
Dapat lepak dengan famili atau teman-teman pada hujung minggu memang syok, banyak benda nak catch-up bila dah berjumpa. Lepak pula dekat port yang cantik dan sesuai nak ber-OOTD. Makan, borak, minum dan bergambar bersama, memang heaven kan?
Jika anda berada berhampiran Lembah Klang, tidak perlu pergi jauh untuk lepak santai bersama teman dan keluarga. Pusing-pusing sahaja sekitar Kuala Lumpur, anda pasti jumpa ‘port’ menarik untuk singgah. Paling istimewa lokasi yang dicadangkan ini sangat Instagrammable! Jom plan ke sini..
- Merchant’s Lane
Mungkin agak asing bagi rakyat Malaysia, tetapi kafe ini sebenarnya popular dalam kalangan pelancong luar. Kafe cantik yang terletak di Jalan Petaling ini menjadi lokasi wajib singgah jika ‘makan angin’ di sini. Ia dipenuhi dengan hiasan berunsurkan flora dan fauna dan dihiasi dengan pelbagai perabut kayu dan rotan artisan yang menarik. Setiap sudut dan ruang kafe ini cukup berbaloi untuk instagram anda.
Lokasi: Merchant’s Lane, 150, Jalan Petaling, 50000 Kuala Lumpur
- VCR
Anda penggemar kopi? Kafe ini sangat ideal untuk anda menghabiskan masa pada hujung minggu. Selain menyajikan pilihan minuman kopi yang sedap, di sini juga menghidangkan pelbagai hidangan lazat seperti Soft Shell Crab Burger & Quiche Granola. Paling menarik kafe ini dilengkapi dengan tingkap besarnya yang memberi pemandangan hijau yang tenang.
Lokasi: VCR, 2, Jalan Galloway, Bukit Bintang, 50150 Kuala Lumpur
- Leaf & Co. Cafe
Berhampiran Pasar Seni, kafe ini sangat unik dan berseni berkonsep vintage dan warisan kerana menggunakan elemen dan perabot-perabot asal bangunan kolonial. Jangan lupa ambil gambar di setiap sudut menarik kafe ini untuk tatapan teman-teman di media sosial.
Lokasi : Leaf & Co, 53, Jalan Sultan, 50000 Kuala Lumpur
- Botanica + Co
Kafe ini dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan dan bunga-bunga orkid indah, inspirasi interior daripada hutan tropika Malaysia. Jadi, jika ingin sedikit ketenangan lokasi ini paling ideal untuk menjamu selera.
Lokasi: Botanica + Co, 8, Jalan Kerinchi, Bangsar South, 59200 Kuala Lumpur
- LOKL
Tidak perlu diperkenalkan lagi, kafe ini cukup popular dengan hidangan brunch dan kopi dalam kalangan warga kota berhampiran Masjid Jamek. Interior kafe kepunyaan selebriti Cheryl Samad dan suaminya ini sangat istimewa dan unik selain dinding hiasannya yang mempamerkan koleksi-koleksi pop-art lokal yang unik dan menarik.
Lokasi : LOKL Coffee Co, 30, Jalan Tun H S Lee, 50100 Kuala Lumpur
Ini Lokasi Best Nak ‘Shopping’ & Barang Wajib Beli Kalau Singgah Sarawak

Sarawak menawarkan pelbagai macam keistimewaan yang pasti membuatkan sesiapa saja teruja untuk berkunjung ke Bumi Kenyalang ini. Membeli-belah di Sarawak juga merupakan aktiviti utama yang mesti dilakukan, selain menjanjikan pengalaman yang berbeza di mana pengunjung akan disajikan dengan pelbagai produk tempatan seperti cenderamata hasil kraftangan, produk kering juga bahan makanan basah untuk di bawa pulang.
Dengan rangkaian produk yang pelbagai, sesiapa sahaja yang berkunjung ke Sarawak pasti rambang mata untuk membawa pulang signature produk utama Sarawak seperti Kek Lapis Sarawak, Ikan Terubuk Masin, Lada Hitam dan juga hasil kraf. Bahkan ada yang mengatakan, jika produk-produk tersebut tidak dibeli, tidak lengkap rasanya kunjungan ke Sarawak.
Bazar Utama Kuching – Pusat Jualan Kraftangan Sarawak
Bazar Utama Kuching (Kuching Main Baazar) merupakan jalan tertua dan menjadi nadi kepada bandar Kuching lama. Pengunjung pasti terpegun melihat binaan reka bentuk rumah kedai lama masyarakat Cina yang telah didiami oleh beberapa generasi keluarga. Sekiranya menginap di hotel sekitar bandar raya Kuching jangan melepaskan peluang mengunjungi Bazaar Utama Kuching untuk membeli atau sekurang-kurangnya melihat kepelbagaian hasil seni dan kraf tangan buatan masyarakat tempatan. Daripada barang ukiran hinggalah hasil tenunan sendiri, semuanya boleh didapati pada harga yang murah. Pelbagai kedai kraftangan dan cendermata boleh ditemui di sini, dan telah menjadi kawasan tumpuan pelancong untuk membeli-belah.
Antara produk jualan kraf yang boleh didapati di sini adalah tikar Sarawak, kain Pua, rantai manik, beg anyaman, perhiasan rumah dan banyak lagi. Bertentangan dengannya pula ialah laluan jalan kaki terkenal, Tebingan Kuching atau lebih popular dipanggil waterfront yang merupakan bekas pelabuhan kapal-kapal dagang yang menjadikan tempat itu sebagai tapak permulaan bandar Kuching. Dari situ, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar dari seberang sungai dengan menaiki bot tambang yang pernah menjadi pengangkutan terpenting suatu ketika dulu.
Kek Lapis Sarawak
Salah satu daripada produk signature Sarawak yang seringkali mendapat perhatian ramai adalah kek lapis Sarawak yang merupakan sejenis kuih pemanis mulut yang wajib ada di atas meja di rumah masyarakat Melayu Sarawak. Jika berkunjung ke Kuching, singgah sebentar di mana-mana sahaja kedai yang menjual Kek Lapis Sarawak, anda pasti kagum melihat lebih 50 jenis kek lapis Sarawak yang pelbagai warna, cantik dan halus buatannya dihasilkan setiap hari.
Antara jenis kek yang seringkali ditawarkan ialah kek lapis keju coklat, coklat Cadbury, masam manis, oreo, blueberi keju, nescafe cappuchino dan banyak lagi. Namun yang paling sedap dan mendapat permintaan ramai ialah kek lapis masam manis. Kek lapis yang diletak di luar peti sejuk boleh tahan sehingga satu minggu manakala jika disimpan dalam peti sejuk dan tidak dipotong, boleh tahan sehingga tiga bulan. .
Medan Niaga Satok- Terubuk ikan masin
Medan Niaga Satok merupakan pasar yang menghimpunkan pelbagai barangan keperluan harian di bawah satu bumbung. Menariknya di sini terdapat banyak gerai yang menjual ikan terubuk masin. Ikan terubuk masin menjadi satu kemestian kepada mereka yang berkunjung ke Sarawak untuk membeli dan membawa pulang ke tempat masing-masing. Maka, tidak hairan jika seseorang itu melancong ke Bumi Kenyalang tidak akan lupa singgah membeli ikan terubuk masin yang banyak dijual di Medan Niaga Satok sebagai buah tangan untuk sanak-saudara serta sahabat handai.
Mungkin berasa segan untuk menghadiahkan ikan masin sebagai buah tangan atau ole-ole dari Sarawak tetapi jangan risau, kerana keenakan rasa ikan itu pasti akan menambat hati mereka untuk terus mendapatkan ikan-ikan terubuk masin ini. Kelebihan ikan terubuk masin Sarawak terletak pada jenis ikan dan teknik ketika memprosesnya. Ikan terubuk tempatan ternyata lebih berkualiti dengan isinya yang lebih cantik dan lebih segar berbanding ikan terubuk import yang sedikit tawar.
Jangan risau jika ingin membawa pulang ke Semenanjung dan menaiki pesawat kerana kebanyakan pengusaha ikan terubuk masin di pasar ini mempunyai teknik tersendiri untuk melakukan pembungkusan ikan agar ia boleh dibawa masuk ke dalam pesawat tanpa mengeluarkan bau, basah dan ikan ini mampu bertahan dalam tempoh empat hingga lima hari di dalam kotak berkenaan.
Pasar Tamu Serian
Bandar Serian terletak kira-kira 60 kilometer dari bandar Kuching menjadi destinasi riadah dan lokasi membeli belah pada hujung minggu. Kemunculan pusat komersil serta Pasar Tamu Serian yang terkenal dengan produk serta hasil hutannya membolehkan pengunjung mendapatkan segala jenis keperluan di situ. Di Pasar Tamu Serian terdapat pelabgai gerai-gerai menjual bekalan basah, sayur-sayuran kampung, buah-buahan tempatan dan kuih tradisional Sarawak yang sering dijadikan buah tangan pelancong. Harga yang ditawarkan juga berbaloi dan murah berbanding di kawasan lain.
Buah tempatan yang diberi jolokan buah Kristal Sarawak merupakan ole-ole yang mesti dibeli jika berada di Pasar Tamu Serian ini. Rasanya sangat sedap dan manis, seakan buah laici dan mata kucing.
Kilang Pemprosesan Lada, Sri Aman
Lada merupakan rempah yang digunakan dengan meluas sebagai perasa makanan sejak berkurun lamanya. Di Sarawak, lada telah ditanam sejak tahun 1856 tetapi penanaman secara meluas bermula pada tahun 1900-an. Kini, lada merupakan salah satu tanaman kontan yang penting sebagai punca pendapatan penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. Lada banyak ditanam di beberapa daerah seperti di bahagian Sri Aman.
Jika berada di Sri Aman, jangan lupa untuk singgah ke kilang pemprosesan lada iaitu Aromatic Black Pepper. Terdapat dua jenis lada yang biasa dijumpai di Sarawak sebagai rempah iaitu lada hitam dan lada putih. Kedua-duanya dihasilkan dari buah lada hitam melalui dua proses yang berbeza. Lada hitam dihasilkan dengan cara menjemur dan mengeringkan buahnya yang belum masak di atas api hingga kulitnya berubah menjadi hitam dan berkeriput.
Lada putih pula dihasilkan dengan memetik buah yang hampir masa, ia kemudiannya direndam untuk memudahkan proses pengupasan. Lada putih mempunyai bau yang lebih kuat dari lada hitam, tetapi bau lada hitam lebih wangi dari lada putih. Pengunjung juga berpeluang untuk membeli lada di sini yang dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding di pasaran.
Brickfields Bukan Saja Ada Little India Tapi Pusat Massage Terbaik. Rugi Tak Cuba

Perayaan Deepavali yang baru berlalu menyaksikan kemeriahan Brickfields yang dipenuhi warna warni. Dari kilauan warna kain sarinya serta kurta bahkan kuil-kuil kecilnya menyaksikan satu suasana yang sangat meriah setiap kali perayaan itu tiba.
Nak cari apa di sini, semuanya ada. Dari sari, makanan seperti capati, sosei, susu lembu segar, kuih muih dan lain lain lagi yang boleh dimakan atas daun pisang, di sini juga ada banyak port kedai mamak yang mampu buat ramai kecur air liur terutama nasi briyani dan kari kambingnya yang sudah cukup menyelerakan.
Berdekatan dengan lokasi strategik KL Sentral yang menjadi hub perhubungan termoden bagi semua pengangkutan di Kuala Lumpur, Brickfields yang mendapat jolokan Little India ini sememangnya penuh warna warni. Ia bukan saja dikunjungi masyarakat India tapi juga Cina dan Melayu.
Bahkan di sini ada banyak hotel-hotel sederhana murahnya seperti Scott Hotel KL Sentral, Hotel Sentral KL, City Central Hotel dan banyak lagi yang menyaksikan harga bermula serendah RM60 semalam. Jadi kalau nak santai-santai di Kuala Lumpur, boleh saja datang ke daerah ini.




Di sini, bukan saja terkenal dengan hotel sederhana murah tapi sebenarnya Briekfileds adalah pusat massage terbaik di Malaysia. Dikendalikan oleh golongan kurang upaya (kesemuanya cacat penglihatan), harga massage satu badan baru RM55 untuk sejam di dalam bilik hotel seperti Scott Hotel Kl Sentral dan kebanyakan harga adalah standard bagi perkhidmatan ini. Ada juru massage lelaki dan perempuan dan biasanya mereka mengurut mengikut jantina.
Lebih menarik, golongan cacat penglihatan ini adalah indvidu yang telah lama berkecimpung dalam bidang urutan dan dengan harga ditawarkan selain suasana persekitaran yang selesa (ada di dalam hotel dan ada di kedai. Kebanyakkannya dilengkapi penghawa dingin), orang ramai yang datang ke sini boleh memilih melakukan urutan massage. Tak perlu buat booking hanya walk in termasuk di hotel menyediakan perkhidmatan ini.
Hendak lebih sedap, masa paling praktikal adalah sejam setengah di mana dalam tempoh itu, urutan tapak kaki (refleksologi) pun dapat dilakukan selain urutan badan.
Jadi kalau berkunjung ke Brickfieds, selain lepak minum teh boleh cuba lakukan urutan badan di sini.
Rawang Bypass Lebuh Raya Paling Tinggi Malaysia Dibina ‘Atas’ Pokok Giam Kanching

Rawang Bypass antara projek lebuhraya hebat dan komplikated di Malaysia. Di antara laluan projek ini, pengguna akan berada separas puncak pokok atau lebih tinggi bergantung pada kawasan. Selain itu, kenderaan juga akan melalui bawah talian kabel pencawang elektrik.
Jambatan ini juga akan membelah awan di waktu pagi terutamanya selepas hujan yang akan memberikan pengalaman menarik bagi pengguna. Pemandangan sewaktu berada di atas lebuh raya paling tinggi Malaysia ini cukup memukau.
Laluan ini mula digunakan pada 30 November 2017 dan mengurangkan kesesakan jalan raya dan memendekkan masa perjalanan pengguna dari Serendah ke Selayang, terutamanya pada waktu puncak. Jika sebelum ini pengguna mengambil masa sehingga dua jam pada waktu puncak, kini mereka hanya memerlukan kurang daripada 30 minit untuk ke destinasi sama.
Trivia Rawang Bypass
- Projek Rawang Bypass antara Serendah ke Rawang sepanjang 23km ini direka arkitek tempatan; Tuan Haji Radzali Mokhtar.
- Laluan ini penting dan memendek waktu perjalanan di waktu puncak ke KL dari 2 jam kepada 30 minit sahaja. Ia juga bakal menaik pembangunan di Serendah, Batang Kali dan Tanjung Malim.
- Keunikan Jalan Pintas Rawang ini ialah pembinaan struktur tiang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.
- Laluan ini merentasi Taman Warisan Selangor, yang padat dengan hutan. Ia unik kerana tiang dibina tidak lurus bagi meminimakan impak kerosakan terhadap ekosistem Taman Warisan Negeri Selangor. Ia juga bagi memastikan kawasan rezab hutan kekal terpelihara terutamanya spesies haiwan hutan yang kian pupus
- Rawang Bypass juga dibina sedemikian rupa bagi memelihara sejenis pokok endemik iaitu pokok yang hanya ditemukan di satu kawasan sahaja yang dikenali sebagai Giam kanching. Hutan Simpan Kanching, Rawang menjadi satu-satunya lokasi pokok tersebut boleh hidup dan dijumpai di dunia.
Video ringkas Rawang Bypass oleh JKR Malaysia
JALAN PINTAS RAWANG (RAWANG BYPASS)
JALAN PINTAS RAWANG (RAWANG BYPASS)Rakaman drone dan fakta menarik Rawang ByPass. Story penuh http://www.libur.com.my/rawangbypass/📹 Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )#libur #rawangbypass
Posted by Majalah Libur on Monday, 2 October 2017
Sejarah Pembinaan
Pembinaan Rawang Bypass di Bandar Rawang sebenarnya tertunda 2,132 hari; hampir enam tahun atas sebab posedur kerja dan proses pihak ketiga yang diluar kuasa Jabatan Kerja Raya.
Projek ini diluluskan di bawah Plan Malaysia ke-9 (RMK9) bertujuan mengurang kesesakan teruk di Bandar Rawang dan memajukan lagi sistem jalan ke Kuala Lumpur. Projek ini melibatkan penambahbaikan 10.72km jalan sedia ada dan pembinaan empat lorong dua hala untuk 12.58km bermula 16 Julai 2005 dan dijangka siap 12 Januari 2008 dengan kos anggaran RM203.47 juta.
Namun beberapa perjanjian tambahan dimetrai termasuklah peruntukan khas bagi kos kerja:
- Kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik
- Pembinaan jalan alternatif sepanjang 3.3km melalui Taman Warisan Negeri Selangor
- Penambahbaikan 1.57km lebuhraya persekutuan
- Memanjangkan projek dari 15 Disember 2011 hingga 17 April 2015 dengan kos tambahan RM390 juta
Apabila audit dilakukan pada Oktober dan Disember 2016, mereka mengesahkan projek ini diurus baik, dan lanjutan masa 2,132 hari dibenarkan dengan tarikh siap dijangka pada 16 Mac 2017.
Sebagai tambahan, repot juga menunjukkan perubahan reka bentuk di laluan bertindih antara struktur tinggi dengan Lebuh Raya Latar yang melibatkan kos tambahan RM34.2 juta.
Sumber rujukan: http://www.thesundaily.my/news/2017/07/31/ags-report-rawang-bypass-construction-delayed-2132-days