Bila nampak orang lain pergi travel, hiking bukit atau gunung atau jalan-jalan ke sana-sini, perasaan dalam diri mesti nak ikut serta sama kan? Kalau lihat pada peralatan yang mereka bawa, kebanyakkan serba-serbi lengkap dan memudahkan perjalanan ketika berjalan, mendaki atau memanjat.
Tapi perasan tak ada sesetengah orang yang pergi travel atau hiking menggunakan seluar jeans, seluar slack, seluar elastik atau legging? Adakah jenis seluar seperti itu sesuai untuk anda melakukan aktiviti travel atau hiking yang memerlukan anda berjalan jauh atau memanjat?
Jawapannya sudah tentu tidak. Untuk memberikan keselesaan dalam perjalanan trip travel atau hiking anda, terdapat tujuh ciri seluar yang amat sesuai untuk diguna ketika melakukan aktiviti travel atau hiking. Jom kita usha apa ciri yang sesuai untuk mencari seluar yang lebih selesa dan tahan lasak itu:
Cepat Kering
Air adalah musuh utama ketika travel atau hiking. Apabila pakaian anda basah, berat akan bertambah dan membuatkan diri anda berasa cepat penat. Setiap kuantiti air pada seluar akan memberi beban lebih untuk ditanggung. Ciri QUICK-DRY ini WAJIB ada pada seluar travel atau hiking anda. Ia lebih ringan dan cepat kering untuk trip anda yang lasak.
IKLAN
Ringan
Peralatan yang ringan dan ringkas cukup sinonim dengan kaki travel atau hiking. Seluar yang ringan sangat membantu kerana “every gram`s count”! Lagi-lagi bila dah penat nanti, tahu lah nasib anda nak berjalan. Hehe. Seluar hiking Irau dan seluar hiking Oze antara jenama yang terkenal dengan ciri binaannya yang amat ringan!
Tidak Mudah Serap Air
Cuaca kadang-kadang tidak menentu, sekejap hujan, sekejap panas dan bulan ini sahaja hujan berpanjangan di beberapa tempat. Ciri ini amat membantu anda untuk mengelakkan seluar travel atau hiking anda basah kerana hujan semasa berjalan atau mendaki.
IKLAN
Pinggang Getah
Cari yang mempunyai getah di pinggang (elastik). Getah separuh pun boleh, asalkan elastik. Ia mengelakkan seluar anda mudah koyak atau terlondeh terutamanya apabila hiking sekiranya laluan dakian anda itu mempunyai liku dan cabaran yang banyak.
IKLAN
Mudah Dijaga
Lumpur atau kotoran tanah selalunya susah hilang apabila cuci. Untuk memudahkan kamu ketika travel atau mendaki, carilah seluar yang mempunyai ciri easy-care kerana ia senang dijaga dan cuci segala kotoran.
“Breatheable”
Jangan pelik atau terkejut kalau ada kaki travel atau hiking yang pakai seluar yang sama sepanjang trip 3 hari 2 malam. Jika tidur pun dia pakai seluar yang sama dan tak pernah tukar. Seluar ciri ini amat selesa kerana mudah dicuci dan tidak serap kotoran terlalu banyak. Mudah untuk di cuci dan tidak berbau.
Elastik
Ciri elastik bukan setakat membantu anda melangkah besar dengan yakin, ianya juga amat membantu dalam keadaan yang mana laluannya banyak ranting-ranting dan duri tajam. Seluar yang tidak elastik pasti akan koyak dengan mudah! Disarankan “Stretcheable Polyester” kerana kain cotton biasa amat mudah terkoyak dalam trip yang lasak.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Cuaca panas, kering, berjerebu dan kurang taburan hujan merupakan situasi biasa yang berlaku di negara kita setiap tahun. Oleh itu, ambil langkah berwaspada dan menjaga kesihatan diri.
Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 18 Mei 2020 dan akan berterusan sehingga pertengahan September ini, menyebabkan kurangnya pembentukan awan yang menghasilkan hujan dalam tempoh berkenaan.
Jabatan Meteorologi dalam kenyataan hari ini berkata, taburan hujan di kebanyakan negeri dijangka berada pada paras purata kecuali negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak yang akan menerima hujan sedikit melebihi purata pada bulan Ogos dan September.
Manakala, kawasan barat dan pedalaman Sarawak dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata pada bulan Mei dan Jun, sementara timur Sabah dijangka menerima hujan sedikit bawah purata pada bulan September dan Oktober.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan cuaca yang agak kering serta menyebabkan kebakaran hutan dan jerebu di sesetengah tempat. Jerebu tempatan atau merentas sempadan boleh berlaku sekiranya terdapat pembakaran terbuka yang tidak terkawal.
Orang ramai disaran supaya mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan dari melakukan pembakaran terbuka, minum air yang banyak dan memakai penutup hidung dan mulut yang bersesuaian sekiranya keadaan berjerebu.
Pulau-pulau yang ada di Mersing tak kurang hebat dan cantik. Pantai pasir putih dengan air laut yang membiru memang menenangkan bila dapat berkunjung ke salah satu pulau yang ada.
Pulau Sibu antara pulau yang menarik untuk dijadikan destinasi percutian anda dan keluarga. Agak terpencil dan hanya boleh diakses melalui jeti Tanjung Leman, AMERA ROS SOFFIAH AMER berkongsi kenapa anda harus memilih pulau ini sebagai lokasi percutian!
5 Sebab Pulau Sibu Harus Dipilih Sebagai Destinasi Percutian
Setiap destinasi yang ingin dikunjungi semasa musim percutian perlulah menepati citarasa setiap individu dalam menjamin keselesaan dan kepuasan sepanjang berada di kawasan tersebut.
Memilih pulau sebagai salah satu destinasi percutian merupakan satu pelaburan yang sangat berbaloi. Tidak dapat dinafikan lagi, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan keindahan pulau-pulaunya yang tersendiri serta mampu menarik minat pelancong-pelancong asing untuk berkunjung ke dalam negara.
Namun begitu, adakah berbaloi sekiranya destinasi percutian yang dipilih tersebut dipenuhi dengan bilangan pengunjung yang terlalu ramai? Menerusi artikel ini, saya akan berkongsi tentang salah satu pulau yang terpencil di Malaysia serta lima sebab pulau ini harus dipilih sebagai destinasi percutian anda.
Jika anda merancang untuk meluangkan masa percutian di negeri Johor, Pulau Sibu merupakan destinasi pelancongan yang perlu dinotakan sebagai salah satu tempat yang harus anda lawati. Pulau Sibu merupakan pulau terpencil yang terletak di negeri Johor, Darul Takzim.
Meskipun perjalanan ke pulau ini tidak semudah seperti perjalanan ke pulau-pulau yang lain sekitar Mersing, namun keistimewaan Pulau Sibu ini tiada tolok bandingnya. Tambahan lagi, pulau ini hanya boleh dimasuki melalui Jeti Tanjung Leman.
Perjalanan menaiki bot atau feri dari Jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu pula hanya mengambil masa 30 minit sahaja serta tambang sehala untuk menaiki feri dari Jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu adalah sebanyak RM 70 bagi orang dewasa dan RM 35 untuk kanak-kanak. Sambil menaiki feri mahupun bot, pelancong turut disajikan dengan pemandangan laut dan langit biru yang indah di sekitar mereka.
Kini, tibalah masanya untuk saya berkongsi berkenaan lima sebab mengapa Pulau Sibu harus dipilih sebagai destinasi pelancongan anda.
Memiliki 4 gugusan pulau yang lain
Meskipun Pulau Sibu dikenali sebagai sebuah pulau yang terpencil, namun pulau ini memiliki empat buah pantai pada bahagian timurnya. Tidak dilupakan juga, pantai di bahagian selatannya pula merupakan tempat yang paling selamat untuk melakukan aktiviti menyelam sambil menikmati keindahan laut biru di Pulau Sibu kerana terlindung dari tiupan angin. Pengunjung turut berpeluang untuk menerokai empat gugusan pulau yang lain, terdiri daripada Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kurus dan Pulau Sibu Hujung.
2. Dilengkapi dengan Pelbagai Kemudahan
Selain itu, sebab yang kedua mengapa pelancong harus berkunjung ke Pulau Sibu sebagai destinasi percutian adalah kerana pulau ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang kondusif. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap pengunjung yang hadir ke sini
dapat menikmati percutian mereka dengan selesa dan selamat. Seperti contoh, terdapat beberapa tempat peranginan yang boleh didapati sekitar Pulau Sibu. Antaranya, ‘Rimba Resort’, ‘Sea Gyspy Village’, ‘Sari Pacifica Hotel, Resort & Spa’, ‘Sibu Island Resort’, ‘Sibu Island Cabanas’, ‘Junansa Villa’, ‘Twin Beach Resort’ serta ‘Coconut Village Resort’. Tambahan lagi, tempat-tempat peranginan yang telah dinyatakan tersebut turut menguruskan segala aktiviti, tempat penginapan, makan dan minum serta pengangkutan pengunjung sepanjang berada di Pulau Sibu.
Kedudukan tempat peranginan yang strategik juga memainkan peranan yang penting di mana pelancong-pelancong yang bertandang dapat menikmati keindahan pemandangan di sekitar pulau tersebut sambil ditemani bunyi ombak serta laut biru yang tenang dan pokok-pokok yang rendang. Bagi peminat tumbuhan hijau, pulau ini juga merupakan kepulauan tropika yang dikelilingi oleh hutan dan sangat berbaloi untuk dilawati.
3. Pelbagai Aktiviti Menarik Boleh Dilakukan
Selain itu, Pulau Sibu harus dipilih sebagai tempat percutian anda kerana pelbagai aktiviti menarik boleh dijalankan di pulau tersebut. Seperti yang kita dapat lihat, Pulau Sibu turut terkenal dengan kehidupan marinnya yang berwarna-warni. Oleh sebab itu, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menikmati keindahan kehidupan marin di
pulau ini melalui aktiviti menyelam permukaan atau lebih dikenali sebagai ‘snorkeling’, jelajah antara pulau ke pulau atau ‘Island Hopping’ dengan menaiki bot, memancing, berkanu dan lain-lain lagi. Sekiranya pelancong mempunyai sijil yang membolehkan mereka untuk melakukan aktiviti menyelam scuba atau ‘scuba diving, maka Pulau Sibu merupakan tempat yang sangat disyorkan untuk melihat pemandangan di dasar laut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis terumbu karang serta kehidupan laut yang penuh warna-warni. Perairannya yang cukup jernih juga menjadikan Pulau Sibu antara tempat yang menarik untuk dikunjungi oleh peluncur-peluncur air dari setiap pelosok dunia.
4. Kawasan yang tidak dipenuhi dengan orang ramai
Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Sibu merupakan sebuah pulau yang terpencil. Sepanjang dua kali saya bercuti di Pulau Sibu, saya melihat bahawa pulau ini merupakan antara tempat yang terbaik untuk dilawati terutamanya buat pelancong yang tidak gemar bercuti di tempat yang terlalu padat dengan pengunjung yang lain. Berbeza dengan Pulau Pangkor serta Pulau Langkawi yang sentiasa menerima pengunjung dari dalam dan juga luar negara, Pulau Sibu merupakan suatu tempat yang tidak memerlukan pengunjung untuk bersesak-sesak dengan orang ramai.
Tambahan lagi, pengunjung juga bebas melakukan setiap aktiviti tanpa perlu menunggu atau beratur dalam tempoh masa yang lama. Secara tidak langsung, tempoh percutian yang anda luangkan di Pulau Sibu juga adalah berkualiti dan berbaloi. Tuntasnya, setiap pengunjung dapat menikmati percutian di Pulau Sibu dengan tenang tanpa wujudnya sebarang gangguan yang lain.
5. Tempat yang strategik untuk merehatkan minda dari dunia siber
Berdasarkan pengalaman saya yang telah menetap selama empat hari dan tiga malam di tempat peranginan ‘Twin Beach Resort’, saya dapati bahawa rangkaian Internet sukar untuk diperoleh di kawasan ini. Hal ini menjadikan Pulau Sibu antara tempat yang paling relevan buat pengunjung yang ingin berehat sebentar daripada media sosial.
Sepanjang saya berada di Pulau Sibu ini juga, lazimnya saya cuma memanfaatkan hari percutian dengan menikmati pemandangan di sekitar tempat peranginan, merakam foto, berjalan kaki di sekitar pantai serta melakukan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh pihak ‘Twin Beach Resort’ seperti berkayak, menyelam permukaan dan menaiki bot.
Masa yang diluangkan bersama orang-orang tersayang juga lebih berkualiti dan dapat dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin. Hakikatnya, berehat sebentar dari dunia siber sambil menikmati pemandangan laut biru merupakan satu pelaburan yang amat bernilai dan bermakna.
Kesimpulannya, anda haruslah mempertimbangkan untuk memilih Pulau Sibu sebagai destinasi percutian anda yang seterusnya. Terdapat pelbagai kelebihan yang dapat anda peroleh apabila bercuti di pulau yang terpencil ini.
Berdasarkan kelima-lima sebab yang telah dihuraikan di atas, saya berharap semoga bakal-bakal pengunjung di Pulau Sibu mampu menikmati dan menghayati setiap keindahan yang terdapat di sekitarnya.
Dalam usaha memastikan kelestarian pulau ini dapat dijaga sepanjang zaman, setiap pengunjung haruslah menjaga kebersihan pulau dari semasa ke semasa. Sampah-sarap tidak sewajarnya dibuang merata-rata terutamanya di dalam laut bagi memastikan kehidupan akuatik tidak terancam dan habitat-habitatnya juga dapat dijaga.
Artikel ini disumbangkan oleh Amera Ros Soffiah Binti Amer, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Melancong adalah satu aktiviti yang menyeronokkan bagi kebanyakan penduduk dunia, tetapi bagi sesetengah orang ia mungkin sesuatu yang menakutkan terutamanya bagi pelancong yang memilih untuk melakukannya secara berseorangan.
Perkara utama yang sering difikirkan oleh kebanyakan pelancong sebelum mengunjungi suatu tempat adalah faktor keselamatan dan kebersihan. Sekiranya seseorang dapat merasakan destinasi tujuannya selamat, ia akan menjadi faktor penarik untuk melawat tempat tersebut. Selangor adalah salah sebuah negeri yang menerima kunjungan pelancong yang paling ramai di Malaysia. Hal ini kemungkinan besarnya adalah didorong oleh faktor jaminan keselamatan pelancong ke negeri ini.
Unit Polis Pelancong
Unit Polis Pelancong yang ditempatkan di sekitar kawasan pelancongan popular seperti Batu Caves, Sepang Goldcoast, KLIA, KLIA2, Subang Sky Park, Boustead Cruise Centre dan pusat beli-belah terkemuka. Dengan adanya Unit Polis Pelancong ini, pelancong wanita dan pengembara solo terutamanya, tidak perlu berasa risau tentang keselamatan mereka di negeri ini.
CCTV
Selain itu, terdapat banyak kamera litar tertutup atau CCTV serta pengawal keselamatan ditempatkan di premis-premis perniagaan bagi menjaga keselamatan pelancong dan masyarakat awam. Antaranya Sunway Pyramid, sebuah pusat beli-belah di Sunway City adalah yang pertama di Malaysia dilengkapi dengan fungsi butang panik. Oleh itu, pelancong boleh berasa yakin bahawa keselamatan mereka berada pada tahap baik termasuklah ketika membeli-belah di negeri Selangor.
Tarikan semulajadi
Tarikan semula jadi negeri ini seperti FRIM Kepong, Sungai Chilling, Taman Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Chongkak Park and Resort tidak perlu dirisaukan lagi tentang faktor kebersihan dan keselamatannya kerana ia dijaga dengan baik dan diselenggara oleh syarikat pembersihan yang dilantik mengikut jadual berkala. Para renjer hutan turut ditempatkan di sana untuk membantu menjaga keselamatan para pengunjung apabila diperlukan.
Kebersihan restoran
Seterusnya, setiap restoran dan premis makanan di Malaysia diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia secara berkala dan dinilai dari segi kebersihannya dari masa ke masa. Oleh itu, semua restoran dan premis makanan di Selangor juga dinilai secara kerap dan pelancong mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan dari restoran kelas A atau B di negeri ini.
Aplikasi SELangkah
Menggunakan konsep asas kawalan automatik yang pantas dan mudah sebagai inisiatif pendaftaran individu sebelum memasuki sesuatu premis perniagaan di negeri ini. Dengan hanya mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit bagi mendaftar maklumat mereka secara maya, pengesanan kontak dapat dibuat jika terdapat kes Covid-19 di premis yang telah mereka kunjungi. Akses aplikasi ini turut dikongsi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan pengesanan individu untuk proses saringan kesihatan atau kuarantin yang lebih efisen.
Penginapan
Seterusnya, terdapat banyak pilihan tempat penginapan yang boleh dipilih oleh pelancong di negeri Selangor seperti hotel, chalet, homestay, pangsapuri dan lain- lain. Sebilangan besar penginapan ini yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan adalah selamat untuk pelancong. Kebanyakan hotel turut dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup 24 jam atau CCTV dengan fungsi kunci elektronik bagi mengelakkan sebarang aktiviti pecah-masuk.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi dan terbaharu Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Sumber: Tourism Selangor
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!