
Andai Korea Selatan menjadi destinasi percutian anda, jangan ketinggalan ke K-Style Hub yang menjadi lokasi tepat untuk mengetahui segalanya tentang negara ini. Ia merupakan pusat sehenti yang menyediakan informasi yang diperlukan oleh kebanyakan pelancong. Selain menjadi pusat informasi pelancong, terdapat pelbagai kegiatan yang dibahagikan kepada lima aras berbeza.
Terletak di tengah bandaraya Seoul,berhampiran Cheonggyecheon River. Jika anda pertama kali tiba di Seoul, Korea, ambil kesempatan untuk ke K-Style Hub kerana di sini pelbagai info yang sangat membantu sepanjang berada di negara ini. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke sini dan dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi sehingga jam 8.00 malam untuk bahagian Tourist Information Center di Tingkat 2.
Di K-Style Hub anda dapat menjelajah, mencuba dan merasakan serba sedikit pengalaman tentang Korea. Selain itu, pengunjung boleh memahami budaya masakannya, memasak dan mencuba makanannya serta menikmati indahnya Korea.
Berada di tingkat dua, bau aroma kopi dari kafe yang berada di sebelah kanan mengajak anda untuk singgah menikmati kopi. Di sebelah kiri ada layar besar yang menunjukkan pemandangan 360 darjah dari tempat-tempat pelancongan terkenal di Korea.
Maju ke kiri, anda dapat melihat pelbagai risalah pelancongan di Korea , pengunjung juga dapat mencuba pengalaman VR melihat lokasi-lokasi menakjubkan. Anda juga boleh berfoto bersama replika patung kertas BIGBANG dan foto virtual bersama artis K-Pop
Istimewanya pelancong Muslim boleh menjalankan solat di surau kecil yang telah disediakan di bahagian belakang tingkat dua ini. Ruangan solat untuk lelaki dan wanita diasingkan dan masing-masing dalamnya terdapat ruang untuk berwuduk. Selain itu terdapat ruangan mengenai kesihatan dan kecantikan. Anda boleh cuba mengukur usia kulit.
Pintu masuk ke Korean Food Exhibition Hall pada tingkat 3 begitu menarik perhatian. Tempat ini dihiasi dengan suasana tradisional Korea yang autentik, di mana jendela panjang dengan panel kayu tersusun sebaris. Kelihatan 24 panel kayu mempamerkan makanan musim di Korea. Pengunjung juga dapat melihat pelbagai biji-bijian dan perencah tradisional Korea yang telah mengalami proses fermentasi iaitu Kimchi. Lauk pauk didapati dari kombinasi warna, jenis, rasa dan bentuk. Ini merujuk pada musim, kesihatan dan keindahan.
Jengah pula ke tingkat empat, pengunjung boleh mencuba memasak makanan tradisional. Pendaftaran diperlukan bagi yang ingin mengikuti kelas memasak . Anda dapat memilih untuk membuat pelbagai macam makanan Korea di ‘Korean Food Learning Center’, mencuba makanan Korea di ‘Korean Food Experience Zone’, atau mendapatkan resepi makanan Korea yang berharga di ‘Korean Food Sarangbang’.
Mencuba Hanbok
Art Market Hall adalah tempat terakhir sebelum meninggalkan K-Style Hub. Pengunjung dapat melihat dan mencuba pakaian tradisional Korea (Hanbok) dan meja makan kecil yang digunakan oleh masyarakat di Korea serta produk kreatif. Karya seni dihasilkan penuh artistik dan boleh dijadikan sebagai cenderahati buat keluarga mahupun teman-teman. Sesungguhnya penjelajahan ke K-Style Hub memberi pengalaman berharga buat pengunjung untuk mengetahui tentang budaya dan makanan di Korea.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Destinasi Percutian Agro Paling Best Di Selangor, 5 Lokasi Wajib Anda Lawati Nanti!

