
Ramai yang masih tercari-cari tempat percutian best. Kalau boleh nak dekat-dekat saja dari ibu kota di mana tak perlu redah kesesakan jalan raya yang ada kalanya melekat sampai berjam-jam.
Bagi yang nak lari dari kesibukan kota, nak rehatkan minda dari kesibukan kerja, nak melepak santai-santai dengan kawan-kawan sambil cerita kenangan lama, bolehlah memilih Templer Park Rainforest Retreat yang terletak di Rawang saja
.
Di kelilingi hutan belantara yang menghijau, Templer Park Rainforest Retreat boleh juga dijadikan port family day, gathering, majlis keraian, perkahwinan dan lain lagi. Tidak hanya dikelilingi hutan belantara menghijau, infiniti pool yang mengadap ke tengah hutan juga menjanjikan view yang serius ohsem.
Terletak di Templer Park yang juga lokasi mandi manda air terjun terkenal di daerah ini, pengunjung boleh menikmati kedamaian di sini sambil merasai pengalaman yang sangat menakjubkan dalam suasana tenang dan nyaman. Udaranya juga sangat segar kerana di kelilingi pokok-pokok menghijau.
Ada dua pilihan penginapan di sini iaitu berbentuk villa dan kontena. Untuk yang memilih villa, ia mengandungi empat bilik tidur yang kesemuanya lengkap berhawa dingin. Bahkan boleh muat antara 6 ke 16 orang. Ia mempunyai ruang berkumpul di luar rumah dikelilingi pokok dengan pemandangan sangat indah ke arah padang golf. Jika ingin dekat dengan alam semulajadi, boleh pilih villa saja yang turut menyediakan kemudahan peribadi BBQ, ruang memasak dan juga makan yang turut disediakan.
Bagi yang budget kurang sedikit, boleh memilih kontena untuk bermalam di sini. Ada lima buah rumah dibina dari kontena tersedia dan kesemuanya berhawa dingin. Ruang dalamannya masih luas, sesuai untuk berkumpul sementara di bahagian luar, ada ruang berkumpul yang besar dengan pemandangan kolam ikan dan dikelilingi pokok-pokok tinggi. Kemudahan masak BBQ, ruang memasak & makan juga disediakan untuk penginapan jenis ini.
Jangan tunggu lagi, hari minggu ni boleh usha-usha pilih tempat nie untuk rehatkan minda.
Templer Park Rainforest Retreat
Lokasi: 22, Jalan 3/2, Templer Heights, Templer Park, Rawang
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Port Best Nak Lepak & Jalan-Jalan Di Port Dickson Pada Hujung Minggu

Pantai peranginan negara yang terletak tidak jauh dari bandaraya Kuala Lumpur iaitu Port Dickson terus menjadi tumpuan dan pilihan orang ramai sepanjang cuti hujung minggu, cuti sekolah atau cuti umum. Tarikan pantai sepanjang 18 kilometer serta premis penginapan pelancongan menjadi pilihan bukan sahaja di kalangan warga tempatan tetapi juga pelancong terutama dari Singapura.
Jika anda berada di Port Dickson dan buntu untuk ke mana harus ditujui untuk bersiar-siar. Nah! Ini ada beberapa port menarik untuk anda berjalan-jalan atau menghabiskan masa bersama yang tersayang melakukan aktiviti best.
PD Waterfront
Kalau anda mencari lokasi untuk bersantai PD Water Front adalah jawapanya. Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pemandangan laut yang terbentang luas sambil ditiup angin pantai tetapi turut berpeluang merasai keenakan makanan yang disajikan di sekitar kawasan itu. Anda juga boleh membeli-belah atau sekadar mencuci mata dikawasan premis komersial berkenaan.
Lokasi: PD Waterfront, Persiaran Waterfront, Kampung Bahasa Kapor, 71000 Port Dickson
Rumah Api Tanjung Tuan
Rumah api Tanjung Tuan atau nama lainnya Cape Rachado Lighthouse, adalah sebuah mercu tanda popular yang sering menjadi tumpuan pelangcong yang datang bercuti ke pantai peranginan ini. Ia merupakan rumah api tertua dibina pada abad yang ke 16, zaman Portugis memerintah Melaka.
Lokasi: Cape Rachado, Port Dickson
Pantai Teluk Kemang
Pantai Teluk Kemang merupakan pantai paling popular di Port Dickson. Banyak penginapan popular seperti resort, hotel dan apartment tersusun sepanjang pantai ini. Bagi penggemar sukan air, Pantai Teluk Kemang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti jet ski, berkayak dan banana boat.
