Dicekup dan diheret masuk ke dalam van putih polis Algeria
“Abrar ! Syam kena cekup dengan polis !”
Fikri menjerit dari jauh. Dia menunjukkan ke arah sebuah van putih di sebelah kiri saya. Saya menoleh ke kiri dan melihat salah seorang travel buddies saya sedang dikepit lehernya (neck lock up) oleh seorang arab yang tidak dikenali. Dia diheret masuk ke dalam sebuah van putih.
Sebelum terbang ke sini lagi kami sudah baca dan dengar cerita yang kurang enak dari traveler yang pernah ke Algeria. Negara ini agak tertutup untuk pelancong luar.
Pelancong dari Malaysia pun tidak terlalu ramai ke sini. Kalau ada yang datang pun kebanyakannya datang bersama agensi pelancongan yang besar. Kumpulan kecil backpackers seperti kami ini seolah-olah tidak dialu-alukan.
Permulaan pengembaraan kami di Algeria agak kurang menyenangkan. Saya telah disoal bertalu-lalu oleh pihak Imigresen Lapangan Terbang Algiers.
“Apa pekerjaan kau di Malaysia ?”
“Kau ada kenalan atau tidak di sini ?”
“Kenapa kau datang ke Algeria ? Siapa yang akan bawa kau berjalan-jalan di negara ini ?”
Sebaik sahaja keluar dari Lapangan Terbang Algiers, kami terus bergerak menuju stesen keretapi. Kami perlu beli tiket keretapi petang ini ke Oran, bandar pelabuhan di arah barat laut Algeria. Kemudian kami simpan bagasi di stesen keretapi dan berjalan ke tengah bandar mencari restoren untuk makan tengah hari.
Ketika sedang makan tengah hari, tiba-tiba dari jauh kedengaran orang ramai bertakbir dan menjerit keras. Makin lama makin hampir. Dan akhirnya kumpulan demonstrasi dan perarakan tersebut sampai ke depan restoren tempat kami makan tengah hari.
Saya pernah menetap di Syria selama beberapa bulan. Kemudian tinggal di Jordan selama 4 tahun ketika melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda. Maka saya boleh faham apa yang dilaung oleh peserta demonstrasi tersebut. Secara mudahnya demonstrasi tersebut berkaitan dengan politik setempat negara Algeria.
Darah muda dan sifat ingin tahu kami mula membuak. Kami keluar dari restoren untuk melihat perarakan secara lebih dekat. Secara perlahan-lahan kami mula masuk ke dalam perarakan demonstrasi tersebut untuk rasai pengalaman menarik ini.
Ini kesilapan pertama kami
Kesilapan kedua pula ketika mana saya bertanya kepada seorang polis yang bertugas adakah saya dibenarkan untuk ambil gambar perarakan ini. Polis tersebut kata tiada masalah. Kami boleh ambil gambar perarakan ini dengan syarat jangan sesekali ambil gambar pihak berkuasa seperti barisan polis dan tentera.
Maka saya dan beberapa travel buddies yang lain keluarkan telefon pintar masing-masing dan mula mengambil gambar suasana sekeliling.
Kemuncak kesilapan kami adalah apabila salah seorang travel buddies kami keluarkan kamera mirrorless beserta lensa yang agak menarik perhatian. Lensa tersebut tidaklah terlalu besar, tetapi cukup untuk menimbulkan persepsi seolah-olah dia jurukamera atau wartawan profesional.
Dia mula ambil gambar dengan menggunakan kamera tersebut. Tidak sampai beberapa minit sahaja tiba-tiba lehernya dikepit oleh seorang pemuda arab. Pemuda tersebut cuma berpakaian biasa seperti orang awam. Dia tidak mengenakan sebarang pakaian atau tanda yang menunjukkan bahawa dia seorang polis atau tentera.
Mujurlah ketika itu saya sempat melihat kejadian ini. Rakan saya ini dan travel buddies yang lain tidak boleh bertutur di dalam bahasa arab. Hanya saya seorang sahaja yang faham dan boleh bertutur bahasa arab.
Saya terus berlari membelah lautan para pendemonstrasi untuk dapatkan rakan saya tersebut. Maka polis yang bertugas turut ‘sumbat’ saya masuk ke dalam van putih. Saya terus teringatkan video kanak-kanak palestin yang diheret masuk ke dalam van putih oleh tentera dan polis Israel. Perasaannya lebih kurang begitu.
Saya cuba tenangkan rakan saya ini. Kemudian saya jelaskan kepada polis tersebut bahawa kami hanyalah pelancong yang datang untuk melihat tempat menarik di sini. Saya jelaskan juga bahawa kami berani ambil gambar kerana sudah dapatkan keizinan dan kepastian dari polis yang bertugas. Polis tersebut tidak memperdulikan alasan yang diberi.
Setelah beberapa minit berada di dalam van putih, kami dibawa ke balai polis berdekatan. Ketika ini saya sudah pasrah jika terpaksa dihantar pulang ke Malaysia. Daripada disumbat ke dalam penjara dan diberi hukuman berat, lebih baik kami terus pulang ke Malaysia walaupun belum sempat melihat tempat menarik di sini.
Kami mula disoal-siasat oleh dua orang polis. Salah seorang polis tersebut mungkin berpangkat lebih tinggi dari seorang lagi. Bagaikan sedang melihat filem aksi barat, saya rasakan kedua polis tersebut sedang melakukan peranan good cop bad cop.
Good cop bad cop merupakan salah satu tektik psikologi yang diguna oleh pihak berkuasa ketika melakukan interogasi. Salah seorang polis akan berkelakuan kasar dan paksa pesalah jawab soalan dengan betul. Manakala seorang lagi polis akan berkelakuan agak lunak dan seolah-olah bersimpati dengan pesalah.
Proses interogasi berjalan hampir 45 minit. Kami ditanya soalan bertalu-talu mengenai tujuan utama kami ke sini. Saya dapat rasakan bahawa polis tersebut mengesyaki kami ini bekerja sebagai wartawan antarabangsa.
Saya cuba bertenang dan jawab soalan dengan berhati-hati. Kedua-dua polis tersebut tidak pernah ucapkan perkataan wartawan atau media. Maka saya ambil jalan selamat dengan tidak menyebutnya juga.
Setelah berpuas hati dengan jawapan yang kami beri, akhirnya pihak polis membebaskan kami. Kedua-dua polis tersebut minta kami bawa mereka berjumpa dengan travel buddies yang lain. Kesemua gambar passport kami diambil dan kami terus dihantar ke stesen keretapi.
*
Anda boleh baca banyak lagi cerita, inspirasi dan tip travel di sini :
https://www.mytravelxperts.com
Berlibur dan download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI