PENGALAMAN berkunjung ke Wilayah Nusa Tenggara Timur (WNTT), Indonesia baru-baru ini amat berharga sekali kerana dapat menyaksikan pelbagai keindahan dan keajaiban ciptaan Allah di dunia ini.
Lawatan ke Danau Kelimutu, Perkampungan Wae Rebo, pelayaran dari Labuan Bajo ke Taman Negara Komodo (Komodo National Park), Pulau Padar, Gili Lawa, Pink Beach, Pulau Kelor, Pulau Rinca, Pulau Kanawa dalam wilayah berkenaan bersama 16 pelancong lain dari Malaysia amat menyeronokkan walaupun ia terlalu mencabar fizikal serta mental peserta.
Pengalaman luar biasa
Penulis yang hanya mengenali 16 orang lagi rakan pelancong dari Malaysia hanya mula berjumpa dan berkenalan menerusi trip berkonsepkan “open trip” yang dikendalikan warga Indonesia yang mengiklankannya dalam laman sosial Instagram. Tujuan utama menyertai rombongan ini ialah untuk melihat dan meneroka sendiri wilayah Indonesia yang kurang dilawati pelancong luar dan tempatan.
Ia amat berbeza dengan destinasi-destinasi lain yang agak popular di Indonesia seperti Jakarta, Bandung dan Bali. Memilih Flores sebagai destinasi pelancongan sempena cuti panjang semester Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun ini kerana kebanyakan tempat menarik yang ada di wilayah berkenaan yang masih belum dilawati pelancong.
Oleh itu kebanyakan tempat yang dilawati masih berada dalam keadaan terpelihara. Kejernihan air lautnya mampu mempersonakan sesiapa sahaja yang melihatnya. Manakala keindahan pulau-pulau yang berada dalam wilayah Flores juga mampu memukau pengunjung yang datang ke sini. Antara tempat paling menarik ialah Danau Kelimutu kerana di situ terdapat kawah yang terbentuk daripada letusan gunung berapi pada suatu ketika dahulu. Terdapat tiga kawah di situ mengandungi air yang warnanya mampu berubah-ubah.
Ads
Perkampungan Adat Wae Rebo pula ialah sebuah perkampungan yang terletak di tengah-tengah pergunungan dan pengunjung perlu mendaki lebih kurang empat jam untuk sampai ke destinasi berkenaan. Kampung ini kaya dengan adat dan masih menjalani kehidupan mengikut tradisi nenek moyang mereka di samping ia bebas daripada segala bentuk pencemaran serta mampu memberikan pengalaman yang luar biasa kepada para pengunjung.
Pulau Rinca pula ialah salah satu pulau yang berada dalam Taman Negara Komodo. Pengunjung dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertemu dengan Biawak Komodo yang semakin pupus populasinya di dunia ini. Pulau Padar merupakan sebuah pulau yang menjanjikan pemandangan yang sangat mengujakan.
Pendakian hampir 40 minit langsung tidak terasa kepenatannya kerana keterujaan penulis terhadap keindahan landskap pulaunya sepanjang pendakian itu. Pantai Pink menjadi salah satu lokasi snorkelling terbaik di wilayah Flores dengan pasir di pesisiran pantai yang berwarna merah jambu. Pengunjung dapat melihat pemandangan di sekeliling Pulau Kelor dengan mendaki lebih kurang 30 minit ke tempat yang lebih tinggi di situ.
Ads
Perjalanan rombongan ini dibahagi kepada dua iaitu melalui darat serta belayar merentas lautan luas. Ia mengambil masa tiga jam perjalanan dari lapangan terbang Ende untuk ke Danau Kelimutu, manakala 15 jam perjalanan dari Danau Kelimutu ke Perkampungan Adat Wae Rebo. Ketika menyertai perjalanan ke pulau-pulau terbabit rombongan kami memilih untuk belayar dari pelabuhan Labuan Bajo dan tinggal di atas kapal selama tiga hari dua malam. Dua buah van digunakan untuk perjalanan darat yang mampu memuatkan semua ahli rombongan dalam keadaan yang selesa.
Perjalanan secara pelayaran pula ialah dengan menaiki dua buah kapal yang serba lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik tidur, tandas dan dapur.Oleh kerana ini kali pertama menjejakkan kaki di (WNTT) kami mengikuti segala yang dirancang pemandu pelancong kami, Marco Pearly Andalusia daripada syarikat pelancongan tempatan Indonesia, Margojoyo Travel and Tour. Dia merupakan seorang warga Indonesia yang sangat membantu apabila berjaya memberikan informasi lengkap setiap destinasi persinggahan dan menyusun segala perancangan perjalanan mengikut kehendak kami.
Setiap pelancong membelanjakan RM2,500 termasuk tiket kapal terbang dan makan minum bagi menyertai program menarik itu. Berikutan tempat-tempat yang dilawati merupakan destinasi pelancongan yang sudah sekian lama diimpikan, setiap ahli rombongan berasa sangat teruja dan gembira.
Sesetengahnya masih tidak percaya yang mereka sudahpun sampai ke tempat idaman masing-masing selama ini. Penulis dapat melihat sendiri keindahan sesebuah tempat yang sangat sukar untuk dilihat di tempat lain. Setiap objek yang dilihat sangat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Ads
Pengalaman dapat meluangkan masa selama hampir satu minggu bersama orang-orang yang baru dikenali sepanjang perjalanan juga sangat sukar dilupakan kerana mereka dianggap seperti ahli keluarga sendiri.Perjalanan yang agak lama dari satu tempat ke satu tempat merupakan cabaran yang harus kami hadapi dan keadaan jalan yang bersimpang siur menyebabkan ada dalam kalangan ahli rombongan yang mengalami sakit kepala sehingga menyebabkan muntah-muntah. Selain itu, tahap kecergasan seseorang juga diuji di sepanjang perjalanan yang memerlukan ahli rombongan mendaki untuk sampai ke setiap destinasi.
Sepanjang pelayaran kami berada di atas kapal, kami disajikan dengan aneka makanan laut yang sangat segar dan dimasak dengan begitu enak sekali. Kami juga dibawa untuk makan di restoran-restoran tempatan yang mengikut cita rasa kami sendiri. Oleh kerana trip kali ini khusus untuk melihat keindahan alam, penulis tidak berkesempatan meluangkan masa ke lokasi membeli belah. Namun begitu, cukuplah segala kenangan yang dilalui dan rakaman beberapa gambar menarik sahaja dibawa pulang ke tanahair.
Teks & Foto : AZZIM ZAHID AZMI
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Siapa yang pernah pergi ke Da Nang, Vietnam? Mesti ramai yang belum berkesempatan ke sana kan? Berbeza dengan tempat-tempat lain di Vietnam yang popular di kalangan pelancong Malaysia seperti Ho Chi Minh dan Hanoi, Da Nang ni baru nak menempa nama sebagai destinasi pelancongan.
Dek kerana masih lagi tak ramai pelancong Malaysia yang ke Da Nang ni, Libur ingin berkongsi beberapa tip pelancongan kepada anda daripada Norbainon Baharudin. Semoga tip ini bermanfaat dan anda mendapat sedikit gambaran mengenai tempat tersebut, langsung dapat merancang percutian anda ke sana!
1. Di sini kebanyakkan tempat menggunakan VND melainkan Lapangan Terbang Da Nang saja yang menggunakan USD. Adalah lebih baik anda tukar dahulu matawang di Malaysia. Sekiranya tidak cukup duit, anda boleh tukar di kedai emas berdekatan Han Market.
2. Kebanyakkan tandas awam tidak ada air. Anda dinasihatkan sentiasa bawa botol berisi air untuk membasuh dan mencuci. Sekiranya tiada, boleh gunakan tandas OKU atau tandas keluarga kerana selalunya tandas-tandas ini mempunyai air.
tiada masjid berikutan tiada komuniti muslim yang tinggal di sini.
3. Teksi Vinasun berwarna hijau adalah teksi yang paling dipercayai. Kadar bacaan meter eksi bermula dari 6k. teksi berwarna kuning dan hijau pula bermula dengan kadar meter 8k. Ini kadar untuk teksi Vios. Kadangkala ada teksi yang menawarkan kereta yang lebih besar walaupun anda berdua sahaja. Anda boleh tolak tawaran dengan baik dan katakan ingin menaiki teksi yang biasa sahaja. Hati-hati dengan teksi di kawasan Han Market kerana mereka tidak meletakkan harga mengikut meter kepada pelancong. Anda digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan Grab sahaja sekiranya rasa was-was dengan teksi awam yang ada di sana.
4. Perkhidmatan Grab Bike ada di sini dengan harga separuh lebih murah daripada harga teksi. Kalau anda travel berseorangan atau dalam kumpulan kecil, lebih mudah menggunakan Grab Bike untuk pusing-pusing di sekitar kawasan bandar Da Nang.
5. Makanan halal sangat terhad. Anda digalakkan untuk membawa bekalan makanan halal siap-siap dari Malaysia. Antara restoran halal di sana adalah Simpur Brunei, Omar Halal Indian Restaurant, Family Indian Restaurant, Nan Kebab & Mumtaz. Harga makanan halal di sini sangat mahal, jadi bersiap sedia untuk membayar harga makanan tersebut. Restoran halal yang dicadangkan kepada anda adalah Family Indian Restaurant kerana menyediakan makanan yang sedap berbanding yang lain. Sekiranya anda ingin makan makanan Vietnam yang halal, ada satu sahaja restoran iaitu Than Ly. Restoran halal di Hoi An pula adalah Zeytun dan Khazanah1992 Indian Restaurant.
6. Kalau anda nak membeli-belah barangan seperti air mineral, roti, kopi atau makanan ringan, anda boleh ke Big C Supermarket yang berdekatan dengan Parkson Da Nang. Di sana juga menjual nugget dan ayam perap halal. Barang-barang yang dijual di Bic C Supermarket lebih murah dan lebih banyak pilihan. Antara kesemua hypermarket, di Big C Supermarket menawarkan harga kopi Vietnam yang lebih murah dan banyak pilihan.
7. Pasang aplikasi Foody atau Vietnamm.com di telefon pintar anda sekiranya malas nak keluar mencari makanan pada waktu malam. Boleh bayar COD semasa penghantar makanan menghantar makanan kepada anda. Tapi, untuk menggunakan perkhidmatan ini, anda memerlukan nombor telefon Vietnam untuk mereka hubungi bagi tujuan pengesahan pesanan.
8. Kebanyakkan warga di sana tidak tahu berbahasa Inggeris. Cara yang mudah untuk anda berkomunikasi adalah menggunakan google translate atau tangkap gambar dan tunjukkan kepada pemandu teksi untuk menghantar anda ke mana-mana. Wifi di sana mudah untuk diakses dan laju. Kebanyakkan hotel dan kedai-kedai makan menyediakan perkhidmatan wifi secara percuma. Tapi jika anda kerap berjalan, beli kad sim yang mempunyai data internet.
9. Barangan cenderahati boleh di beli di Han Market. Beg rotan yang tular di Malaysia cukup murah di sana tapi, anda harus ingat supaya tidak membeli di dalam Han Market. Beli di kedai-kedai yang terletak di tepi-tepi Han Market kerana harga di situ lebih murah. Con Market berdekatan dengan Big C Supermarket lebih murah tetapi peniaga kurang mesra dengan pelancong. Peniaga di Han Market lebih mesra dan mereka pandai bertutur dalam bahasa Korea kerana pelancong Korea ramai berkunjung di sana.
10. Jangan lupa untuk singgah di Tourist Centre di Han Market. Boleh ambil gambar peta kawasan sekitar, buku kupon, dan buku panduan travel di Da Nang. Kesemua barangan tersebut boleh didapati secara percuma dan anda akan lebih mudah faham fan tahu tentang tempat-tempat menarik di sana. Jadi mudalah untuk anda merancang ke mana destinasi selepas itu.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Pulau Langkawi tidak perlu diperkenalkan lagi. Destinasi ini sememangnya lokasi pelancongan negara yang terulung bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Umum mengetahui keindahan dan kemasyhuran pulau peranginan itu membuatkan ia sering menjadi bualan dan mendapat banyak pengiktirafan.
Boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki di tanah yang terkenal sejarah kisah Mahsuri ini. Begitu juga dengan pelancong asing, rata-rata yang datang ke Malaysia pasti mempunyai kenangan tersendiri bercuti di Langkawi.
Kalau sebelum ini, Langkawi sudah pasti menjadi lokasi saban tahun yang akan penulis
kunjungi dan terasa dekat di hati. Namun, jujur penulis katakan hampir tiga tahun tidak
menjejakkan kaki di Langkawi, bukan tidak mahu tapi tidak berkesempatan. Namun jauh sekali melupakan pulau kesayangan Perdana Menteri kita sekarang ini.
Berkesempatan menjelajah Pulau Langkawi baru-baru ini selepas hampir tiga tahun tidak menjengah, penulis melihat ada banyak produk pelancongan yang baru dan lama sedang rancak berjalan menunggu kunjungan pelancong. Percutian penulis lima hari di pulau jolokan bebas cukai atau syurga membeli-belah ini memang cukup puas dan begitu berbaloi.
Nah! Ini cadangan aktiviti dan lokasi penginapan yang boleh anda lakukan ketika bercuti di
Langkawi.
Main Air Di Langkawi
NAAM Paradise 101
Tidak basah, tidak sah lah percutian anda di Pulau Lagenda ini. Pernah dengar atau tidak ada sebuah pulau umpama syurga dunia berada di Langkawi? Haa..pulau yang dikenali sebagai NAAN Paradise 101, merupakan pulau persendirian untuk anda lakukan pelbagai aktiviti air atau pantai. Pulau ini hanya boleh diakses menggunakan perkhidmatan bot khas di Jeti Telaga Harbour Marina bermula dari jam 10 pagi hingga tengah malam setiap hari.
Antara pakej dan aktiviti yang disediakan adalah mencuba permainan air di Aqua Park, Banana Boat Ride, Parasailing, snorkel atau hanya beristirahat. ‘Pulau Syurga’ ini juga bersedia menerima tetamu yang ingin mengadakan majlis sambutan hari lahir, perkahwinan atau majlis berskala besar.
Mega Water Sport
Island hopping adalah aktiviti wajib dilakukan di Langkawi. Rutin bagi aktiviti ini adalah menaiki bot laju dan berhenti dari pulau ke pulau. Namun, jika ingin kelainan dalam percutian anda, pilih untuk lakukan island hopping menggunakan pengangkutan air jet ski yang disediakan di Mega Water Sport. Paling best island hopping yang berdurasi 4 jam tidak terasa dek keseronokkan mengendalikan jet ski ini ketika membelah lautan.
Bukan itu sahaja, malah dengan menggunakan jet ski anda lebih mudah untuk di bawa ke lokasi lebih menarik yang susah diakses jika menggunakan bot. Tidak pernah membawa jet ski? Jangan risau, seorang staf terlatih akan membantu dan menemani anda sepanjang trip ini. Sebelum aktiviti bermula, anda akan diberikan sedikit taklimat, praktikal mengendalikan jet ski, keselamatan dan kelengkapan seperti kasut serta beg kalis air.
Sunset Cruise Fantastic Tour Service
Di Langkawi, antara tarikan yang sudah lama di praktikan di sini adalah pengalaman merasai dan menaiki ‘Sunset Cruise’. Anda boleh dapatkan perkhidmatan daripada Fantastic Tour Services yang dilengkapi pakej makan malam pada waktu petang hingga ke malam. Sambil dihidangkan menu enak yang disediakan di atas kapal, mata anda pasti tidak henti menyaksikan keindahan alam dan lautan terbentang luas dari bahagian deck atas kapal.
Ternyata ia satu detik yang mengujakan dan sukar didapati di tempat lain. Anda juga boleh membawa pakaian bersesuaian sekiranya mahu merasai pengalaman jakuzi asli air laut yang disediakan di bahagian belakang bot cruise. Perjalanan lebih tiga jam mengelilingi lautan dan kemuncaknya adalah ketika menyaksikan matahari terbenam yang sangat mengasyikkan.
