
Salah satu sebab orang nak travel ni adalah kerana makan. Makan dan minum. Terbukti dalam kajian yang orang – lagi-lagi rakyat Malaysia ni memang travel untuk makan.
Kalau satu-satu tempat tu ada makanan yang sedap, confirm! Confirm beratur nak pergi makan.Tapi dalam sedar tak sedar, hasil makanan atau minuman di negara kita ni pun pernah dinobatkan antara yang terbaik di dunia.
Betul, tak kan lah Libur nak membongak pula kan?Kalau tak percaya, anda boleh teruskan bacaan ni. Tak payah Google, Libur sendiri ceritakan kepada anda apakah minuman yang pernah diiktiraf sebagai minuman terbaik dunia tu.
Menurut CNN Travel, terdapat 50 minuman yang tersenarai antara minuman paling sedap di dunia, dan salah satu daripadanya ialah minuman daripada Malaysia.
Berada dikedudukan ke-6 daripada 50 minuman paling sedap, air mata kucing menjadi pilihan dunia sebagai minuman paling sedap untuk diminum.
Buah mata kucing, atau nama saintifiknya Euphoria malaiense, mempunyai nama sedemikian kerana buahnya seakan-akan mata kucing. Buah mata kucing mempunyai saiz sedikit dan ada juga memanggil ia sebagai buah longan.Pokok mata kucing dikatakan mampu mengeluarkan 2,000 hingga 2,500 biji buah setiap kali musim berbuah.
Disebabkan kandungan antioksidan buah ini sangat tinggi, ia dikatakan sesuai bagi wanita hamil dan bijinya juga dikatakan boleh mengubati gigitan ular.Daripada 50 senarai minuman tersedap di dunia ini, tempat pertama adalah milik air kosong. Ya, air kosong berada ditempat teratas dan pertama dalam 50 senarai minuman paling sedap di dunia.
Sumber: CNN Travel
Nak Masuk Hutan Bukan Boleh Semborono, Ilmu Hutan Ini Korang Kena Ambil Tahu!

Kalau ada yang nak ke hutan untuk bercamping atau meredah untuk hiking dan sebagainya, bukan boleh main masuk sahaja. banyak benda dalam hutan yang ada ‘rules & regulation’ tersendiri. Sedikit sebanyak korang yang nak redah hutan kena ada ilmu.
Ini antara ilmu hutan yang perlu diketahui kalau korang ada merancang nak masuk hutan atau bereksplorasi ke dalam hutan yang tak biasa diterokai.
ANTARA ILMU HUTAN YANG PERLU DIKETAHUI
- Lumut taik kera. Kalau kita jalan diwaktu malam, terutama di hutan padat dekat dengan air terjun atau sungai (macam kes saya kat Janda Baik), bila kita jalan dalam gelap, kita akan nampak ada benda bercahaya warna hijau ala² benda yang pendarcahaya. Benda yang bercahaya tu ialah lumut taik kera, bila siang tak nampak apa², bila malam dia akan keluarkan cahaya walaupun dengan sedikit bantuan cahaya dari bulan bintang. Yang bestnya, lumut ni hanya tumbuh didenai (laluan binatang atau orang), so kalau sesat, ikut je laluan ni diwaktu malam, insyaAllah tak langgar pokok.
- Ular tedung. Kalau terserempak dengan ular masa dalam hutan, jangan buat gerakan mengejut stay still dan undur balik. Ular tedung tak mematuk bila kepala dia tengah kembang penuh, sebaliknya akan mematuk bila kepala dia kembang separuh je. Oleh tu, kita acah² bagi ular tu kembang penuh dengan ranting kayu dan berundur perlahan-lahan. – belajar dari orang asli.

- Kera / lutong dan spesis yg sama. Spesis kera takkan lari bila kita libas dengan sebatang ranting kayu, in fact dia lebih lincah dari gerakan ranting kita. Untuk halau kera, patahkan pokok renek dgn daun dan ranting yg mengembang dan hayunkan kat kera tu baru dia lari (rasionalnya, ranting + daun yang kembang tu nampak lagi besar dari sebatang ranting) – belajar dari askar.
- Harimau. kalau memancing dalam hutan, sedangkan dalam hutan tu bunyi penuh dengan unggas serangga, tiba² hutan tu jadi sunyi sepi, biasanya ada haiwan sedang mengendap terutamanya harimau, harimau akar dan beruang. Selepas hutan jadi ‘diam’, kemudian disusuli dengan bau hamis..confirm harimau..hehehe..apa lagi, bagi letup satu mercun bola la.. – belajar dari orang asli.
- Beruang madu. Hutan paya kat Malaysia banyak beruang madu (yang kecil tu, sekerat pinggang dengan dada warna jingga), kalau terserempak, kita yang perlu menjerit dan buat seperti nak kejar, automatik beruang tu akan lari. -belajar dari orang asli.
- Kepala air. Kalau berkhemah di tepi sungai, jangan buat khemah kat tepi air, buat dibahagian / kawasan yang pokoknya besar. Tandakan satu batu yang besar, kalau tengah malam batu tu hilang, maknanya air tengah naik la tu. – belajar dengan kaki pancing.

- Tanda-tanda kepala air. Kalau hujan kat hulu, biasanya akan ada kepala air (air naik dari dalam perbezaan paras 5 kaki tak sampai 10 minit). Tanda² lain yang kita perlu tengok ialah kehadiran buih² putih kat tempat tak berbuih (kalau kat tempat air jatuh for sure ada buih) maksud saya kat tempat air mengalir biasa, tetiba ada buih2 halus timbul. Tu tandanya arus bawah lagi laju dari arus atas. Lepas itu, akan ada daun hanyut, barulah ada perubahan warna air, dari jernih ke warna keruh. Biasanya perubahan ni sekejap saja, dalam 5-6 minit sebelum arus besar datang (kepala air) sama kes kat Dam Chamang, Bentong. Saya dah kena. Tambahan lagi, kalau kepala air datang, bunyi air lebih kuat daripada biasa, dari kejauhan dah dengar.
- Nak masak air. Jangan ambil air kat tepi sungai, ambil kat tengah sungai atau tempat yang mengalir deras. Rationalnya, tikus, rusa, kancil, babi kencing kat tepi sungai, arus akan tolak air kencing tu ke tebing. So, ambil yang tengah². – belajar dengan askar.
- Binatang besar. Kera atau monyet akan lari dan buat bising bila ada bahaya i.e harimau, gajah, badak, seladang dll. Kalau dari jauh dengar bunyi kera buat bising tentu ada binatang besar tengah lalu. – belajar dengan orang asli.
- Makan makanan yang dimasak i.e ikan bakar dll. Semasa kat hutan, kami mesti makan sampai habis dan hanyutkan / tanam lebihan makanan sebab bau makanan ni akan menarik perhatian beruang, kera, gajah untuk datang bertandang. – ni belajar dengan kaki pancing lain.
- Buat semua perkara sebelum jam 5.00 petang. Biasanya, bila kami kat hutan, kami akan selesaikan semua urusan (masak, mandi, basuh dll) sebelum jam 5.00 petang. Sebab, dalam pukul 5 lebih, hutan dah gelap disebabkan oleh kanopi pokok dan kecondongan matahari. – belajar dari pengalaman.

- Hutan yang bising dengan bunyi unggas lebih baik di waktu malam daripada hutan yang sunyi sepi. Bila hutan sepi, mesti ada sesuatu yang tak kena. – orang asli.
Ok, masuk bab amalan buka khemah (Rule dan sistemnya la, bukan amalan yang spritual).
- Cari kanopi yang masih hijau. Bila dah tentukan nak pacak khemah, dongak ke atas cari pokok muda dan kanopi (rimbunan daun) yang masih hijau jadi, risiko kena hempap ranting dahan bila angin kuat rendah.
- Ketinggian dari paras air. Bila dah tentukan mana bahagian yang lapang nak dipasang khemah, tentukan ketinggian khemah sekurang-kurangnya 4 kaki dari aras air sungai, kalau landai jangan buat khemah disitu, biasanya kawasan landai, akan ada banyak pokok² rendah dan renek maca. pokok senduduk dll..tu tandanya air selalu naik kat kawasan tu. Cari kat kawasan yang pokoknya besar².
- Tentukan laluan / denai didalam radius kawasan 20 meter dari khemah. Jangan buat khemah didalam laluan denai, sebab laluan denai bukan untuk manusia sahaja, ianya adalah laluan binatang lain juga. Kang seladang tumpang tidur.

- Bersihkan lantai tapak perkhemahan daripada daun dan pokok² renek (potong je pokok² kecik ni, nanti dia tumbuh balik). Pakai je ranting² pokok, sapu sampai nampak tanah dan tiada daun, so, risiko terkena sengat lipan, kala jengking dll tu kurang sikit.
- Dah ready, baru tabur karbaid warna kuning tu.
- Kalau pakai khemah jenis igloo atau T-shape, pasang khemah secara menghadap / berhadapan dan unggun api kat tengah.
- Dalam nyalaan unggun api tu, standby beberapa batang kayu panjang. Sebolehnya, sesuai dengan jumlah orang yang pergi camping tu. Bila ada bahaya, perimeter diceroboh, apa lagi capai la kayu yang ada api ni sebagai senjata, parang dan pisau binatang tak takut. Api? confirm depa lari.
- Kalau ikut pengalaman saya, kami memang buat perimeter, risau juga kot² ada binatang datang (beruang terutamanya) datang ke khemah sebab bau masakan kami. Kami suka buat pagar dengan tali tangsi disambung dengan loceng, terlanggar je tali tu, loceng akan bunyi.
Kredit: Segamat Outdoor World
Pergerakan Rentas Sempadan Malaysia-Singapura Mula Dibuka. Kuota Dah Penuh Untuk Beberapa Hari!

Ada rakyat Malaysia yang sudah berpeluang merentas sempadan ke negara jiran Singapura? Apa-apa pun jangan lupa mengikut segala syarat dan SOP yang dikenakan di kedua-dua belah negara.
Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura adalah permulaan bagi merancakkan semula sektor ekonomi negeri ini yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19. Pembukaan sempadan itu juga keputusan yang sangat dinanti-nantikan oleh warga kedua-dua negara.
Pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura menerusi laluan hijau timbal balik (RGL) dan pengaturan ulang alik berkala (PCA) telah pun mula dibuka:
- RGL akan membabitkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi.
- PCA pula bagi pemegang pas imigresen jangka panjang di kedua-dua negara tersebut.
- Mereka yang layak sudah menghantar permohonan masing-masing sejak 10 Ogos lepas.
- Sebagai permulaan, bagi kategori pertama, seramai 400 orang dibenarkan dalam seminggu manakala kategori kedua seramai 2,000 orang sehari.
Seperti yang dijangka keputusan ini sangat ditunggu-tunggu apabila kuota permohonan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 17 Ogos 2020 didapati sudah penuh. Jabatan Imigresen Malaysia sudah menerima 180 permohonan RGL dan 6,000 permohonan bagi PCA, bagi keseluruhan tiga hari pada tarikh 17, 18 dan 19 Ogos telah penuh. Untuk RGL adalah 400 orang bagi tempoh seminggu, iaitu maknanya sehari antara 50 hingga 60 orang manakala PCA pula adalah 2,000 orang sehari. Keputusan permohonan merentas sempadan hanya diketahui sehari sebelum mereka memulakan perjalanan yang akan dimaklumkan menerusi e-mel.
Malaysia dan Singapura turut sepakat memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan berkenaan. Antara lain, kejayaan pembukaan RGL dan PCA akan menjadi penanda aras bagi pembukaan rentas negara bagi kategori ketiga iaitu 200,000 pekerja Malaysia yang berulang alik sehari. Ini akan diikuti rentas negara kategori keempat iaitu pembukaan sempadan sepenuhnya.
Sumber: Bernama | Image via Google
Tahniah Malaysia Airlines Rangkul Anugerah Penerbangan Terbaik Asia

Syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines meraih anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia bersempena anugerah pelancongan antarabangsa Majlis Antarabangsa Persatuan Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (PATWA) 2019 di ITB Berlin.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata anugerah itu didedikasikan kepada pekerja syarikat itu yang komited dalam memberikan pengalaman penerbangan bertaraf dunia kepada penumpang mereka setiap hari. Ini adalah bukti komitmen Malaysia Airlines dalam memberikan pengalaman hebat di darat dan udara kepada penumpang.
Sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan setia, Malaysia Airlines akan menawarkan 25 peratus potongan tambang ke destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney. Tawaran tersebut sah sehingga tengah malam 12 Mac 2019 untuk perjalanan sekarang dan 31 Mei 2019.
Pelanggan boleh menempah tiket mereka di mana-mana agensi pelancongan yang mengambil bahagian atau melalui laman web Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com.
Sumber: Astro Awani