Perkongsian daripada IMELDA HARRIS

Minat terhadap sukan bola sepak telah membawa saya mengembara jauh dan mengenali dengan lebih mendalam tentang budaya masyarakat luar.

Setelah pulang daripada menyaksikan Piala Dunia FIFA di Brazil pada tahun 2014, saya terus merancang untuk menyaksikan sukan bola sepak bertaraf dunia itu di Rusia, sebagai tuan rumah untuk tahun 2018.

Akhirnya apa yang dirancang menjadi kenyataan apabila saya bersama ahli keluarga lain iaitu sepupu, ibu saudara serta anak-anaknya telah selamat sampai di Moscow, Rusia pada bulan Syawal yang lepas.

Sebenarnya pengembaraan ini bukanlah semata-mata demi menyaksikan perlawanan bola sepak, tetapi pada masa yang sama membawa tujuan untuk mengenali dengan lebih dekat tentang negara Rusia.

Sebagai seorang chef, sudah tentu setiap pengembaraan akan memberikan kesan dan inspirasi terutamanya dari segi makanan, budaya serta cara hidup masyarakat di sesuatu tempat.

Pengembaraan selama 5 minggu ini bukan sahaja membawa kami ke Rusia, malah ke Brussels, Belgium, dan juga Paris.

BERANGKAT DARI KUALA LUMPUR

Sering menaiki penerbangan Emirates untuk pengembaraan terdahulu, kali ini ia sedikit berbeza kerana kami memiliih tiket penerbangan Thai Airways atas faktor perjalanannya yang lebih cepat dari Kuala Lumpur ke Bangkok, 3 jam dan seterusnya ke Brussels, Belgium tanpa henti yang mengambil masa lebih kurang 12 jam perjalanan.

Atas kelewatan menempah tiket penerbangan, harga tiket mencecah sehingga lebih kurang RM4000 seorang untuk dua hala perjalanan.

Bergerak berdua pada mulanya dari Kuala Lumpur dan kami berjumpa dengan ahli keluarga lain yang sememangnya tinggal di Brussels.

Banyak perkara yang perlu dirancang serta diteliti dalam memastikan percutian ini berjalan dengan lancar.

BRUSSELS, BELGIUM

Rasa bersyukur kerana tidak perlu risau tentang kemudahan tempat tinggal di Brussels, kami menginap di rumah ahli keluarga terdekat selama lebih kurang 2 minggu berada di sini.

Memandangkan masih dalam mood Syawal, kami banyak meluangkan masa dengan mengunjungi beberapa rumah terbuka sambil berkenalan dengan komuniti Malaysia yang tinggal di sini.

Kami juga sempat menikmati pelbagai juadah menarik Hari Raya termasuklah nasi dagang, satay dan aneka kuih-muih.

MOSCOW, RUSIA

Dengan semangat yang berkobar-kobar, impian untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia kini menjadi kenyataan.

Kami memilih untuk menaiki penerbangan Brussels Airlines dengan tiket berharga 400 Euro untuk 2 hala perjalanan Brussels-Rusia yang mengambil masa selama lebih kurang 3 jam.

Pengangkutan lain yang boleh digunakan ialah keretapi tetapi ia akan mengambil masa yang sangat panjang sehingga beberapa hari.

Memilih lokasi penginapan yang strategik, berdekatan dengan Moscow Kremlin, Red Square dan yang paling penting berdekatan dengan stadium, ia memudahkan lagi segala urusan perjalanan serta aktiviti sepanjang tempoh 2 minggu kami berada di sana.

Akitiviti kami sudah pastinya dipenuhi dengan menyaksikan perlawanan Piala Dunia FIFA 2018 di stadium, Fan Fest FIFA Moscow malah juga menontonnya di kaca televisyen, dengan harapan pasukan Brazil akan menjuarainya.

Satu pengalaman manis di Fan Fest FIFA Moscow apabila kami dapat berkenalan dengan pelancong-pelancong luar negara yang lain dan sama-sama bersemangat menyokong pasukan kesukaan masing-masing.

Kedatangan komuniti Muslim seperti dari Uzbekistan di Moscow memberikan lagi kemudahan untuk para pelancong Muslim mencari makanan halal seperti nasi, sup, dumpling dan macam-macam lagi.

KREMLIN, MOSCOW

Selain itu, kami pastinya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat-tempat menarik seperti Moscow Kremlin dan Red Square di mana terdapat binaan patung Lenin dan Stalin.

Ketika era Soviet Union, kedua-dua tempat ini merupakan lokasi yang sangat terkenal dan berpengaruh.

Kremlin merupakan kompleks bangunan yang menjadi benteng pertahanan Rusia.

Istana, gudang senjata, ruang pejalan kaki serta taman-taman disana dijaga dengan sangat baik.

STESEN METRO

Salah satu lokasi yang menjadi tarikan kami ialah stesen Metro yang mempunyai rekaan senibina yang sangat cantik malah kelihatan seperti istana dengan ukiran senibina Eropah.

IZMAILOVSKY MARKET

Kami berkesempatan berkunjung ke Pasar Izmailovsky yang merupakan tempat terbaik untuk mendapatkan cenderamata.

Antara barangan yang dijual adalah barangan kraftangan, pakaian, perhiasan diri, barang dari pertukangan kayu dan bermacam-macam lagi dengan tawaran harga yang menarik.

PARIS

Paris turut menjadi lokasi pilihan dalam percutian kali ini dan antara kenangan manis sepanjang seminggu berada di sana ialah dapat menyaksikan sendiri kemeriahan masyarakat tempatan menyambut Hari Kebangsaan mereka, iaitu Bastille Day.

Tempat-tempat menarik lain seperti di Château de Versailledan Avenue des Champs-Élysées juga sempat kami lawati.

Dari Paris kami berpatah balik semula ke Brussels dan kemudian pulang ke Malaysia.

Dalam tempoh 5 minggu berada di luar negara, kami pulang dengan membawa banyak kenangan manis dan pengalaman mempelajari serta mengenali budaya-budaya luar yang juga menjadi inspirasi buat kami semua.

Terima kasih Brussels, Rusia dan Paris! Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang.

Tinggalkan Komen