Berita

Anugerah Emas Bakal Iktiraf Pencapaian Cemerlang Pemain Industri Pelancongan Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020

Share

Satu majlis anugerah anjuran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) bakal diadakan tidak lama lagi untuk menghargai individu atau organisasi yang banyak berjasa dalam meninggkatkan taraf industri pelancongan negara.

Menurut Presiden MTC, Uzaidi Udanis, anugerah ini adalah satu bentuk penghargaan dan penghormatan tertinggi yang akan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada mana-mana individu atau organisasi yang memainkan peranan signifikan dalam membantu Malaysia mencapai kejayaan dalam industri pelancongan seperti pihak berkuasa tempatan, hotel dan resort, pengusaha kedai makan, operator dan agensi pelancongan dan ramai lagi.

“Perdana Menteri kita, YAB Tun Dr. Mahathir adalah Bapa dan juga ikon kepada industri pelancongan Malaysia, jadi kita rasa bertuah kerana beliau bersetuju untuk datang dan meraikan majlis yang akan kita adakan nanti”, ujar Uzaidi dalam sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa ‘Malaysia Tourism Gold Award 2019’, Datuk Nor Zaleha.

Selain daripada itu, menurut Uzaidi, majlis anugerah ini juga adalah penggalak kepada pemain-pemain industri untuk terus memainkan peranan mempromosikan dan meningkatkan imej industri pelancongan negara ke seluruh dunia.

Dengan visi untuk menjadikan anugerah ini seperti anugerah ‘Oscar’ kepada industri pelancongan, ia juga menjadi sebab untuk kita meraikan sejarah, budaya dan tradisi negara seterusnya bersedia untuk menjayakan misi Tahun Melawat Malaysia 2020 tahun depan.

Majlis penganugerahan berprestij ini dijadualkan berlangsung di Palace Of Golden Horses, Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2019 dan sebanyak 80 anugerah berprestij bakal diberikan oleh MTC.

IKLAN