Ipoh antara bandar banyak tinggalan bangunan sejarah British. Antaranya Menara Jam Memorial J.W.W Birch. Menara ini terletak bersebelahan Masjid Negeri Perak.
Jam ini dibaik pulih cantik oleh Dewan Bandaraya Ipoh dan termasuk antara Jejak Warisan di Perak.
Namun ada sesuatu yang pelik dan menjadi tanda tanya. Pada menara Jam Memorial Birch, lihat satu patung diputihkan…Siapakah patung itu?
Menara jam ini dibina pada 1909 bagi memperingati ulang tahun kematian ke 34 Birch. Jam yang dibina dengan kos 25,000 pound sterling ini dirasmikan oleh Residen British Perak ke-8 diketika itu iaitu Sir Ernest Woodford Birch.
Ernest; anak sulung kepada J.W.W Birch dan menjadi Residen Perak dari tahun 1904 hingga 1910.
Ads
Pada memorial jam ini, Sir Ernest Woodford Birch berdamai dengan Sultan dan pembesar-pembesar Melayu di ketika itu agar tidak melupakan kisah pembunuhan bapanya itu.
Juga berharap agar hubungan baik diantara pihak British dengan Perak selepas peristiwa tersebut dapat diteruskan demi pembangunan pesat negeri Perak.
Antara lukisan di penjuru lain Foto:Hafezdzullah Hassan
Menara ini mempunyai 1 jam besar berukuran 6 kaki x 6 inci serta 4 jam kecil dan disertakan sistem untuk dibunyikan sama seperti Menara Jam Big Ben di bangunan Parlimen di London.
Di empat penjuru atas jam tersebut diletakkan empat patung terakota yang mengambarkan empat prinsip pentadbiran British iaitu Kesetiaan (digambarkan dengan patung yang memegang pedang dan perisai).
Ads
Keadilan (digambarkan dengan patung buta yang memegang neraca), Kesabaran (digambarkan dengan patung yang tiada senjata) dan Ketabahan (digambarkan dengan patung dengan riak muka tenang dan memegang tombak).
Terdapat juga lukisan yang mengambarkan figura pembangun tamadun-tamadun dunia di keempat-empat sisi menara jam tersebut.
Ads
Salah satu daripada 44 figura tersebut ialah imej Nabi Muhammad. Namun imej Nabi Muhammad itu telah dipudarkan dengan cat putih pada 1990-an setelah sekian lama mendapat bantahan bukan sahaja oleh penduduk beragama Islam di sekitar Ipoh dan Malaysia.
Jadi tanda tanya itu kini sudah terjawab. Dan bagi yang melancong ke Ipoh, jangan lupa rakam foto tercantik di menara jam ini.
Imej Nabi Muhammad SAW antara dalam 44 pembangun tamadun. Namun dipadamkan kerana Nabi tidak boleh digambarkan dalam bentuk lukisan, Foto: Hafezdzullah Hassan
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Rama-rama adalah serangga yang dianggap sebagai mahkluk yang cantik dan menjadi kegemaran sesetangah peminat landskap. Bagi mereka, kewujudan rama-rama membuktikan kawasan tersebut begitu indah dan tenang. Dikerumuni rama-rama saat berjalan di taman nan menghijau bagai di alam fantasi.
.
Di Kuala Lumpur terdapat sebuah Taman Rama-Rama yang agak lama dibuka kepada umum sejak tahun 1992 lagi. Taman ini memperlihatkan serba-serbi mengenai rama-rama daripada beluncas pelbagai bentuk, saiz dan warna, kemudian bertukar menjadi kepompong seterusnya bertukar menjadi rama-rama yang cantik.
.
Mengunjungi Taman Rama-Rama Kuala Lumpur bersama keluarga dan kanak-kanak sememangnya destinasi yang bijak kerana pengunjung bukan saja boleh melihat rama-rama tetapi mempelajari banyak mengenai serangga yang cantik itu.
.
.
.
Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, waktu pagi adalah masa terbaik untuk datang dan melihat sendiri rama-rama kerana pada waktu pagi rama-rama ini keluar mencari makanan.
Taman ini mempunyai landskap menarik dengan pelbagai jenis tumbuhan eksotik dan tumbuhan yang menjadi rumah serta makanan kepada si rama-rama. Antara spesies rama-rama di sini yang menarik perhatian seperti Rajah Brooke, Common Mormon, Papalio Iswara, Blue Bottle, Malay Lacewing dan Indian Leaf yang diklasifikasikan sebagai rama-rama tercantik.
.
Secantik dan seindah mana pun seekor rama-rama mempunyai jangka hayat hidup yang singkat iaitu hanya hidup selama dua minggu. Bagaimanapun, jangka hayatnya juga bergantung kepada cuaca dan keadaan.
Jika datang bersama tersayang atau keluarga, jangan sesekali lupa untuk mengabadikan foto kenangan bersama mereka.
.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Jim Thompson atau nama penuhnya James Harrison Wilson Thompson merupakan seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat. Walaupun Thompson memiliki empayar kain sutera Thai di Bangkok, tetapi namanya juga terkenal di Cameron Highlands. Misteri kehilangan warga Amerika Syarikat itu masih kekal membelenggu tanah tinggi itu sehingga hari ini.
Dia yang turut mendapat gelaran Raja Sutera Thai membantu menggiatkan semula perniagaan tekstil dan sutera Thai lewat tahun 1950an dan 1960an. Jim Thompson dilahirkan di Greenville, Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Mac 1906 dan pernah berkhidmat dengan Tentera Amerika Syarikat dalam bidang perisikan ketenteraan. Jim Thompson dilaporkan hilang pada 26 Mac 1967 di Cameron Highlands. Jim Thompson masih belum ditemui sehingga kini dan kehilangannya telah menjadi suatu misteri.
Cameron Highland Saksi Kehilangan Jim Thompson
Berpuluh-puluh teori timbul ekoran kehilangan Thompson pada petang 26 Mac 1967. Namun, ramai penduduk Cameron Highlands lebih percaya bahawa Thompson sebenarnya menghilangkan diri dan menukar identitinya agar tidak dikenali dan kemudian pulang ke Amerika Syarikat. Jika dia mati di dalam hutan, mustahil tiada satupun cebisan mayat dijumpai sedangkan ribuan orang telah mencarinya pada masa dia dilaporkan hilang.
Ada juga laporan yang mengatakan orang awam telah ternampak kelibat Thompson di Amerika Syarikat selepas dia dilaporkan hilang di Cameron Highlands. Namun tiada pengesahan dibuat sehingga kini
Misteri Thompson telah menyebabkan Cameron Highlands menjadi tempat yang terkenal di dunia. Bukan sedikit pasukan mencari yang dikerah dan yang turun membantu untuk mencari Thompson sejurus selepas kehilangannya pada 1967 itu.
Maka tidak hairan, sehingga hari ini masih ramai pelancong yang obses mengenai misteri itu datang ke Moonlight Bungalow kini dikenali sebagai Jim Thompson Cottage untuk melihat sendiri tempat terakhir Thompson dilaporkan dilihat sebelum dia hilang.
Bilik terakhir sebelum Jim Thompson hilang ketika menginap di banglo ini adalah di bilik ketiga yang bersebelahan tangga ke ruang atas. Kali terakhir dia dilihat sebelum hilang tanpa jejak kira-kira pukul 4 petang pada 26 Mac 1967. Keadaan bilik masih tidak berubah kecuali perabot yang telah ditukar untuk dijadikan penginapan tetamu.
Jim Thompson datang ke Cameron Highlands bersama Constance Mangskau pada 24 Mac 1967 dan menginap di Moonlight Bungalow bersama-sama pemilik, Dr. Ling Tien Gi dan isteri, Helen Ling rakyat Singapura. Terdapat dua laluan yang dikatakan telah dilalui Thompson sebelum dia hilang di dalam hutan berdekatan.
Ada yang kata semasa sedang treking, Thompson menuju ke Lutheran Mission Bungalow.
Selepas dilihat berada di situ, Thompson tidak lagi kelihatan selepas itu.
Saudagar Sutera Thai Berjaya
Jika masih hidup, umur Jim Thompson kini adalah 113 tahun. Kehilangannya juga ada dikaitkan dengan berbagai kisah dan teori, sama ada pengkhianatan, jenayah mahupun kisah-kisah mistikal. Semasa Perang Dunia Kedua, Jim Thompson telah direkrut oleh William Joseph Donovan dan dilantik sebagai pegawai bertauliah di dalam Jabatan Perkhidmatan Strategik (OSS) di mana pada tahun 1947 jabatan tersebut telah dibubarkan dan dikenali sebagai Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Thompson yang fasih berbahasa Perancis telah menjalankan beberapa misi berbahaya di Perancis sewaktu pendudukan tentera Jerman. Selepas kemenangan di Eropah (7 Mei – 8 Mei, 1945), Thompson telah ditukarkan ke Sri Lanka. Dia dalam perancangan untuk ditempatkan di Thailand apabila tentera Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos – September pada tahun yang sama yang sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua. Thompson tiba di Thailand beberapa minggu selepas pihak Jepun menyerah kalah dan Thompson ditugaskan untuk menyelia pejabat OSS di Bangkok.
Setelah menamatkan khidmatnya bersama Tentera Amerika Syarikat, Jim Thompson kembali ke Amerika untuk membawa isterinya ke Thailand. Bagaimanapun isterinya enggan mengikutnya ke Thailand dan akhirnya mereka bercerai.
Thompson kembali ke Bangkok seorang diri, kemudian Thompson bekerja bersama beberapa orang pelabur Thai dan menubuhkan Thai Silk Company pada tahun 1947. Walaupun dia telah meninggalkan bidang ketenteraan dan perisikan, namun ramai yang mengesyaki Thompson masih melakukan kerja-kerja penyamaran untuk CIA.
Semasa Perang Vietnam, kawan rapatnya (juga merupakan rakannya di dalam OSS) iaitu General Edwin Black menjadi ketua operasi Tentera Udara Amerika Syarikat di Laos dan berpengkalan di Thailand. Thompson menumpukan sepenuhnya untuk menggiatkan semula industri kecil menenun sutera menggunakan tangan, yang merupakan kemahiran yang diwarisi oleh wanita Thailand selama berkurun bagaimanapun ia sudah tidak lagi popular.
Thompson menemui kaum Cham yang beragama Islam, mahir dalam menenun sutera di kawasan Bankrua berhampiran Bangkok dan membekalkan mereka dengan alat-alat untuk menenun, mewarna dan bantuan teknikal. Thompson juga dikatakan membantu beribu-ribu penduduk miskin Thailand keluar daripada belenggu kemiskinan. Dia dikatakan memberikan sebahagian daripada saham-sahamnya dalam Thai Silk Company kepada penduduk-penduduk miskin ini.
Jim Thompson House, Bangkok
Jim Thompson House tersenarai sebagai 10 tempat wajib dilawati jika ke Bangkok, Thailand. Rumah Jim Thompson ini memang cantik kerana berunsur Thai dan campuran budaya asia selain menghadap sebatang sungai. Semasa hayat Jim Thompson, dia telah membeli 6 buah rumah tradisional Thailand dan dirangkumkan menjadi sebuah kediaman yang besar untuk didiami.
Selepas kehilangan Thompson, Thai Silk Company telah memindahkan operasinya ke Khorat, sebuah bandar yang menjadi pengkalan operasi untuk Tentera Di Raja Thailand. Rumah Jim Thompson di Rama 1 Road, Bangkok kini dijadikan sebagai muzium yang menempatkan beberapa ukiran dan hasil seni daripada Thailand yang dikumpul oleh Jim Thompson.
Jim Thompson juga dikenali sebagai pengumpul barang-barang seni. Pengunjung boleh datang meninjau rumah peninggalannya yang kini dijadikan muzium setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Negara kita mempunyai banyak lokasi alam semulajadi yang menarik untuk diteroka.
Bagi anda suka akan kedamaian dan alam hijau yang tenang, 5 lokasi ini wajib singgah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup anda.
Bukit Larut, Taiping Perak
Anda tidak harus melepaskan peluang untuk menghirup udara segar yang masih belum tercemar di Bukit Larut atau dikenali juga dengan nama Maxwell Hill yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Taiping. Ambil peluang untuk bersiar-siar sambil melihat pemandangan indah bandar Taiping hingga ke laut Selat Melaka dari ketinggian 1250 meter dari paras laut. Pemandangan di waktu malam dari atas Bukit Larut tidak sama dengan pemandangan di waktu siang.
Pada waktu malam cahaya lampu rumah, kilang, jalan raya dan kedai menerangi bandar Taiping. Jika di waktu siang suhunya di antara 15 hingga 25 darjah celsius berbeza pula di waktu malam, kedinginan semakin terasa dan suhunya boleh mencecah sehingga 10 darjah celsius ditambah pula dengan fenomena hujan bukit yang hampir setiap hari berlaku.
Bario & Ba’Kelalan, Sarawak
Foto: pinterest
Bario merupakan lokasi tanah tinggi yang mesti dilawati kerana ia bukan saja sejuk tetapi mempunyai pemandangan yang indah memukau. Terletak di pedalaman Sarawak, bario bermaksud angin mengikut bahasa etnik Kelabit. Tanah tinggi Bario berketinggian 1150 meter dari aras laut ini mempunyai kualiti udara yang sangat bersih kerana kedudukannya berhampiran Gunung Murud, gunung tertinggi di Sarawak. Kesejukan tanah tinggi Bario ini pernah mencecah 11 darjah celsius sehinggakan pengunjung terpaksa mengenakan selimut yang tebal pada waktu malam. Jika anda mahu garam bukit dan padi yang paling berkualiti di Malaysia serta bebas bahan kimia, di sinilah tempatnya.
Ba’Kelalan pula berdekatan dengan Bario ini merupakan penempatan bagi kaum Lun Bawang. Ba’Kelalan iaitu “Ba” bermaksud padi manakala Kelalan pula adalah nama sebatang sungai mempunyai beberapa kampung. Jangan tidak percaya, kawasan ini terkenal dengan penanaman buah epal. Jika anda berkunjung ke sini, aktiviti kebudayaan menanti anda. Epal Ba’Kelalan yang lebih dikenali sebagai epal Manalagi di Jawa Timur didapati mampu hidup subur di kawasan Ba’Kelalan yang suhunya sekitar 20 darjah celsius.
Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan Pahang
Terletak di Kuantan, Air Terjun Sungai Pandan juga dikenali sebagai atau Air Terjun Panching oleh penduduk setempat merupakan destinasi beriadah popular. Kawasan ini juga merupakan sebahagian daripada Hutan Lipur Pandan. Lokasi ini menjadi tumpuan ramai untuk berkelah, mandi manda atau bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan.
Jika dilihat pada air terjun yang mengalir, pasti membuatkan ramai terpesona. Mana tidaknya, landskap air terjun yang terbentuk di sini begitu cantik dan unik. Terdapat sebuah jambatan gantung merentasi sungai di air terjun ini yang sesuai menjadi lokasi untuk merakam kenangan. Jika anda bercadang untuk datang berlibur dan bersantai di Air Terjun Sungai Pandan ini pada hujung minggu atau cuti umum, pastikan anda datang lebih awal untuk ‘dapatkan’ port tempat berkelah menarik berlatarbelakangkan air terjun ini.
Bukit Piniapat, Pitas Sabah
Jika anda peminat aktiviti mendaki, bukit ini pasti menjanjikan kepuasan tersendiri. Dengan pandangan menghadap laut, Bukit Piniapat atau lebih dikenali dengan nama Piniapat Hills terletak di Kampung Dingai, Pitas, Sabah.
Untuk tiba ke kawasan bukit yang cantik itu, anda peru melalui beberapa trekking terlebih dahulu yang terletak lebih kurang 100 meter dari pondok jualan tiket. Keadaan trek agak curam dan licin, namun laluan tersebut selesa digunakan kerana mempunyai ruang jarak yang luas. Selain itu kemudahan tali dan papan tanda juga disediakan sebagai panduan arah.
Gunung Jerai, Kedah
Gunung Jerai merupakan salah satu produk pelancongan di negeri jelapang padi Kedah yang merupakan lokasi menyegarkan. Buat anda yang ingin berkunjung ke sini hanya perlu melalui perjalanan sejauh 14 kilometer dari kaki gunung ke puncak menggunakan kenderaan. Di sini juga tersedia kemudahan penginapan yang dikelilingi dengan pelbagai jenis flora dan fauna berwarna-warni.
Kedinginan udara sekitar 18 hingga 25 darjah celcius amat menyamankan lebih-lebih lagi ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok yang menghijau. Pemandangan indah di sekeliling lokasi berkenaan juga pasti akan mengasyikkan setiap pengunjung kerana dari puncak resort berkenaan anda boleh melihat pemandangan sekitar negeri Kedah terutama pemandangan sawah padi yang luas terbentang indah.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
TV Sarawak (TVS) sekali lagi tampil dengan program baharu yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya serta keindahan alam semula jadi.‘Sumandak...