Lokasi: Pantai Teluk Kemang, 71050 Port Dickson
Pantai Tanjung Biru
Pantai Tanjung Biru (Blue Lagoon) merupakan pantai yang terletak didalam teluk kecil berhampiran dengan Cape Rachado. Air laut di sini kelihatan kebiru-biruan, cetek dan tenang kerana pantai ini dilindungi oleh teluk membuat tempat ini sesuai untuk kanak-kanak bermandi laut. Pada waktu malam pula boleh kelihatan lampu suluhan rumah api Cape Rachado merentas air laut di hadapan anda.
Lokasi: Batu 10, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson
Pantai Bagan Pinang
Jika anda lebih gemarkan pantai yang tenang dan tidak ramai pengunjung, boleh la ke Pantai Bagan Pinang. Istimewanya di pantai ini mempunyai pokok kayu bakau yang tumbuh secara semulajadi. Ketika air surut anda boleh mengikut nelayan tempatan mencari ketam dan kepah di kawasan berhampiran.
Lokasi: Batu 3, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson
Pantai Saujana
Pantai Saujana juga merupakan destinasi tumpuan pengunjung untuk datang bermandi-manda dan bersantai melihat keindahan laut. Ramai yang menjadikan kawasan ini sebagai lokasi untuk berkelah dan berkhemah kerana kawasan persekitaran yang lapang. Kemudahan seperti tandas awam juga disediakan untuk kegunaan umum.
Lokasi: Jalan Pantai, Batu 4, Pantai Saujana, 71050 Port Dickson
Pantai Sri Purnama
Pada waktu siang suasana pantai agak lengang, tetapi pada petang hari ramai pengunjung yang datang sini untuk melihat keindahan matahari terbenam. Jika anda mahu meluangkan masa di pantai yang kurang sibuk jangan lupa untuk singgah sebentar ke Pantai Purnama ini.
Lokasi: Jalan Pantai, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson
Muzium Tentera Port Dickson
Selain mengunjungi beberapa kawasan pantai yang popular dan sering menjadi destinasi pilihan di Port Dickson, anda juga boleh membuat lawatan ke Muzium Tentera Darat. Muzium Tentera Darat yang bersebelahan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) adalah muzium tentera yang terbesar di negara ini dan didirikan untuk memberi peluang kepada orang ramai mempelajari mengenai sejarah perjuangan angkatan tentera kita.
Bayaran Masuk: Percuma
Waktu Operasi: Rabu-Ahad (10.00am – 5.00pm)
Lokasi: Muzium Tentera Darat, Kem Si Rusa, Persiaran Pahlawan, 71050 Port Dickson
Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas
Di kompleks ini terletak Batu Megalit dan tersemadinya Makam Syeikh Ahmad Majnun. Menurut papan informasi yang terdapat di hadapan pintu masuk kompleks, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Syeikh Ahmad Majnun adalah seorang pendakwah yang menyebarkan syiar Islam. Berdasarkan kepada inskripsi ‘baru bersurat’ yang terukir dipercayai Syeikh Ahmad Majnun meninggal dunia pada antara tahun 1467-1468 semasa dalam perjalanan menyebarkan syiar islam, dan kemudian di makamkan di sini oleh para pengikutnya.
Lokasi: Jalan Port Dickson, Pengkalan Kempas, 71150 Linggi, Negeri Sembilan
Kota dan Muzium Lukut
Salah satu tapak bersejarah yang popular di Port Dickson adalah Kota dan Muzium Lukut. Ia merupakan sebuah kubu yang didirikan diatas bukit oleh Raja Jumaat pada tahun 1847. Muzium ini menjadi rumah kepada artifak dan gambar yang berkaitan dengan sejarah pelombongan biji timah di kawasan lukut. Terdapat beberapa galeri pameran utama iaitu Sejarah, Teknologi, Negeri Sembilan dan Nassau.
Bayaran Masuk: Percuma
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9am-6pm)
Lokasi: Lot 730, Kota Lukut, 71010 Port Dickson
Kompleks Baitul Hilal
Balai cerap di Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang menjadi daya tarikan pusat peranginan Port Dickson. Memiliki teleskop tercanggih di Asia Tenggara serta terbesar di Malaysia bernilai RM1.8 juta, balai cerap ini menjadi pusat kegiatan melihat anak bulan, kajian bintang dan sistem cakerawala bagi menjana kemajuan ilmu falak.Balai cerap ini juga satu usaha meningkatkan kesedaran dalam bidang astronomi pada kalangan pelajar dan orang ramai.
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9am–12pm)
Lokasi: Lot 4506 Batu 8, Jalan Pantai, 5, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson
Alive 3D Art Gallery
Jika selalunya percutian di Port Dickson hanya tertumpu di kawasan pantai, kini anda ada pilihan untuk merakamkan kenangan menarik berlatar belakang 51 jenis lukisan 3D dipaparkan di galeri itu. Keunikan galeri ini ada memaparkan pelbagai jenis lukisan yang menonjolkan tempat menarik termasuk berunsur sejarah di seluruh dunia yang mana apabila individu merakamkan gambar di situ, mereka dapat merasakan seolah-olah berada di lokasi sebenar. Namun, pengunjung perlu menggunakan daya kreativiti tersendiri untuk merakamkan gambar terbaik dari sudut yang tepat untuk menampakkan keunikannya
Bayaran Masuk: Dewasa RM15 | Kanak-kanak RM10
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (11am-10pm) | Sabtu-Ahad & Cuti Sekolah (10am-11pm)
Lokasi: No 38-40, Jalan DS 2/1, Bandar Dataran Segar, Lukut, 71010 Port Dickson.
Rumah Terbalik Port Dickson
Mungkin anda sedar Port Dickson memang banyak rumah bertema ilusi dan yang satu ini pula membuat anda seperti di dunia terbalik. Rumah Terbalik Port Dickon merupakan sebuah rumah kedai yang diubah suai menjadi tarikan pelancong dan menjanjikan satu pengalaman bergambar yang berbeza. Cubalah datang sini.
Bayaran Masuk: Dewasa – RM20 | Kanak-kanak – RM15
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (10am–9pm)
Lokasi: No 15, Jalan Coral Walk, Batu 9, Jalan Pantai, Teluk Kemang, Batu 9, 71050 Port Dickson
Port Dickson Ostrich Show Farm
Di PD Ostrich Farm pengunjung dapat mempelajari pelbagai info menarik mengenai burung unta sambil berinteraksi dengan haiwan tersebut. Antara haiwan lain yang turut dipamerkan adalah keldai, kambing, arnab dan angsa. Paling menarik, pengunjung terutamnaya kanak-kanak diberi peluang untuk berinteraksi, menyentuh dan memberi makanan kepada semua haiwan yang terdapat di ladang ini.
Bayaran Masuk: Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM4
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (8am-6pm)
Lokasi: Lot 1419, Jalan Kemang 13, Batu 9 Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson
Bukit Batu Putih, Port Dickson
Buat anda yang berhasrat ingin bercuti ke pantai Port Dickson, apa kata anda selitkan sekali Bukit Batu Putih di dalam jadual perjalanan anda itu. Bukit ini terletak di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Port Dickson yang mana ia mempunyai view laut biru yang sangat cantik dan mendamaikan. Akan tetapi buat pengetahuan anda, bayaran RM1 dikenakan untuk memasuki hutan rekreasi ini. Kebanyakan mereka yang mendaki bukit ini adalah untuk melihat pemandangan sun set dan sun rise yang sangat cantik dari arah laut.
Sumber: mai singgah Sumber Foto: Google Image
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lokasi Landasan Maut Di Kanchanaburi Thailand Simpan Seribu Satu Kisah

Isi Kandungan
ToggleThailand punya banyak lokasi menarik. Namun sayangnya hanya Bangkok dan Phuket yang paling popular dikunjungi. Kota lain tidak kalah menawan dan mempunyai tarikan yang tersendiri.
Kanchanaburi ialah area dengan hutan lebat dan merupakan syurga tersendiri buat para pelancong. Cantik dan indah, namun tempat ini juga menyimpan masa lalu yang kelam.
Di sinilah terdapat Death Railway atau jalan kereta api kematian yang menghubungkan hingga ke Myanmar, serta jambatan di atas sungai Kwai. Keduanya adalah sisa-sisa peninggalan zaman perang dunia kedua dan dibangunkan oleh tahanan perang. Kalau anda tertarik dengan sejarah, tempat ini wajib anda kunjungi. Pemandangan yang megah dan keindahan menawan Kanchanaburi termasuk beberapa air terjun yang terkenal, gua yang pernah dihuni oleh manusia Neolitikum, taman nasional dan sungai yang tenang.
Kanchanaburi terletak pada titik di mana dua anak sungai Khwae Noi dan Khwae Yai bertemu dan membentuk Maenam Mae Klong. Ini ialah lokasi terkenal Death Railway dan jambatan di Sungai Kwai yang terkenal dan telah diabadikan dalam filem.
The JEATH War Museum
Nama JEATH berasal dari negara-negara yang terlibat dalam pembangunan kereta api Perang Dunia II dari 1942 untuk 1945 termasuk Jepun, Inggeris, Amerika, Australia, Thailand dan Belanda. Terletak di daerah Wat Chai Chumphon, muzium rekonstruksi tawanan perang jerami pondok penahanan yang sempit. Tawanan perang yang selamat telah menyumbangkan item untuk meningkatkan suasana dan keaslian muzium ini.
Hellfire Pass Memorial Museum Thailand
Hellfire Pass Memorial Museum menjadi salah satu dari lima muzium popular di Asia menurut TripAdvisor. Pengunjung dapat merasa penderitaan dan kenangan tentang kekejaman Perang Dunia Kedua dan belajar dari korban yang selamat tentang kejadian waktu itu dan mengapa kejadian itu boleh menimpa mereka.
Disebut muzium terbaik di Thailand, Hellfire Pass berada di kota Kanchanaburi (sekitar 75 km di sebelah barat Bangkok, berdekatan Thailand dan Myanmar. Di muzium ini, masyarakat Thailand kerap mengadakan upacara untuk memperingati pemboman sekutu di wilayah tersebut yang dimulai pada 28 November 1944. Acara tahunan ini dilaksanakan mulai 28 November hingga 7 Disember.
Jambatan Sungai Kwai
Jambatan Sungai Kwai telah menjadi terkenal dan menarik baik Thailand dan pelancong asing. Dari “The History of the Real Bridge over The River Kwai Yai” dapat diketahui bahawa rel kereta api ini dibangun Tentara Kolonial Jepun dengan Sistem Kerja Paksa yang terkenal dengan kekejamannya. Memaksa ratusan ribu tawanan perang tentera Sekutu dalam Perang Dunia kedua terutama dari beberapa negara jajahan seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan India.
Dikatakan bahawa lebih dari 16,000 tawanan perang dari Ingegris, Australia, Belanda dan Amerika meninggal dunia ketika membangunkan jambatan yang merupakan sasaran serangan bom di 1945. Selain ini, lebih kurang 90,000 buruh dari Thailand, Myanmar, Malaysia dan Indonesia meninggal selama pembinaan. Jambatan ini masih digunakan hingga kini dengan bahagian melengkung dari jambatan aslinya. Kereta api ketika itu berakhir di Ban Tha Sao atau Namtok Station, jarak 77 km. dari Kanchanaburi Station.
Tiger Temple
Bagi anda yang pernah kerap mengunjungi Thailand, mungkin sudah tidak asing dengan Tiger Temple Wat Pha Luang Ta Bua di Kanchanaburi, Thailand. Tempat ini sering dijadikan salah satu destinasi pelancongan yang membawa pelancong tempatan mahupun luar negara.
Bagi anda yang pernah mengunjungi tempat ini, mungkin pernah merasa agak aneh dengan keadaan harimau di tempat ini. Mereka nampak lemas dan lehernya selalu dililit dengan rantai. Di tempat suci Buddha ini, nyatanya banyak harimau yang harus meregang nyawa dan diperlakukan dengan tidak sepatutnya.
Sai Yok National Park
Sai Yok National Park merupakan Taman Nasional yang di dalamnya terdapat air terjun, gua batu kapur, sumber air panas serta akomodasi yang baik untuk pelancong. Di sini pelancong dapat menikmati aktiviti air seperti kayak, berenang, bambu rafting dan gajah trekking.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
BAKUN: EMPANGAN SELUAS SINGAPURA

Empangan Bakun ialah empangan hidroelektrik merentasi Sungai Balui di Sarawak, Malaysia. Empangan ini dapat menjana 2,400 MW tenaga elektrik. Dahulu mendapat tentangan hebat dari masyarakat tempatan di kawasan ditenggelami air.

Fakta menarik Empangan Bakun
- Bakun empangan terbesar di Malaysia, dan antara terbesar di Asia, selain beberapa empangan yang lebih besar di negara China.
- Empangan Bakun empangan jenis CFRD yang ke-4 tertinggi di dunia dengan ketinggian 205 m.
- Tasik Bakun menjadi tasik terbesar di Malaysia (mengikut isipadu dan juga luas permukaan).
- Kedalaman tasik sekitar 100-200 meter
- Stesen jana kuasa Bakun menjadi penjana elektrik terbesar di Malaysia, mengatasi Empangan Pergau.
- Talian penghantar bawah laut Bakun menjadi yang terpanjang di dunia, mengatasi talian penghantar dari Norway ke Belanda.
- Empangan Bakun yang ke 44 tertinggi didunia 205 m (673 kaki).
- Saiz Empangan Bakun lebih besar daripada Singapura.
- Empangan Bakun terhasil dari beberapa sistem sungai antaranya Sungai Majoh, Sungai Belepeh, dan Sungai Balui lalu menjadi Sungai Rajang.
- Sebelum aliran sampai Empangan Bakun, aliran lalui satu lagi empangan, iaitu Empangan Hidroelektrik Murum yang mengempang Sungai Luar serta Sungai Plieran. Jarak antara kedua-dua empangan sekitar 60-123km mengikut jalan dilalui.
- Empangan Bakun adalah hak milik mutlak Kerajaan Negeri Sarawak.
Video pelepasan air di Empangan Bakun
Sejarah projek
Cubaan pertama
Kerja ukur tanah dimulakan pada tahun 1960-an dan kajian diteruskan pada tahun 1980-an. Kajian merangkumi pelan induk dan upaya bina, kajian batuan dan tanah, kajian janaan hidro, reka bentuk empangan, kajian alam sekitar dan sosioekonomi dan kajian talian penghantar.
Projek ini telah dimulakan pada 1986, tetapi dihentikan pada 1990 berdasarkan unjuran merosot kegunaan elektrik disebabkan kemelut ekonomi 1985 dan keputusan membangunkan dahulu industri gas asli.
Cubaan kedua
Projek ini diteruskan semula oleh YAB Mahathir Mohamad pada 1993. Pada Januari 1994, projek ini diswastakan kepada Bakun Hydroelectric Corporation, iaitu syarikat usahasama Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Sarawak, Syarikat SESCO Berhad dan Malaysia Mining Corporation Berhad. Bakun Hydroelectric Corporation telah memberi kontrak elektrikal, mekanikal dan penghantaran kepada ABB. Beberapa pakar runding yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation, TNB Hydro (anak syarikat Tenaga Nasional Berhad) dan KLIA Consult.
Projek terhenti akibat kemelut ekonomi 1997.
Cubaan ketiga
Pada Mei 2000, Kerajaan Malaysia telah mengambil alih projek dengan membeli kepentingan Bakun Hydroelectric Corporation, dan meneruskan projek melalui syarikat milik kerajaan, Sarawak Hidro Sdn Bhd. Hanya pembinaan Empangan Bakun diteruskan dan kerja pembinaan ditawarkan melalui kontrak “turnkey”. Pembinaan talian penghantar bawah laut tidak akan dilaksanakan.
Kontraktor baru ialah Malaysia-China Hydro JV Consortium, iaitu syarikat usahasama Sime Engineering Berhad, iaitu anak syarikat Sime Darby Berhad dan Sino-Hydro Corporation dari China. Rakan kongsi kecil yang lain ialah WCT Berhad, MTD Capital Berhad, Ahmad Zaki Resources Berhad, Syarikat Ismail Berhad dan Edwards & Sons Berhad. Tarikh siap ditetapkan pada September 2007. Harga kontrak sivil ialah RM 1.8 bilion. Kerja elekromekanikal diberi pada satu kontrak kepada IMPSA dari Argentina dan satu kontrak lagi kepada Alstom dari Perancis.
Pada 2004, pakar runding JW Knowles telah diupah untuk mengkaji sebab kelewatan projek. Jururunding lain yang terlibat ialah Snowy Mountain Engineering Corporation dan OPUS International Malaysia.

Perkembangan terkini semasa cubaan ketiga
Pada tahun 2003, Gulf International Investment Group (GIIG) telah meletak wang pertaruhan sebanyak RM500 juta, sebagai permulaan ingin membeli 60% projek Empangan Bakun. GIIG ialah syarikat usaha sama antara Syed Mokhtar Al-Bukhary, orang kaya dari Malaysia dan Mohamad Ali Al-Abbar, orang kaya dari Dubai. Tujuan pembelian ialah sebagai sumber tenaga elektrik untuk sebuah lagi pelaburan mereka iaitu kilang pelebur aluminium yang akan dibina di Similajau, Sarawak. Rancangan ini tidak diteruskan akibat kelewatan pembinaan Empangan Bakun.
Di tahun 2006, berikutan kenaikan bahan api seperti gas asli dan minyak, talian penghantar bawah laut yang yang dahulunya tidak berdaya maju, kini telah dikaji semula untuk dilaksanakan. Tenaga Nasional Berhad telah menyatakan hasrat ingin menggunakan sumber hidroelektrik dari Sarawak menjelang 2012. Berikutan itu, beberapa syarikat telah menunjuk minat dan Sime Darby ialah yang terkehadapan dalam usaha mendapatkan kontrak melaksanakan talian penghantar bawah laut ini.
Pada November 2006, berita tersebar mengenai penggabungan Sime Darby Berhad, Golden Hope Plantations Berhad dan Kumpulan Guthrie Berhad menjadi sebuah syarikat baru dengan modal berbayar RM 31 bilion. Serentak dengan penggabungan tersebut, anak syarikat Sime Darby iaitu Sime Engineering Sdn Bhd akan mengambil alih sebahagian kepentingan kerajaan dalam Sarawak Hidro Sdn Bhd.

Pemeliharaan alam sekitar
Pembinaan Empangan Bakun ini mengakibatkan 9,000 penduduk sekitar dipindahkan dari kawasan yang akan ditenggelamkan, Mereka telah ditempatkan semula di kampung rumah panjang Sungai Asap berhampiran Bakun.
Laporan Penilai Kesan Alam Sekitar atau secara ringkasnya EIA bagi projek Empangan Bakun menyatakan bahawa paras air tasik Bakun ialah 195 meter dan 228 meter yang telah membentuk 18 buah pulau. Namun begitu, sehingga Februari 2010 paras air Empangan Bakun telah mencecah 228 meter dan menyebabkan ladang-ladang baru, kawasan perkuburan baru dan rumah panjang baru tenggelam.

Spesifikasi Empangan Bakun
Bahagian kekal empangan adalah seperti berikut:
Empangan utama
Tinggi 205 m dari tapak ke puncak. Panjang 750 m dari hujung ke hujung. Isipadu 16.71 juta meter padu.
Aras puncak ialah 235 m atas aras laut. Aras air maksimum ialah 232 m. Aras operasi ialah 228 m maksimum dan 195 m minimum.
Takungan – luas permukaan ialah 695 km persegi, dan kawasan tadahan ialah 14,750 km persegi. Isipadu takungan ialah 43,800 juta meter padu.
Tandop – 8 petak dengan 2 pintu tandop setiap petak.
Alur limpah – luahan 15,000 meter padu sesaat.
Terowong jana – 8 terowong dengan 8.5 m bukaan rentang, dan panjang 760 m setiap satu.
Rumah janakuasa- Di atas tanah, 4 tingkat berukuran 250 m panjang x 48 m lebar x 48 m tinggi.
8 set jana kuasa merangkumi 8 turbin jenis Francis dengan bersaiz 300 MW sebuah, 8 jana kuasa bersaiz 360 MVA sebuah dan 8 pemboleh ubah bersaiz 360 MVA sebuah.
Talian penghantar
Terdapat tiga bahagian utama talian penghantar:
Pertama, talian AC voltan tinggi dari Bakun ke Bintulu sepanjang 160 km. Talian 275 kV ini akan mengalirkan tenaga dari Empangan Bakun ke sebuah stesen pencawang di Bintulu, dan seterusnya ke grid elektrik Sarawak yang dikendalikan oleh Syarikat SESCO Berhad.
Kedua, talian DC voltan tinggi dari Bakun ke Tanjung Parih, Sarawak sepanjang 660 km. Talian ini pada voltan 500 kV jenis dwikutub (dua kutub; positif dan negatif).
Ketiga, talian DC voltan tinggi dari Tanjung Parih, Sarawak ke Tanjung Tenggara, Johor sepanjang 670 km. Talian ini berada di bawah lautan pada voltan 500 kV dengan 3 atau 4 kabel dengan keupayaan 700 MW seutas.
Sebagai sebahagian sistem talian penghantar ini, 2 stesen pengubah akan dibina di Bakun dan Tanjung Tenggara. Talian DC voltan tinggi ini akan disambung ke Grid Nasional yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI