wall Climbing | RM15 |
| Abseiling | RM15 |
| Leap of Faith | RM15 |
| Full Experience (4 aktiviti) | RM88 |
| ATV Fun Ride, seorang | RM100 |
| ATV Fun Ride, berdua | RM120 |
| ATV Adventure Ride | RM180 |
Untuk pengunjung yang bercadang mencuba semua empat aktiviti tali tinggi, pakej RM88 lebih menjimatkan berbanding membeli setiap aktiviti secara berasingan.
Syarat Umur, Berat Badan & Keselamatan
Walaupun kelihatan menyeronokkan, aktiviti lasak di sini mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Untuk flying fox dan aktiviti tali tinggi, peserta mestilah berumur sekurang-kurangnya 10 tahun, dengan berat badan antara 30 hingga 110 kilogram.
Sementara itu, bagi aktiviti ATV, pemandu mestilah berusia 16 tahun ke atas. Had umur penumpang pula berbeza mengikut pakej. Peserta bawah umur 18 tahun perlu ditemani ibu bapa atau penjaga.
Pihak pengendali menyediakan kelengkapan keselamatan dan tenaga pengajar bertauliah. Peserta juga dinasihatkan memakai pakaian sukan yang selesa serta kasut bertutup. Satu lagi perkara penting, aktiviti tali tinggi boleh dihentikan sementara apabila berlaku ribut petir atau keadaan cuaca yang tidak selamat.
Memandangkan November merupakan tempoh yang kerap menerima hujan, lebih baik merancang lawatan pada waktu pagi dan menyemak keadaan cuaca sebelum bertolak.
Waktu Operasi, Lokasi & Cara Tempahan
Waktu flying fox dan aktiviti tali tinggi
Sabtu, Ahad dan cuti umum.
9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Tiket terakhir: 5.30 petang.
Tempahan: Flying fox dan aktiviti tali tinggi menerima pengunjung walk-in pada hujung minggu, tertakluk pada kapasiti serta cuaca.
ATV memerlukan tempahan dan bayaran sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal.
Kemudahan: Tandas, surau, kelengkapan keselamatan dan instruktor bertauliah.
Hubungi pengendali: 018-701 8557
Laman rasmi: Wetland Putrajaya – Adventure Park
Port Outdoor Adventure Yang Menarik Di Putrajaya!
Kalau hujung minggu nanti masih belum ada perancangan, apa kata kumpulkan rakan-rakan dan cuba pengalaman flying fox berkembar di Putrajaya?
Bukan sahaja boleh merasai keseronokan meluncur sejauh 420 meter di udara, malah ada pelbagai cabaran lain yang boleh dicuba dalam satu lokasi.
Daripada memanjat tembok, menuruni struktur tinggi hingga menunggang ATV melalui laluan hutan, semuanya memberikan pengalaman yang berbeza daripada aktiviti hujung minggu biasa.
Paling menarik, Putrajaya Wetland Adventure Park tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Lembah Klang.
Jadi, siapa paling berani dalam geng anda untuk cuba flying fox sepanjang 420 meter ini?

sekarang!
