Citrawarna Speed Festival Bermula Hari Ini! Apa Yang Menarik Di IOI City Mall Putrajaya?

Share

Kalau korang masih mencari aktiviti menarik untuk dilakukan sekitar Putrajaya, Citrawarna Speed Festival 2026 mungkin boleh masuk dalam senarai.

Bermula 23 September hingga 4 Oktober 2026, festival ini menggabungkan dua dunia yang cukup berbeza tetapi menarik iaitu budaya Malaysia dan sukan permotoran.

Lebih menarik, IOI City Mall Putrajaya menjadi lokasi utama acara, selain beberapa aktiviti turut berlangsung di KLIA Terminal 1 dan Sama-Sama Hotel. Festival ini dianjurkan bersempena Kempen Melawat Malaysia 2026–2027.

1. Tengok Supercar & Koleksi Dunia Perlumbaan

Kaki kereta memang kena singgah!

Menerusi segmen Colours of Speed, pengunjung boleh melihat pameran kereta super ikonik selain koleksi memorabilia perlumbaan dan barangan bertandatangan.

Citrawarna Speed Festival 2026 Kredit Foto: Citrawarna Speed Festival / Facebook

Jadi kalau selama ini hanya tengok kereta berprestasi tinggi menerusi skrin telefon, inilah peluang untuk melihatnya dengan lebih dekat.

2. Cuba Simulator Perlumbaan

Bukan sekadar melihat kereta, pengunjung juga berpeluang merasai sendiri pengalaman ala pelumba menerusi pertandingan simulator perlumbaan di IOI City Mall Putrajaya.

Citrawarna Speed Festival 2026 Kredit Foto: Citrawarna Speed Festival / Facebook

Peserta boleh menguji kemahiran masing-masing menerusi peringkat kelayakan dan berpeluang mara ke peringkat akhir serta memenangi hadiah yang disediakan.

Ini memang aktiviti yang menarik kalau datang bersama geng atau ahli keluarga yang kaki gaming dan motorsport.

3. Budaya Malaysia Pun Ada

Nama pun Citrawarna, mestilah elemen budaya Malaysia tidak dilupakan.

Menerusi Colours of Art & Culture, pengunjung boleh menikmati persembahan kebudayaan, muzik dan tarian tradisional selain pameran kraftangan serta aktiviti interaktif.

Citrawarna Festival 2026 Kredit Foto: Tourism Malaysia / Websites

Ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali budaya dan tradisi daripada pelbagai komuniti di Malaysia dalam suasana yang lebih santai.

4. 1,500 Penari & Penggiat Seni Dalam Satu Perarakan

Antara acara paling besar yang bakal berlangsung sepanjang festival ialah Colours of Parade.

Bayangkan sekitar 1,500 penari dan penggiat seni budaya daripada pelbagai wilayah serta komuniti di Malaysia berkumpul dalam satu persembahan.

Citrawarna Festival 2026 Kredit Foto: Tourism Malaysia / Websites

Perarakan ini bakal mengetengahkan muzik tradisional, tarian, busana berwarna-warni serta kepelbagaian budaya negara.

Menurut Tourism Malaysia, Colours of Parade dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di IOI City Mall Putrajaya.

5. Sesuai Untuk Aktiviti Keluarga Hujung Minggu

Kalau bosan dengan aktiviti mall yang sama setiap hujung minggu, festival ini boleh jadi alasan untuk cuba sesuatu yang berbeza.

Dalam satu lokasi, korang boleh tengok kereta, cuba simulator, tengok persembahan budaya dan kenalkan anak-anak kepada seni serta warisan Malaysia.

Citrawarna Festival 2026 Kredit Foto: Tourism Malaysia / Websites

Malah, kemasukan ke Citrawarna Speed Festival 2026 adalah percuma

, menjadikannya antara aktiviti yang boleh dipertimbangkan untuk keluarga atau geng yang mahu berjalan-jalan tanpa perlu keluarkan bajet tiket masuk.

Info Citrawarna Speed Festival 2026

Tarikh: 23 September – 4 Oktober 2026
Lokasi utama: IOI City Mall Putrajaya
Lokasi lain: KLIA Terminal 1 & Sama-Sama Hotel
Tarikan: Supercar, memorabilia perlumbaan, simulator perlumbaan, persembahan budaya, kraftangan & Colours of Parade
Kemasukan: Percuma

Kalau korang memang kaki kereta tetapi pada masa sama mahu menikmati suasana budaya Malaysia, Citrawarna Speed Festival 2026 memberikan kombinasi yang agak unik.

Boleh datang untuk tengok supercar, cuba simulator atau sekadar bawa keluarga menikmati persembahan dan suasana festival sepanjang hampir dua minggu ini.

Oleh
Syahir Hannan