Filem terbaru Marvel Spider-Man: Into The Spider-Verse yang dijadualkan pada bulan Disember ini bakal menjanjikan pengalaman baru buat peminat filem epic itu apabila ianya akan dipertontonkan secara eksklusif di atas kapal persiaran SuperStar Gemini.

Pengumuman ini disampaikan oleh Presiden Star Cruises, Ang Moo Lim sewaktu majlis Sambutan Kedatangan SuperStar di Pelabuhan Klang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Haslina Abdul Hamid.

Hasil kerjasama di antara Sony Pictures dan Genting Cruise Lines ini bakal membawa pelancong kepada satu pengalaman yang berbeza berbanding di pawagan biasa kerana sepanjang tempoh tayangan di atas kapal, pelancong berpeluang untuk meneroka dunia Spider-Man sambil bercuti.

Pelbagai aturcara bertemakan Spider-Man telah dirancang untuk pelancong yang berlayar bersama SuperStar Gemini antaranya Spider-Man Scavenger Hunt, Meet & Greet, Fitness Challange dan Christmas Celebration.

Tunai Impian Anak Luekemia

Dalam pada itu, kapal yang memenangi anugerah ‘Travel Hall of Fame’ daripada Travel Trade Gazette ini mengambil kesempatan untuk menunaikan impian seorang kanak-kanak penghidap leukemia.

Impian Adam Khalish, 6 tahun, yang ingin menjadi kapten kapal selama sehari tertunai apabila beliau dan keluarga menerima jemputan khas Kapten Christian Westergren berlayar bersama-sama SuperStar Gemini.

Adam yang menghidap leukemia sejak Jun 2017 kini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan impiannya tercapai melalui bantuan badan bukan kerajaan Make A Wish yang cuba memenuhi impian anak-anak kecil penghidap penyakit kanser.

Bakal Lonjak Ekonomi Domestik Pelancongan Kapal Persiaran

Disamping itu, industri kapal persiaran ini dilihat mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan negara di masa akan datang kerana Malaysia mempunyai 12 pelabuhan yang mampu menerima kehadiran kapal persiaran di pelabuhan masing-masing.

Sejak 2017, Malaysia menerima peningkatan 37.8% pemintaan kapal persiaran sebanyak 599 berbanding 435 pada 2016. Jumlah pelancong juga direkodkan meningkat sebanyak 35.6% pada 2017 dengan jumlah seramai 924,885 pelancong berbanding 2016 seramai 682,068.

Tinggalkan Komen