Negeri Selangor mempunyai banyak destinasi pelancongan agro yang menarik untuk dikunjungi. Bukan setakat untuk lawatan, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan. Ini 5 destinasi pelancongan agro terbaik yang boleh dilawati di Negeri Selangor selepas PKPB berakhir:
- MAEPS AGRO TOURISM PARK, SERDANG
MAEPS Agro Tourism Park merupakan taman agro yang sesuai untuk bercuti bersama keluarga yang menampilkan keindahan alam semula jadi. MAEPS, Serdang menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman di kawasan perladangan dan pertanian. Antaranya ialah “House of Kambing” yang menempatkan haiwan seperti kambing dan menawarkan menu makanan nasi kukus kambing bakar. Selain itu, terdapat juga pelbagai taman pertanian yang membolehkan pengunjung menimba ilmu seperti laman herba, laman padi, laman nenas, laman perikanan, G2G Animal Garden di mana mereka boleh memberi makanan kepada haiwan dan banyak lagi. Pengunjung juga boleh menginap di Nafas Cube di sini yang berkonsepkan binaan kabin dan tiub.
Bayaran masuk: RM65 tanpa MyKad, RM45 dengan Mykad, RM35 pelajar
Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi hingga 5.30 petang)
- TAMAN BOTANI NEGARA, SHAH ALAM
Taman Botani Negara merupakan taman pelancongan agro yang dibangunkan untuk tujuan riadah serta penyelidikan. Taman Botani Negara menampilkan pemandangan alam semula jadi yang hijau, nyaman dan menyegarkan. Taman ini mempunyai tarikan yang menarik khas buat pengunjung, iaitu Rumah Iklim Empat Musim yang terkenal di mana pengunjung akan merasai cuaca musim salji, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Namun rumah empat musim hanya akan dibuka semula kepada umum pada suku pertama tahun 2021. Selain itu, terdapat juga taman kaktus, orkid, rempah-ratus, buah-buahan, taman haiwan dan banyak lagi.
Bayaran: RM3 (12-54 tahun) RM1 (kanak-kanak 6-11 tahun), RM1 (55 tahun keatas), OKU percuma
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (7.30 pagi hingga 4.30 petang)
- SELANGOR FRUIT VALLEY, KUALA SELANGOR
Jika anda merancang untuk bercuti di taman buah-buahan, Selangor Fruit Valley merupakan destinasi yang tepat untuk anda kerana taman ini mempunyai pelbagai jenis ladang buah-buahan tempatan serta anda juga menikmati buah-buahan dengan percuma. Bukan itu sahaja, terdapat juga tarikan dan aktiviti yang disediakan seperti petting zoo mini, aktiviti berkayak, ladang rusa, rumah tradisional, ternakan madu kelulut dan banyak lagi. Malah, terdapat juga tanaman buah belimbing, jambu, betik, rambutan dan sebagainya. Selain itu, terdapat kemudahan trem yang boleh dinaiki dan anda akan dibawa ke sekitar kawasan taman ini sambil menghirup udara segar. Anda juga boleh singgah ke gerai menjual air kelapa untuk beristirahat dan menghilangkan dahaga dengan menikmati air kelapa yang segar.
Bayaran: RM8 (dewasa), RM4 (60 tahun keatas), Rm4 (Oku) dan kanak-kanak (5-12 tahun), percuma (5 tahun ke bawah)
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.00 pagi hingga 4.00 petang)
- FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA, KEPONG (FRIM)
Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang. Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi. Terdapat juga tanaman seperti Rubiaceae (famili kopi), Fabaceace (famili kacang), Euphorbiaceae (famil getah), pokok Keladan yang berumur 116 tahun, pokok Melaka dan banyak lagi. Tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar.
Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung.
Bayaran masuk: Tanpa Mykad (RM5, dewasa), (RM1, kanak-kanak tanpa seragam), (Percuma, OKU dan kanak-kanak berseragam)Mykad (RM1, dewasa), (RM1, 13 tahun keatas), (Percuma, OKU dan kanak kanak pakaian berseragam)
Waktu operasi: Isnin hingga Jumaat (8.00 pagi hingga 5.00 petang)
- KUAN WELLNESS ECO PARK, KUALA LANGAT
Taman Eko Kuan Wellness merupakan salah sebuah destinasi yang menarik untuk dilawati di Negeri Selangor. Pengunjung akan menikmati persekitaran taman yang segar dengan tema pelancongan ekologi semula jadi disertakan dengan aktiviti yang ada di taman ini. Jika melawat ke sini, aktiviti yang boleh dilakukan adalah memberi makanan kepada haiwan di mini zoo seperti arnab, itik dan burung. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat ke ladang buah tropika, menyaksikan aktiviti pemprosesan sarang burung untuk dijadikan produk kesihatan dan landskap yang cantik untuk bergambar.
Bayaran masuk: RM3 untuk ruang pameran sarang burung, RM5 untuk mini zoo
Operasi: 9.00 pagi – 5.00 petang (Setiap Hari)
Sumber & Foto: Tourism Selangor
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dikenali Sebagai Bandaraya Peranginan, 6 Destinasi Ini Wajib Singgah Bila Ke Miri, Sarawak!

Merupakan bandar kedua terbesar di Sarawak, Miri adalah bandar raya pertama yang bukan ibu negeri mendapat taraf bandar raya. Turut dikenali sebagai Bandaraya Peranginan, Miri mula dikenali apabila kemunculan industri minyak dan gas asli dijumpai pada tahun 1910 di Bukit Telaga Minyak, Bukit Kanada.
Rentetan dari itu Miri terus pesat membangun hingga hari ini. Miri dikatakan mendapat nama daripada suku kaum Miriek yang merupakan penduduk bumiputra Miri pada abad ke-16. Orang Eropah yang datang untuk mencari gali minyak kemudiannya secara tidak sengaja menukar nama Miriek menjadi Miri. Maka nama tersebut kekal hingga kini. Bandaraya ini terletak di bahagian Utara Sarawak, dikelilingi oleh laut di bahagian timur dan bersempadan dengan negara Brunei.
Jika bercadang bercuti ke Miri, Sarawak lokasi ini merupakan destinasi wajib mesti singgah:
- Bukit Canada
Bukit Canada juga digelar The Grand Old Lady merupakan telaga minyak pertama di negara ini yang menggunakan kaedah alat kabel. Sejak 1910, Bukit Canada yang terletak 150 meter di atas paras laut, telah menyaksikan pelbagai sejarah dan pembangunan fizikal yang berlaku di bandar Miri yang kaya dengan hasil minyak ini, tetapi juga industri pelancongannya yang menarik. View di atas puncak bukit ini sangat menawan dan istimewa dengan pemandangan indah bandar raya Miri dan Laut China Selatan. Memandangkan Bukit Canada mempunyai nilai sentimental kepada Miri, sebuah Muzium Sains Petroleum telah didirikan di sebelahnya.
- Muzium Sains Petroleum
Muzium ini merupakan salah satu tarikan utama pengunjung di bandar Miri. Sebaik sahaja kaki melangkah ke sini, pelawat seolah-olah dibawa kembali ke era bermulanya industri petroleum di Miri dengan wujudnya replika patung manusia yang sedang menggerudi minyak dan menara yang tinggi menjulang langit. Selain lengkap dengan sejarah perkembangan petroleum, pengunjung pasti tertarik dengan reka bentuk bangunan muzium.
- Tamu Muhibbah
Tamu Muhibbah memang terkenal bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga pelancong luar berusia lebih dua dekad. Sesuai dengan namanya, pasar ini sangat muhibbah dek kerana para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Antara yang boleh anda dapatkan jika berkunjung ke sini seperti hasil pertanian, sayuran dan buah-buahan segar yang dibawa dari pendalaman sekitar daerah Miri. Jika ingin mebawa pulang ole-ole, jangan lupa untuk membeli Gambir Sarawak, Perencah Laksa Sarawak, Beras Bario, Gula Apong, Kayu Serukai, Buah Dabai, Mangga Sarawak, Durian Mukak, Buah Terap atau Terubuk Ikan Masin.
- Pusat Kraftangan Miri
Keindahan budaya pelbagai etnik yang terdapat di Sarawak boleh dilihat dengan berkunjung ke Pusat Kraftangan Miri. Pusat itu dibuka kepada pengunjung setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang. Antara kraftangan yang boleh dibeli di sini ialah tembikar Sarawak yang dihiasi dengan motif tradisional seperti bunga terung selain motif burung kenyalang. Selain itu, lukisan bermotifkan masyarakat Dayak dan Orang Ulu juga turut dijual dengan harga berpatutan.
Pusat itu amat ideal bagi penggemar kraf buatan tangan seperti bakul, dan tikar rotan serta topi daripada kulit kayu. Menariknya pusat ini menempatkan pembuat kraf tangan dari pelbagai etnik seperti Melayu, Iban, Orang Ulu, Bidayuh dan Cina di bawah satu bumbung. Setiap premis menjual kraf tangan berdasarkan etnik masing-masing misalnya Orang Ulu menjual sumpit, hiasan manik dan topi kulit kayu.
- Pantai Bungai
Lebih kurang sejam pemanduan dari Bandar Miri, jangan lupa untuk singgah sebentar di Kampung Bungai di Bekenu. Di sini ada sebuah kawasan pelancongan yang tidak kurang popularnya iaitu Pantai Bungai. Pantai Bungai terkenal dengan kejernih airnya serta keindahan kawasan sekelilingnya yang masih terpelihara baik jauh dari kesibukan kota. Buat pengunjung yang gemar merakam momen indah pemandangan pantai, waktu paling ideal untuk ke sini menurut penduduk tempatan adalah pada pagi hari. Ketika itu air laut akan surut, maka pengunjung dapat melihat satu fenomena bentuk geografi yang begitu menarik dan unik.
- Long Bedian
Alang-alang sampai di Miri, masukkan destinasi Long Bedian dalam itinerari percutian anda. Long Bedian merupakan salah satu kawasan rumah panjang yang masih kekal dengan adat resam akar umbinya dan penduduknya jarang berhijrah ke bandar. Kejayaan dan perkembangan rumah panjang ini menarik perhatian ramai pihak sehinggalah mendapat perhatian dari golongan berstatus bangsawan untuk datang melawat.
Long Bedian hanya boleh dikunjungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan perjalanan lebih 200km dari bandar raya Miri. Selain itu, kampung berkenaan juga boleh dikunjungi dengan menggunakan perkhidmatan bot ekspres dari pekan Marudi ke Long Lama, sebelum menggunakan laluan jalan balak dari Long Lama ke Long Bedian.
Foto: Google Image

- LIKE & FOLLOW FB Majalah Libur
- Share video ni di wall korang (PUBLIC)
- Taip jawapan korang di ruangan komen & tag tiga orang kawan!
- 3 KOMEN terakhir dengan jawapan yang betul sebelum min KOMEN STOP akan menang! Komen je banyak-banyak dan alert dengan komen STOP daripada min pada bila-bila masa ok?
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Lokasi Menarik Sekitar Hanoi Yang Anda Boleh Pergi Selepas Menonton Malaysia Vs Vietnam Esok!

Siapa yang pergi menonton perlawanan akhir Piala Suzuki Aff 2018 Malaysia lawan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi? Saya percaya, confirm ada ekor Harimau Malaya yang turun ke Hanoi esok.
Tapi, dah sampai sana, tak akan tak ke mana-mana kan? Alang-alang menyeluk pekasam tu biar sampai ke pangkal lengan. Dah sampai Hanoi, jom la pusing-pusing dulu.
Ini antara beberapa lokasi yang boleh dipertimbangkan sekiranya anda pergi menyokong Harimau Malaya di Hanoi esok.

Tasik Hoan Kiem dan Ngoc Son
Tasik Hoan Kiem di Hanoi menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan yang ingin menghindari kebisingan dan kesibukan bandar. Damai dan tenang, tasik ini mengelilingi Kuil Ngoc Son, sebuah pagoda yang terletak di tengah-tengah sebuah pulau kecil.
Kuil ini menarik banyak pelawat dan dibina untuk memperingati pemimpin tentera abad ke-13, Tran Hung Dao yang terkenal dengan keberaniannya dalam pertempuran melawan Dinasti Yuan. Pulau di mana kuil ini dibina dikenali sebagai Pulau Jade dan boleh dimasuki melalui Jambatan Huc atau Rising Sun Bridge yang merupakan jambatan kayu dicat merah jambu daripada reka bentuk Vietnam klasik.
Pagoda ini juga dijaga oleh dua menara yang mengagumkan, dihiasi dengan tulisan Cina. Tasik dan kuil ini mungkin tempat paling terkenal di bandar Hanoi sebagai tempat untuk berehat sambil menikmati pemandangan dan merupakan tempat yang bagus untuk duduk dan melihat penduduk tempatan.
Tasik dan kuil ini menawarkan banyak pokok dan teduhan untuk melarikan diri dari jalan-jalan bandar yang sibuk. Untuk menuju ke sini, anda boleh menuju ke Old Quarter dan pejabat pos utama yang terletak di sebelah tasik. Tiket boleh dibeli di gerai yang terletak di sebelah kiri sebelum anda menyeberangi jambatan.
Kuil dibuka pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang setiap hari dan masa yang terbaik untuk sampai ke tasik ini adalah waktu pagi untuk menonton penduduk tempatan melakukan yoga dan tai chi. Untuk sampai ke kuil, anda boleh berjalan melintasi jambatan Huc berwarna ke Jade Island.
Lokasi: Hanoi Old Quater

Imperial Citadel of Thang Long
Imperial Citadel of Thang Long adalah peninggalan sejarah Vietnam yang menarik serta menjadi tanda sejarah dan budaya masyarakat Vietnam yang penting, malah ia telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2010.
Imperial Citadel of Thang Long turut dikenali sebagai Kota Benteng Hanoi di samping penemuan banyak artifak bersejarah kurun ke-6 hingga kurun ke-20 yang digali pada tahun 2004. Penemuan artifak bersejarah ini termasuk asas binaan istana lama, jalan kuno, kolam dan telaga.
Di samping penemuan ini, ahli arkeologi juga menemui syiling gangsa, seramik dan tembikar dari China dan banyak tempat lain di Asia. Semuanya penemuan ini menunjukkan hubungan dagangan yang dekat di kawasan ini.
Tapak kuno ini adalah pusat politik negara selama 13 abad berturut-turut dan menjadi ibukota Vietnam selama lapan abad. Tarikan yang ketara di Imperial Citadel of Thang Long adalah Menara Bendera Hanoi, sebuah kubu batu berukuran 40 meter yang telah diubahsuai dan menawarkan pemandangan Ba Dinh Square dan Pusat Bandar Raya Hanoi.
Lokasi Imperial Citadel of Thang Long ini terletak di Daerah Ba Dinh, harga tiket untuk masuk ke kawasan ini berharga VND30,000 dan ia dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Isnin. Tapak terkenal ini juga berada dalam jarak 15 minit berjalan kaki dari tempat-tempat menarik seperti Kuil Quan Thanh, Muzium Sejarah Ketenteraan Vietnam dan Gereja Cua Bac.
Untuk mengunjungi kawasan yang menarik di sini, anda boleh terus ke bilik pameran yang mempamerkan barangan artifak yang menarik dan mock-up benteng istana kuno ini sendiri.
Waktu operasi: Selasa hingga Ahad (8 pagi hingga 5 petang)
Lokasi: 9 Hoang Dieu, Dien Bien, Ba Dinh District, Hanoi
Harga: VND30,000

The Perfume Pagoda
Pagoda Perfume, yang turut dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Chua Huong. Pagoda ini terletak di tengah-tengah kawasan yang sangat dihormati dan suci serta memaparkan kuil-kuil Buddhayang dibina di tebing batu kapur Huong Tich.
Di tengah kompleks pagoda ini terletak Kuil Perfume di Gua Huong Tich. Dipercayai bahawa kuil pertama dibina di sini pada abad ke-15, walaupun legenda setempat mengatakan bahawa tapak ini sebenarnya telah ditemui lebih 2,000 tahun yang lalu oleh seorang biarawan Buddha yang sedang bermeditasi di kawasan berhampiran.
Bukit-bukit di kawasan ini mempunyai keindahan alam semulajadi dan rohani yang penuh dengan sungai, tumbuh-tumbuhan tropika dan kuil. Terdapat banyak pagoda untuk dilawati dan setiap satu kuil menawarkan bentuk yang berbeza, kebanyakannya adalah Buddha walaupun terdapat satu atau dua daripadanya adalah animis.
Pagoda Perfume menarik penganut budha serta pelancong yang mencari nasib baik daripada stalagmit dan stalaktit di dalam gua yang telah dinamakan sesuai dengan rahmat yang dipercayai dapat ia berikan. Dun Tien menawarkan kemakmuran dan Nui Co menawarkan peluang melahirkan seorang gadis manakala Dun Gao diterjemahkan sebagai ‘tumbukan beras’ kepada mereka yang berharap untuk tuaian yang melimpah.
Pintu masuk Pagoda Perfume mempunyai ruang yang luas dan Gua Huong Tich menyerupai mulut naga yang terbuka serta dihiasi dengan huruf Cina kuno yang diterjemahkan sebagai ‘gua gred pertama di Dunia Selatan’, tarikh penulisan ini dianggarkan pada tahun 1770. Ruang di dalam gua terdapat banyak patung yang diukir dari batu hijau yang menghiasi kuil yang, termasuk salah satunya adalah Tuan Buddha dan satu lagi dewi Buddha Quan Am.
Stalaktit dan stalagmit licin juga mengisi ruang dalam gua dan sentiasa disentuh oleh jemaah yang mempercayai ia mampu untuk menyampaikan mukjizat dan nasib baik. Anda akan dapati kuil yang sangat sejuk di dalam dan juga sangat sibuk terutama pada hari-hari perayaan Chua Huong yang berlangsung dari Januari hingga April.
Adalah lebih baik mengambil masa untuk berhenti dan menikmati pemandangan di sepanjang laluan ke kuil kerana di sana mempunyai pemandangan yang sangat menarik, dihiasi dengan pokok buah-buahan termasuk aprikot dan herba ubatan yang ditanam oleh petani tempatan. Kuil-kuil lain yang ada untuk dilihat di dalam kompleks ini termasuk Kuil Vong, Gua Thuyet Kinh dan Pagoda Thien Son.
Perjalanan ke Pagoda Perfume ini sendiri merupakan pengalaman yang menarik. Terletak kira-kira 60 km dari barat daya Hanoi di sekitar Gunung Huong Son, anda perlu mengambil kereta selama kira-kira dua jam sebelum menaiki bot untuk sampai ke kompleks kuil. Bot ini akan menelusuri sungai dan anda akan mempunyai pilihan untuk berhenti dan melawat beberapa kuil ini. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masa yang singkat, terus sahaja ke Gua Huong Tich. Anda perlu berjalan kaki untuk ke Pagoda Perfume yang mengambil masa kira-kira satu jam. Laluan boleh menjadi licin, jadi anda perlu membawa kasut atau kasut hiking.
Waktu operasi: Setiap hari 6.30 pagi hingga 5 petang
Lokasi: Huang Son, My Duc, Hanoi
Teater Boneka Air Thang Long
Teater Boneka Air Thang Long di Hanoi ini adalah antara teater boneka air yang terkenal di dunia dan mempunyai susur galur seni yang bermula pada abad ke-11. Tradisi teater boneka air ini berasal apabila kawasan sawah padi dibanjiri oleh air dan penduduk kampung akan membuat hiburan dengan berdiri di dalam petak sawah dan bermain boneka di dalam air yang berketinggian separas pinggang.
Menggunakan batang besar sebagai sokongan, boneka ini kelihatan seolah-olah bergerak di atas air dengan boneka-boneka yang lain akan disembunyikan di sebalik layar.
Tradisi teater boneka air ini unik terutama kepada Vietnam Utara, sehingga menjadikan ia terkenal dan dimainkan di beberapa lokasi berbeza seluruh dunia. Jadi pengalaman untuk menonton teater boneka air di sini merupakan pengalaman yang berbeza kerana ia dimainkan di lokasi asal iaitu panggung Teater Boneka Air Thang Long.
Pertunjukan teater boneka air ini diiringi oleh orkestra yang bermain musik tradisional menggunakan drum, loceng kayu, tanduk, seruling buluh dan simbal. Terdapat juga lagu-lagu tradisional Vietnam yang menceritakan kisah tersendiri sambil dilakonkan oleh boneka air.
Sebahagian besar pertunjukan ini menceritakan kisah rakyat Vietnam dan legenda rakyat tempatan dalam pelbagai topik termasuk perayaan penuaian padi yang digambarkan dengan cara yang lucu.
Pertunjukkan di pentas teater ini dilakukan di kolam air untuk boneka. Patung-patung boneka ini dikendalikan oleh tidak lebih dari lapan anak dalang yang bersembunyi di belakang layar buluh.
Pertunjukan Boneka Air Thang Long ini juga dianggap sebagai salah satu acara penting budaya masyarakat di Vietnam Utara, berasal daripada tradisi yang bermula di hulu Sungai Merah dan persembahan biasanya terdiri daripada beberapa plot pendek dan bukan satu plot cerita panjang, membawa penonton merasai perjalanan kehidupan kampung purba, hasil pertanian dan tarian makhluk mitos.
Plot penceritan teater boneka air ini juga menunjukkan kisah Legend of the Sword of King yang ditambahbaik, kisah Hoan Kiem Lake dan kura-kura raksasa. Selain itu, persembahan musik turut memainkan paranan penting dalam persembahan dengan penyanyi yang sering menjerit kata-kata dorongan kepada boneka.
Teater Boneka Air Thang Long adalah salah satu tarikan pelancong yang paling popular di Hanoi. Jadi, sebaiknya anda beli tiket terlebih dahulu sebaik sahaja anda tiba di Hanoi. Anda juga dinasihatkan untuk membeli tempat duduk di bahagian hadapan bagi mendapatkan pemandangan yang lebih dekat kerana terdapat beberapa ratus tempat duduk penonton dan boneka air ini tidak begitu besar.
Teater mempunyai 17 plot penceritaan dalam durasi satu jam. Selain daripada harga tiket sebanyak VND100,000, ada bayaran yang dikenalan untuk kamera atau video jika anda ingin mengambil gambar sepanjang persembahan ini.
Waktu operasi: Setiap hari pukul 3 petang, 4.10 petang, 5.20 petang, 6.30 petang dan, 8 malam.
Lokasi: 57B, Dinh Tien Hoang Street, Hoan Kiem District, Hanoi
Harga: VND100,000

Makam Ho Chi Minh
Makam Ho Chi Minh di Ba Dinh Square ini adalah salah satu tarikan yang paling banyak menerima pelawat di Hanoi. Makam ini adalah tempat berehat terakhir Ho Chi Minh, pemimpin Vietnam yang paling ikonik dan popular, serta turut dikenali sebagai ‘Uncle Ho’.
Tubuhnya disemadikan di dalam bekas kaca, walaupun persemadian itu menentang keinginan dirinya. Bagi pelancong, perjalanan ke tempat istirehat terakhir Uncle Ho boleh menjadi pengalaman luar biasa kerana ia bukan sekadar tarikan biasa; ia adalah sebahagian daripada sejarah yang unik.
Bermula pada tahun 1973, pembinaan makam ini diinspirasikan daripada makam Lenin di Rusia dan pertama kali dibuka kepada orang ramai pada tahun 1975. Binaan menggunakan granit memberi makna kepada penduduk tempatan sebagai simbol bahawa pemimpin mereka yang kasihi ‘hidup selama-lamanya’.
Keselamatan di sini agak ketat dan pelancong harus berpakaian sopan, tidak dibenarkan berpakaian seluar pendek, baju tanpa lengan dan miniskirt malah semua orang perlu menyimpan beg dan kamera mereka sebelum dibenarkan masuk. Pengunjung juga tidak dibenarkan berhenti kerana giliran pelancong untuk masuk ke sini adalah berterusan dan sentiasa sibuk.
Jasad Uncle Ho akan dihantar setiap tahun ke Rusia untuk proses pengawetan dan makam akan ditutup biasanya dari bulan Oktober dan ke atas. Anda dinasihatkan untuk menyemak tarikh lawatan dengan hotel anda sebelum berkunjung ke sini. Kemasukan ke sini adalah percuma tetapi derma ikhlas tetap diterima.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI