
Mencuba pengalaman solo travel atau bercuti bersendirian buat kali pertama sememangnya satu keputusan yang berani. Ada rasa teruja, tetapi dalam masa yang sama, perasaan gementar dan risau pun mesti ada.
Bagi anda yang baru nak berjinak-jinak meneroka destinasi impian secara bersendirian, perancangan yang rapi dan teratur adalah kunci utama. Oleh itu, mari ikuti tujuh tip ini untuk menudahkan perjalanan pertama anda.
BACA JUGA: Car Camping: 5 Sebab Menarik Trend Perkhemahan Ini Semakin Popular!
1. Pastikan Buat Homework Tentang Destinasi
Perjalanan secara spontan atau solo memang menyeronokkan, tetapi untuk yang pertama kali, pastikan anda kaji dahulu destinasi pilihan anda melalui internet atau media sosial.
Ambil tahu aspek keselamatan setempat, zon yang perlu dielakkan, undang-undang atau norma budaya tempatan serta syarat perjalanan antarabangsa terkini.
2. Pilih Penginapan Yang Selamat & Review Yang Meyakinkan
Pilih penginapan bukan sekadar sebab murah, tetapi utamakan faktor keselamatan. Cari penginapan yang mempunyai kawalan keselamatan 24 jam, kaunter penyambut tetamu yang responsif dan peti simpanan keselamatan dalam bilik. Semak ulasan (reviews) daripada tetamu terdahulu sebelum membuat sebarang tempahan rasmi.
3. Rahsiakan Perancangan Anda, Jangan Dedahkan Pada Orang Anda Travel Solo
Walaupun lokasi yang dilawati kelihatan selamat dan ada CCTV, elakkan beritahu orang luar atau kenalan baharu sama ada di kafe, lobi hotel, mahupun media sosial bahawa anda berada di situ seorang diri.
Kekalkan tahap berwaspada bagi menjaga keselamatan peribadi.Dikhuatiri maklumat ini akan menjadikan anda sasaran pejenayah.
4. Tetapkan Bajet & Sediakan Tabung Kecemasan
Melancong solo tidak perlu boros, tetapi pastikan anda mempunyai pelan kewangan yang jelas dan disiplin patuhinya. Selain itu, asingkan sejumlah wang tunai atau simpanan khas sebagai dana kecemasan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak dijangka.
5. Sentiasa Kemas Kini Lokasi Kepada Keluarga / Rakan Terdekat
Biar pun niat anda mahu bersendirian atau lari sekejap dari kesibukan harian, pastikan ahli keluarga atau sahabat rapat tahu itinerary serta rancangan perjalanan anda.
Kekalkan komunikasi secara berkala sepanjang trip berjalan.
6. Sediakan Pelan Kecemasan & Insurans Perjalanan
Penerbangan tertangguh, isu kesihatan atau barang hilang boleh berlaku bila-bila masa. Sediakan jadual perjalanan yang lengkap, simpan nombor kecemasan penting dan pastikan anda membeli insurans perjalanan sebelum berlepas.
Perkara kecemasan banyak yang boleh hadir tanpa diduga, lebih baik anda sediakan perkara-perkara ini sebagai langkah persediaan.
7. Pack Light, Bawa Barang Yang Penting Sahaja
Apabila bercuti bersendirian, ingat bahawa tiada siapa yang akan tolong angkatkan beg anda. Bawa pakaian bergaya praktikal atau warna neutral yang mudah dipadankan (mix and match).
Jika percutian agak lama, manfaatkan perkhidmatan dobi di kawasan penginapan anda. Barangan yang ringan bukan sahaja memudahkan perjalanan anda, malah memberikan anda ruang untuk berbelanja dengan lebih.
Gaya Melancong Ikut Pilihan Masing-Masing
Walau ke mana pun destinasi anda, gaya melancong adalah pilihan masing-masing. Tidak kira ke mana anda pergi, pastikan anda mengikuti etika dan undang-undang negara berkenaan.
Yang peling penting adalah sentiasa menjaga keselamatan diri walau di mana anda berada.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi Libur, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang!
