
Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau turut dikenali sebagai Anjung Spotter kini dibuka kepada orang ramai terutamanya peminat kapal terbang untuk melihat dan merakam gambar pesawat yang berlepas atau mendarat di lapangan terbang itu.
Manakan tidak, Anjung Spotter ini terletak bersebelahan dengan Runway 32L, bermakna ianya betul-betul bersebelahan dengan landasan tempat turun naik pesawat. Bawa satu kamera DSLR dengan lens 70-200mm, nah anda jadi ‘sniper’ di atas Anjung Spotter ini merakam gambar-gambar terbaik kapal terbang yang berlepas dan mendarat di landasan tersebut.
Libur rasa, lokasi ini amat bersesuaian untuk orang yang ingin belajar teknik panning dalam fotografi. Selama ni kalau nak belajar, kita hanya menggunakan subjek seperti motorsikal, kereta, bas atau lori di atas jalan raya sahaja kan? Okay, kali ini kita tukar subjek, kita gunakan kapal terbang pula untuk praktis panning. Macam mana? Menarikkan idea kalau nak datang ke Anjung Spotter ni?
Sekiranya anda ingin datang ke sini, jangan main terjah sahaja tau. Untuk nigh photograpy, adalah tidak digalakkan kerana Anjung Spotter ini hanya dibuka dari pukul 7 pagi hingga 7 malam sahaja. Ini bermakna, waktu golden hour pada sebelah pagi dan petang adalah waktu yang sangat bersesuai untuk anda datang merakam gambar-gambar pesawat.
Kenapa waktu golden hour pada waktu pagi dan petang adalah waktu yang Libur cadangkan terbaik untuk anda? Sebab pada kedua-dua waktu ni adalah waktu di mana nature light adalah sangat baik, berwarna kuning keemasan dan ianya akan menjadi satu lighting yang cantik untuk gambar anda.
Untuk anda datang ke Anjung Spotter ni, anda boleh menggunakan aplikasi Google Maps – cari sahaja Anjung Spotter KLIA dan anda akan dibawa terus ke lokasi yang terletak di Jalan Pekeliling, KLIA. Anjung Spotter berkapasiti 40 pengunjung siap menanti anda di sana!

Percutian Unik Ke Kota Emas Jaisalmer. Seakan Kembali Zaman Silam

Sebuah catatan perjalanan oleh Sharifuddin Lennon ketika bertualang ke wilayah paling hujung bagi negeri Rajasthan.
Sejauh mata memandang, ribuan rumah kotak-kotak berwarna kuning keemasan tersebar luas. Manakala bentang raksasa yang berusia lapan ratus tahun itu tetap berdiri megah, melawan kepanasan Gurun Thar yang membentang hingga ke Pakistan.
.
.
.
Sumber: Google.
Seperti mana Kota Jaipur yang dikenal sebagai Kota Merah Jambu (The Pink City) dan Jodhpur yang disebut sebagai Kota Biru (The Blue City), Jaisalmer turut mempunyai jolokannya tersendiri – Kota Emas (The Golden City). Namun ia bukan bererti semua bangunan di kota ini terbuat daripada emas – terlalu mewah bagi kota kering di tepi padang pasir ini. Sebenarnya warna emasnya tampak membara ketika matahari senja membilas barisan rumah yang dibina daripada tanah berwarna kuning yang terhampar di seluruh penjuru. Bahkan Benteng Raksasa Jaisalmer (Jaisalmer Fort) yang menjulang membayangi seluruh kota turut berwarna keemasan.
Berbeza dengan kebanyakan bentang lain di Rajasthan, Benteng Jaisalmer yang telah didirikan pada abad kesebelas oleh seorang bangsawan Rajput, Rawail Jaisal, bukan hanya bangunan kuno yang bertahan di atas putaran roda zaman. Benteng ini juga bukan sekadar monumen bersejarah biasa, tetapi ada kehidupan di sebalik dinding yang tinggi menjulang ini, dan denyut nadi kehidupan itu masih ada hingga sekarang.
Memasuki Jaisalmer fort yang mirip seperti sebuah kota kecil untuk digambarkan, saya seakan terlempar ke masa lalu. Ratusan lorong sempit berliku-liku di antara bangunan rumah kuno. Unta masih lagi menjalankan peranannya sebagai alat pengangkutan utama. Nenek tua sibuk menyulam di beranda. Alunan petikan sitar dan gendang menghidupkan kembali suasana kehidupan seharian zaman perajurit Rajput. Manakala ‘haveli’, rumah-rumah saudagar kaya daripada batu pasir berwarna emas berukir cantik dengan ratusan jendela dan ribuan bilik, masih dihuni oleh penghuninya yang berlimpah harta turun-temurun sejak ratusan tahun silam.
Seperti kota-kota lain di Rajasthan, kota kuno Jaisalmer turut dimajukan untuk menarik kunjungan pelancong asing. Banyak rumah lama di dalam benteng ini telah diubah fungsi menjadi tempat penginapan para backpacker hingga ke hotel berkelas bintang. Itu belum lagi ejen-ejen pelancongan, yang saling bersaing menawarkan pakej safari unta, pakej bermalam di gurun, penjualan tiket bas ke Jaipur, hingga tiket pesawat ke Mumbai. Ada pula kedai buku-buku lama, dengan koleksi V.S. Naipaul dan Salman Rushdie yang lengkap. Istana milik maharaja, rumah-rumah cantik haveli, semuanya memungut bayaran masuk. Di luar gerbang pula, terdapat kedai ‘bhang’, sejenis minuman yang dihasilkan daripada daun ganja – yang secara rasminya diluluskan oleh kerajaan India.
Kuil agama Jain di dalam Benteng Jaisalmer ini tentunya antara binaan yang tercantik di Rajasthan. Bukan cuma satu, tetapi beberapa buah sekaligus, membentuk sebuah kompleks monumen mewah di tengah kegersangan padang gurun. Penganut-penganut Jain pada masa silam adalah terdiri daripada para saudagar dan bangsawan, sehingga kuil-kuil kuno agama ini bergelimpang kemewahan pada zamannya – binaan tinggi yang kesemua dindingnya terukir indah, mengguratkan maha karya tak terbanding.
Sama seperti lokasi-lokasi kunjungan pelancong yang ada di sini, kuil jain di tengah benteng ini juga turut mengutip duit tiket daripada pengunjung. Oleh kerana misai saya yang sudah mirip dengan rakyat India dan kemampuan bertutur bahasa Hindi, saya berjaya memperdaya penjual tiket dengan membeli kuota tiket pengunjung tempatan. Namun apabila sampai di pintu gerbang kuil, saya gagal untuk melepasinya lalu dihantar semula ke kaunter tiket kerana petugas yang menjaga pintu masuk curiga dengan saya sebagai pelancong Jepun.
Di dalam kuil, di hadapan patung marmar Mahavira – nabi bagi penganut agama Jain yang digambarkan tidak berpakaian, seorang sami membunyikan loceng, mempersembahkan bunga suci dan lilin yang menyala di atas genangan lampu minyak, diring dengan alunan mantera. Atmosfera di dalam kuil ini seketika berubah menjadi suasana mistik.
Tetapi di antara variasi-variasi sejarah ini, saya melihat perkataan inggeris bertebaran di sudut-sudut dinding. Di atas tabung sumbangan pula, ada pesanan yang bertulis terang-terangan dengan dakwat merah: “Jangan memberi tips kepada ‘orang suci’, masukkan terus sumbangan anda ke dalam tabung.”
Nampaknya, sami atau ‘orang suci’ di kuil ini sudah diketahui menerima duit daripada para pengunjung, hinggakan pihak pengurusan kuil menulis pesanan sedemikian di atas tabung sumbangan. Namun ia sama sekali tidak menangkis sami ini untuk meminta sumbangan dengan nada yang separuh memaksa, khususnya daripada orang asing yang dianggap berdompet tebal.
“Sumbangan bhaiya, sumbangan,” pinta si sami yang berseluar dhoti-kurta berwarna oren ini. “Sumbangan ini bukan buat saya sendiri, tapi akan saya bahagikan untuk kepentingan seluruh kuil.”
Lantas saya menunjukkan jari ke arah pesanan yang tertulis untuk tidak memberi sumbangan kepada ‘orang suci’. Namun si sami ini masih tidak mati akal. “Saya bukan ‘orang suci’ bhaiya, saya ini Brahmin,” katanya sambil menunjukkan tali putih yang melingkar dari bahu ke pinggangnya – tali ‘janeu’ yang melambangkan ke-Brahma-an seseorang. Tali itu menjadi bukti bahawa dia termasuk dalam golongan yang ‘berhak’ menerima sumbangan secara langsung.
Namun begitu hakikatnya bukan semua orang di kota pelancongan ini sentiasa meminta wang. Babu, seorang pemilik hotel yang berdekatan dengan Jaisalmer fort telah memberikan saya penginapan percuma untuk dua malam di sebuah bilik hotelnya. Pengawal keselamatan di puncak istana maharaja pula mengizinkan saya memotret lautan rumah kotak-kotak kuning keemasan walaupun saya tidak membeli tiket khusus bagi pembawa kamera, hanya kerana saya telah menegurnya dengan menggunakan bahasa Hindi, dan langsung dianggap sebagai saudaranya sendiri.
Benteng kuno ini terus menerus diperindah dan dipercantikkan binaannya. Istana-istana yang dahulunya hampir hancur, kini dibaikpulih. Hotel-hotel dan agensi-agensi pelancongan baru terus bermunculan seperti cendawan yang tumbuh seusai hujan. Namun begitu masih ada sedikit masa lalu yang masih bertahan di tengah arus kemodenan.
.
Unta, bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi juga berfungsi sebagai pembancuh simen. Binatang yang biasanya nampak lembam, mengunyah makanan dengan malas, dan tidak banyak bergerak ini, sebenarnya mempunyai tenaga yang besar dan sangat garang di alam gurun seperti ini.
Setiap pagi, buruh-buruh bangunan menyiapkan pasir dan air, kemudian dituangkan ke dalam longkang berbentuk lingkaran yang berdiameter kira-kira empat meter. Di dalam lingkaran ini, dipasang sebuah roda batu yang besar, diikatkan dengan tali ke kaki unta di luar lingkaran yang berpaksikan sebatang kayu di pusat lingkaran tersebut. Unta akan berjalan mengelilingi lingkaran, lalu roda batu yang berat itu turut ikut menggiling sepanjang lingkaran, menggilis campuran air dan pasir di dalam longkang. Selepas puluhan putaran, adunan itu pun menjadi liat, lalu berubah menjadi ‘masala’ – adunan simen yang ternyata kuat merekatkan batu-batu dari gurun ini melintasi zaman ratusan tahun.
.
.
.
.
Tradisi kuno telah melewati beberapa abad di balik benteng ini. Manakala pelancongan pula, dengan segala kelebihan dan kekurangannya, membuatkan Jaisalmer yang disebut Kota Emas ini terus bertahan di atas berbagai lintasan zaman.
Bercuti Ke Lombok Pun Best! Banyak Tempat Menarik Macam Di Bali, Indonesia

Oleh: Putri Ardila
Luangkan masa untuk meneroka Lombok dan menikmati pelbagai aktiviti yang tawarkan. Berjemur, snorkeling, menyelam, bersantai, berenang, kayak laut, spa bertaraf dunia, bermain golf, menunggang, atau pengembaraan berkonsepkan eko pelancongan. Semuanya ada di Lombok!
Lombok secara majoriti didiami penduduk yang beragama Islam sebanyak 85%. Lombok mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa di daerah Praya. Sebelum ini, lapangan terbangnya terletak di Selaparang, bahagian timur Lombok. Meskipun Lombok pernah dijajah oleh kerajaan Majapahit, tidaklah sukar untuk anda mencari makanan yang halal. Antara hidangan yang mesti cuba ialah Ayam Taliwang.
Merupakan pulau yang kaya dengan keindahan alam, ia terletak di bahagian timur Bali termasuk di dalam gugusan Nusa Tenggara Barat (Lombok dan Sumbawa). Tidak kira sama ada anda seorang backpackers, mereka yang ingin berbulan madu atau bercuti secara berkumpulan, Lombok merupakan lokasi percutian ideal yang pastinya tidak mengeringkan poket anda.
Dengan pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan di sini, percutian sepanjang tiga ke empat hari di sini pastinya membuatkan rutin harian anda sarat dengan aktiviti. Percutian sempurna pastinya bermula di tiga pulau yang indah. Gili Trawangan, Gili Meno dan Gili Air yang dikelilingi dengan pasir putih dan lambaian pokok-pokok kelapa melambai yang terletak di lautan yang berkilauan di kawasan barat laut Lombok.
Selama beberapa tahun, Gilis telah menarik pelawat dari di seluruh dunia untuk perairan yang bersih buat aktiviti skuba dan snorkeling. Apabila anda tiba di Lombok, Pulau Gili Trawangan antara lokasi pilihan pelancong kerana keindahan pantai dan kemudahan yang disediakan. Pulau Gili Trawangan berkeluasan 35km persegi ini yang di awal kemunculannya diterokai oleh para backpackers kini mempunyai 30 penginapan berkonsep vila dan resort.
Mesti Tahu
Apa yang menariknya, tiada kereta atau motosikal di tiga kepulauan Gili di mana bentuk utama pengangkutan selain daripada berjalan kaki adalah dengan kereta kuda yang digelar oleh penduduk tempatan dengan panggilan Ciodomo.
Selain itu, terdapat dua pulau berdekatan dengannya iaitu Gili Meno dan Gili Air. Setiap sudut pulau menjadi lokasi untuk para penyelam dan aktiviti santai sepanjang pantai. Di pulau ini, ternyata terumbu karang di sekitar pulau masih belum tercemar dan hidupan akuatiknya menjadi tumpuan para pencinta alam.
Kalau anda mendambakan inapan mewah, menjejakkan kaki di suatu kawasan bernama Senggigi pula pasti menemukan anda dengan hotel, resort dan vila bertaraf lima bintang. Tambahan pula, kawasan ini lebih ‘havoc’ pada waktu malam kerana adanya pusat hiburan untuk para pelancong. Pastinya peluang untuk berlibur di Batu Bolong Temple, Senggigi Art Market dan Kerandangan Valley tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
Kalau suka akan cabaran, apa kata anda cuba aktiviti treking di Pergunungan Rinjani. Pengunjung juga boleh menggabungkan perjalanan di sini dengan menginap di Gili dan Senggigi sebelum memulakan langkah menjelajah Rinjani. Kebanyakan operator untuk aktiviti treking berpengalaman luas dalam menyediakan alatan, panduan, air, makanan dan keadaan cuaca bagi memastikan perjalanan berjalan dengan lancar.
Di sini, pengembara bakal bertemu dengan salah satu kawah besar yang dikenali sebagai Tasik Segara yang terletak kira-kira dua ribu meter di atas paras laut. Kawah ini merupakan tempat gunung berapi yang aktif di abad ini. Terdapat empat hot springs yang wujud di sini di mana salah satunya dipercayai oleh penduduk tempatan mampu untuk mengubati penyakit tertentu.
Pengalaman mendaki gunung dengan pemandangan mengagumkan dan kemudahan ekspedisi serta treking telah menjadi faktor utama di mana Taman Negara Rinjani telah berjaya untuk merangkul anugerah di National Geographic World Tourism Award pada tahun 2004.
Salah satu tempat yang turut menjadi tumpuan mereka yang gemarkan tanah tinggi ialah Malimbu – bentangan laut biru bersama alunan ombak-ombak kecilnya bagaikan panorama indah yang jelas terlihat di depan mata ketika menghadap laut dari tebing bukit. Ke mana pun jua lemparan mata memandang, pemandangan di Malimbu sungguh memukau. Di sini juga, pengunjung boleh melihat Gunung Berapi Agung yang terletak di bahagian timur Bali dan barat Lombok.
Info:
Mataram adalah ibu kota Lombok Barat Nusa Tenggara. Pekan ini sebenarnya terdiri daripada empat bandar-bandar yang berbeza Ampenan, Mataram, Ulu (Cakra) dan Sweta. Ampenan mempunyai kebanyakan tarikan, termasuk Muzium Nusa Tenggara Barat yang memberikan gambaran terbaik budaya tradisi Lombok dan Pulau Sumbawa.
Sungai Melaka Memang Bertukar Jernih Kehijauan Seperti Yang Ditularkan

Foto-foto Sungai Melaka bertukar jernih dan kehijauan yang tular di media sosial minggu lalu menimbulkan keterujaan dalam kalangan warganet. Namun ada yang mengatakan gambar itu tidak benar dan telah disunting.
Sumber daripada Bernama mengakui, Sungai Melaka yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat seumpama teh tarik, kini memang bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tinjauan di beberapa kawasan Sungai Melaka, terutama berhampiran kompleks bangunan Stadthuys dan Jalan Jonker mendapati Sungai Melaka telah kembali bersih, berwarna kehijauan, serta lebih bersih berbanding sebelum PKP, namun ‘kehijauan’ sungai itu tidaklah sejernih seperti yang tular di laman sosial. Mungkin teknik ambil gambar itu nampak air Sungai Melaka lebih jernih daripada yang sebenar.
Selain orang ramai, individu yang bertanggungjawab memberikan ‘nafas’ baharu kepada Sungai Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali turut meluahkan kegembiraan apabila Sungai Melaka kembali bersih dan meminta orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan itu untuk diwarisi generasi akan datang.
Menurut beliau, keadaan Sungai Melaka yang bersih itu menunjukkan pelaksanaan PKP oleh kerajaan mempunyai banyak hikmah untuk difikirkan dan diinsafi bahawa kerosakan serta kebinasaan yang berlaku adalah akibat kerakusan manusia.
“Bertambah bersih (air Sungai Melaka) terutama kawasan bandar boleh nampak ikan berenang dalam tu, tetapi jika kita tidak jaga akan kotor balik nanti. Jadi kita sama-sama jaga kebersihan Sungai Melaka. Keadaan Sungai Melaka bersih berikutan pertamanya tiada aktiviti seperti sebelum penularan COVID-19 berlaku di persekitaran dan sepanjang Sungai Melaka akibat PKP. Kedua di hulu Sungai Melaka juga segala aktiviti tidak rancak berlaku akibat itu. Ketiga segala aktiviti perjalanan bot persiaran tidak lagi beroperasi seperti biasa di sepanjang sungai itu dan keempat-empat bot persiaran menggunakan bahan bakar petrol dan sistem penyejukan enjin juga menjadi punca pencemaran kepada air sungai,” katanya.
Sungai Melaka sekitar tahun 80-an dan 90-an dahulu berwarna kehitaman dan berbau busuk, namun usaha kerajaan negeri terutama pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, telah mengubah wajah Sungai Melaka sehingga dikenali sebagai ‘Venice of The East’.
Sumber: Bernama