Apa Nasib Si Gelandangan Di Kuala Lumpur Ketika Wabak COVID-19 Ini?

Share

Kita masih bernasib baik mempunyai tempat untuk berteduh, menonton televisyen, tidur di atas tilam empuk atau mencuba pelbagai menu viral ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung wabak COVID-19.

Tetapi adakah anda terfikir apakah nasib golongan gelandangan yang berada di sekitar bandar besar seperti Kuala Lumpur ketika ini? Di manakah mereka ingin tuju atau berkurung untuk mencegah COVID-19?

Boleh dikatakan mereka adalah golongan yang turut terdedah dengan wabak ini dengan mudah, dek kerana sentiasa bergerak ke sana dan ke mari kerana tiada rumah untuk didiami.

Nasib segelintir daripada mereka baik! Masih ada yang prihatin terhadap golongan gelandangan ini. Gelandangan di sekitar ibu kota akan ditempatkan di tempat-tempat khusus bagi mengelakkan mereka daripada merayau sepanjang tempoh PKP.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, golongan ini akan ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang yang boleh menampung sehingga 150 orang dan Anjung Singgah sehingga 70 orang untuk jangka masa pendek ini.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah diminta untuk menyediakan sebanyak 100 bantal dan tilam baharu di Anjung Singgah kepada warga gelandangan untuk duduk satu tempat, jangan merayau, dan kerajaan akan hantar makanan tiga kali sehari sepanjang tempoh PKP.

Foto: NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Kerajaan juga telah menentukan sebanyak sembilan tapak untuk para NGO (badan bukan kerajaan) dan persatuan sebagai tempat penyerahan bantuan makanan dengan dibantu oleh anggota RELA, penguat kuasa DBKL serta Jabatan Kebajikan Masyarakat. Namun NGO tidak digalakkan pergi sendiri kerana bimbang tidak mengamalkan jarak sosial.

Sumber: Bernama

IKLAN