
Umum mengetahui kepentingan cahaya matahari kepada hidupan di muka bumi menikmatinya. Peranan cahaya matahari juga membuatkan dunia ini terang-benderang. Begitu juga manfaat sang suria terhadap kesihatan tubuh badan sangat penting. Cahaya matahari menjadi sumber vitamin D yang boleh meningkatkan keupayaan memori dan badan manusia.
Selain itu, cahaya mentari juga berupaya membangkitkan mood gembira kerana ia merangsang paras hormon serotonin dalam badan. Badan mungkin akan lesu dan kulit kusam jika tidak menerima pancaran cahaya matahari dengan baik. Bayangkan kehidupan anda jika perlu hidup dalam keadaan gelap dan tanpa bantuan cahaya matahari menyinari dengan sempurna? Pasti gelisah bukan? Penglihatan akan terhad, tanaman habis mati, ternakan jatuh sakit dan tahap kesihatan diri anda juga pasti menurun.
Namun itu antara kesulitan yang perlu dihadapi komuniti di Rjukan, sebuah bandar yang terletak 3 jam perjalanan di barat laut Oslo, Norway. Daerah ini dikenali sebagai salah satu bandar paling gelap di dunia hampir 5 bulan lamanya untuk setiap tahun.
Terdapat kira-kira 3,386 penduduk di Rjukan, sebuah bandar yang mendapat namanya dari Rjukan Fall iaitu air terjun sepanjang 104 meter yang menyediakan akses mudah untuk menjana sejumlah besar tenaga elektrik. Pekan ini tidak mempunyai cahaya matahari secara langsung dari bulan September hingga Mac kerana bentuk muka bumi yang dikelilingi pergunungan di sekitarnya.
Oleh itu, memberi penduduk di sini sekurang-kurangnya merasa sedikit bahang dan sinaran cahaya matahari, pengurusan bandar Rjukan telah memperuntukan 5 juta Krone Norway (NOK) atau RM 2.4 juta dengan memasang cermin gergasi pantulan di puncak gunung sebagai matahari palsu.
Cermin berkuasa solar yang diletakkan 450 meter dari puncak pergunungan paling tinggi menjejaki pergerakan matahari dan berfungsi memantulkan cahayanya ke bahagian bandar Rjukan. Disebabkan itu, cahaya matahari bersinar tepat ke arah dataran pekan ini yang menjadi tempat tumpuan ramai.
Salah seorang penduduk tempatan berkata bahawa warga Rjukan sudah terbiasa hidup tanpa cahaya matahari. Sehingga kewujudan matahari palsu ini ramai seperti tidak percaya. Mereka seperti berada di dunia baru. Bukan hanya tubuh badan dapat dihangatkan, tetapi minda juga seakan-akan terbuka dan segar.
Walau bagaimanapun idea ini turut menerima banyak kritikan daripada sesetengah komuniti masyarakat yang merasakan kewujudan matahari palsu sebagai gimik dan membazirkan wang kerana bukan keseluruhan bandar Rjukan mendapat manfaat tetapi sebilangan kecil cahaya matahari sahaja.
Namun kritikan itu hanya sekadar angin lalu, setelah sistem matahari palsu ini siap sepenuhnya, semua penduduk menyedari bahawa idea ini bukan sahaja memberikan cahaya matahari yang sangat diperlukan oleh penduduk tempatan tetapi juga membantu menaik taraf ekonomi bandar ini. Rjukan kini menjadi pilihan ramai pelancong dari seluruh pelusuk dunia untuk datang melawat kerana keunikan bandar mereka yang boleh dikatakan satu-satunya daerah mempunyai matahari palsu.
Idea cermin matahari palsu pertama telah diilhamkan oleh pengasas bandar Rjukan, Sam Eyde pada tahun 1913. Beliau memahami betapa pentingnya cahaya matahari dan cuba mencipta cermin matahari tetapi malangnya, usaha itu tidak berjaya. Menurut laman sesawang pelancongan Norway, “Idea ini dibangunkan semula pada tahun 2005 oleh Martin Andersen, seorang artis dan salah seorang penduduk bandar Rjukan. Pada tahun 2013, cermin matahari palsu telah berjaya dipasang secara rasmi iaitu 100 tahun selepas idea itu dicetuskan.”
Sumber: Bored Panda
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
GUA DAMAI TERSEMBUNYI ANTARA HUTAN BANDAR

Gua Damai terdiri daripada Gua Anjing, Gua Ichibawa, Gua Cili Padi, Gua Kristal & Gua Fig Tree. Gua ni dalam satu bukit yang sama dengan Batu Caves, cuma kurang diketahui umum…Sesuai bagi newbies macam saya…awak dah power lainlah..Baca lagi http://stg.libur.com.my/guadamai/#discoverselangor #guadamaiexploration #guadamaixpark #tombiruo
Posted by Majalah Libur on Wednesday, 11 October 2017
Video pendek eksplorasi Gua Damai
Apabila dapat jemputan dari Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang bagi ekplorasi Gua Damai, saya terus Google Gua Damai.. Tak tahu pula ada gua area situ.
Carian di internet, kawasan ini popular dengan base jumping dan abseiling. Gua Damai Xtreme Park, sudah lama terkenal bagi base jumper seluruh dunia sejak 2008. Uniknya, ini satu-satunya lokasi base jumping dari puncak bukit setinggi 96m. Bagi terjunan seterusnya, penerjun naik semula dengan memasuki gua yang ada. Kawasan ini telah dibangunkan 10 tahun dahulu.
Dalam peta, Gua Damai ni berkongsi satu bukit besar yang sama dengan Kuil Murugan Batu Caves, cuma Gua Damai di utara dan Batu Caves di selatan. Cuma tiada sistem gua yang terus ke Batu Caves. Rujuk gambar.
Ada lima gua di kawasan ini; Gua Anjing, Gua Ichibawa, Gua Cili Padi, Gua Fig Tree, dan Gua Kristal. Hanya empat gua dibuka kepada awam.
Gua Kristal hanya dibuka kepada pengkaji atau pelajar dalam jurusan berkenaan. Ini bagi memelihara gua tersebut yang dikatakan miliki dinding kristal begemerlapan apabila disuluh lampu.
Jenis gua di sini adalah limestone cave. Ia dipercayai berusia 65 juta tahun dan tiga kali lebih keras daripada konkrit. Gua di sini selamat dan tidak ada ular berbisa.
Acara disertai Yang Berhormat Tuan Amirudin bin Shari (Exco Kerajaan Selangor Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan) beserta lebih 90 peserta dari Majlis Perbandaran Selayang, orang awam dan media.
Awal perjalanan, demo flying fox dilakukan. Dengan lintasan sepanjang 250m, menjadikan ia terpanjang di kawasan Lembah Klang. Ada perancangan menambah jarak ke 350m dalam masa terdekat.
Gua Ichibawa
Ia dipercayai mendapat nama dari seorang bangsa Jepun yang menemuinya. Unik gua ini adalah separas permukaan laut.
Laluan masuk muat untuk seorang sahaja, kemudian meniarap sejauh tiga meter sebelum ruang gua lebih tinggi. Dalam gua ini terpelihara dengan stalaktik dan pembentukan siling gua seperti batu karang.
Berjalan jauh ke dalam membawa ke satu ruang luas. Terdapat satu tiang gua sebesar pemeluk dewasa. Nak tahu usia gua, ukur lilit tiang paling besar dalam gua. 1 cm sama dengan 60 tahun… So kiralah besar mana tiang tu….memang jenuh…
Ada satu bahagian dinding gua, aliran air dari siling gua membentuk seperti kawasan padi bukit di Indonesia dan Thailand. Berlopak air dan ada lereng. Cantik dan comel.
Gua Cili Padi
Gua ini dahulu penuh dengan pokok cili padi. Nak ke gua ini, perlu mendaki lebih kurang 70m.
Gua ini mudah dimasuki. Ruang dalam sangat luas, mungkin lebih luas berbanding dewan badminton.
Di pintua gua, sudah terasa angin meniup. Masuk ke dalam dan lihat ruang siling gua, ada dua lubang besar dan cahaya masuk ke dalam. Sejuk dan cantik. Tinggi gua saya anggar sekitar 15-20 meter.
Dalam gua ini, menurut Pak Mus, ada pakej untuk tidur semalaman. Nak rasa pengalaman, boleh tanya Pak Mus…
Gua Fig Tree
Trekking naik lagi untuk masuk ke gua ini. Ini gua paling mencabar.
Nak masuk ke dalam, hanya muat seorang, dan terus turun menjunam. Di sini, perlu pakai harness dan cangkuk pada kabel besi di tepi gua.
Perlu lalu mungkin enam tangga curam. Saya beberapa kali tergelincir namun harness terikat padu bagi keselamatan.Laluan sempit, curam dan licin memang mencabar, tapi view dalam gua sangat hebat. Dalam gua ini, ada tiang gua yang sangat besar, dan stalaktik yang besar dan panjang. Ada juga gua kecil dan kelawar di sini.
Turun lagi ke bawah, dapat lihat pintu gua besar, nampak kawasan padang dan bangunan. Pintu gua ini saya anggarkan selebar 30 x 20 meter. Dari dalam gua saya membanding kehebatan ciptaan Tuhan dan bangunan ciptaan manusia. Tidak terbanding langsung. Terlalu hebat.
Penghujung eksplorasi, peserta boleh memilih untuk turun secara abseiling atau ikut tangga tinggi ke bawah.
Bagi abseiling, perlu melompat ke seberang. Tinggi juga lihat ke bawah. Pintu gua untuk abseiling dianggar seluas 5×3 meter. Dari atas turun ke bawah, dianggar setinggi 50 meter.
Pengalaman saya, teroka gua ni sesuai bagi beginner macam saya. Seronok dan tak ambil masa terlalu lama untuk diterokai. Malah tak jauh dari tempat tinggal. Bagi yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur / Selangor, gua ini sesuai diteroka.
Pakej untuk ekplorasi empat gua, flying fox, abseiling dan makan tengahari sekitar RM150. Bagi pelajar pula hanya RM85 seorang. Pakej 2hari 1 malam pula RM185 seorang. Tidur dalam Gua Cili Padi. Minima adalah 13 orang sekali trip.
Maklumat lanjut hubungi Gua Damai Xtreme Park
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kedah & Pulau Pinang Mula Benarkan Orang Ramai Makan Di Premis Makanan. Kelantan Beri Kelonggaran Operasi Kedai Makan Hingga Jam 10 Malam

Tiga lagi negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan mula memberi beberapa kelonggaran terhadap premis makanan. Namun perlu mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan negeri masing-masing.
PULAU PINANG
Pulau Pinang beri kelonggaran orang ramai untuk makan di hotel, pasar raya atau francais restoran makanan segera seluruh negeri itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Kebenaran makan dalam premis seperti hotel, pasar raya dan francais restoran makanan segera akan dibuat secara berperingkat bermula 15 Mei 2020.
Ia selaras dengan pelaksanaan Fasa Pembukaan bagi Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang diumumkan. Bagi premis makanan lain-lain kategori, kebenaran makan di dalam premis bakal diperhalusi berdasarkan nasihat daripada JKNPP pada Fasa 2 kelak dan masih belum dibenarkan.
KEDAH
Negeri Kedah juga membenarkan orang ramai untuk makan dan minum di premis makanan bermula hari ini. Waktu operasi bagi restoran bukan Muslim ialah dari 8 pagi hingga 10 malam manakala bagi restoran Muslim untuk sepanjang Ramadan operasi dibenarkan dari 3 petang hingga 10 malam.
KELANTAN
Semua restoran dan kedai makan di Kelantan dibenarkan beroperasi dari jam 3 petang sehingga 10 malam, berbanding hanya setakat 6.30 petang sekarang. Bagaimanapun katanya kebenaran itu adalah untuk jualan makanan secara bungkus sahaja. Makan di restoran masih tidak dibenarkan.
Bermula hari raya ketiga nanti, pengusaha kedai makan dan restoran akan dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sumber: Bernama
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
14 Destinasi Percutian Yang Awesome Di Wilayah Persekutuan Labuan!

Isi Kandungan
ToggleHanya ada tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kedua-dua wilayah seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya sering dikunjungi oleh kebanyakkan rakyat Malaysia tetapi bagaimana pula dengan Labuan?
Pernahkah anda menjejakkan kaki ke Labuan sebelum ini? Atau tahukah anda apa tempat-tempat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di sana?
Sekiranya kita bertanyakan kepada orang ramai lebih-lebih lagi yang berasal dari semenanjung, Labuan sinonim sebagai lokasi tempat carigali minyak dan pengkalan tentera.

Tidak dinafikan fakta itu ada benarnya kerana sekiranya anda berkunjung ke Labuan, memang banyak kapal-kapal minyak yang berlabuh di persisir laut dan kadang-kala kelihatan beberapa pesawat tentera berlegar di ruang udara Labuan.
Namun, di sebalik itu semua, Labuan juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang cukup menarik untuk anda lawati. Jadi di sini, kami senaraikan destinasi-destinasi percutian yang menarik untuk anda cuba di Wilayah Persekutuan Labuan!
Kampung Air Patau-Patau II

Perkampungan atas air ini adalah perkampungan nelayan yang didirikan sekitar tahun 1930-an dan majoriti penduduk yang tinggal di perkampungan atas air ini adalah daripada suku Kadayan-Brunei.
Tidak hairanlah konsep seni bina perkampungan atas air dan juga amalan budaya kehidupan seharian masyarakat serta makanan di sini seakan-akan orang di Brunei kerana susur galur jatidiri mereka berkait rapat dengan nenek moyang Kadayan yang berasal dari Brunei.
Kampung Air Patau-Patau II yang menempatkan lebih kurang 60 rumah air dan kira-kira 700 orang penduduk ini pernah musnah satu masa dahulu semasa Perang Dunia Ke-2 akibat dibom oleh tentera Jepun dan telah didirikan kembali selepas perang tamat. Sejak daripada tragedi perang tersebut, perkampungan ini terus kekal di atas permukaan air sehingga ke hari ini.

Bagaimana perkampungan ini boleh berdiri kukuh sehingga puluhan tahun? Jawapannya adalah kerana rahsia penggunaan kayu belian dalam pembinaan rumah di perkampungan tersebut. Kayu belian yang menjadi asas tiang rumah mempunyai struktur yang kuat dan kukuh bagi menampung perkampungan ini dalam jangkamasa yang lama.
Sekalipun perkampunan ini terletak di atas air, Kampung Air Patau-Patau II ini dilengkapi dengan saluran air bersih dan elektrik, talian telefon, lampu jalan, jeti teksi air, kedai runcit, kedai kraftangan, klinik, sekolah, surau dan rumah inap untuk anda meluangkan masa bercuti di sini.
Ada 13 rumah inap di perkampungan atas air ini dengan harga daripada RM70 ke RM80 semalam. Anda risau dengan keadaan cuaca panas di pulau? Jangan khuatir, kerana perkhidmatan rumah inap di sini turut menyediakan kemudahan bilik berpenghawa dingin untuk keselesaan pengunjung yang datang.

Apa yang lebih menarik adalah penginapan anda di perkampungan ini juga boleh ditambah dengan perkhidmatan makanan dengan harga lebih kurang RM10 seorang untuk juadah makan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam – disediakan sendiri oleh tuan empunya rumah inap.
Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti di perkampungan air ini juga boleh direncanakan bersama pengusaha rumah inap bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian anda.
Kampung Bebuloh Laut

Kampung Bebuloh Laut ini juga adalah kampung atas air, sama seperti Kampung Air Patau-Patau II tetapi Kampung Bebuloh Laut ini lebih dikenali sebagai lokasi untuk membeli produk IKS berasaskan ikan bilis yang berkualiti pada harga yang murah.
Tidak lengkap kunjungan anda ke sini sekiranya tidak membawa pulang barang satu atau dua produk ikan bilis yang dijual di sini. Untuk pengetahuan anda, nelayan di sini menangkap ikan terutamanya ikan bilis menggunakan teknik bagang. Bagang ini kelihatan seakan-akan kelong yang digunakan nelayan di tengah laut.





Setiap hari, pengusaha ikan bilis yang ada di Kampung Bebuloh Laut ini mampu menghasilkan 10 hingga 20 bakul besar ikan bilis. Anggaran lebih kurang 50kg ke 100kg ikan bilis setiap hari. Antara ikan bilis yang sering mendapat permintaan adalah Ikan Bilis Putih dengan harga lebih kurang RM40 ke RM60 sekilogram.
Monumen COBSEA

Tahukah anda bahawa pantai ini adalah pantai yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pantai paling bersih dan menjadi contoh pengurusan pantai yang terbaik pada 20 September 2008?
Pantai ini dikenali sebagai Labuan United Nation 2008 Beach yang merangkumi 6 pantai yang berada di persisir Pulau Labuan iaitu Pantai Batu Manikar, Pantai Pancur Hitam, Pantai Layang-Layangan, Pantai Sungai Labu, Pantai Sungai Pagar dan Pantai Sungai Miri.

Kawasan pantai ini berada berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan juga Kelab Golf Antarabangsa Labuan, menjadikan kawasan persisir pantai ini antara kawasan yang kerap dikunjungi oleh orang ramai dan juga mahasiswa yang berada di sana.
Peace Park and Surrender Point
Dikenali sebagai Taman Damai Labuan, destinasi ini menyimpan 1001 sejarah yang amat berharga tentang apa yang berlaku di tanah air kita satu masa dahulu. Nama Taman Damai itu sendiri diinspirasikan oleh kejadian perang yang pernah berlaku pada masa dahulu sewaktu Perang Dunia Ke-2 diantara tentera Jepun dan tentera Bersekutu di Labuan.
Di Taman Damai ini, ada satu memorial peringatan yang didirikan oleh kerajaan Jepun sebagai memperingati korban Perang Dunia Ke-2 dan juga sebagai simbolik persahabatan yang terjalin selepas perang antara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Jepun.


Selain daripada itu, di Taman Damai ini juga boleh didapati beberapa tanda peringatan yang diletakkan sempena beberapa kejadian yang berlaku seperti penyerahan kalah tanpa syarat tentera Jepun selepas perang kepada tentera Bersekutu diketuai Australia.
Sekitar kawasan Taman Damai ini mempunyai lanskap air yang tenang di bawah jambatan melengkung dan di sekitarnya mempunyai gazebo untuk berteduh teduh, menjadikan kawasan ini antara tarikan penduduk Labuan untuk beriadah pada waktu petang di tepi pantai.
Labuan Marina


Lokasi ini adalah tempat kapal-kapal dan bot-bot penumpang berlabuh untuk menaikkan atau menurunkan penumpang dan juga barangan. Di marina ini juga adalah tempat yang perlu anda datang sekiranya ingin merasai dan mengalami sendiri keseronokkan aktiviti air yang terdapat di Labuan di Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.
Di sekitar marina ini anda akan kelihatan banyak kapal-kapal besar yang ada di sekitar kawasan tersebut. Untuk pengetahuan anda, kapal-kapal besar itu adalah kapal-kapal yang digunakan dalam aktiviti mencari dan menggali minyak di pelantar minyak di tengah laut. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Labuan sememangnya sinonim sebagai kawasan mencari dan menggali minyak.
Taman Laut Labuan, Pulau Rusukan Besar

Taman Laut Labuan ini adalah destinasi wajib yang perlu anda kunjungi sekiranya berada di Labuan kerana di sini terletaknya ‘mutiara Labuan’. Hidupan airnya seperti terumbu karang dan ikan begitu mengasyikkan sesiapa yang berenang dan menyelam di perairan sekitarnya.
Sepanjang persisir pantai Pulau Rusukan Besar ini mempunyai terumbu karang yang sangat cantik dan besar, langsung menjadi ‘rumah’ kepada banyak habitat air seperti ikan nemo untuk menghuni di sini.

Ini kerana sekitar kawasan Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman telah digazetkan sebagai Taman Marin dan segala aktiviti menangkap ikan dan sebagainya adalah tidak dibenarkan – menjadikan kawasan ini terpelihara dari sebarang kegiatan aktiviti manusia.
Keunikkan lain yang terdapat di sini adalah beting pasir sejauh 500 meter di Pulau Rusukan Kecil yang tidak akan tenggelam dek air laut biarpun arus pasang ataupun surut.

Ship Wreck Skuba Terbaik Asia

Tarikan utama di Taman Marin Labuan ini adalah tukun kapal yang tenggelam dan menjadi destinasi skuba yang popular di kalangan penyelam-penyelam skuba. Ada empat buah kapal yang menjadi tukun kepada hidupan laut di sini terdiri daripada 3 kapal kargo dan 1 kapal perang iaitu Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck.
Untuk ke Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil ini, anda boleh menaiki bot di Labuan Marina dengan masa perjalanan selama 30 minit sahaja dan di kawasan pulau ini terutamanya di Pulau Rusukan Besar, terdapat pengusaha chelet yang mengusahakan perkhidmatan rumah inap kepada setiap pengunjung yang datang.

Kawasan chelet ini juga berdekatan dengan pejabat Jabatan Taman Laut Labuan yang terletak di Pulau Rusukan Besar, jadi mudah untuk anda mendapatkan informasi mengenaik tarikan air yang terdapat di sekitar kawasan ini.






Muzium Labuan

Muzium Labuan ini terletak berhadapan dengan Dataran Labuan dan di sini adalah tempat yang paling strategik sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut fakta dan sejarah mengenai Labuan sejak daripada zaman Kesultanan Brunei, zaman penjajahan dan sehinggalah Labuan kini terdiri sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Di sini juga tersimpannya satu bahan pameran sejarah berupa kerusi serta meja yang mana ia pernah digunakan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad (masa itu Datuk Seri) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Mohd. Salleh menandatangani dokumen “Perjanjian Labuan” yang menukarkan status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.




Berhadapan dengan muzium ini diantara muzium dan Dataran Labuan, terdapat empat pokok yang besar telah di tanam dan dijaga dalam keadaan baik. Mengikut sejarah, pokok-pokok tersebut telah ditanam sebelum zaman merdeka 1957 dan menjadi simbolik kepada perpaduan antara kaum-kaum utama yang terdapat di Labuan.
Sehingga kini, pokok tersebut masih lagi hidup dan boleh dilawati oleh setiap pengunjung yang datang ke Labuan.
Dataran Labuan

Sebelum mendapat nama sebagai Labuan, tempat ini terkenal dengan nama jolokan Bandar Victoria. Namun, selepas diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan, namanya telah ditukarkan kepada Labuan dan dataran ini adalah pusat kepada segala aktiviti yang terdapat di sana.
Segala acara gadang kebiasaannya akan diadakan di sini. Di sekeliling dataran ini terdapat Panji-panji Pulau Labuan dan negeri-negeri Malaysia berkibar dalam satu barisan dan di penghujung dataran ini terdapat sebuah replika Chimney – mercu tanda yang paling terkenal Labuan.
Ujana Kewangan Labuan (Financial Park Labuan)

Ujana Kewangan atau turut dikenali sebagai Financial Park ini adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang terdapat di Pulau Labuan. Di bangunan inilah segala jenis kemudahan akan anda dapati dengan mudah seperti mesin ATM, kedai makanan segera, kedai membeli-belah dan kedai barangan bebas cukai.
Labuan tidaklah sebesar kawasan-kawasan tumpuan yang lain di mana pusat pengumpulan aktiviti penduduk setempat akan berpecah-pecah kepada banyak tempat. Di Ujana Kewangan ini, anda akan dapati suasananya begitu meriah dengan aktiviti masyarakat kerana di sinilah tempat utama untuk penduduk Labuan membeli barangan keperluan.
Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan

Kompleks ini terletak di kawasan pantai Jalan Tanjung Purun dan berada berhampiran dengan pusat bandar Labuan. Objektif pembinaan kompleks sukan air antarabangsa ini adalah untuk menjadi sebuah pusat sukan air bertaraf dunia dan membangunkan lagi tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Labuan.
Aktiviti menarik yang boleh dicadangakan kepada anda selain daripada bersiar-siar menikmati pemandangan matahari terbenam disebalik kapal-kapal besar yang berlabuh di kawasan perairan pantai adalah menaiki perahu larai atau perahu layar.


Mengikut daripada istilah bahasa, perahu adalah pengankutan yang kita gunakan untuk bergerak di atas air manakala larai adalah perkataan daripada Brunei yang bermaksud layar.
Pada zaman dahulu, nelayan menggunakan perahu larai atau perahu layar ini untuk ke laut dan dipanggil sebagai berlarai atau berlayar. Dek kerana sejarah masyarakat di Labuan ini dekat dengan masyarakat di Brunei, maka perahu ini tetap dipanggil sebagai perahu larai oleh masyarakat di sana.
Muzium Chimney

Muzium ini adalah destinasi wajib untuk anda yang datang ke Labuan satu masa nanti. Di muzium ini terletaknya satu binaan tinggi yang berusia lebih 100 tahun namun sehingga kini, para pengkaji sejarah masih lagi mencari jawapan sama ada binaan ini dibina sebagai serombong asap ataupun sebagai rumah api untuk isyarat kapal.
Binaan Chimney ini adalah mercu tanda bersejarah terkenal di Labuan setinggi 106 kaki dan di jangka dibina sekitar tahun 1847 menggunakan lebih kurang 23 ribu batu bata merah yang diimport daripada England.


Chimney merupakan monumen penting di Labuan sebagai bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang telah berusia lebih seabad dan dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Punil’.
Gedung Ubat & Chimney Trail
Gedung Ubat ini terletak berhampiran dengan Muzium Chimney. Untuk ke Gedung Ubat ini, anda perlu berjalan di laluan sepanjang lebih kurang 800 meter dari muzium dan dinasihatkan supaya anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki bukit-bukit manja yang terdapat disepanjang laluan ini.
Ada dua pilihan yang boleh anda pilih untuk meneroka laluan ke Gedung Ubat ini sama ada menggunakan laluan yang pendek dengan jarak 800 meter atau menggunakan laluan yang lebih panjang dan mencabar sekitar 1.8 kilometer.

Tapi jangan salah sangka dengan jaraknya yang jauh. Anda pasti akan terpersona dengan keindahan yang disajikan saat tiba sahaja di Gedung Ubat ini. Pemandangan dari tebing bukit terus ke lautan luas yang terbentang di hadapan mata pasti akan membuatkan segala penat lelah anda berjalan dan mendaki ke sini hilang tiba-tiba.
Di Gedung Ubat ini mempunyai satu tinggalan bangunan lama yang dahulunya digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan letupan dan peluru oleh tentera Jepun semasa menakluk Pulau Labuan.
Kenapa pemilihan tempatnya jauh dan terselindung? Ini adalah kerana faktor strategik tempat ini yang sukar untuk dimasuki oleh manusia tanpa disedari oleh pengawal yang menjaga tempat simpanan peluru ini satu masa dahulu.

Taman Burung Labuan

Taman Burung Labuan ini lokasi yang sangat bersesuaian sekiranya anda berkunjung ke Labuan bersama keluarga dan anak-anak. Selain daripada bersama keluarga, buat penggemar burung dan suka untuk mengambil gambar-gambar burung juga boleh datang ke Taman Burung Labuan ini untuk mendapatkan hasil tangkapan gambar spesis-spesis burung yang mungkin tidak terdapat di tempat-tempat lain.
Tempat ini menarik untuk aktiviti yang disebut di atas adalah kerana taman burung ini berkeluasan 6.9 hektar dan menjadi rumah kepada lebih kurang 600 spesis burung. Jadi dengan keluasan yang sebegitu, pasti memberikan kepuasan kepada ‘memburu’ gambar haiwan kegilaan anda itu.

Selain daripada itu, spesis burung yang ditempatkan di dalam sangkar taman ini juga terdiri daripada spesis-spesis terancam dan spesis yang menjadi jolokan kepada sejarah tempatan seperti burung Enggang yang sinonim dengan negeri Sarawak. Oleh itu, anda tidak perlu pergi jauh ke dalam kawasan pendalaman hutan untuk melihat haiwan ini secara lebih dekat, hanya perlu berkunjung ke Taman Burung Labuan sahaja.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI