Sememangnya keunikan alam semula jadi mempunyai pesona tersendiri terutamanya kepada pencinta alam sekitar. Sudah tentu ramai yang merindui keindahan flora dan fauna, ketenangan alam atau menikmati suasana hijau itu sendiri.
Percutian alam semula jadi di Negeri Selangor pastinya menjadi pilihan terbaik selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak. Di sini, pihak Tourism Selangor menyenaraikan 5 tempat percutian yang berkonsepkan alam semula jadi yang mungkin menjadi pilihan anda:
Resort Taman Eko Rimba Komanwel
Tempat penginapan yang unik dengan dikelilingi oleh tumbuhan malar hijau tentunya memberikan pengalaman istimewa. Resort Taman Eko Rimba Komanwel terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong, Rawang merupakan pilihan yang tepat buat orang ramai untuk dijadikan sebagai destinasi percutian ideal.
Ads
Anda boleh memilih untuk menginap di bilik biasa atau khemah. Walaupun terletak di kawasan hutan tetapi ianya masih menawarkan keselesaan. Para tetamu dapat menghayati pengalaman berehat di dalam hutan yang jauh dari hiruk-pikuk kota.
The Nahara Kalumpang
Jika anda inginkan percutian tenang dan santai di tepian sungai, antara lokasi percutian yang sangat cantik dan dikelilingi dengan alam semula jadi ialah di The Nahara Kalumpang. Terdapat beberapa unit chalet dan villa yang ditawarkan kepada para pengunjung. Bukan itu sahaja, aktiviti berkelah juga boleh dilakukan di sini, menjadikan The Nahara Kalumpang antara pilihan menarik di Negeri Selangor bagi percutian seisi keluarga.
Nur Laman Bestari Eco Resort
Nur Laman Bestari Eco Resort terletak berdekatan dengan Ulu Yam dan hanya mengambil lebih kurang 15 minit perjalanan dari Batu Caves. Ianya lokasi yang sangat sesuai untuk kembali bercuti apabila keadaan pandemik Covid-19 Negara sudah semakin pulih.
Ads
Ianya terletak bersebelahan dengan Sungai Tua Recreational Forest dan menawarkan beberapa jenis penginapan yang boleh dipilih oleh para pengunjung seperti chalet dan khemah. Terdapat pelbagai aktiviti ditawarkan di sini seperti berkayak, menyelusuri hutan dengan menggunakan kenderaan ATV dan banyak lagi!
Dusun Bonda
Dusun Bonda merupakan lokasi percutian yang terletak di Ulu Tamu, Batang Kali. Destinasi ini menawarkan penginapan berlandskapkan tropika yang ditumbuhi pokok-pokok yang mekar.
Ads
Selain itu, Dusun Bonda juga menawarkan penginapan yang harmoni dengan suasana persekitaran yang menarik. Pemandangan indah di tepian sungai dan air terjun buatan juga menjadi tarikan utama kepada orang ramai untuk menghabiskan masa terluang di sini selepas tamat tempoh PKP nanti.
Taman Eko Rimba Sungai Tua
Taman Eko Rimba Sungai Tua merupakan kawasan rekreasi hutan yang popular di Negeri Selangor. Ianya terletak kira-kira 10km dari Bandar Baru Selayang dan berada dalam kawasan Hutan Simpan Hulu Gombak. Terdapat pelbagai aktiviti dan kemudahan di Taman Eko Rimba Sungai Tua termasuklah aktiviti berkhemah, berkelah, joging dan banyak lagi! Anda boleh bersiar-siar sambil menikmati keindahan alam semula jadi serta flora dan fauna di sekitar kawasan ini. Sememangnya Taman Eko Rimba Sungai Tua merupakan pilihan yang sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga atau sahabat handai kelak.
Percutian yang berkonsepkan alam semula jadi tentunya menyeronokkan, apatah lagi disertai bersama keluarga atau rakan-rakan. #DreamNowTravelLater – jadikan destinasi yang tersenarai di atas sebagai pilihan percutian anda hanya setelah tamat tempoh PKP. Di samping itu, adalah diingatkan kepada setiap pengunjung untuk sentiasa mematuhi garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Pengunjung harus mendaftar melalui aplikasi mudah alih “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat”, memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi kesejahteraan bersama.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Amber Court Apartment ni terletak 3 km berhadapan dan sedikit bawah First World Hotel, Genting Highlands. Apartmen ni terletak dalam Pahang, namun di belakangnya tidak sampai satu kilometer ialah sempadan negeri Selangor. Dikatakan apartmen ni setinggi 23 tingkat.
Apartmen ni dibina dan dijual secara freehold. Ada dua blok apartmen dengan jumlah unit yang banyak. Setiap unit dibina luas dari jenis studiohouse ke penthouse. Dengan view yang cantik, udara segar dan sentiasa berkabus, waktu awal siap ramailah yang beli.
Ramai beli untuk jadikan homestay dan weekend house. Yelah sebab dekat dengan Genting Theme Park kan. Jangkaan awal lokasi ni akan popular sebagai homestay meleset. Dari satu sumber mengatakan, pemilik asal pun ramai yang dah jual unit diorang dan dah tak duduk situ. Lama kelamaan apartmen ni terabai.
Amber Court Apartmen sekarang
Apartmen ni sekarang kelihatan usang dari luar dengan warna lumut keperangan kesan cuaca lembab di puncak. Sekali pandang memang seram. Tak pasti apa masalahnya tapi boleh kata pengurusan yang lemah.
Awal tahun ni, apartmen ni mula dibanjiri pekerja asing. Mungkin diorang baik pulih bahagian tertentu apartmen atau kerja sekitar Genting Highland. Malah dalam satu video menunjukkan ada rumah pelacuran di atas sana. Hal ni tak disenangi oleh beberapa pemilik unit apartmen yang masih ada dan mereka tuntut penjelasan dari pihak pengurusan.
Harga pun dah jatuh teruk serendah RM30,000 untuk unit studio. Unit lain ada dijual pada RM200,000. Berani beli?
Homestay Berhantu?
Amber Court masih terima tempahan kalau-kalau hotel lain penuh. Ada lobi dibawah yang nampak OK. Dengan harga sewa murah, mungkin sukar nak ditolak. Luar usang, tapi bahagian dalam bilik selesa. Ada kedai runcit dan kedai dobi dibawah kalau-kalau anda nak bermalam di sini.
Ada juga beberapa unit yang masih didiami pemilik asal. Namun boleh kira bila tengok waktu malam beberapa unit yang lampunya menyala dari rumah dari beratus unit
Carian di internet paling banyak jumpa pasal pengalaman seram diganggu makhluk halus disitu.
Mungkin sekadar cerita suka-suka tapi pelancong dari UK pun tulis di blog pasal gangguan di apartmen yang disewa ni, boleh faham sendiri. Lagipun memang banyak unit yang kosong dan hanya sekali-sekala ada pengunjung sewa bilik. Kalau da lama tinggal tu, memang suka lah jin duduk.
Cari di Youtube, ramai yang pergi sewa semalam dan eksplorasi waktu malam di apartmen ni. Saja diorang nak alami sendiri apa betul atau tak cerita gangguan makhluk halus di sana.
Dalam satu video ni, ramai kata bilik paling kerap diganggu ialah bilik B6 Tingkat 17. Sejauh mana nak percaya terpulang, tapi sunyi macam ni memang seram lah.
Punya popular pasal Amber Court ni siap buat filem lagi…Apa nak jadi dengan Amber Court pada masa depan tak tahu…..
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!
Sarawak merupakan kepulauan Borneo yang kaya dengan khazanah alam untuk diterokai. Buat yang pertama kali hendak bercuti ke sana pasti tertanya-tanya apa yang boleh korang buat di negeri terbesar yang ada di Malaysia.
Pemilik blog The Chasing Suns berkongsi 15 aktiviti yang menyeronokkan untuk korang yang pertama kali datang ke Kuching, Sarawak. Makan mee kolok, hiking di Jurassic World dan banyak lagi aktiviti best yang korang boleh explore.
Nak kayo-kayo (makan angin) ke Kuching, ikuti perkongsian ini:
15 Aktiviti WAJIB buat di Kuching, Sarawak! (Panduan Untuk First Timer!)
Pada entry kali ini kami akan kongsikan 15 Aktiviti Wajib Buat kalau korang ke Kuching, Sarawak. Ini berdasarkan pengalaman kitorang travel ke Kuching tempoh hari. Harap dapat membantu korang yang tercari cari benda apa yang best nak buat di Kuching , Sarawak ni.
Breakfast di Kopi O Corner
Kopi O Corner terletak di tengah-tengah pekan Kuching dan menjadi port tumpuan pengunjung dan juga penduduk local. Nak tahu kenapa korang kena try makan kat sini? Jawapannya adalah kerana kedai ini berkonsepkan food court, jadi ada pelbagai jenis makanan popular Sarawak di sini. Ada laksa sarawak, mee kolok, nasi lemak, roti canai, nasi goreng dan macam-macam lagi. Dua makanan utama yang menjadi tarikan kami di sini ialah Nasi Goreng Ikan Terubuk dan Nasi Lemak Sapi.
Korang wajib cuba nasi goreng terubuk dekat sini sebabnya kami dah cuba di beberapa kedai lain, memang tak sesedap macam yang kami makan di Kopi O Corner. Untuk makanan signature Sarawak pula iaitu Mee Kolok dan Laksa Sarawak, kami personally lagi suka makan di kedai lain, khususnya yang memang terkenal dengan makanan itu sahaja.
Explore Sarawak Cultural Village/ Kampung Budaya Sarawak
Untuk sampai ke Sarawak Cultural Village, korang perlu ambil kereta sewa sebab destinasi ini terletak di daerah Santubong, kira-kira 40 minit dari bandar Kuching. Harga tiket masuk as of December 2022 ialah RM95 per adult for non-Sarawakian. Kalau nak lagi murah, korang boleh beli tiket siap-siap di klook.com. Jimat RM15, hanya RM80 seorang. Berbaloi ke tak masuk ke Sarawak Cultural Village? Yes, untuk first timers.
Seperti yang kita tahu Sarawak ni kaya dengan budaya dan mempunyai banyak suku kaum. Korang akan berpeluang masuk sendiri ke rumah Orang Bidayuh, Iban dan sebagainya. Ada performance di sebelah pagi dan petang, jangan miss!
Cuba Makanan Tradisional Sarawak di Sarawak Cultural Village/Kampung Budaya
Alang-alang sudah ke Kampung Budaya, korang boleh cuba set hidangan masakan tengahari yang terdapat di sini. Makanan yang disajikan memang makanan tradisional suku kaum di Sarawak, unik sangat! Memang tak pernah jumpa makanan jenis ini di Semenanjung. Antara menu wajib yang korang perlu cuba ialah Manok Pansoh, Sayur Midin Belacan, Masak Lemak Labu, Daging Tepus dan Umai. Semuanya sedap-sedap memang kena dengan tekak kita. Kami berempat ambil satu set yang berharga RM55, alhamdulillah cukup untuk 4 orang makan.
Check in at The Culvert Hotel Resort Kuching
Kalau nak rasa pengalaman yang lain daripada yang lain, korang kena cuba stay dekat The Culvert Hotel Resort Kuching. Hotel ini sangat unik kerana korang berpeluang tidur di dalam pembentung. Yang seronoknya, semua facilities dekat sini menarik dan sangat instagrammable. Korang boleh review our full post tentang hotel ini di SINI. Untuk booking hotel ni, korang boleh book dekat Booking.com.
Hiking ke Jurassic @ Susung Waterfall
Ini adalah highlight trip kami ke Kuching, sememangnya satu pengalaman epik yang tak dapat kami lupakan. Seumur hidup, kami tak pernah lihat air terjun secantik ini, memang betul-betul membuka mata kami semua melihat alam ciptaan Allah. Untuk sampai ke sini, korang perlu menaiki boat dan hiking lebih kurang satu jam. Kalau nak lebih mudah, boleh ambil guide in advance untuk arrange boat dan guide korang ke atas. Boleh baca separate post saya tentang Bengoh Dam di SINI.
Makan Laksa Sarawak di Mom’s Laksa Kopitiam
Memang tak sah trip ke Sarawak kalau tak pekena Laksa Sarawak. Korang tak perlu susah-susah nak google dah kedai mana yang ada laksa sarawak paling sedap, inilah tempatnya! Memang puas hati sangat makan laksa sarawak kat sini, yang tak makan laksa pun berjaya habiskan semangkuk.
Naik Bot Penambang @ Waterfront
Untuk menambahkan lagi keunikan trip korang, korang boleh cuba naik bot penambang dari Waterfront ke Kampung Boyan untuk beli kek lapis Sarawak Dayang Salhah dan ikan terubuk masin. Uniknya bot penambang ini ialah kerana ianya dikemudi secara fizikal. Mesra dan ramah pakcik tukang kemudi ni, siap rekemen kepada kami lagi kedai yang murah untuk beli ikan terubuk masin. Bayaran sehala ke Kampung Boyan ialah RM2 seorang.
Bergambar @ Tugu Kucing
Alang-alang dah sampai ke Kuching, apa kata korang bergambar di Tugu Kucing ni? Boleh dikatakan one of the most instagrammable places la jugak, kalau orang ramai kena tunggu turn.
Enjoy Night View @ Darul Hana Bridge
Night live dekat Kuching ni boleh tahan juga, very lit! Ramai sangat orang datang lepak area waterfront Kuching ni malam-malam. Korang boleh cross Jambatan Darul Hana sambil tengok pemandangan dari atas yang sangat cantik. Boleh nampak Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sangat unik dari segi binaannya bercahaya dari jauh. Design Darul Hana Bridge ni pun sangat unik dan majestic, boleh nampak reflection yang sangat clear dari tasik.
Shopping Kek Lapis Sarawak @ Kek Warisan Sdn Bhd
Dalam banyak-banyak kek lapis, kami personally suka kek lapis Sarawak dari Kek Lapis Warisan Sdn Bhd. Lokasi kedai ni senang ja nak jumpa, tersergam indah di tepi jalan dengan binaan berkonsepkan rumah melayu tradisional. Walaupun harga kek lapis di sini mahal RM3 berbanding kek lapis di Dayang Salhah, tetapi kami personally suka flavour & texture kek lapis di sini, lebih moist dan sedap. Staff dekat sini pun semuanya friendly, kalau korang rajin buat google review, siap boleh dapat free Tebaloi sorang satu.
Try Mee Kolok @ Satok Flyover Cafe
Negeri Sarawak juga amat sinonim dengan menu Mee Kolok. Ada banyak sangat kedai mee kolok di sekitar Kuching ni. Kami hanya berpeluang makan di salah satu kedai sahaja iaitu Satok Flyover dan alhamdulillah tidak mengecewakan. Antara menu mee kolok yang popular di kedai ini ialah Mee Kolok Sapi.
Meet Orang Utan @ Semenggoh Wildlife Centre
Perjalanan ke Semenggoh Wildlife Centre dari bandar Kuching adalah lebih kurang 30 minit. Setelah sampai, korang boleh memilih samada nak jalan kaki untuk ke kawasan Orang Utan ataupun naik buggy. Kami memilih untuk naik buggy, kerana jarak ke dalam boleh tahan jauh. Nak tengok orang utan ni bergantung kepada nasib juga, sebabnya orang utan di sini dilepaskan sahaja into the wild. Kalau ada rezeki orang utan ni munculkan diri semasa instructor panggil, boleh la korang tengok aksi orang utan di sini. Alhamdulillah, kami berjaya tengok 4 ekor orang utan di sini!
Seafood Dinner @ TopSpot (Gerai No.6)
TopSpot ini adalah medan selera tumpuan yang terletak dalam UTC Kuching, betul-betul berhadapan dengan patung kucing yang selalu jadi port bergambar tu. Ada dua gerai halal di sini iaitu Gerai No. 6 dan Gerai 25. Seafood dekat sini memang sedap dan fresh, tapi korang perlu ada kesabaran yang tinggi sebab orang terlampau ramai. Nak order makanan kena beratur panjang, apatah lagi tunggu makanan sampai, pun lama juga. Lebih kurang sejam lebih juga kami menunggu, namun ini perkara biasa di sini. Apa pun, memang sangat berbaloi makan di TopSpot sebab harga seafood di sini sangat affordable.
Mengopi @ Rumah Kopi
Kalau korang nak chill dan lepak dengan kawan-kawan sambil coffeeing, boleh try dekat sini. Surprisingly, bukan kopi je sedap, menu lain pun not bad. Nasi lemak ayam totally recommended!
Rasai Keunikan Ais Krim Gula Apong @ Waterfront
Ais Krim Gula Apong merupakan antara dessert yang popular di Sarawak. Ramai yang recommend kepada kami untuk cuba makan ais krim ini yang dijual di Waterfront. Cumanya, kat sini selalunya ramai orang. Alhamdulillah, disebabkan hotel kami berhadapan dengan tempat ini sahaja, kami antara orang yang terawal dapat beli ais krim di sini sebaik sahaja kedai dibuka. Kalau korang pergi pada waktu petang atau malam, fuhh memang panjang sangat barisan!
Orait! Itulah 15 Aktiviti yang korang wajib buat kalau korang datang ke Kuching ni especially kepada yang baru first time nak teroka bandar Kuching. Kalau dah banyak kali datang dan ada cadangan lain, boleh suggest dekat bahagian komen di bawah ya! Harap bermanfaat! Thanks for reading. Assalamualaikum!
Jom follow blog kami untuk baca lebih banyak cerita travel kami!
Ketika diundang ke Perak bersama media lain sempena promosi Tahun Melawat Perak, hati berbaur suka untuk melihat tarikan dan keistimewaan yang ada di negeri ini. Biarpun penulis berasal dari Perak namun masih banyak lokasi yang belum diterokai. Kembara kali ini memberi pengalaman baru untuk mengintai lokasi pelancongan popular dan jadi tarikan.
Stesen Kereta api Ipoh
Stesen Kereta api Ipoh yang dibina pada 1914 ini masih utuh bukan sahaja sebagai bangunan bersejarah, tetapi juga bangunan yang berfungsi menerima kereta api elektrik untuk bandar ini.
Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, bangunan putih ini dibina oleh AB Hubback , arkitek sama yang membina bangunan stesen Kereta api Kuala Lumpur. Ia sepatutnya digunakan sebagai hospital, tetapi akhirnya diubah menjadi stesen kereta api yang menempatkan kafe kecil dan hotel 21 bilik (kini ditutup).
Jika ke kawasan dataran di hadapan stesen, anda akan dapat melihat tugu kenangan yang dibina bagi memperingati mereka yang meninggal dunia akibat kerahan tenaga kejam di zaman penjajahan Jepun ini.
Ipoh Town Hall
Ia merupakan sebuah bangunan yang bergaya Neoklasik yang direka oleh AB Hubback yang juga membina Stesyen Kereta Api Ipoh. Dahulu Ipoh Town Hall digunakan sebagai pejabat pos dan telegraf, namun kini ia menjadi lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan, konsert dan acara rasmi yang lain. Ia menjadi salah satu destinasi yang wajib anda kunjungi.
Concubine Lane
Membawa anda ke tahun 1892 di mana pekan lama Ipoh dibina semula pada tahun 1892 selepas hangus terbakar. Concubine Lane terdiri daripada beberapa lorong kedai yang masih mengekalkan seni bina dan kenangan terdahulu. Hari minggu meriah di Concubine Lane di mana anda boleh membeli pelbagai cenderamata, makanan, ais kepal, tau fu fah, gula kapas dan sebagainya. Di kawasan ini juga terletak banyak kafe-kafe hipster tumpuan muda mudi serta butik hotel dengan rekaan tersendiri.
Kinta Riverfront
Mini I-City ini juga terletak di tengah-tengah pusat bandar Ipoh. Bukan sahaja dilimpahi cahaya berwarna-warni lampu LED, Kinta Riverfront terletak di persisiran Sungai Kinta dan menjadi destinasi keluarga dan muda-mudi menghabiskan malam mereka. Penat berjalan, anda boleh cuba aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Kinda Riverfront dan Taman DR Seenivasagam.
Lukisan Mural
Ipoh juga popular dengan tarikan terbarunya iaitu Street Art atau Seni Lukis Jalanan yang terdapat pada dinding bangunan sekitar Ipoh. Pelbagai lukis dinding jalanan atau mural anda dapat lihat di dinding bangunan di Ipoh.
Masjid Ubudiah
Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar . Direka oleh AB Hubback iaitu arkitek sama yang mereka Stesen Keretapi Ipoh dan Kuala Lumpur, masjid ini dibina dengan menggunakan batu marmar yang diimport khas dari Itali. Ia dibangunkan pada tahun 1913, tetapi pembinaannya tergendala dan hanya disiapkan pada 1917. Ini kerana marmar import itu lewat tiba kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama.
Galeri Sultan Azlan Shah
Di sini anda bukan sahaja boleh melihat barangan peribadi pemerintah, tetapi belajar sejarah kehidupan mantan sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Di dalam bangunan yang merupakan bekas istana ini, anda dapat melihat pelbagai koleksi dan sejarah berkenaan Sultan Azlan. Ia bermula daripada waktu persekolahannya, karier beliau sebagai pengamal undang-undang serta minat mendalam beliau terhadap sukan hoki.
Anda juga dapat melihat cop mohor sultan, alat kebesaran seperti koleksi keris sehinggalah kereta diraja dan kereta peronda yang digunakan dalam gerombolan beliau.
Istana Kenangan
Istana Kenangan yang terletak di Kuala Kangsar tidak jauh dari Galeri Sultan Azlan Shah. Dibina pada tahun 1926 untuk Sultan Iskandar Syah oleh seorang tukang kayu Melayu yang bernama Encik Sepian, istana ini juga dikenali sebagai Istana Lembah disebabkan oleh lokasinya.
Menjadi kediaman rasmi sementara bagi keluarga diraja Perak dari 1931 sehingga 1933, sementara menanti Istana Iskandariah siap.Mulai tahun 1986, fungsi istana ini telah ditukar dari istana kepada muzium diRaja Perak.
Istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku. Dindingnya diperbuat daripada tepas dan atapnya diperbuat dari kayu papan. Jika dilihat dari atas, bangunan ini akan kelihatan seperti sebilah keris yang tersimpan dalam sarungnya,sesuai dengan fungsinya sebagai istana diRaja.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR. Berlibur dan download seeNI sekarang!