Mekah dan Madinah adalah dua nama tempat yang tidak asing lagi terutamanya kepada masyarakat di Malaysia yang majoritinya menganut agama Islam. Dua tempat ini sentiasa menerima kunjungan jutaan manusia dari setiap pelusuk dunia terutamanya sekali ketika musim haji – jadi tidak ketinggalan rakyat Malaysia.

Saban tahun, berpuluh ribu rakyat Malaysia akan pergi menunaikan umrah atau haji di bumi paling suci umat Islam itu. Dalam pada menunaikan rukun Islam yang ke-5, datang ziarah dan beribadat di sana dan mencari secebis ketenangan dalam hidup, ada juga yang datang untuk merasai dan mendalami sendiri suasana serta budaya yang terdapat di tanah arab tersebut – lebih-lebih lagi Jeddah.

Sekiranya anda berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke sana dan ingin melihat daerah lain selain daripada bumi Mekah dan Madinah, anda boleh berkunjung ke Jeddah yang terletak di sebelah barat Mekah dan Madinah bersebelahan dengan Laut Merah.

Di Jeddah ini terletaknya pusat pentadbiran kerajaan Arab Saudi kerana kedua-dua daerah Mekah dan Madinah dikhususkan sebagai daerah tempat beribadat. Jadi, untuk melihat masyarakat arab dengan kehidupan yang lebih moden, anda boleh la susun itinerari perjalanan anda beberapa hari ke Jeddah.

Sekiranya anda berkesempatan untuk ke Jeddah, di sini Libur sarankan beberapa perkara yang boleh anda lakukan di sana nanti.

Mengunjungi Jeddah Waterfront

Untuk tempoh beberapa abad, Jeddah memainkan peranan penting sebagai lokasi pelabuhan untuk negara Arab Saudi. Oleh kerana menjadi tempat tumpuan kapal-kapal untuk berlabuh, Jeddah terkenal dengan nama panggilan sebagai ‘bride of the Red Sea’. Oleh kerana menjadi lokasi tumpuan yang terkenal sejak dahulu lagi, sehingga kini kawasan di Jeddah Waterfront ini dipenuhi dengan pelbagai manusia daripada pelbagai peringkat masyarakat untuk berkumpul seperti kaum keluarga dan kumpulan anak muda beriadah dengan aktiviti-aktiviti seperti berkelah, bersiar-siar sambil menghirup udara segar dari laut.

Jeddah Waterfront ini telah menerima sentuhan lanskap yang baharu sekitar tahun 2017 dan kini, kawasan Jeddah Waterfront meliputi pantai saujana mata memandang, pelbagai jenis restoran, taman-taman rekreasi, hotel, resort serta masjid-masjid. Demi menarik lebih ramai orang untuk berkunjung ke sini, ada beberapa festival telah disusun atur untuk memeriahkan lagi suasana di Jeddah Waterfront.

Makan di Restoran Al Baik

Restoran Al Baik adalah satu daripada rangkaian restoran makanan tempatan terbaik yang ada di Arab Saudi. Restoran ini terdapat di merata-rata tempat di sekitar Jeddah dan anda perlu cuba sendiri untuk makan beberapa juadah istimewa yang disediakan di sana. Walaupun beberapa juadah bertukar-tukar saban tahun untuk memenuhi kehendak pelanggan, menu istimewa Al Baik berupa ayam yang digoreng dengan cmapuran rempah ratus istimewa masih lagi menjadi kegemaran kepada pelanggan yang singgah makan di restoran ini.

Kebanyakkan pelanggan yang datang lebih gemar untuk membawa pulang makanan yang dipesan oleh mereka kerana ruang makan hanya disediakan kepada pelanggan lelaki sahaja dan kebiasaannya penuh. Jadi, tip kepada ada, pesan makan yang anda mahu dan bawa pulang makan di hotel atau makan di Jeddah Waterfront bersama keluarga atau kawan-kawan anda.

Membeli-belah di pusat membeli-belah di Jeddah

Sekiranya anda berkunjung ketika musim panas, suhu di Jeddah boleh mencecah ke tahap yang membuatkan anda berasa sangat panas dan berpeluh-peluh. Kehangatan musim panas di sana tidak sama dengan apa yang anda alami di Malaysia. Oleh demikian, ramai rakyat Arab Saudi akan menghabiskan masa di pusat membeli-belah untuk lari sebentar dari rasa panas yang menyengat di luar bangunan. Disebabkan itu, pusat membeli-belah juga adalah satu daripada budaya yang terdapat di sana.

Di Red Sea Mall, anda boleh lihat dekorasi ruang dalam bangunan membeli-belah itu dihiasi dengan lukisan dan hiasan dalaman bertemakan sejarah Arab Saudi zaman silam. Tidak ketinggalan juga dengan butik dan kedai-kedai yang ada di dalam bangunan membeli-belah itu yang seakan turut sama mengikut tema dengan menjual jubah dan barangan kemas orang-orang Arab.

Singgah di kafe kopi Arab

Anda ingin mengalami sendiri pengalaman berada dalam masyarakat Arab Saudi? Anda perlu singgah ke kedai-kedai kopi yang terdapat di kebanyakkan penjuru di dalam bandar Jeddah tersebut. Orang baru yang datang ke Jeddah kebiasaannya akan memilih kedai-kedai kopi sebegini untuk berbual bersama orang tempatan dan merasai sendiri budaya yang ada di sana. Ada banyak kedai-kedai ini menjual juadah makanan yang lazat, bersama sekali dengan perbualan bersama rakan-rakan yang baru anda kenal, bersama secangkir kopi, pasti akan memberikan satu pengalaman baharu kepada anda di bumi Arab Saudi. Antara kafe kopi yang dicadangkan kepada anda adalah Brew 92, Gailah Hub, dan Medd kerana kesemua kedai ini adalah popular dan menjadi kegemaran masyarakat tempatan.

Nikmati shawarma dan falafel asli dari kedai tempatan

Boleh dikatakan terdapat banyak tempat yang menjual shawarma atau falafel di setiap jalan di Jeddah. Tidak ada dua kedai yang menjual shawarmas atau falafels dengan rasa yang sama, jadi pastikan anda mencuba sebanyak mungkin!

Melawat Athr Gallery

Keindahan dan kehalusan hasil seni juga berkembang dengan baik di Jeddah dan di Athr Gallery adalah tempat yang baik untuk anda melihat hasil seni yang dipamerkan di sana. Athr Gallery ini adalah salah satu ruang seni kontemporari terkemuka di Jeddah dan menganjurkan pameran gambar, montaj, lukisan dakwat, kitab, patung, karya abstrak, dan sebagainya untuk menyediakan platform hebat kepada artis Saudi dan Arab.

Meluangkan masa di Pancuran Raja Fadh

Pancuran air ini juga dikenali sebagai Pancunran Jeddah dan struktur ikonik ini telah memancurkan air setinggi 1,024 kaki selama lebih tiga dekad dan boleh dilihat dari pelbagai lokasi sekitar Jeddah. Ketika malam, pancuran ini akan dihiasi dengan limpahan lampu berwarna-warni.

Teroka kejiranan Al Balad

Al-Balad adalah salah satu kawasan kejiranan tertua di Jeddah. Dari segi istilah, Al Balad bermaksud ‘bandar’. Tempat ini didirikan pada abad ketujuh dan berfungsi sebagai pelabuhan laut di rantau Arab Suadi satu masa dahulu. Kebanyakan jalan-jalan dan rumah-rumah kekal tidak berubah sejak sekian lama dan keaslian yang dikekalkan itulah sebabnya ia mesti dikunjungi untuk hari-hari apabila anda ingin keluar dari pusat membeli-belah dan kesesakkan lalu lintas.

Ziarah ke Masjid Terapung Jeddah

Masjid Terapung Jeddah yang juga dikenali sebagai Masjid Fatima Al Zahra ini menarik berjuta-juta pengunjung setiap tahun. Terutamanya semasa air laut pasang. Masjid putih yang indah dibina di atas tiang yang yang tertanam jauh di bawah permukaan air, memberikan gambaran seolah-olah masjud ini terapung di atas laut. Bangunan ini berfungsi sepenuhnya dan digunakan oleh ramai untuk solat, tetapi juga dibuka untuk pelancong yang ingin mengambil gambar atau hanya melihat-lihat kawasan sekitarnya.

Singgah ke Taman Tema Al-Shallal

Terletak di pinggir Laut Merah, Al-Shallal adalah resort bercirikan taman tema dan menarik beratus-ratus penduduk dan pelancong setiap hari. Terdapat tasik buatan manusia dan air terjun menghiasi persekitaran resort berkenaan dengan permainan roller coaster serta permainan-permainan taman tema yang terdapat disekitarnya.