Travel

First Time Ke Osaka? Ini 4 Port Paling Best Untuk Gaming, Anime & Streetwear

Share

Osaka merupakan antara bandar popular di Jepun yang cukup hidup dengan limpahan cahaya neon, budaya pop dan suasana bandar yang terasa lebih santai berbanding Tokyo.

Namun, tahukah anda Osaka bukan sekadar terkenal sebagai syurga makanan? Bandar ini juga merupakan antara lubuk pop culture, gaming, anime, streetwear dan hiburan yang menarik untuk diterokai.

Kalau anda merancang percutian ke Osaka, ini antara tempat menarik yang boleh dimasukkan dalam itinerari.

1. Rasai Pengalaman ‘Inside The Game’ Di Universal Studios Japan

Kredit Foto : Jugdeep Gill / Pexels

Khas buat peminat taman tema dan permainan video, Universal Studios Japan (USJ) sememangnya antara destinasi yang wajib dikunjungi apabila bercuti ke Osaka.

Salah satu tarikan yang mencuri perhatian ialah Super Nintendo World, yang membawa pengunjung masuk ke dunia permainan Nintendo dengan suasana penuh warna-warni.

Daripada elemen ikonik Mario hinggalah tarikan interaktif, pengalaman berada di sini terasa seperti masuk sendiri ke dalam sebuah permainan video.

Selain itu, USJ turut mempunyai The Wizarding World of Harry Potter yang membawa pengunjung menyelami dunia magis daripada francais popular tersebut.

Jika mahu menjimatkan masa, anda boleh mempertimbangkan Universal Express Pass bagi tarikan terpilih supaya tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa beratur.

2. Nipponbashi Den Den Town, ‘Akihabara’ Versi Osaka

Kredit Foto : Inside Osaka / Google

Bercakap tentang Jepun, memang sukar untuk memisahkannya daripada budaya anime, manga dan permainan video.

Di Osaka, salah satu lokasi yang patut dikunjungi peminat budaya pop Jepun ialah Nipponbashi Den Den Town.

BACA JUGA: Cherating Bukan Sekadar Pantai, Ini 5 Port Menarik Wajib Singgah

Kawasan ini dipenuhi kedai yang menjual figura, manga, trading cards, barangan koleksi serta konsol dan permainan video retro.

Jika bernasib baik, anda juga boleh menemui barangan unik atau koleksi yang sukar didapati di luar Jepun.

Berbanding Akihabara di Tokyo yang cukup popular dalam kalangan pelancong, Den Den Town menawarkan pengalaman memburu barangan anime dan gaming dalam suasana Osaka.

3. Amerikamura, Lubuk Streetwear & Fesyen Anak Muda

Kredit Foto : Inside Osaka / Google

Kalau anda sukakan fesyen jalanan, pakaian vintaj dan budaya anak muda Jepun, jangan lepaskan peluang meneroka Amerikamura atau Amemura.

Kawasan ini terkenal dengan deretan kedai pakaian vintaj, thrift shop, streetwear, aksesori dan hasil seni. Mural serta seni jalanan yang menghiasi beberapa sudut turut memberikan karakter tersendiri kepada kawasan ini.

Selesai membeli-belah, anda boleh singgah di sekitar Sankaku Koen (Triangle Park) untuk berehat sambil melihat suasana kehidupan anak muda Osaka.

4. Nikmati Malam Penuh Cahaya Neon Di Dotonbori & Shinsaibashi

Kredit Foto : Fernando B M / Pexels

Apabila malam menjelma, tiba masanya untuk menuju ke Dotonbori dan Shinsaibashi.

Inilah antara kawasan yang menggambarkan sisi Osaka yang meriah dengan papan iklan gergasi, cahaya neon, deretan kedai dan orang ramai yang memenuhi jalan.

Jangan lupa merakam gambar kenangan dengan papan iklan Glico Running Man, salah satu mercu tanda paling ikonik di Dotonbori.

Selepas itu, anda boleh berjalan santai di sekitar Shinsaibashi sambil membeli-belah atau sekadar menikmati suasana malam Osaka.

Mudah Bergerak Dengan Pengangkutan Awam

Antara cara paling mudah untuk bergerak di sekitar Osaka ialah menggunakan rangkaian kereta api dan pengangkutan awam.

Pelancong juga boleh menggunakan kad ICOCA untuk memudahkan pembayaran tambang bagi perkhidmatan pengangkutan yang menerima kad tersebut.

Bagi pelancong Muslim pula, pilihan makanan halal boleh dicari di beberapa kawasan tumpuan pelancong termasuk sekitar Namba dan Nipponbashi, namun sebaiknya semak status halal restoran terlebih dahulu sebelum berkunjung.

Osaka mempunyai identitinya yang tersendiri. Dalam satu perjalanan, anda boleh masuk ke dunia permainan Nintendo, memburu koleksi anime, mencari pakaian vintaj sebelum menutup malam dengan berjalan di bawah limpahan cahaya neon Dotonbori.

Jadi kalau anda sukakan gaming, anime, streetwear dan suasana bandar Jepun yang penuh warna-warni, Osaka memang patut berada dalam senarai percutian anda.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

Oleh
Balqis Qadisah