Perasaan tak beberapa minggu ini, cuaca disekeliling kita agak panas daripada hari-hari biasa? Kalau awal pagi, matahari sudah naik mencanak dengan suhu tinggi terasa bahang dipermukaan kulit. Jika masuk waktu tengah hari, tak perlu cakaplah macam mana panasnya suhunya menyapa jika berada di luar bangunan. Begitu juga malam hari, hembusan angin tidak terasa damai.
Cuaca panas yang melanda negara kebelakangan ini merupakan cuaca biasa yang berlaku dalam musim Monsun Barat Daya. Sumber Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), situasi itu berlaku berikutan angin Monsun Barat Daya kembali normal seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ketika ini negara masih dalam Monsun Barat Daya, jadi kebiasaan pada musim ini secara relatifnya memang akan berlaku cuaca panas berikutan kurangnya taburan hujan. Tetapi dua bulan kebelakangan ini iaitu pada Jun dan Julai kita berdepan dengan situasi Monsun Barat Daya lemah sehingga mewujudkan keadaan lembap yang luar biasa. Namun bermula minggu ini, Monsun Barat Daya sudah kembali normal dan angin bertiup dari Barat Daya sudah bermula menyebabkan negara mengalami hujan yang kurang dan rasa panas daripada biasa.
Ads
Bagaimanapun MetMalaysia belum dapat menjangkakan samada negara akan berdepan dengan situasi El Nino mahupun La Nina dalam tempoh ini.
Namun MetMalaysia meramalkan keadaan panas ini akan berterusan sehingga pertengahan bulan September berikutan peralihan monsun.
Dalam tempoh sekarang, keadaan hujan juga akan berlaku tetapi agak berkurangan menyebabkan cuaca lebih kering berbanding pada bulan Jun dan Julai lalu.
Keadaan ini akan mencatatkan cuaca panas sehingga 36 darjah celcius khususnya di beberapa kawasan tumpuan seperti di pedalaman Pahang dan Kelantan.
Jangan lupa menjaga kesihatan diri anda dengan minum banyak air dan kurangkan berada di luar rumah jika tidak perlu.
Indah panorama loka tatkala menyusuri bumi penuh khazanah ini. Batang Lupar, Sarawak bukan sekadar menyimpan misteri Bujang Senang yang digeruni malah menyingkap sejuta keindahan, pesat pembangunan juga manis kemesraan masyarakatnya.
Mana bisa penulis lupa pada momen-momen bersama 40 pengamal media tempatan tatkala menyertai Kembara Batang Lupar 2017. Acara yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah melepaskan peserta Kembara Batang Lupar 2017 di majlis perasmian Kembara Batang Lupar 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Pullman Kuching.
Antara tempat menarik yang dilawati peserta ialah perusahaan memproses obor-obor di Kampung Sampat, Sebuyau, Taman Negara Maludam, perusahaan madu kelulut di Kampung Beladin dan tempat-tempat lain. Bagi memberi pengalaman sebenar cara hidup di rumah panjang, para peserta turut bermalam di Rumah Panjang Kampung Belimbing Besi.
Bersama Maskulin kami berikan lima bukti kepimpinan seorang wanita dalam mengubah kondisi kawasan di bawah naungannya sehingga menjadi satu tarikan yang tidak mungkin mampu dilupakan.
KERANCAKAN INFRASTRUKTUR MEMACU EKONOMI SETEMPAT
Pembangunan ekonomi menjadi tunjang utama mengapa kami ke sini, melihat penduduk di sini rata-rata menjadikan sumber alam sebagai punca pencarian utama mereka. Jadi tidak hairan betapa tingginya nilai cinta mereka pada anugerah tuhan ini.
Melihat sendiri bagaimana mereka mencari udang di selut sungai tanpa menghiraukan kehadiran pemangsa ganas buaya sangat membuatkan penulis kagum. Berani dan inilah cara mereka meneruskan hidup di sini.
Walaupun begitu, pembangunan turut direncana rapi agar seimbang dengan kemajuan dunia. Ikoniknya di sini, laluan air telah menjadi laluan utama masyarakat setempat sejak sekian lama, ia dilihat sedikit merencatkan perkembangan pembangunan.
Atas inisiatif ahli Parlimennya, kerancakan ekonomi akan diteruskan dengan adanya Projek Jambatan Batang Lupar dijangka akan mula dibina pada 2018. Jambatan ini akan menjadi jambatan terpanjang di Sarawak iaitu antara 4.5 kilometer hingga 5 kilometer.
Mengikut perancangan jambatan baharu ini akan dibina pada 2018 dan ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. Kami cukup bertuah kerana laluan air yang kami lalui akan berubah wajah suatu hari nanti, pengangkutan feri yang disediakan akan ini menjadi nostalgia dan daya tarikan tersendiri akan datang.
Jambatan merentasi Batang Lupar ini akan menghubungkan Sebuyau ke Meludam dilihat sebagai rantaian terbaik dalam ekosistem pembangunan ekonomi penduduk setempat.
LESTARI PEMBANGUNAN SAHSIAH MASYARAKAT
Walaupun lesu dengan pengisian aktiviti yang diberikan, kami masih sempat meluangkan masa dan tersenyum melihat aktiviti juga agenda pembangunan sahsiah masyarakat di sini. Dari golongan anak kecil, ibu tunggal hinggalah orang tua, semuanya mendapat bantuan dan perhatian istimewa daripada ahli Parlimen Datuk Seri RohaniAbdul Karim.
Ketibaan kami di setiap Pusat Khidmat Masyarakat disambut meriah. Salah satunya adalah di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.
Menyediakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu juga ia dilihat sebagai menjadi sebuah program sokongan sosial dan pengintegrasian warga emas bersama keluarga ia juga menjadi pusat pertemuan golongan berumur 60 tahun ke atas bagi menjalani aktiviti serta mengelak rasa sunyi.
Setakat ini terdapat 150 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negara dan 14 di negeri Sarawak. Akan datang Datuk Seri Rohani turut ingin mewujudkan lebih banyak lagi PAWE atas kesedaran kepentingan warga emas dalam pembangunan negara.
Selain memartabatkan warga emas, ibu tunggal juga dilihat sebagai pemangkin ekonomi setempat yang tidak wajar dipinggirkan. Disebabkan itu, kehadiran Teratak Anugerah yang dibangunkan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak di Beladin, ini diwujudkan demi membela nasib golongan berkenaan di kawasan itu.
Teratak tersebut dibangunkan sejak 2007 dan menjadi pusat membangunkan dan mengembangkan pendapatan golongan ibu tunggal di sini. Bukan itu sahaja bagi ibu tunggal dan mereka yang kurang pendapatan juga boleh mempelajari seni jahitan di Baladin Fashion Centre (BFC) .
Di sini penuntut akan diajar teknik asas melukis sehingga menjahit pakaian. Kelas jahitan ini adalah satuinisiatif positif yang wajar diberikan pujian!
BANTUAN BUAT PENGUSAHA KECIL
Memegang dan merasai sendiri menu yang dihasilkan daripada hidupan laut seperti ubor-ubor adalah suatu yang baru buat penulis. Ada tikanya terasa geli untuk mencuba, tetapi selepas merasainya, hmm tidaklah seteruk yang disangka.
Kami singgah seketika di Kampung Sampat, Sebuyau untuk melihat bagaimana ubor-ubor diproses dan menjadi sumber ekonomi terpenting di kawasan tersebut dan hebatnya ia mendapat permintaan yang sangat tinggi di negara Jepun, China, Taiwan dan Korea.
Pemiliknya Lee Na Moh, 34, merupakan generasi keempat dari keluarganya yang melakukan perniagaan ini mengakui persaingan terhadap produk ini kurang persaingannya dan ia membuka jalan rezeki buatnya di situ. Di kilangnya terdapat 12 ibu tunggal bekerja dan melakukan aktiviti memerap dan membersihkan ubor-ubor.
Sementara itu, di Kampong Tambak yang terletak di daerah Pusa, kami bertemu dengan Abang Manaf Mahmud yang mengendalikan perusahaan memproses gula nipah secara kecil-kecilan. Air nira nipah dimasak lebih enam jam sebelum menjadi likat untuk menjadikannya gula nipah atau juga dikenali sebagai gula apong dalamkalangan penduduk setempat.
Lihatlah bagaimana mereka menghargai sumber alam dan menggunakan ia dengan sebaiknya. Bantuan turut disalurkan daripada ahli Parlimen kepada pengusaha-pengusaha kecil ini untuk memasarkan produk mereka.
PEMULIHARAAN EKSOTIKA ALAM
Pengamal media turut dibawa menyusuri tarikan paling menggerunkan di Kampung Maludam iaitu Taman Negara Maludam yang berkeluasan 43,147 hektar yang terletak dari kawasan Maludam sehingga ke Triso. Airnya yang deras dan berwarna gelap cukup membuatkan kami gusar dengan keselamatan juga haiwan ganas yang sudah lama bertapa di situ.
Keluasan Taman Negara Maludam merangkumi kawasan Batang Saribas ke Batang Layar dan terus ke Batang Lupar. Di taman negara ini terdapat kawasan Hutan Simpan Maludam yang berkeluasan 16, 592 hektar.
Mengikut Kajian, Maludam mempunyai muka bumi berpaya yang terbesar di Utara Borneo. Justeru itu, ia kaya dengan pelbagai jenis habitat yang terlindung dan hampir pupus di Asia.
Antaranya ialah kera merah, kera belanda, burung raya dan sekurang-kurangnya empat spesies burung enggang. Selain itu juga terdapat lebih empat jenis spesies burung Kenyalang, bangau dan kera Proboscis.
Flora dan faunanya masih terpelihara biarpun kawasan ini pernah diancam oleh kegiatan pembalakan haram.
HARGAI PESONA BUDAYA
Tidak sah rasanya apabila panorama kami terhenti sekadar itu, kami turut disajikan dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang sangat menyanjung tinggi ketibaan tetamu. Kunjungan ke rumah panjang kaum Iban di Kampung Belimbing Besi yang didiami 10 keluarga ini memberikan ceritera tersendiri.
Menyaksikan persembahan tarian Ngajat yang begitu sinonim dengan masyarakat Iban di Sarawak dan silat Kuntau sangat mengujakan. Mempunyai latar agama berbeza, penduduk di rumah panjang ini dilihat lebih moden dan menerima infrastruktur yang sangat baik dari pihak kerajaan.
Jika selama ini kami fikir kehidupan mereka daif di sana, ia meleset kerana kehidupan mereka lebih baik malah dilihat selesa. Kalau mahu merungut pun, mungkin hanya kerana talian telefon untuk berkomunikasi sedikit sukardi sini, namun itu ada baiknya untuk kami semua menghargai kemesraan juga kebaikan orang di rumah panjang itu yang hidup saling menghormati dan bermasyarakat.
Adunan pembangunan, kemajuan dan pemuliharaan alam sekitar serta budaya dilihat menjadi tunggak utama. Sangat lestari dan mempunyai matlamat tersendiri bagi memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.Bahkan semua ini bukan mudah untuk membangunkan dan diterima baik semua, bagi kami, apa yang dilakukan kini biarlah berterusan agar segenap masyarakat mampu merasai manisnya.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Satu inisiatif menarik dilakukan di Kuantan dengan memberi kadar istimewa parkir percuma jika memasang bendera pada kenderaan.
Bagi menyemarakkan rasa patriotik dan sayangkan negara, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tampil dengan satu inisiatif yang sangat kreatif menawarkan parkir percuma kepada orang ramai yang memasang Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing bermula 24 hingga 31 Ogos 2020.
Inisiatif itu sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-63. Tawaran parkir percuma itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat.Jalur Gemilang pada kenderaan perlu mengikut saiz dan cara pemasangan yang ditetapkan. Bendera pula mesti cantik, tidak pudar dan koyak. Bagi kenderaan yang parkir di tempat letak kereta MPK dan memasang Jalur Gemilang seperti ditetapkan, tiada kompaun akan dikeluarkan walaupun tidak meletakkan kupon atau menjelaskan caj parkir secara dalam talian melalui aplikasi PahangGo.
