The Taaras Beach & Spa Resort Pupuk Kesedaran Ramai Anjur Hari Konservasi Pulau Redang 2019

Share

Seramai lebih 70 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai organisasi dan lapisan masyarakat berjaya melaksanakan Hari Konservasi Pulau Redang 2019 (RICD2019) bertempat di Pulau Redang pada 3 hingga 5 Mei yang lalu.

RICD2019 yang dianjurkan oleh The Taaras Beach & Spa Resort (TTBSR) itu bertujuan untuk memulihara dan memelihara alam sekitar yang terdapat di Pulau Redang selain mendidik dan memberikan kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya kebersihan laut kepada ekosistem semulajadi.

Persekitaran laut dan kawasan terumbu karang yang bersih serta bebas daripada sampah boleh menjadi persekitaran yang baik kepada hidupan laut seperti ikan dan tumbuh-tumbuhan, selain menjana ekonomi setempat dengan menjadi tempat pelancongan dan percutian yang cantik dan menarik.

Selain daripada itu, persekitaran laut yang bersih dapat menghasilkan terumbu karang yang sihat dan memangkin pelindungan terhadap bencana alam yang mungkin terjadi di persekitaran kawasan pantai seperti tsunami ataupun ribut monsun.

Proses konservasi selama tiga hari itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama akan membersihkan bahagian bawah permukaan laut dan kumpulan kedua akan membersih permukaan pantai. Kumpulan pertama terdiri daripada penyelam-penyelam skuba yang membersihkan tiga bahagian di bawah permukaan laut iaitu dua di TTBSR dan satu lagi di tukun yang berhampiran.

Selain daripada mengeluarkan sampah sarap yang terdapat di sekitar Pulau Redang, kerja-kerja pembersihan juga melibatkan proses membuang pukat terbiar yang boleh mengganggu dan membahayakan hidupan laut.

Pengarah Urusan TTBSR, Pravir Mishra berkata usaha untuk melindungi dan menjaga persekitaran alam sekitar terutamanya laut sangat penting dan perlu dilaksanakan secara berterusan supaya keindahan laut dan pantai terutamanya Pulau Redang dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

“Dengan melindungi habitat hidupan laut yang ada di sini akan memastikan bukan sahaja orang tempatan malah orang daripada luar negara juga dapat menikmati keindahan alam semulajadi yang indah di Malaysia,” katanya.

RICD2019 yang dilaksanakan itu juga mendapat kerjasama NGO Trash Hero Malaysia dan berjaya menghimpunkan sukarelawan daripada media, orang awam, Berjaya Tioman Resort, Jabatan Taman Laut Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

IKLAN