Pulau-pulau yang ada di Mersing tak kurang hebat dan cantik. Pantai pasir putih dengan air laut yang membiru memang menenangkan bila dapat berkunjung ke salah satu pulau yang ada.
Pulau Sibu antara pulau yang menarik untuk dijadikan destinasi percutian anda dan keluarga. Agak terpencil dan hanya boleh diakses melalui jeti Tanjung Leman, AMERA ROS SOFFIAH AMER berkongsi kenapa anda harus memilih pulau ini sebagai lokasi percutian!
5 Sebab Pulau Sibu Harus Dipilih Sebagai Destinasi Percutian
Setiap destinasi yang ingin dikunjungi semasa musim percutian perlulah menepati citarasa setiap individu dalam menjamin keselesaan dan kepuasan sepanjang berada di kawasan tersebut.
Memilih pulau sebagai salah satu destinasi percutian merupakan satu pelaburan yang sangat berbaloi. Tidak dapat dinafikan lagi, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan keindahan pulau-pulaunya yang tersendiri serta mampu menarik minat pelancong-pelancong asing untuk berkunjung ke dalam negara.
Namun begitu, adakah berbaloi sekiranya destinasi percutian yang dipilih tersebut dipenuhi dengan bilangan pengunjung yang terlalu ramai? Menerusi artikel ini, saya akan berkongsi tentang salah satu pulau yang terpencil di Malaysia serta lima sebab pulau ini harus dipilih sebagai destinasi percutian anda.
Jika anda merancang untuk meluangkan masa percutian di negeri Johor, Pulau Sibu merupakan destinasi pelancongan yang perlu dinotakan sebagai salah satu tempat yang harus anda lawati. Pulau Sibu merupakan pulau terpencil yang terletak di negeri Johor, Darul Takzim.
Meskipun perjalanan ke pulau ini tidak semudah seperti perjalanan ke pulau-pulau yang lain sekitar Mersing, namun keistimewaan Pulau Sibu ini tiada tolok bandingnya. Tambahan lagi, pulau ini hanya boleh dimasuki melalui Jeti Tanjung Leman.
Perjalanan menaiki bot atau feri dari Jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu pula hanya mengambil masa 30 minit sahaja serta tambang sehala untuk menaiki feri dari Jeti Tanjung Leman ke Pulau Sibu adalah sebanyak RM 70 bagi orang dewasa dan RM 35 untuk kanak-kanak. Sambil menaiki feri mahupun bot, pelancong turut disajikan dengan pemandangan laut dan langit biru yang indah di sekitar mereka.
Kini, tibalah masanya untuk saya berkongsi berkenaan lima sebab mengapa Pulau Sibu harus dipilih sebagai destinasi pelancongan anda.
- Memiliki 4 gugusan pulau yang lain
Meskipun Pulau Sibu dikenali sebagai sebuah pulau yang terpencil, namun pulau ini memiliki empat buah pantai pada bahagian timurnya. Tidak dilupakan juga, pantai di bahagian selatannya pula merupakan tempat yang paling selamat untuk melakukan aktiviti menyelam sambil menikmati keindahan laut biru di Pulau Sibu kerana terlindung dari tiupan angin. Pengunjung turut berpeluang untuk menerokai empat gugusan pulau yang lain, terdiri daripada Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kurus dan Pulau Sibu Hujung.
2. Dilengkapi dengan Pelbagai Kemudahan
Selain itu, sebab yang kedua mengapa pelancong harus berkunjung ke Pulau Sibu sebagai destinasi percutian adalah kerana pulau ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang kondusif. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap pengunjung yang hadir ke sini
dapat menikmati percutian mereka dengan selesa dan selamat. Seperti contoh, terdapat beberapa tempat peranginan yang boleh didapati sekitar Pulau Sibu. Antaranya, ‘Rimba Resort’, ‘Sea Gyspy Village’, ‘Sari Pacifica Hotel, Resort & Spa’, ‘Sibu Island Resort’, ‘Sibu Island Cabanas’, ‘Junansa Villa’, ‘Twin Beach Resort’ serta ‘Coconut Village Resort’. Tambahan lagi, tempat-tempat peranginan yang telah dinyatakan tersebut turut menguruskan segala aktiviti, tempat penginapan, makan dan minum serta pengangkutan pengunjung sepanjang berada di Pulau Sibu.
Kedudukan tempat peranginan yang strategik juga memainkan peranan yang penting di mana pelancong-pelancong yang bertandang dapat menikmati keindahan pemandangan di sekitar pulau tersebut sambil ditemani bunyi ombak serta laut biru yang tenang dan pokok-pokok yang rendang. Bagi peminat tumbuhan hijau, pulau ini juga merupakan kepulauan tropika yang dikelilingi oleh hutan dan sangat berbaloi untuk dilawati.
3. Pelbagai Aktiviti Menarik Boleh Dilakukan
Selain itu, Pulau Sibu harus dipilih sebagai tempat percutian anda kerana pelbagai aktiviti menarik boleh dijalankan di pulau tersebut. Seperti yang kita dapat lihat, Pulau Sibu turut terkenal dengan kehidupan marinnya yang berwarna-warni. Oleh sebab itu, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menikmati keindahan kehidupan marin di
pulau ini melalui aktiviti menyelam permukaan atau lebih dikenali sebagai ‘snorkeling’, jelajah antara pulau ke pulau atau ‘Island Hopping’ dengan menaiki bot, memancing, berkanu dan lain-lain lagi. Sekiranya pelancong mempunyai sijil yang membolehkan mereka untuk melakukan aktiviti menyelam scuba atau ‘scuba diving, maka Pulau Sibu merupakan tempat yang sangat disyorkan untuk melihat pemandangan di dasar laut yang dipenuhi dengan pelbagai jenis terumbu karang serta kehidupan laut yang penuh warna-warni. Perairannya yang cukup jernih juga menjadikan Pulau Sibu antara tempat yang menarik untuk dikunjungi oleh peluncur-peluncur air dari setiap pelosok dunia.
4. Kawasan yang tidak dipenuhi dengan orang ramai
Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Sibu merupakan sebuah pulau yang terpencil. Sepanjang dua kali saya bercuti di Pulau Sibu, saya melihat bahawa pulau ini merupakan antara tempat yang terbaik untuk dilawati terutamanya buat pelancong yang tidak gemar bercuti di tempat yang terlalu padat dengan pengunjung yang lain. Berbeza dengan Pulau Pangkor serta Pulau Langkawi yang sentiasa menerima pengunjung dari dalam dan juga luar negara, Pulau Sibu merupakan suatu tempat yang tidak memerlukan pengunjung untuk bersesak-sesak dengan orang ramai.
Tambahan lagi, pengunjung juga bebas melakukan setiap aktiviti tanpa perlu menunggu atau beratur dalam tempoh masa yang lama. Secara tidak langsung, tempoh percutian yang anda luangkan di Pulau Sibu juga adalah berkualiti dan berbaloi. Tuntasnya, setiap pengunjung dapat menikmati percutian di Pulau Sibu dengan tenang tanpa wujudnya sebarang gangguan yang lain.
5. Tempat yang strategik untuk merehatkan minda dari dunia siber
Berdasarkan pengalaman saya yang telah menetap selama empat hari dan tiga malam di tempat peranginan ‘Twin Beach Resort’, saya dapati bahawa rangkaian Internet sukar untuk diperoleh di kawasan ini. Hal ini menjadikan Pulau Sibu antara tempat yang paling relevan buat pengunjung yang ingin berehat sebentar daripada media sosial.
Sepanjang saya berada di Pulau Sibu ini juga, lazimnya saya cuma memanfaatkan hari percutian dengan menikmati pemandangan di sekitar tempat peranginan, merakam foto, berjalan kaki di sekitar pantai serta melakukan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh pihak ‘Twin Beach Resort’ seperti berkayak, menyelam permukaan dan menaiki bot.
Masa yang diluangkan bersama orang-orang tersayang juga lebih berkualiti dan dapat dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin. Hakikatnya, berehat sebentar dari dunia siber sambil menikmati pemandangan laut biru merupakan satu pelaburan yang amat bernilai dan bermakna.
Kesimpulannya, anda haruslah mempertimbangkan untuk memilih Pulau Sibu sebagai destinasi percutian anda yang seterusnya. Terdapat pelbagai kelebihan yang dapat anda peroleh apabila bercuti di pulau yang terpencil ini.
Berdasarkan kelima-lima sebab yang telah dihuraikan di atas, saya berharap semoga bakal-bakal pengunjung di Pulau Sibu mampu menikmati dan menghayati setiap keindahan yang terdapat di sekitarnya.
Dalam usaha memastikan kelestarian pulau ini dapat dijaga sepanjang zaman, setiap pengunjung haruslah menjaga kebersihan pulau dari semasa ke semasa. Sampah-sarap tidak sewajarnya dibuang merata-rata terutamanya di dalam laut bagi memastikan kehidupan akuatik tidak terancam dan habitat-habitatnya juga dapat dijaga.
Artikel ini disumbangkan oleh Amera Ros Soffiah Binti Amer, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI