
Kalau pernah memandu melalui Rawang Bypass, mesti pernah terpandang deretan pokok hijau yang memenuhi lereng bukit di kiri dan kanan jalan.
Lebih menarik, apabila dilihat dari laluan tinggi Rawang Bypass, bahagian atas pokok ini kelihatan bulat dan tersusun cantik sehingga ada yang menyamakannya dengan bentuk brokoli atau bunga kubis.
Tapi pernah terfikir, pokok apa sebenarnya yang kita nampak dari atas Rawang Bypass?
Jawapannya mungkin tidak seperti yang ramai sangka.
BUKAN SEMUANYA GIAM KANCHING
Ramai mungkin pernah mendengar bahawa Rawang Bypass dibina dengan mengambil kira kewujudan pokok Giam Kanching atau Merawan Kanching (Hopea subalata).

Disebabkan itu, ada yang menganggap deretan pokok tinggi yang jelas kelihatan dari jalan raya tersebut adalah Giam Kanching.
Sebenarnya, menurut penjelasan Pegawai Hutan Daerah Hulu Selangor yang pernah dilaporkan Utusan Malaysia, pokok tinggi yang kelihatan seperti “brokoli” itu ialah pokok kapur (Dryobalanops aromatica).

Pokok kapur tumbuh secara berkelompok di kawasan lereng bukit. Antara keunikannya ialah bentuk silara atau kanopi pokok yang tidak bertindih dan tidak bersentuhan antara satu sama lain.
Dari jauh, susunan semula jadi inilah yang menghasilkan pemandangan seakan-akan sekumpulan brokoli hijau memenuhi kawasan hutan.
JADI, MANA PULA POKOK GIAM KANCHING?
Giam Kanching memang wujud di kawasan ini, cuma ia bukanlah semua pokok tinggi yang kita nampak ketika memandu.
Nama saintifiknya ialah Hopea subalata, daripada keluarga Dipterocarpaceae.
Apa yang menjadikan pokok ini sangat istimewa adalah statusnya sebagai spesies endemik dengan taburan yang amat terhad. FRIM menyatakan habitat semula jadinya hanya diketahui di Hutan Simpan Kanching, Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor pula menyatakan usaha konservasi Hopea subalata sangat penting kerana spesies ini mempunyai status Critically Endangered dan hanya boleh ditemui di kawasan Hutan Simpan Kanching.
Berbanding pokok kapur yang tinggi dan mudah dilihat, Giam Kanching merupakan pokok bersaiz lebih kecil. Sebab itu, jangan terus anggap semua kanopi cantik yang anda nampak dari atas Rawang Bypass adalah Giam Kanching.
BACA LAGI: Boeing 737 Dalam Hutan Sungai Lembing, Rupanya Pernah Dirancang Jadi Hotel Unik!
RAWANG BYPASS TINGGI BUKAN SEKADAR NAK BAGI VIEW CANTIK
Ini satu lagi fakta menarik.
Reka bentuk Rawang Bypass yang tinggi merentasi kawasan hijau itu bukan dibuat semata-mata untuk menghasilkan pemandangan cantik.
Menurut firma kejuruteraan Arup yang terlibat dalam projek berkenaan, jajaran jalan diubah supaya berada di bahagian pinggir kawasan warisan bagi mengurangkan keperluan membuka hutan.

Sebahagian laluan kemudian dibina sebagai struktur bertingkat sepanjang kira-kira 2.7 kilometer, dengan tiang yang mencapai sekitar 58 meter. Kaedah pembinaannya juga dirancang bagi mengurangkan kerja tanah dan penebangan hutan.
Kementerian Kerja Raya turut mengetengahkan Rawang Bypass sebagai “laluan dalam hutan semulajadi”, dengan struktur tiang tertingginya 58.2 meter dari aras tanah serta kawasan yang menjadi habitat Giam Kanching.
BUKAN SATU DUA JENIS POKOK SAHAJA
Hutan di sekitar Kanching sebenarnya jauh lebih pelbagai.
Rekod Kerajaan Negeri Selangor mengenai spesies di Hutan Simpan Kanching antaranya menyenaraikan kapur, meranti tembaga, meranti kepong, meranti rambai daun, kasai, sena, nyatoh, batai, tempinis dan medang.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pula mengklasifikasikan kawasan Taman Eko Rimba Kanching sebagai Hutan Dipterokarpa Bukit.
Jadi pemandangan yang kita nikmati ketika melalui Rawang Bypass sebenarnya bukan sekadar “pokok tepi highway”, tetapi sebahagian daripada ekosistem hutan semula jadi yang mempunyai kepelbagaian spesies tersendiri.
LEPAS NI LALU RAWANG BYPASS, BOLEH TENGOK DENGAN CARA BERBEZA
Sekarang dah tahu kan?
Pokok tinggi yang menghasilkan pemandangan seperti “brokoli” dari Rawang Bypass itu dikaitkan dengan pokok kapur, manakala di dalam hutan yang sama tersembunyi satu khazanah yang jauh lebih rare iaitu Giam Kanching.
Sebab itulah Rawang Bypass bukan sahaja menarik dari sudut kejuruteraan.
Ia juga memberikan pengalaman unik apabila kita boleh memandu hampir separas dengan kanopi hutan sambil melihat kehijauan yang masih mengelilingi salah satu laluan paling ikonik di Selangor.
Cuma satu pesanan — kalau nak menikmati view, biar penumpang yang ambil gambar. Pemandu fokus jalan ya!
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!