Cabar Adrenalin Di Langkawi
Langkawi Skycab
Kereta Kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang adalah destinasi wajib cuba di Langkawi. Dari sini anda berpeluang melihat panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian yang berusia 500 juta tahun. Jika cuaca baik, hampir keseluruhan Pulau Langkawi dapat dilihat dengan jelas dari aras tinggi.
Di sini terletak sebuah jambatan gantung berketinggian 100 meter yang boleh menampung 250 orang dalam satu masa menjanjikan pengalaman unik kerana dikelilingi gunung-ganang menghijau.
Selesai menaiki kereta kabel dan sebelum berlepas balik, jangan lupa untuk berkunjung ke Muzium 3D dan singgah ke premis Sri Kandi. Di sini anda berpeluang untuk mencuba pelbagai pakaian tradisional berserta aksesori sambil mengambil gambar kenang-kenangan di setiap sudut bangunan ini.
Skytrex Adventure Langkawi
Bagi yang gemar mencabar stamina destinasi ini adalah pilihan terbaik buat anda kerana bentuk landskap pusat rekreasi itu yang berbukit menjadikan aktiviti mendaki lebih mencabar. Namun, cabaran mendaki ke platform lebih tinggi berbaloi kerana pengunjung diberi ganjaran dengan mencuba aktiviti ‘flying fox’ selepas mendaki dan ia memberi kepuasan dan keseronokkan serta lebih relaks.Pusat rekreasi ini bukan saja menawarkan aktiviti lasak, malah bagi mereka yang gemar menikmati alam semula jadi, ia pasti memberi pengalaman unik.
Nature & Animal Lovers Di Langkawi
Crocodile Adventure Land
Pengakuan ikhlas daripada penulis, taman buaya di Langkawi ini adalah paling menarik yang pernah dikunjungi. Taman buaya ini begitu teratur dan kolam- kolam yang disediakan untuk setiap reptilia ini sangat bersih. Anda boleh melihat haiwan- haiwan di sini terjaga dengan begitu baik dan bebas bergerak dengan aktif. Terdapat sebuah pertunjukan buaya ‘giant’ yang penuh mendebarkan pada setiap hari mengikut masa tertentu. Tarikan paling menarik bagi penulis di sini pengunjung berpeluang untuk memberi anak-anak buaya makan seakan aktiviti memancing. Walaupun hanya anak buaya, tetapi rentapan setiap ekor daripada haiwan ini cukup kuat ketika sesi ini berlangsung.
Pengujung juga diberi kesempatan untuk bergambar dengan buaya sebenar. Uniknya, mulut buaya di sini langsung tidak diikat sebagaimana dilakukan di taman-taman buaya lain di seluruh dunia. Bagi pengurusan taman buaya ini, mengikat mulut buaya melanggar hak asasi haiwan tersebut. Terdapat juga pelbagai produk yang dihasilkan daripada kulit buaya yang dijual di sini.
Wildlife Park Langkawi
Taman hidupan liar ini merupakan lokasi ideal untuk membawa keluarga bersiar-siar. Di sini menempatkan pelbagai jenis binatang dan spesies burung dari seluruh dunia. Antaranya adalah burung merak dan kakak tua. Pengunjung juga diberi peluang untuk memberi makan dan berinteraksi dengan haiwan yang ada di sini.
Paling unik terdapat sebuah kolam yang menempatkan puluhan ikan koi yang makan menggunakan botol susu. Bunyi semacam pelik bukan? Tapi itu yang boleh anda lihat di sini. Di luar kawasan pintu masuk terletak sebuah lokasi khas untuk pencinta kucing. Anda boleh masuk dan bermain dengan haiwan comel ini sepuas hati.
Kubang Badak Mangrove
Aktiviti melihat paya bakau banyak dilakukan di negara kita. Penulis sendiri sudah banyak kali berpeluang mengikuti aktiviti ini, tetapi percayalah anda bakal jatuh cinta apabila mengambil pakej ini di sini. Lain daripada yang lain. Bukan sekadar melihat tumbuhan paya bakau semata-mata, tetapi anda di bawa untuk mengimbas sejarah peradaban lampau dan mengenali geografi negara anda dengan lebih lagi seperti Pulau Kubang Badak, Bukit Menora, Sungai Siam, Gua Pinang, Pulau Jemuruk dan Tanjung Buta. Anda akan di bawa untuk melihat lokasi pra sejarah di Bukit Menora.
Lokasi ini merupakan penempatan awal penduduk Siam pada abad ke-18 dan dikatakan sangat masyhur dan terkenal. Anda masih berpeluang melihat tapak kebuk arang lama yang dijumpai di Kampung Siam berusia lebih 100 tahun. Dalam trip ini juga, anda akan dibawa ke Gua Pinang iaitu tinggalan gua laut kuno yang terbentuk oleh proses ombak sekitar 6000 tahun lalu. Di sini terdapat banyak longgokan cengkerang kerang dan tiram pada dinding gua.
Istimewa Di Langkawi
Galeria Perdana
Galeri Perdana juga cukup sinonim dengan Langkawi. Galeri ini menempatkan pelbagai hadiah pemberian rakyat, ketua negara asing dan pemain pelbagai industri tempatan dan luar negara kepada Tun Dr Mahathir Mohamed ketika bergelar Perdana Menteri keempat dan ketujuh. Semua pemberian itu diterima ketika beliau memegang jawatan berkenaan pada 1981 hingga hingga kini.
Galeria Perdana bukan saja menyimpan pelbagai barangan atau cenderahati Perdana Menteri kita, malah ia antara lokasi terbaik untuk melihat hasil seni dan warisan dari seluruh dunia yang dihadiahkan kepada kita, rakyat Malaysia. Disebabkan cenderahati yang diterima terlampau banyak, maka pihak galeri tidak dapat untuk mempamirkan kesemuanya sekaligus. Dalam setahun, sebanyak tiga kali barang-barang di dalam galeri ini akan bertukar dari sebesar-besar jet pejuang hingga sekecil-kecil batu jed.
Kota Mahsuri
Bagaikan tidak lengkap apabila berada di Pulau Langkawi sekiranya tidak menjejaki sejarah silamnya di Kota Mahsuri. Rasanya semua mengetahui sejarah lampau Langkawi yang dikatakan disumpah oleh Mahsuri selama tujuh keturunan. Jangan lepaskan peluang menonton teater Mahsuri, menziarahi makam dan merakamkan gambar kenangan di binaan replika rumah serta mengenali sejarah jelitawan yang mati dibunuh akibat fitnah itu di Kompleks Kota Mahsuri.
Di sini terdapat sebuah perigi digelar Telaga Mahsuri dikatakan lokasi Mahsuri untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian. Telaga ini dikatakan tidak pernah kering sejak dari dahulu walaupun ketika musim kemarau. Khasiat dari air telaga ini dikatakan mampu menyembuhkan masalah kulit dan memberi kesan awet muda.
Kompleks Kraftangan
Selama penulis mengenali Langkawi, sekali pun tidak pernah jejak ke sini. Selepas meninjau sendiri lokasi ini, bagi penulis satu kerugian besar jika pelancong yang datang ke Langkawi tidak berkesempatan ke Kompleks Kraf.
Kompleks Kraf Langkawi merupakan salah satu destinasi membeli-belah utama pelancong yang mecari produk kraf keluaran tempatan. Sememangnya tidak rugi untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai daya tarikan jualan hasil kraf setempat termasuk batik, anyaman, ukiran kayu dan logam, seramik serta aneka kraf lain.
Kompleks berkenaan juga mampu membuatkan pengunjung teruja dengan pelbagai persembahan dan aktiviti sampingan. Pada waktu tertentu, pengunjung juga boleh cuba lakukan sendiri pelbagai tutorial kraf seperti mencanting batik, menganyam tikar, membuat kuih tradisional dan banyak lagi.
Cadangan Hotel Pilihan Di Langakwi
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di Langkawi daripada hotel berstatus mewah, inap desa (homestay) dan bilik kembara yang menawarkan kemudahan dan keistimewaan menarik kepada pengunjung yang ingin menikmati percutian santai dan menyeronokkan. Jika anda suka percutian yang lebih ‘havoc’ dan meriah di tepian pantai, anda boleh memilih lokasi di Pantai Chenang. Manakala, jika inginkan penginapan ditengah pekan Langkawi atau kawasan tumpuan membeli-belah, anda boleh memilih untuk menginap di Kuah.
(Pantai Chenang)
Nadias Hotel– Lot 977, Pantai Cenang , Mukim Kedawang , 07000, Langkawi | 049551401
Adya Hotel Chenang – Jalan Pantai Chenang, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi | 04-9523890
Fave Hotel – Lot 119, Pantai Tengah, Mukim Padang Mat Sirat, 07000 Langkawi | 04-9556600
Salsa Resort Langkawi – Lot 2436, Jln. Pantai Cenang, Langkawi | 04-9556168
Resort World – Tanjung Malai, 07000, Langkawi | 049555111
Ombak Villa – Lot 78, Jalan Kuala Muda, Padang Matsirat, 07100 Langkawi | 04-9558181
Aseania Resort – Simpang Tiga, Jalan Pantai Tengah, Mukim Kedawang, 07100 Langkawi | 04- 9552020
(Pekan Kuah)
WE Hotel – Lot 2G Mahacity Business Centre Jalan Mahawangsa 1 Kuah, 07000 Langkawi | 04-961 0966
Adya Hotel Langkawi – No 1 PT 4001 Mukim Darul Aman Persiaran Mutiara 2 Mukim Kuah, 07000 Langkawi | 04-960 8000
Goldsands Hotel – Lot 557 & 559, Bandar Pusat Kuah, 07000 Langkawi | 04-9666666
Bayview Hotel – Jalan Pandak Mayah 1, Pusat Bandar Kuah, 07000 Langkawi | 04-9661818
Royal Langkawi Yacht Club – Jalan Dato Syed Omar, 07000 Kuah | 04-966 4078
Jom! cuti-cuti Malaysia..
Terima kasih pihak Persatuan Pelancongan Langakawi (LTA) & Lembaga Pembangunan Langkawi.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Seronoknya kalau dapat bergelak ketawa riang bersama rakan-rakan atau keluarga tersayang, berjalan bersama dalam hutan hujan tropika sambil menyentuh rumput dan dedaunan, membuat BBQ berdekatan khemah, dan mengira bintang di malam hari bersama.
Semua ini bukan saja memberi kesan yang positif terhadap mental dan fizikal, tetapi lebih mendalam lagi dari segi emosional setiap ahli keluarga. Jadi, kalau anda rasa membawa keluarga pergi bercuti adalah sesuatu yang membazir, ternyata anda salah!
Bercuti bersama keluarga tidak semestinya perlu memilih lokasi yang serba mewah atau jauh nun di negara asing. Di negara kita juga banyak jenis percutian keluarga yang menarik boleh dipilih. Antaranya percutiaan ala glamping di Sailor’s Rest Resort Janda Baik, Pahang.
Nama saja sailor tapi resort ini terletak di ketinggian 600 meter dari paras laut di Janda Baik dan berdekatan dengan jajaran Banjaran Titiwangsa. Dek kerana terletak berhampiran kawasan tanah tinggi, Sailor’s Rest Resort ini menawarkan satu pengalaman menarik untuk anda bermalam di kawasan bersuhu sejuk dan dikelilingi kawasan yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan menghijau.
Kena dengan namanya sendiri, resort ini juga menyediakan satu tempat menginap berkonsepkan rumah bot untuk anda bermalam. Di samping itu, rumah chalet moden dan tradisional juga ada menjadi pilihan. Lokasi ini menarik untuk percutian keluarga kerana lokasi glampingnya di kawasan taman yang dikelilingi pokok-pokok bunga dan pokok bebuah. Anda datang pada musim buah kalau nak rasa makan buah-buahan segar yang dipetik terus dari pokok.
Jom cuti-cuti dalam negara!
image via FB Sailor’s Rest Resort Janda Baik, Pahang
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...