
Pernah tidak anda melangkah masuk ke dalam kapal terbang, cari nombor kerusi dan apabila anda ingin duduk terus rasa menyesal?
Sama ada kerusi tak boleh disengetkan, tiada tingkap walaupun duduk di tepi atau selalu dilanggar troli makanan.
Pengalaman penerbangan ini boleh bertukar jadi “mimpi buruk” hanya disebabkan salah pilih tempat duduk yang betul semasa membuat tempahan.
BACA JUGA: Tak Perlu Tunggu Kawan! Ini 7 Tip Travel Solo Untuk Beginner
Walaupun naik kelas ekonomi, itu tak bermakna anda perlu mengorbankan keselesaan. Sebenarnya, ada strategi dan tip untuk dapatkan tempat duduk terbaik mengikut keperluan anda.
1. Nak Legroom Luas Bak Kelas Perniagaan Dalam Kapal Terbang?
Bagi anda yang berkaki panjang atau mahu ruang kaki ekstra tanpa perlu bayar harga tiket Business Class, ini dua kawasan sasaran utama:
Kerusi Barisan Pintu Kecemasan (Exit Row)
Kerusi ini mempunyai ruang kaki paling lapang. Namun, ambil perhatian bahawa sesetengah syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan untuk kerusi ini.
Selain itu, tertakluk kepada syarat fizikal juga (perlu sihat dan bersedia membantu anak kapal jika berlaku kecemasan) serta tidak boleh meletakkan beg di lantai semasa berlepas atau mendarat.
Kerusi Dinding Penghalang (Bulkhead Seat):
Terletak di barisan paling hadapan setiap bahagian kabin. Kelebihannya, tiada penumpang di hadapan yang akan recline kerusi mereka ke arah anda.
Namun, kelemahannya ialah meja lipat dan skrin hiburan tersimpan di dalam pemegang tangan (armrest) yang menjadikan kerusi agak sempit.
2. Inginkan Pemandangan Awan Seolah-Olah Anda Terbang di Langit?
Siapa yang tidak suka ambil gambar pemandangan awan dari tingkap kapal terbang, kan? Tapi jangan sampai tersalah pilih!
Pilih Hadapan atau Belakang Sayap Kapal Terbang
Jika anda duduk betul-betul di atas sayap, pemandangan ke bawah akan terhalang sepenuhnya oleh struktur sayap yang besar.
Pilih kerusi beberapa baris di hadapan sayap atau di belakang sayap untuk komposisi gambar yang lebih cantik bersertakan tip sayap (winglet). Dan sudah semestinya anda juga harus membelanjakan wang lebih jika anda mahukan tempat duduk di tepi tingkap.
3. Sukar Tidur & Mahu Penerbangan Kurang Gegaran?
Paling Kurang Gegaran – Atas Sayap (Over the Wings)
Jika anda seorang yang mudah mabuk udara atau takutkan turbulence, pilih kerusi di kawasan atas sayap. Kawasan ini adalah pusat graviti (center of gravity) pesawat, menjadikannya bahagian paling stabil sepanjang penerbangan.
Paling Senyap & Mudah Tidur – Bahagian Hadapan Kabin & Kerusi Tingkap
Enjin jet terletak di bawah sayap dan bunyi bising bertiup ke arah belakang. Jadi, bahagian kabin hadapan adalah yang paling senyap.
Padankan pula dengan kerusi tepi tingkap (window seat) supaya anda boleh bersandar ke arah dinding untuk tidur tanpa dihalang atau diganggu oleh penumpang lain yang mahu ke tandas.
4. Suka Bebas Bergerak & Selalu Ke Tandas?
Kerusi Tepi Laluan (Aisle Seat)
Jika anda jenis yang suka meregangkan kaki, kerap minum air atau perlu ke tandas berulang kali, kerusi aisle adalah penyelamat.
Anda bebas bangun bila-bila masa tanpa perlu meminta maaf atau melangkah orang sebelah ketika dalam kapal terbang. Cuma berhati-hati dengan siku atau kaki anda supaya tidak dilanggar troli makanan atau penumpang lain yang lalu-lalang.
3 Kerusi Yang Patut Anda Elakkan!
Barisan Paling Belakang sekali (Last Row): Kerusi barisan akhir biasanya tidak boleh disengetkan ke belakang (no recline), berada berhampiran tandas (berbau & bising) dan dekat dengan dapur (galley).
Barisan Sebelum Pintu Kecemasan: Kerusi di barisan ini selalunya dikunci daripada disengetkan supaya tidak menghalang laluan kecemasan di belakangnya.
Kerusi Tengah (Middle Seat): Kecuali anda terbang bersama pasangan atau keluarga, kerusi tengah adalah pilihan paling tidak popular kerana tiada akses terus ke laluan mahupun dinding untuk bersandar.
Sebelum anda mengesahkan pilihan tempat duduk semasa check-in dalam talian (online check-in), gunakan laman web atau aplikasi seperti AeroLopa atau SeatGuru.
Anda hanya perlu masukkan syarikat penerbangan dan nombor penerbangan untuk melihat pelan lantai (seat map) tepat pesawat tersebut, lengkap dengan amaran blind window atau kerusi yang tidak boleh dikebelakangkan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang!