Tawaran itu hanya tertakluk kepada tempat letak kereta bawah MPK sahaja dan bagi mereka yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, tindakan kompaun atau apit tayar tetap akan diambil walaupun memasang Jalur Gemilang. Tawaran parkir percuma sempena Merdeka itu diumumkan oleh MPK hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Perbandaran Kuantan
"PENGUMUMAN :PARKING PERCUMA SEMPENA MERDEKA
MPK bagi parking percuma dari 24 hingga 31 Ogos sempena Minggu Kemerdekaan Malaysia yg ke 63 . Awok me letak bendera pada kereta macam dalam gambar-gambar ni, automatik penguatkuasa MPK tak kompaun walaupun awok me tak letak kupon atau tak beli caj parking dalam Pahang Go. Syaratnya kibar bendera di kereta macam dalam gambar, sekurang-kurangnya 1 bendera berukuran minima 27cm x 14 cm. Bendera mesti cantik, jangan letak yang kulor dan koyak rabak tau. Pantang paling besar adalah kalau letak bendera terbalik, berganda kompaun nya nanti. Tempohnya dari 24 Ogos hingga 31 Ogos 2020 sahaja tau. Tapi , kalau letak merata letak dalam petak kuning, parking OKU, tetap kena kompaun atau apit tayar tau.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Nampaknya sambutan Syawal new norm yang tidak pernah kita fikir iaitu dengan bercuti di atas kapal mewah.
Baru-baru ini Genting Cruise Lines dan Penang Port Sdn Bhd mengumumkan rancangan untuk memulakan semula perkhidmatan dan operasi kapal Star Pisces di Pulau Pinang dengan itinerari baru ke Pulau Langkawi bermula 13 Mei ini bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Itinerari-itinerari ke Pulau Langkawi yang dicadangkan termasuk pelayaran dua malam iaitu pakej ‘Langkawi Escape’ dan pelayaran satu malam dengan pakej ‘Straits of Malacca’ yang dijangka akan bertolak dari Pulau Pinang.
Dengan pelancaran itinerari-itinerari tersebut, Star Pisces, kapal yang dimiliki Star Cruises dengan muatan 40,053 tan dan kapasiti 1,600 penumpang ini akan menjadi kapal persiaran pertama yang beroperasi semula di Malaysia dan salah sebuah kapal yang paling awal memulakan operasi di dunia.
Menurut Naib Presiden Jualan Genting Cruise Lines di Malaysia, Cynthia Lee berkata, ia secara tidak langsung juga membantu perkembangan sektor pelancongan di Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang kini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Seperti rakyat Malaysia yang lain, percutian alternatif seperti inilah yang kami nanti-nantikan, lebih- lebih lagi apabila melancong ke luar negeri masih tidak dibenarkan pada masa ini.
“Itinerari-itinerari ke Pulau Langkawi yang baru ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk kembali bercuti di tengah laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Port Sdn Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan, seperti kita sedia maklum, perkhidmatan pelayaran merupakan tonggak pembangunan Pulau Pinang sejak dulu lagi dan ia telah menjadi keunikan Pulau Pinang.
Itinerari terbaru Star Pisces ke Pulau Langkawi akan memberi peluang kepada para penumpang untuk mendalami keindahan semulajadi dan mengenali keunikan warisan budaya di pulau tersebut, yang juga digelar sebagai ‘Permata Kedah’.
Menarik bukan? Namun, jika anda berminat untuk merasai percuti mewah tersebut perlu menjalani ujian dan patuh beberapa perkara sebelum naik kapal seperti :
Proses pemeriksaan kesihatan yang ketat dan garis panduan sebelum naik dan selepas turun dari kapal
– Prosedur kuarantin anak-anak kapal diperketatkan,
– Sanitasi dan pembasmian kuman yang menyeluruh.
– Sanitasi dan pembasmian kuman yang menyeluruh.
– Mempraktikkan amalan kebersihan yang tinggi di kabin tetamu, kawasan awam di atas kapal dan semasa aktiviti-aktiviti rekreasi.
– Peningkatan keselamatan makanan dan minuman.