
Agak menarik melihat dekorasi tema manisan seperti ini, terlihat rupa ais krim, donut, gula-gula getah dan macam-macam lagi.
Bukan senang nak jumpa tempat seperti ini dan pastinya kalau bawa anak-anak, mereka akan teruja dan suka.
Dekorasi Tema Manisan, Anak-anak Mesti Teruja Masuk Tempat Ini!
Jangan ada yang tidak tahu, sebenarnya ada terdapat sebuah tempat penginapan atau Airbnb dengan dekorasi ruang dalaman yang berkonsepkan daripada pelbagai makanan manisan.
Mesti ramai yang sudah tidak sabar ingin melihat dekorasi ruang dalaman tersebut. Jadi oleh itu, Libur mahu kongsikan beberapa keping foto yang memaparkan dekorasi di setiap ruang sudut yang ada bersama anda.
Jika kita dapat lihat, terdapat pelbagai elemen makanan manisan telah dijadikan sebagai pilihan dekorasi ruang dalaman tempat penginapan ini. Antaranya Donut, Ais Krim, Gula-Gula Kapas, Lolipop dan macam-macam lagi.
Bukan sahaja tampak menarik, dekorasi yang telah dihasilkan nyata sememangnya tampak unik dan lain daripada yang lain!
LOKASINYA:
Untuk maklumat anda, tempat penginapan atau Airbnb ini telah diberi nama dan dikenali sebagai ‘Sweet Party’ ini terletak D’ Pristine Medini By OOOU, Lebuh Medini Utara, Bandar Medini Iskandar Puteri, Johor.
Jadi tunggu apa lagi, jika anda ingin merasai sendiri pengalaman menginap di Airbnb ini boleh membuat tempahan dengan kadar segera!
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
10 Lokasi Air Terjun Sekitar Malaysia Ada ‘Sesuatu’ Buat Ramai Kelu

Ramai pelancong luar datang ke negara kita semata-mata ingin melihat dengan lebih dekat dan merasai sendiri pengalaman berdepan dengan lokasi air terjun yang indah. Sebagai penduduk tempatan jangan lepaskan peluang untuk melawat beberapa lokasi air terjun menarik di Malaysia, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Tidak boleh dipertikaikan lagi, Malaysia merupakan negara yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik dengan pelbagai destinasi flora serta fauna. Paling menarik kebanyakkan kawasan hijau masih ‘dara’ dan jarang ‘disentuh’. Terdapat pelbagai lokasi menari di kawasan hutan khatulistiwa kita antaranya kawasan air terjun. Air terjun merupakan salah satu pilihan terbaik untuk melakukan aktiviti riadah dalam kalangan pencinta alam. Antara air terjun pilihan Libur adalah:
Air Terjun Jelawang, Dabong, Kelantan
Air Terjun Jelawang yang terletak di Taman Hutan Negeri Stong, Dabong Kelantan merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu setinggi 303 meter (1,414 kaki dari aras laut). Terletak di Kg. Jelawang di daerah Dabong.Antara tarikan di sini ialah air terjun Jelawang, setinggi tujuh tingkat dan diiktiraf sebagai antara air terjun tertinggi di Malaysia dan telah dinobatkan sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Haiwan yang banyak boleh ditemui di sini termasuk Gajah Asia, seladang, burung merak Argus, harimau Malaya dan tapir.
Info Kemudahan & Penginapan
Resort Jelawang berada di kaki Air Terjun Jelawang. Resort ini menawarkan kemudahan chalet, bilik mensyuarat, surau serta tandas. Jika mempunyai stamina yang baik anda boleh mendaki ke Kem Baha untuk peluang melihat ‘lantai awan’.
Pendaki boleh melaporkan diri di sini sebelum memulakan pendakian. Terdapat dua trek ke Kem Baha yang berada di puncak air terjun Jelawang pada ketinggian 1,414 kaki dari aras laut. Satu trek terus ke trek balak dan satu lagi menyusuri kaki air terjun Jelawang sebelum masuk ke trek balak. Pendaki boleh tiba di Kem Baha dalam anggaran masa kurang dari satu jam. Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Baha’s Camp seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
Air Terjun Chemerong, Terenganu
Air Terjun Chemerong merupakan salah satu tempat yang seharusnya dikunjungi apabila berkunjung ke negeri Terengganu. Lokasinya terletak di daerah Dungun dan 100km dari Kuala Terengganu.
Di kawasan air terjun Chemerong terdapat pelbagai spesies flora dan fauna yang sememangnya mampu memberi ketenangan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini. Paling menarik, air terjun di sini mempunyai tiga tingkat serta menjadi pintu masuk kepada hutan lipur Chemerong.
Kemudahan Di Sini
Terdapat banyak kemudahan yang boleh didapati apabila berkunjung ke kawasan Air Terjun Chemerong ini antaranya kemudahan surau, bilik persalinan, tandas dan sebagainya. Selain itu terdapat juga gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk santapan pengunjung dengan harga yang berpatutan.
Air Terjun Jerangkang, Pahang
Air Terjun Jerangkang terletak di Jalan Kuantan – Temerloh di Kampung Paya Rambutan bersempadan dengan daerah Maran. Air Terjun Jerangkang memiliki keunikan tersendiri apabila mempunyai tujuh tingkat air yang begitu mengasyikkan. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan termasuk abseiling dan berkhemah sambil mendengar deruan air yang begitu mempersonakan.
Air Terjun Buaya Sangkot, Endau Rompin
Terletak di Hulu Sungai Jasin, Taman Negara Endau Rompin, air terjun Buaya Sangkut setinggi 40 meter menjadi tarikan utama pelancong kerana keindahan kawasan hutan serta kejernihan airnya. Buaya Sangkut merupakan kawasan air terjun yang menjadi lokasi wajib dikunjungi dan antara yang sering disebut-sebut oleh mereka yang pernah menyaksikan keindahan belantara antara yang tertua di dunia itu.
Menariknya!
Kawasan air terjun tiga tingkat yang terletak di hulu Sungai Jasin itu boleh dikunjungi dengan mendapatkan khidmat penduduk Orang Asli di Kampung Peta yang berdaftar sebagai penunjuk arah dengan pihak taman negara. Pandangan dari puncak Buaya Sangkut memperlihat kolam takungan berbatu hitam yang diselubungi wap-wap dan percikan air yang memutih.
Air Terjun Maliau Basin, Sabah
Maliau yang membawa maksud ‘susu atau kelam’ dalam bahasa suku kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya, sementara Basin pula bermakna ‘tangga gergasi’ yang merujuk kepada bilangan tingkat air terjun yang terdapat di situ. Meliputi keseluruhan kawasan seluas 588.4 kilometer persegi, Maliau Basin memiliki air terjun tujuh tingkat setinggi 28 meter yang cukup mengasyikkan selain pokok-pokok hutannya yang tumbuh setinggi sehingga 1,800 meter daripada paras laut.
Anda Perlu Tahu
Tiada manusia mahupun penduduk asli tempatan pernah direkodkan tinggal di dalam kawasan Maliau Basin menyebabkan ia tidak pernah terusik malah tiada langsung maklumat daripada orang tempatan mengenainya.
Maliau Basin yang berusia lebih 100 juta tahun menyimpan pelbagai rahsia alam termasuk kepelbagaian floranya. Bunga terbesar iaitu Rafflessia juga boleh didapati di sekitar kawasan ini. Kebanyakan spesies hidupan liar terancam dan jarang ditemui masih terdapat di sini. Antaranya seperti Orang Utan, monyet Proboscis, Harimau Dahan, Beruang Malaya dan gajah pigmi iaitu gajah paling kecil di dunia.
Air Terjun Sungai Chilling, Selangor
Terletak di Kuala Kubu Bharu daerah Hulu Selangor. Perjalan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk ke lokasi air terjun. Memiliki ketinggian lebih kurang 30 meter, air terjun ini mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu laluan air terjunnya yang berangkai dan masih terpelihara daripada pencemaran dan kesan pembalakan. Ianya sesuai untuk lokasi perkemahan dan berkelah bagi mereka yang gemar meredah laluan sungai dan hutan.
Air Terjun Pancur Sebatu, Kuala Terengganu
Pancur Sebatu terletak di kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu, Terengganu. Untuk menuju ke kampung Bukit Wan, adalah mudah dengan mengambil jalan di simpang masuk di kampung Tepoh (sebelah kanan jalan jika datang dari bandar Kuala Terengganu). Lokasi ini sering menjadi kawasan riadah oleh penduduk setempat untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.
Air Terjun Lata Payung, Setiu
Air terjun Lata Payung terletak di Hutan Lipur Lata Payung di daerah Setiu sempadan Besut, Terengganu. Untuk sampai ke kemuncak air terjun ini, anda perlu meredah laluan yang telah disediakan, tetapi bersedialah untuk menghadapi banyak serangan pacat! Antara kemudahan asas awam yang terdapat di sini ialah tempat rehat, surau, jambatan gantung dan tong sampah. Jika terasa lapar, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan di gerai-gerai jualan yang berdekatan dengan kawasan air terjun. Paling menarik air di sini sangat jernih dan berwarna seakan biru kehijauan.
Air Terjun Lata Kinjang, Pahang
Keunikan alam semula jadi Air Terjun Lata Kinjang pasti memberikan pengalaman berharga dan sukar dilupakan jika berpeluang berkunjung di sini. Kedudukannya yang dikelilingi Hutan Lipur Lata Kinjang yang kaya dengan flora dan fauna dara menjadikannya lokasi yang ideal untuk perkelahan keluarga.
Kawasan air terjun ini terletak kira-kira 14 kilometer dari pekan Tapah, Perak. Dari Tapah, pengunjung perlu melalui jalan Persekutuan menuju ke pekan Chenderiang iaitu sebuah pekan lama yang paling hampir dengan kawasan air terjun itu. Diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, air terjun setinggi 850 meter yang terletak di lereng Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia itu nyata memukau pandangan. Sepanjang perjalanan, pengunjung akan melewati panorama perkampungan Melayu serta dusun buah-buahan milik penduduk tempatan di kiri dan kanan jalan yang mampu memberi pemandangan menyejukkan mata.
Mitos Unik!
Menurut sejarah, ia dinamakan sebagai Lata Kinjang kerana di kawasan itu terdapat banyak Kijang. Orang lnggeris yang pernah sampai ke tempat itu pada suatu ketika dahulu kerana memburu Kijang kemudian tersalah menyebut nama Kijang lalu berubah kepada nama Kinjang. Lata Kinjang juga terkenal dengan mitos sang kelembai. Kononnya, bekas tapak kaki, lesong menumbuk padi dan tapak semaian sayur sang kelembai yang telah disumpah menjadi batu masih boleh dilihat sehingga kini.
Air Terjun Sungai Pisang, Gombak
Melihat air dingin yang mengalir deras dari puncaknya di celah-celah batu yang disusun indah seolah-olah menggamit kehadiran pengunjung untuk datang ke Air Terjun Sungai Pisang ini. Terletak di Hulu Gombak, Selangor, untuk ke sini, anda perlu berjalan kaki merentas beberapa laluan yang telah disediakan. Antara yang menarik laluan paip besar.
Lebih selamat jika anda menggunakan juru pandu arah yang berpengalaman dengan selok belok di dalam hutan. Dikelaskan sebagai air terjun dengan laluan trekking yang sederhana, kawasan air terjun ini turut mempunyai sebuah kawasan perkhemahan berhampiran yang terletak berhadapan dengannya.
Sungguh Mengasyikan..
Air terjun Sungai Pisang ini sangat menarik dan tidak lagi tercemar, terhasil dari lencongan arah sungai pada kira-kira 45 darjah, menjadikan kawasan air terjun ini betul-betul terletak di hujung laluan. Jika anda memanjat laluan yang curam menuju ke kawasan perkhemahan yang terletak di sebelah atas berdepan dengan air terjun ini, anda akan dapat melihat beberapa lagi siri jeram yang deras yang terletak di atas air terjun ini. Pada masa yang sama, peluang menghayati suasana rimba diselang-seli bunyi unggas bersahut-sahutan pasti membuatkan anda terlupa seketika hiruk pikuk kota yang menyesakkan fikiran.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Lokasi Sarat Aktiviti Pelancongan Eko Paling Best Di Selangor

Sektor pelancongan eko ialah antara segmentasi pelancongan yang paling menerima sambutan di Negeri Selangor kerana keunikan alam semulajadi di Negeri ini. Dengan pelbagai aktiviti pelancongan eko yang menarik dan cukup mengujakan di Negeri ini, apa kata anda luangkan masa senggang anda kelak dengan menikmati dan menjalani aktiviti luar di cadangan lokasi seperti berikut:
1) FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA (FRIM), KEPONG

Antara tempat menarik untuk melakukan aktiviti dengan gabungan alam semula jadi adalah di Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Kepong. Dengan keluasan 600 hektar, ia dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong di mana tempat ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung yang datang.
Salah satu tarikan terbaharu di sini ialah ‘Sky Walk’, manakala antara aktiviti yang boleh dilakukan di FRIM adalah seperti berjoging di Rover Track, berjalan kaki di kanopi, berkelah dan berkhemah bersama keluarga, hiking, berbasikal malah berpeluang mempelajari tentang keunikan alam semula jadi.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 dan tambahan RM5 akan dikenakan jika pengunjung membawa kamera untuk mengambil gambar. Satu fakta menarik – FRIM, Kepong ini pada mulanya merupakan tempat perlombongan, kemudian menjadi kawasan kebun sayur dan kini ianya merupakan sebuah kawasan hutan dengan suasana yang nyaman dan tenang yang boleh dilawati pengunjung.
Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi: FRIM (03-62797000 atau 03-62797575).
2) TAMAN EKO RIMBA KANCHING

Taman Eko Rimba Kanching merupakan tempat aktiviti pelancongan eko yang wajib dilawati di Negeri Selagor. Tempat ini mempunyai suasana air terjun yang cantik untuk bergambar dengan laluan pendakian yang mencabar.
Ini kerana Sungai Kanching mempunyai 7 lapisan air terjun setinggi 208-meter yang mana semakin tinggi dakian, semakin sukar perjalanan untuk mendaki. Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan menikmati suasana alam semula jadi sambil berkelah. Bayaran masuk adalah RM1 (dengan MyCard) pada hari biasa, RM2 (dengan MyCard) pada hari minggu dan RM5 jika tanpa MyCard.
Untuk maklumat lanjut, layari www.selangor.travel atau hubungi 03-55132000.
3) SKYTREX SUNGAI CHONGKAK, HULU LANGAT

Dikenali dengan “Malaysia First Flying Fox Park”, tempat ini mempunyai elemen flying fox yang lebih panjang berbanding cawangan lain di Langkawi dan Melaka. Di samping itu, Skytrex Sungai Chongkak juga dikelilingi dengan kehijauan hutan serta aliran sungai di bawah laluan rintangan.
Terdapat 3 pakej yang disediakan untuk pengunjung di mana setiap pakej mempunyai 25 halangan berbeza dan mengambil masa sejam untuk dilengkapkan. Bayaran masuk ke Skytrex Sungai Chongkak adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM130 mengikut pakej yang dipilih.
Untuk maklumat lanjut, layari www.skytrex-adventure.org atau hubungi +6013 276 9841.
4) BUKIT BROGA, HULU LANGAT

Bukit Broga merupakan tempat yang paling sesuai untuk mendaki bagi semua golongan umur kerana perjalanan dakian yang kurang mencabar dan mudah. Bukit yang hanya berketinggian 400-meter dari paras laut ini mengambil masa sejam untuk sampai ke puncak. Apa yang menarik, di puncak bukit ini dipenuhi dengan kehijauan lalang. Dengan gabungan rumput lalang dan pemandangan yang cantik, bergambar di puncak Bukit Broga amat sesuai untuk dijadikan kenangan.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual air kelapa di puncak bukit untuk pendaki menikmati pemandangan sambal melepaskan dahaga. Bayaran serendah RM1 dikenakan untuk mendaki bukit ini. Satu fakta menarik, pendakian Bukit Broga sebanyak 10 kali adalah bersamaan dengan pendakian ke Gunung Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mpkj.gov.my atau hubungi 03-87377899 / 03-87371789.
5) WHITE WATER RAFTING, HULU SELANGOR

Terletak di Kuala Kubu Bharu, aktiviti white water rafting ini amat menyeronokkan bagi yang ingin mencuba aktiviti air lasak di sungai sepanjang 8km. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di Sungai Selangor. Aktiviti berakit ini sangat sesuai dilakukan secara berseorangan, serta bersama pasangan, keluarga dan kumpulan dari semua peringkat umur dari 8 hingga 88 tahun, menjadikan aktiviti ini ideal di Malaysia. Kadar bayaran dianggarkan dari RM199 hingga RM800 dengan penyertaan minimum seramai 2 orang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.malaysia-whitewater-rafting.com atau hubungi +6012- 4653307.
6) WATER TUBING, HULU SELANGOR

Water Tubing adalah salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di pekan Kuala Kubu Bharu selain white water rafting. Aktiviti tubing ini menyeronokkan lebih-lebih lagi dilakukan bersama rakan-rakan kerana ia tidak memerlukan dayung, dan hanya perlu mengikuti arus sungai.
Sekiranya arus kuat, maka kelajuan tiub akan bertambah laju. Jika sebaliknya, peserta perlu menolak air sungai dengan menggunakan tangan untuk bergerak ke hadapan dengan lebih laju. Anggaran harga untuk melakukan aktiviti tubing adalah RM30.
Untuk maklumat lanjut, sila e-mel ke rentasadventures@gmail.com atau hubungi 011-11414674.
7) TAMAN ALAM KUALA SELANGOR

Taman Alam Kuala Selangor merupakan sebuah taman semula jadi yang dikelilingi dengan hutan paya bakau yang menarik. Ia juga mempunyai laluan hampir 4-kilometer untuk pengunjung selusuri dan menikmati persekitaran alam.
Bagi penggemar burung, anda boleh ke menara tinjau yang disediakan untuk melihat dan mengambil gambar lebih kurang 150 jenis spesis burung dari serata dunia termasuk burung migrasi dari negara Siberia dan Rusia. Pengunjung juga boleh bergambar di kawasan paya bakau kerana susunan pokok-pokok yang cantik di sana. Selain itu, bayaran sebanyak RM4 akan dikenakan untuk orang dewasa dan RM1 untuk pengunjung di bawah 16 tahun.
Untuk maklumat lanjut, layari www.kuala-selangor.com atau hubungi 03-32892294.
8) 4X4 ADVENTURE TERATAK RIVERVIEW, HULU SELANGOR

Apa kata anda meredahi hutan dengan menaiki kenderaan jenis 4×4 yang menyeronokkan dan mencabar daripada lawatan biasa di bandar. Kenderaan jenis 4×4 yang disediakan akan menjelajah melalui jalan hutan yang kehijauan terus ke kawasan kampung-kampung tradisional, ladang buah-buahan, seberang sungai, kawasan paya dan batu-bata serta air terjun.
Selain itu, pengunjung boleh berkelah dan berenang di sungai sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Lingkungan harga untuk merasai pengalaman pengembaraan dengan kenderaan jenis 4×4 ini adalah mengikut kepada permintaan dan itinerari yang diinginkan oleh pengunjung dengan mininum 6 orang peserta.
Untuk maklumat lanjut, layari www.teratakriverview.blogspot.com atau hungi +6012-5653397.
9) PARAGLIDING (BUKIT JUGRA, KUALA LANGAT & BUKIT BATU PAHAT, HULU SELANGOR)

Anda boleh terokai bandar Jugra dan Batu Pahat dan menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dari puncak bukit dengan melakukan aktiviti paragliding yang disediakan di Bukit Jugra, Kuala Langat dan juga Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor.
Dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut, dua tempat popular ini wajib dikunjungi bagi sesiapa yang gemarkan aktiviti mencabar dan ingin mencuba pengalaman terbang di udara. Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti paragliding ini adalah pada bulan Mac hingga September dan bayaran dikenakan untuk melakukan aktiviti ini dianggarkan berjumlah RM320 seorang.
Untuk maklumat lanjut, layari www.mdkl.gov.my atau hubungi 03-31803694 / www.mdhs.gov.com atau hubungi 03-60641235.
Negeri Selangor mempunyai banyak tempat pelancongan eko yang menarik bagi penggemar alam semulajadi. Namun, kunjungan ke lokasi-lokasi yang dinyatakan, serta lokasi alam semulajadi yang lain perlu diterapkan dengan nilai tanggungjawab terhadap faktor kebersihan.
Selain itu, pihak Tourism Selangor menyarankan agar para pelancong sentiasa berjaga-jaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan supaya rantaian jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lepak Kampung Talang Hilir, Merasa Dinner Dalam Tiub

Tak sangka, tempat unik ini adalah Lepak Kapung Talang Hilir yang bertempat di Kuala Kangsar. Nampak menarik apabila pelanggan yang datang boleh merasa makan dalam tiub yang agak selesa bila ada penghawa dingin di dalamnya.
Lepak Kampung Talang Hilir, Merasa Dinner Dalam Tiub
Cubalah tengok suasana di sini, dengan lampu-lampu, cukup meriah! Okay, ini antara menu yang ada di sini. Antara yang patut cuba, Char Kuey Teow dan kerang rebus.
Apa yang menarik, korang boleh sewa private dining dalam tiub bertutup dengan RM12 sejam. Owh ya, kedai makan di sini ala-ala food court.
Ya, alang-alang sudah sampai Kuala Kangsar, boleh singgah di port makan yang unik ini.
Ada pelbagai gerai yang menjual berbagai jenis makanan seperti kerang bakar, satay, dim sum, makanan Korea, western, dan masakan panas lainnya. Ini seperti sebuah food court yang menawarkan pilihan makanan yang beragam, yang sesuai untuk pelbagai citarasa.
Jika korang nak merasa makan dalam tiub itu, disarankan menempah tiub pada hujung minggu agar tidak kecewa jika meja dan gelung sudah penuh.
Lokasi:
Lepak Kampung, Talang Hilir,
23, Jalan Taiping, Jalan Kampung Talang Hilir, 33000 Kuala Kangsar, Perak.
Waktu operasi:
6pm – 12am (Tutup Rabu)
011-2649 7539
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI