Kakitangan Kedutaan Malaysia Di China Kerja ‘Non Stop’ Bantu Rakyat Kita Di Sana

Share

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing telah menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bagi memantau serta memberi laporan berterusan dan terkini berhubung perkembangan wabak 2019 novel koronavirus di China.

Penubuhan ERT berkenaan juga berperanan untuk menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan atau Pejabat Konsul Jeneral di seluruh China bagi memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa terjaga.

Kakitangan kedutaan Malaysia ini telah bekerja sepanjang masa tanpa mengenal penat lelah walaupun di sepanjang cuti Tahun Baru Cina demi rakyat Malaysia. Itu antara kenyataan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menerusi laman laman sosialnya.

Beliau menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an.

Usaha seluruh pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia di China untuk membantu rakyat Malaysia itu akan berterusan selagi jangkitan koronavirus itu masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di China atas segala usaha dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam usaha menangani dan membantu rakyat Malaysia berhadapan dengan koronavirus.

IKLAN