
Bila sebut pasal cuti, perkara pertama kita fikirkan ialah soal penginapan. Ada berbagai jenis kemudahan penginapan disediakan termasuk hotel, glamping, resort serta banyak lagi. Dan ia biasanya bergantung kepada budget kita selepas mengambil kira kemudahan ada di sekitar tempat penginapan kita itu.
Kalau sesekali nak “tukar angin” dari lepak di hotel kepada merasai kehidupan para nelayan, bolehlah cuba menginap di The Happy 8 Retreat Cafe Kuala Sepetang yang terletak dalam daerah Taiping.
Apa yang best di sini, hotel ini dibina di perkampungan nelayan dan ada bilik-biliknya yang terus mengadap laut. Lebih menarik kita boleh mendengar deruan bot para nelayan yang keluar masuk di situ. Dan pastinya paling best, bolehlah layan hasil tangkapan segar para nelayan dengan harga murah kalau pandai tawar menawar. Paling best, view senjanya memang ohsem sangat. Rasa tenang saja di sini.





Harga penginapan tidaklah terlalu mahal, sekitar RM150 ke atas sahaja dan kalau booking di laman web Agoda dan sebagainya, boleh dapat lebih murah.
Dikongsi oleh Syukri De La Meza yang menginap di sini, kalau korang ada plan nak ke Taiping, bolehlah usha-usha hotel nie.
Luar je nampak selekeh, tapi dalam, stail weh! Paling menarik bot lama yang dijadikan katil dengan view menghala ke laut. Best untuk bercuti sebab di kawasan kampung nelayan. Pasti tenang dan damai.











Tempat lepak dia pun best, korang boleh sembang-sembang sambil melihat nelayan bawa kayu bakau nak dibuat arang, ada nelayan bawa pelancong tengok helang dan dolphin pink, lagi best sebelah hotel tempat korang stay, nelayan park bot dan sampan.
Tempat ni disyorkan kepada mereka yang nak privacy dan suka melihat aktiviti perikanan. Malam-malam boleh letak pancing luar balkoni bilik, best tak?
Sumber :-Syukri De La Meza
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Port Healing Menarik Di Lembah Klang Dan Penang, Ada Tempat Baru!

Cuti sekolah hampir tiba, ini antara port healing menarik kalau anda nak bawa anak-anak berseronok main air atau buat aktiviti lain berbeza.
Tak perlu jauh pun, sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang pun banyak tempat best. Jom tengok di mana lokasinya dan anda boleh masuk dalam list siap-siap.
TRX City Park atau Taman Bandar TRX

Di Kuala Lumpur, selain menara berkembar KLCC, terdapat taman riadah baharu yang berada di tingkat tiga pusat beli-belah The Exchange TRX.
Ini antara taman awam atas bumbung terbesar di dunia. Lebih 150,000 pokok ditanam, air terjun buatan termasuk boleh melakukan aktiviti seperti berjoging dan berkelah.

Lebih menarik, dilengkapi air pancut yang cantik dan berlampu pada waktu malam.
Ada laman acara yang bakal dijadikan sebagai tempat ‘outdoor cinema’. Waktu operasi bermula 7 pagi hingga 11 malam serta masuk adalah percuma.
Bertam Resort and Water Park

Resort dan taman tema bertaraf lima bintang berkonsepkan ‘Moroccan’ ini strategik dan memberi keterujaan kepada anak-anak.
Resort ini menawarkan lebih 256 bilik 29 suite dan 19 vila dengan harga bermula RM320 ke atas.
Terdapat lebih 14 permainan disediakan di taman tema tersebut termasuk pasukan penyelamat dan pekerja terlatih.
Dibuka dari jam 10 pagi hingga 5 petang, kadar promosi pembelian tiket dalam talian sebanyak 30 peratus untuk Isnin hingga Khamis manakala 20 peratus (Sabtu, Ahad dan cuti umum).
Skyline Luge Activity Park, Gamuda Garden, Rawang

Dikelilingi suasana menghijau, port healing di Rawang, Selangor ini sesuai untuk aktiviti seisi keluarga. Pengunjung boleh menaiki kenderaan yang dibina khas dan mempunyai empat trek dengan terowong terpanjang di dunia, wow!

Setiap trek mempunyai keunikan tersendiri yang mana ia direka bentuk dengan selekoh dan turun bukit bagi memberi pengalaman mencabar kepada penunggang.
Pusat rekreasi tersebut turut mempunyai tarikan lain seperti Skyline Zipline yang dilengkapkan dengan Skyline Skyride, menawarkan perjalanan santai menikmati pemandangan menakjubkan sekitar kota Gamuda Garden dari udara.

Skyline Luge Activity Park akan dibuka kepada orang ramai pada 9 Disember ini. Waktu operasi setiap hari kecuali Rabu pada jam 10 pagi hingga 6 petang (Isnin, Selasa dan Khamis) manakala 10 pagi hingga 10 malam (Jumaat, Sabtu dan Ahad).
Harga berbeza mengikut pakej ditawarkan:
Five luge rides + skyride combo
Early bird: RM68
Online: RM76
Walk-up: RM80
Four luge rides + skyride combo
Early bird: RM59.50
Online: RM66.50
Walk-up: RM70
Three luge rides + skyride combo
Early bird: RM54
Online: RM57
Walk-up: RM60
Two luge rides + skyride combo
Early bird: RM45
Online: RM47.50
Walk-up: RM50
Child Doubling: RM25
Skyride Return: RM20
Pesta Pulau Pinang

Pesta Pulau Pinang acara tahunan yang meriah dan menjadi tumpuan pelancong. Berlangsung di Sungai Nibong, orang ramai berpeluang menikmati pelbagai permainan di fun fair, konsert dan aktiviti pempamer.

Kepada anda yang foodie, boleh juga jalan-jalan cari makan di karnival makanan.

Pesta Pulau Pinang akan berlangsung pada 28 November hingga 31 Disember ini, jangan lepaskan peluang untuk bawa famili ke sana.
Waktu operasi:
Isnin hingga Jumaat: 6 petang – 11 malam
Waktu operasi:
Isnin hingga Jumaat: 6 petang – 11 malam
Sabtu, Ahad dan cuti umum: 5.30 petang – 12 tengah malam
Harga tiket dewasa 12 tahun ke atas: RM 5
Kanak-kanak bawah 12 : Percuma
Haaa.. banyak tempat menarik sekitar Lembah Klang dan Penang, bukan? Jadi, inilah masanya nak beli jiwa anak-anak!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Ini Haa.. 7 Buah Pulau Di Terengganu Yang Menawarkan Penginapan Berhadapan Laut

Pulau di Terengganu kembali meriah setelah tamat musim tengkujuh.
Waktu yang ideal untuk kembali masuk ke pulau-pulau sekitar Terengganu adalah dari bulan Mac hingga Oktober setiap tahun. Pulau-pulau disekitar Terengganu boleh dilabelkan antara yang paling indah dan menarik di negara ini. Apa lagi, anda boleh mula merancang awal untuk ke pulau-pulau sekitar Terengganu ini dengan segera.
Ini antara 7 buah pulau yang anda di Terengganu yang menyediakan lokasi penginapan sesuai untuk semua peringkat umur. Bayangkan buka pintu bilik terus nampak view laut yang terbentang luas. Memang best teruk la!
Pulau Redang

Pulau Redang terkenal dengan pantai yang berpasir putih dengan pemandangan air laut yang membiru. Pulau Redang merupakan antara pulau pilihan terbaik untuk pelancong yang inginkan pengalaman percutian di pulau tropika. Kawasan perairan Pulau Redang telah digazetkan sebagai Taman Laut bagi memastikan kelestarian alam semulajadi dikekalkan. Terdapat sebuah resort bertaraf 5 bintang di Pantai Teluk Dalam. Mempunyai 16 resort yang menawarkan 1,177 bilik
Masa yang diambil untuk sampai ke Redang adalah dalam sekitar 1 jam sekiranya bertolak dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang. Di Pulau Redang terdapat dua lokasi kapal karam iaitu kapal H.M.S Prince of Wales dan kapal H.M. Repulse yang tenggelam sewaktu Perang Dunia Ke-2. Kini ia menjadi antara lokasi menyelam yang terbaik di dunia.
Pulau Kapas

Pulau kecil ini merupakan sebuah pulau yang cantik, sunyi dengan pantai yang bersih, air laut jernih membiru, pepohon kelapa yang melambai dan gua dengan sarang burung layang-layang. Perairannya menjadi habitat kepada ikan, penyu, terumbu karang dan lain-lain.
Seperti pulau-pulau lain, pulau ini merupakan destinasi yang harus dilawati terutamanya kepada peminat sukan menyelam dan skuba untuk menikmati keindahan terumbu karang dasar laut, ikan, kerang-kerangan dan penyu. Pelbagai jenis penginapan tersedia, daripada calet bajet hingga mewah dengan penghawa dingin atau kipas.

Lokasinya tidak jauh dari jeti Marang, dengan jarak yang hanya 6 km dan mengambil masa selama 10 minit sahaja dengan menaiki bot laju. Terdapat 9 resort yang menawarkan 256 buah bilik. Teringin untuk menikmati sotong yang segar? Apa kata kalau pergi mencandat sotong di Pulau Kapas? Inilah salah satu aktiviti yang terkenal di pulau kecil ini. Lokasi yang sangat sesuai untuk aktiviti mencandat sotong dari bulan Mac hingga Ogos. Namun bulan Jun hingga Julai adalah waktu terbaik untuk mencadat!
Pulau Perhentian Kecil & Pulau Perhentian Besar

Terletak 21 km dari pesisir pantai Terengganu. Pulau Perhentian terbahagi kepada dua pulau yang dipanggil Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Pulau ini pernah dipilih sebagai pulau yang ke-13 tercantik di dunia melalui kajiselidik yang telah dijalankan oleh CNN dan The Lonely Planet Travel Book memilih perhentian sebagai pulau yang ke-5 terbaik di dunia. Di sini mempunyai 45 resort di Pulau Perhentian yang menawarkan 1,376 bilik.
Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih digemari oleh ‘backpacker’. Di sini, anda akan menemui pelbagai pilihan makanan dan penginapan bajet. Pulau Perhentian Kecil, ia merupakan sebuah pulau indah yang menawarkan dua kawasan pantai dengan atmosfera yang berbeza iaitu Long Beach (Pantai Panjang) dan Coral Bay. Pantai Panjang memiliki pantai yang berbentuk bulan sabit ini menjadi pilihan ramai untuk berenang, berkelah dan bersnorkeling. Manakala, di Coral Bay pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang sungguh mengujakan pandangan mata.

Pulau Perhentian Besar pula secara keseluruhannya menawarkan ketenangan yang diimpikan. Pulau Perhentian Besar, lebih maju dan menawarkan kemudahan yang lebih baik. Namun begitu, terdapat juga calet, asrama dan tapak perkhemahan di kedua-dua pulau ini. Setelah seharian bersantai, esoknya, anda boleh merancang untuk aktiviti snorkeling ataupun menyelam skuba untuk menyaksikan keindahan karang dan ikan yang penuh warna-warni. Untuk aktiviti menyelam skuba, kebanyakan resort-resort di pulau ini menawarkan kursus menyelam di pusat-pusat menyelam yang lengkap dengan segala peralatan.
Pulau Lang Tengah

Pulau Lang Tengah terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Pengunjung boleh menggunakan Jeti Pelancongan di Merang yang terletak di utara dari Kuala Terengganu dan perjalanan ke pulau mengambil masa 40 minit dengan bot laju. Pulau Lang Tengah menjanjikan hujan tropika yang masih belum terusik dan masih mengekalkan ekosistem semulajadi. Hanya terdapat 4 resort sahaja yang menawarkan 225 bilik.
Selain itu, sekiranya anda datang ke sini dari bulan Mei ke September, anda mungkin dapat melihat di depan mata kedatangan penyu-penyu yang mendarat untuk bertelur di kawasan pantai.
Pulau Tenggol

Terletak di daerah Dungun, Pulau Tenggol merupakan lokasi pilihan penyelam skuba untuk melakukan selaman malam dan meninjau bangkai kapal. Pulau pilihan untuk penyelam skuba untuk menjadi dekat dan peribadi dengan jerung paus migrasi di habitat semula jadi mereka. Terdapat 3 resort yang menawarkan 50 bilik.
Keunikan tebing menegak di bawah air yang membentuk pelbagai hidupan laut yang tidak pernah berhenti diterokai oleh penyelam. Pulau ini jarang didengari namun pulau ini sebenarnya pernah dikatakan sebagai destinasi menyelam yang terbaik di Semenanjung Malaysia di dalam Asian Diver Magazine Annual Edition. Untuk pengetahuan anda yang bercadang ke sini, Pulau Tenggol terletak hanya 50 minit perjalanan bot dari jeti Kuala Dungun.
Pulau Gemia

Terletak tidak jauh dari Pulau Kapas dengan jarak hanya 800 meter adalah Pulau Gemia. Lokasinya dari tanah Semenanjung pula hanyalah 5 km. Sekiranya anda bertolak ke sini dari jeti Marang menggunakan bot laju, masa yang diambil hanyalah 15 minit. Jika bernasib baik, mungkin anda dapat melihat ketibaan sang penyu daripada spesies Agar yang datang untuk bertelur di kawasan pantai.
Sumber: Tourism Terengganu
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Terokai Alam Semula Jadi di Wilayah Flores

PENGALAMAN berkunjung ke Wilayah Nusa Tenggara Timur (WNTT), Indonesia baru-baru ini amat berharga sekali kerana dapat menyaksikan pelbagai keindahan dan keajaiban ciptaan Allah di dunia ini.

Lawatan ke Danau Kelimutu, Perkampungan Wae Rebo, pelayaran dari Labuan Bajo ke Taman Negara Komodo (Komodo National Park), Pulau Padar, Gili Lawa, Pink Beach, Pulau Kelor, Pulau Rinca, Pulau Kanawa dalam wilayah berkenaan bersama 16 pelancong lain dari Malaysia amat menyeronokkan walaupun ia terlalu mencabar fizikal serta mental peserta.


Pengalaman luar biasa
Penulis yang hanya mengenali 16 orang lagi rakan pelancong dari Malaysia hanya mula berjumpa dan berkenalan menerusi trip berkonsepkan “open trip” yang dikendalikan warga Indonesia yang mengiklankannya dalam laman sosial Instagram. Tujuan utama menyertai rombongan ini ialah untuk melihat dan meneroka sendiri wilayah Indonesia yang kurang dilawati pelancong luar dan tempatan.
Ia amat berbeza dengan destinasi-destinasi lain yang agak popular di Indonesia seperti Jakarta, Bandung dan Bali. Memilih Flores sebagai destinasi pelancongan sempena cuti panjang semester Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun ini kerana kebanyakan tempat menarik yang ada di wilayah berkenaan yang masih belum dilawati pelancong.

Oleh itu kebanyakan tempat yang dilawati masih berada dalam keadaan terpelihara. Kejernihan air lautnya mampu mempersonakan sesiapa sahaja yang melihatnya. Manakala keindahan pulau-pulau yang berada dalam wilayah Flores juga mampu memukau pengunjung yang datang ke sini. Antara tempat paling menarik ialah Danau Kelimutu kerana di situ terdapat kawah yang terbentuk daripada letusan gunung berapi pada suatu ketika dahulu. Terdapat tiga kawah di situ mengandungi air yang warnanya mampu berubah-ubah.

Perkampungan Adat Wae Rebo pula ialah sebuah perkampungan yang terletak di tengah-tengah pergunungan dan pengunjung perlu mendaki lebih kurang empat jam untuk sampai ke destinasi berkenaan. Kampung ini kaya dengan adat dan masih menjalani kehidupan mengikut tradisi nenek moyang mereka di samping ia bebas daripada segala bentuk pencemaran serta mampu memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung.
Pulau Rinca pula ialah salah satu pulau yang berada dalam Taman Negara Komodo. Pengunjung dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertemu dengan Biawak Komodo yang semakin pupus populasinya di dunia ini. Pulau Padar merupakan sebuah pulau yang menjanjikan pemandangan yang sangat mengujakan.

Pendakian hampir 40 minit langsung tidak terasa kepenatannya kerana keterujaan penulis terhadap keindahan landskap pulaunya sepanjang pendakian itu. Pantai Pink menjadi salah satu lokasi snorkelling terbaik di wilayah Flores dengan pasir di pesisiran pantai yang berwarna merah jambu. Pengunjung dapat melihat pemandangan di sekeliling Pulau Kelor dengan mendaki lebih kurang 30 minit ke tempat yang lebih tinggi di situ.

Perjalanan rombongan ini dibahagi kepada dua iaitu melalui darat serta belayar merentas lautan luas. Ia mengambil masa tiga jam perjalanan dari lapangan terbang Ende untuk ke Danau Kelimutu, manakala 15 jam perjalanan dari Danau Kelimutu ke Perkampungan Adat Wae Rebo. Ketika menyertai perjalanan ke pulau-pulau terbabit rombongan kami memilih untuk belayar dari pelabuhan Labuan Bajo dan tinggal di atas kapal selama tiga hari dua malam. Dua buah van digunakan untuk perjalanan darat yang mampu memuatkan semua ahli rombongan dalam keadaan yang selesa.
Perjalanan secara pelayaran pula ialah dengan menaiki dua buah kapal yang serba lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik tidur, tandas dan dapur.Oleh kerana ini kali pertama menjejakkan kaki di (WNTT) kami mengikuti segala yang dirancang pemandu pelancong kami, Marco Pearly Andalusia daripada syarikat pelancongan tempatan Indonesia, Margojoyo Travel and Tour. Dia merupakan seorang warga Indonesia yang sangat membantu apabila berjaya memberikan informasi lengkap setiap destinasi persinggahan dan menyusun segala perancangan perjalanan mengikut kehendak kami.

Setiap pelancong membelanjakan RM2,500 termasuk tiket kapal terbang dan makan minum bagi menyertai program menarik itu. Berikutan tempat-tempat yang dilawati merupakan destinasi pelancongan yang sudah sekian lama diimpikan, setiap ahli rombongan berasa sangat teruja dan gembira.
Sesetengahnya masih tidak percaya yang mereka sudahpun sampai ke tempat idaman masing-masing selama ini. Penulis dapat melihat sendiri keindahan sesebuah tempat yang sangat sukar untuk dilihat di tempat lain. Setiap objek yang dilihat sangat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Pengalaman dapat meluangkan masa selama hampir satu minggu bersama orang-orang yang baru dikenali sepanjang perjalanan juga sangat sukar dilupakan kerana mereka dianggap seperti ahli keluarga sendiri.Perjalanan yang agak lama dari satu tempat ke satu tempat merupakan cabaran yang harus kami hadapi dan keadaan jalan yang bersimpang siur menyebabkan ada dalam kalangan ahli rombongan yang mengalami sakit kepala sehingga menyebabkan muntah-muntah. Selain itu, tahap kecergasan seseorang juga diuji di sepanjang perjalanan yang memerlukan ahli rombongan mendaki untuk sampai ke setiap destinasi.

Sepanjang pelayaran kami berada di atas kapal, kami disajikan dengan aneka makanan laut yang sangat segar dan dimasak dengan begitu enak sekali. Kami juga dibawa untuk makan di restoran-restoran tempatan yang mengikut cita rasa kami sendiri. Oleh kerana trip kali ini khusus untuk melihat keindahan alam, penulis tidak berkesempatan meluangkan masa ke lokasi membeli belah. Namun begitu, cukuplah segala kenangan yang dilalui dan rakaman beberapa gambar menarik sahaja dibawa pulang ke tanahair.




Teks & Foto : AZZIM ZAHID AZMI
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!

