St Basil Cathedral merupakan binaan ikon terkenal wajib melawat jika ke Moscow, Rusia. Ia mempunyai fungsi sebagai tempat beribadat termasyhur di negara Eropah. Jika anda ke Jerteh, Terengganu pasti terpesona dengan sebuah masjid seni binanya seakan-akan St. Basil Cathedral yang berjaya menarik perhatian orang ramai.
Terletak di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, Terengganu, Masjid Lapan Kubah atau mendapat jolokan sebagai ‘Masjid Russia’ menarik perhatian orang ramai erdiri gah di kawasan sawah padi di tengah-tangah kampung itu.
Ads
Pembinaan masjid ini telah dicetuskan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh kira-kira tujuh tahun lalu dengan kos RM4 juta menerusi derma orang ramai. Masjid ini menggantikan masjid kayu sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang.
Masjid Lapan Kubah kini menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan penduduk di dalam dan luar negeri. Keunikan seni bina masjid ini dengan kombinasi warna kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid itu yang mula digunakan sejak tahun 2017 tidak putus-putus dikunjungi.
Ads
Ada yang sanggup datang dari jauh bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid. Dibina sepenuhnya menggunakan 100 peratus tenaga dan arkitek tempatan, masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.
Disebabkan masjid ini kini menjadi antara mercu tanda kampung di Jerteh, pengurusan masjid turut bercadang membuat satu sudut khas bagi menempatkan info dan bahan yang menampilkan sejarah awal masjid lama sehingga terbinanya masjid baharu ini.
Selain itu, terdapat beduk yang digunakan untuk memanggil orang kampung setiap kali waktu solat yang berusia lebih 50 tahun yang akan turut dipamerkan di sudut itu kelak.
Kami akhirnya tiba di pinggir tasik yang di kenali sebagai Tasik Dal. Tasik ini merupakan nadi kehidupan Kashmir kerana ramai penduduk hidup dengan bergantung kepada sumber tasik ini bagi industri pertanian, pelancongan, dan kegiatan seharian. Tasik ini amat luas dan terdapat jalan-jalan raya yang mengisi lanskap tasik ini dengan pembangunan seperti rumah, hotel dan restoran. Di belakangnya pula tersergam bukit-bukit dan gunung-ganang yang putih bersalji. Dengan langit yang biru, kombinasi warna yang ada ini menambah lagi keindahan Kashmir di pandangan mata.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, penduduk Kashmir ini 95% daripadanya adalah penduduk Islam manakala 5% lagi adalah Sikh. Tetapi jangan terkejut jika saya katakan ramai orang Islam yang membela anjing. Bagaimanapun, cara mereka membela anjing adalah dengan memberikan makanan di luar rumah dan anjing-anjing itu tidak boleh masuk ke dalam kawasan rumah. Anjing-anjing ini biasanya akan menjaga kawasan atau lorong laluan penduduk yang memberi makan kepada mereka.Di Kashmir, masalah bahasa tidak timbul kerana majoriti penduduknya boleh berbahasa inggeris selain bahasa tempatan dan hindi.
Di sini, walaupun ada banyak bangunan hotel tetapi pelancong lebih gemar tinggal di dalam rumah bot yang juga hotel terapung di Tasik Dal. Rumah bot ini asalnya merupakan cadangan daripada pegawai-pegawai Inggeris bila Raja Moghul tidak membenarkan pihak Inggeris membina sebarang bangunan kerana Tasik Dal adalah harta yang di lindungi oleh pihak istana.
Rumah bot peninggalan Inggeris di bumi Kashmir
Terdapat kota raja di atas bukit yang dibina di kawasan Tasik Dal untuk raja-raja bercuti pada musim tertentu dan menikmati keindahan bumi Kashmir. Untuk itu, pihak Inggeris membina rumah bot dan sebagai tempat tinggal musim cuti dan masa rehat mereka. Peninggalan mereka selepas India mencapai kemerdekaan ini di teruskan sebagai satu ciri-ciri pelancongan.
Rumah-rumah bot yang ada ini tidak akan belayar seperti mana di Kerala tetapi ditambat di pinggir tasik. Untuk ke rumah bot ini kita perlu menaiki sampan kecil yang di gelar shikara. Kebanyakkan shikara ini dihias dengan cantik oleh tukang dayung sampan dengan bunga-bungaan dan balutan baldu serta ukiran. Biasanya satu shikara ini mampu memuatkan dua orang untuk duduk di dalam dan pengayuh akan berada di belakang.Anda tidak perlu ke Venice untuk menikmati suasana romantis sebegini kerana di Kashmir semua nya telah ada..
Situasi di atas shikara ini mengingatkan saya kepada filem hindi lama Kashmir Ki Kali dengan lagu hitsnya “Taarif Karuun Kya Ushki”. Filem ini dibintangi olek Shammi Kapoor (bapa saudara Kareena Kapoor) dan Sharmila Tagore (emak Saof Ali Khan).
Semasa kami tiba di pinggir tasik, pengayuh shikara kami telah pun sedia menanti. Kami menaiki shikara ini dan abang dan kakak ipar saya berasa takut bila shikara ini bergoyang-goyang semasa kaki mula memijak lantai sampan. Saya ketawa kecil melihat telatah mereka lebih-lebih lagi bila muka kakak ipar saya pucat dan senyap sepanjang perjalanan.
Air Tasik Dal kelihatan amat jernih dan sejuk. Ini kerana salji yang mula cair sedang memasuki kawasan tasik. Saya dapat melihat dengan jelas dasar tasik yang penuh dengan rumpai dan kedalaman nya cuma dalam lima ke enam kaki sahaja. Jarak antara tebing tasik dan rumah bot cuma lebih kurang 500 meter dan bot shikara ini mengambil masa kurang 10 minit untuk sampai ke rumah bot.
Ada lebih kurang 70 hingga 80 rumah bot di Tasik Dal ini dan kesemuanya cantik-cantik belaka. Kehalusan seni ukiran Kashmir yang bercirikan islam terserlah pada rupa bentuk rumah bot ini yang di bina daripada kayu pokok Maple. Farhan, pemandu pelancong kami yang turut ikut dengan menaiki bot shikara yang lain memperkenalkan kami kepada penjaga rumah bot dan tukang masak kami yang bernama Gulam. Tanggungjawab penjaga rumah bot ini cuma bertindak sebagai pengawal sahaja tetapi tugasan Gulam adalah lebih kepada tugasan di dalam rumah seperti mengemas dan memasak. Rumah bot ini ada empat bilik di mana dua daripadanya untuk kami dan dua lagi dihuni pasangan dari daerah Bhopal, India.
Tak tahan sebab cuaca sejuk!
Seperti yang saya jelaskan, kami tiba di Kashmir pada penghujung musim dingin di mana salji mula cair tetapi kesan-kesan salji masih jelas kelihatan terutama di puncak bukit dan gunung. Saya memakai tiga lapis baju semasa berada dalam rumah bot dan menambah dua lagi lapis jika mahu keluar. Ini kerana cuaca suhu 4 darjah celcius cukup sejuk untuk kami lebih-lebih jika angin bertiup. Di luar rumah bot ini ada tempat lepak seperti beranda yang memberikan kita peluang melihat pemandangan tasik dan gunung tetapi sukar untuk saya duduk lama ketika keluar merokok kerana jika angin sejuk datang maka saya terpaksa lari masuk ke dalam.
Pada setiap bilik dan juga ruang tamu ada di sediakan dapur pemanas yang mempunyai serombong dan tempat pembakaran kayu api untuk menambah rasa panas. Tiada air-cond atau kipas angin di dalam rumah bot kerana faktor cuaca yang sudah sejuk. Biasanya, warga tempatan di sini menggunakan kayu pokok fir yang kelihatan seakan pokok rhu sebagai bahan bakar. Kayu ini akan dipotong lebih kurang satu setengah kaki untuk mudah di masukkan ke dalam dapur pemanas ini.
Syukur Malaysia ada saluran tv percuma
Program kami seterusnya adalah untuk melawat Mughal Garden yang terletak di pinggiran tasik dan sering menjadi lokasi perfileman hindi pada tahun 60-80an untuk adegan menyanyi. Program ini akan bermula pada sebelah petang dan sementara itu kami berehat dalam rumah bot sementara menantikan waktu makan tengahari.
Di ruang tamu, kami cuba menonton tv di mana semuanya siaran tempatan Kashmir saja. Banyak drama,lagu bahasa Kashmiri dan program keagamaan. Menurut Gulam, tv di sini menggunakan sistem kabel di mana untuk melanggan, mereka perlu membayar 150 rupees sebulan (lebih kurang RM10) dan tiada siaran percuma kerajaan atau swasta seperti RTM dan TV3 seperti mana di Malaysia.
Oleh kerana terlalu sejuk, maka terasa amat sukar untuk mandi seperti biasa. Memang ada air panas dari paip air tetapi untuk menunggu air itu menjadi panas sungguh lambat. Jika kita mandi selepas air itu panas pun tubuh kita akan tetap menggigil jugak. Saya di fahamkan penduduk Kashmir jarang mandi semasa musim sejuk dan mereka cuma lap badan dengan air panas saja.
Waktu ni la mengidam teh tarik
Gulam memanggil kami untuk makan tengahari. Semasa tiba di tempat makan yang merupakan ruang khas antara bilik tidur dan ruang tamu, saya perhatikan ruang ini juga di hias cantik. Kerusi dan meja juga daripada kayu bermutu yang di ukir dengan cantik.
Makanan telah tersedia atas meja. Menunya adalah nasi briani dan lauk vegetarian. Saya sebenarnya tidak suka makan makanan vegeterian tetapi masakan Gulam memang enak dan menyebabkan saya suka pada vegetarian Kashmir style yang di masak dengan menggunakan keju.
Lupa saya nak beritahu, jangan cari makanan India seperti capati, tose, roti canai di Kashmir kerana bukan saja tidak ada tetapi mereka tidak pernah dengar.
Ini kerana makanan-makanan ini adalah menu di selatan India dan Kashmir terletak di utara India. Teh tarik mereka juga menggunakan daun safron dengan susu unta atau kerbau. Di India tidak ada susu tin seperti di Malaysia.
Selepas makan saya bertanya kepada Gulam mengenai minuman teh. Faham-fahamlah yang kami dari Pulau Pinang dan teh ini minuman wajib bagi saya dan abang saya. Gulam berkata dia akan bawa lain kali kerana bahannya tidak tersedia kali ini. Biasanya dia akan memasak mengikut apa yang di minta oleh ejen dan bukan kita. Jadi jika nak Gulam buatkan teh, maka kita perlu keluarkan kos sendiri.
Peniaga bot ke bot
Selesai makan, kami cuma berehat di ruang tamu sambil menunggu Farhan datang menjemput tetapi masa rehat kami terganggu dengan kedatangan peniaga-peniaga. Seperti yang saya jelaskan, Tasik Dal ini merupakan nadi kehidupan penduduk Kashmir maka di sini terdapat ramai penjaja yang mengayuh sampan sendiri untuk berkunjung dari rumah bot ke rumah bot yang lain bagi menjaja barangan seperti manik, rantai, ukiran, dan kain baju.
Anehnya, mereka yang datang bukannya penjaja yang membawa barangan yang sama. Seolah-olah ada yang mengatur kedatangan mereka dan mereka seperti tahu bila kami akan keluar atau pulang kerana mereka akan tiba pada masa kami berada dalam rumah bot walau pintu rumah di tutup. Akhirnya saya dapat merasakan siapa dalang di sebalik misteri ini..
BERSAMBUNG…
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Menjejakkan kaki ke daerah Sipadan tidak kira berapa ratus kali sekalipun tidak langsung menjemukan. Selain tujuan utama untuk bercuti di pulau-pulau indah atau melakukan aktiviti selaman dasar laut di kawasan ini, ada lagi beberapa perkara menarik yang perlu pengunjung singgah. Antaranya melawat penduduk asal suku kaum di sini iaitu masyarakat Bajau Laut.
Sesiapa sahaja akan tertarik untuk mengetahui lebih mendalam gaya kehidupan orang Bajau Laut ini, selain hanya melihat melalui portal atau akhbar. Kehidupan yang serba kekurangan, tanpa sebarang bekalan elektrik atau bekalan air bersih namun ada senyuman disebalik setiap bibir mereka. Pada siang hari, cahaya matahari terik menemani mereka namun pada malam hari hanya bintang dilangit atau cahaya pelita setia menerangi saban waktu.
Mampu atau tidak masyarakat moden hari ini untuk melalui kehidupan sebegini. Berkeluarga di kawasan laut yang luas dan menginap di dalam sebuah rumah yang kecil dan daif tanpa sebarang keperluan asas yang lengkap?
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Sejak bertahun-tahun sehingga kini, suku kaum Bajau Laut tinggal di dalam bot beralaskan lautan (lepa) atau pondok kecil yang tinggi diperbuat daripada kayu atas terumbu karang. Kehidupan mereka bergantung kepada sumber laut semata-mata dengan menangkap ikan, mengutip kupang dan kerang selain memungut mutiara di pulau-pulau terpencil.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Terdapat kira-kira 15 buah rumah di setiap pulau dengan majoriti penduduknya sekitar 100 penghuni yang terdiri daripada warga emas, orang dewasa, remaja, kanak-kanak dan bayi.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Suku kaum Bajau Laut terikat dengan laut dan jarang sekali mereka menjejakkan kaki ke daratan. Ada sumber yang mengatakan jika mereka berada di daratan beberapa hari mereka akan ‘mabuk darat’. Jadi mereka hanya akan turun ke darat atas urusan menjual hasil tangkapan, mendapatkan bekalan air bersih dan sumber kayu sahaja sebelum terus pulang ke penempatan asal di laut.
Sumber Foto: Hak Milik Libur
Bajau laut adalah penyelam yang luar biasa dan hampir kesemua mereka memang dapat menguasai seni menyelam sehingga jauh ke perut laut sambil menahan nafas selama yang mungkin. Ini penting demi menyara keluarga dengan menangkap ikan, udang kara, timun laut dan hidupan laut yang lain.
Sumber Foto: Hak Milik Libur –
Selain bahasa dialek daerah itu, kebanyakan daripada mereka boleh bertutur bahasa Melayu dan ada juga boleh berbahasa Inggeris dengan kefasihan yang biasa. Ini dilakukan demi menjual hasil laut kepada pelancong. Anak-anak kecil juga dilihat ada yang menghafal beberapa baris ayat atau perkataan atau hanya menyebut beberapa perkataan mudah untuk berkomunikasi atau tawar-menawar dengan pelancong.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv
Jika berkunjung ke Pulau Tatangan untuk melihat dengan dekat kehidupan suku kaum Bajau Laut ini, keadaan agak sedikit mencabar kerana penghuninya sedikit agresif. Melihat sahaja bot pelancong menghampiri penempatan mereka, kelihatan kayak dan perahu didayung dengan laju ke arah mereka.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv
Ramai pelancong dan pengujung dilihat sedikit gementar dan terkejut apabila masyarakat bajau laut di sini seolah-olah mengepung bot untuk mendapatkan apa yang dibawa. Ada juga yang terus merampas apa sahaja barang yang ingin diagihkan tanpa memperdulikan permintaan baik si pemberi.
Oleh itu, ada sedikit tip untuk anda agar tidak menunjukkan kesemua makanan atau barang yang ingin diberikan kepada mereka untuk elakkan perebutan yang ‘maha dasyat’. Jaga barang-barang peribadi anda dengan baik agar tidak direntap sesuka hati.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv
Berbeza dengan penduduk Bajau Laut di Pulau Mantabuan atau Pulau Sibuan, kehadiran pelancong lebih selesa apabila berpeluang mendekati mereka dengan lebih selesa untuk bertanya khabar. Penduduknya juga sangat peramah, walau tidak mampu berkomunikasi dengan baik. Ada juga penduduk bajau laut yang bijak mengambil peluang dengan membuka kedai menjual jajan dan minuman kepada pelancong yang singgah ke perkampungan mereka.
Selain daripada senarai yang dinyatakan, ada beberapa lagi lagi perkampungan dan penempatan Bajau Laut disekitar ini yang meneruskan kehidupan seharian dengan aman dan damai bersama komuniti mereka. Antaranya perkampungan suku kaum Bajau di Pulau Mabul.
Sumber Foto: Hak Milik Libur – Ideaktiv |
Namun jauh di sudut hati, penulis sayu dan sedikit sedih melihat kehidupan komuniti ini. Dari sekecil-kecil anak, remaja, golongan ibu hingga ke warga emas masih mengamalkan amalan ‘meminta-minta’ untuk mendapatkan duit dan pelbagai alasan diberikan antaranya lapar. Tidak tahulah sejauh kebenarannya. Tetapi di depan mata penulis sendiri sewaktu bot berhenti di satu pulau yang didiami suku kaum bajau, terdapat sekumpulan anak kecil sedang menghabiskan sisa-sisa makanan pelancong di tepi bot-bot yang sedang tersusun. Habis segala makanan dalam periuk dikikis hingga licin sewaktu mendapat peluang tersebut.
Pastikan sebelum melawat suku kaum bajau laut ini, pengunjung membawa sedikit buah tangan untuk mereka seperti gula-gula, jajan, buah-buahan, pakaian, kain selimut atau alat solekan. Mereka pasti menghargai pemberian kecil anda ini.
Terima kasih Tourism Malaysia
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Pulau Bidong, Terengganu menyimpan sejarah luka negara yang kini ‘digali’ semula setelah sekian lama ramai yang melupakannya.
Ketika ini, Pulau Bidong telah diangkat sebagai destinasi persinggahan pelancong untuk melakukan aktiviti selam skuba yang terletak berdekatan dengan pulau pelancongan lain seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.
Keindahan pantai dan perairan Pulau Bidong yang cantik menggamit peminat aktiviti selam skuba dan snorkeling untuk melihat keindahan dasar lautnya yang dihiasi dengan terumbu karang. Di pulau ini turut menempatkan stesen penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Yayasan Coral Malaysia (YCM) yang diberikan tapak di pantai itu untuk mengusahakan konservasi terumbu karang.
Sejarah ‘hitam’ Pulau Bidong INI bermula sejak 1978 hingga 1991, lokasi yang tidak berpenghuni itu sebelum ini menjadi tumpuan dunia apabila dijadikan kem sementara bagi pelarian Vietnam berikutan Perang Vietnam meletus sehingga membawa mereka ke sini.
Hampir 12 tahun lamanya Malaysia menempatkan pelarian Vietnam atau ‘orang hanyut’ di Pulau Bidong. Dianggarkan lebih 200,000 pelarian pernah mendiami pulau ini menyaksikan pelbagai kemudahan dibina sama ada oleh kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), selain inisiatif pelarian Vietnam sendiri.
Namun jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an. Dah bagi betis nak peha pula!
Tahukah anda, Malaysia pernah diancam kedaulatannya dengan satu tragedi yang digelar tragedi Pulau Bidong??
Kisahnya bermula apabila Malaysia mengambil keputusan untuk menerima pelarian dari negara Vietnam yang meninggalkan negara mereka melalui jalan laut dek kerana peperangan yang tercetus di negara mereka. Oleh kerana jumlah mereka yang begitu ramai, Malaysia terpaksa mencari satu kawasan khas untuk menempatkan mereka di negara kita.
Keputusan Malaysia ini dilihat sebagai satu keputusan kemanusiaan, dalam menangani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Ia juga menyaksikan kedudukan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN semakin kukuh dan membuka mata dunia luar terhadap Malaysia.
Namun jasa baik Malaysia selama 12 tahun menempatkan pelarian Vietnam atau di Pulau Bidong, Terengganu bermula tahun 1978, jasa baik kerajaan membenarkan mereka menumpang di situ dibalas dengan demonstrasi berdarah pada awal 1990-an.
Tunjuk perasaan itu bermula apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat keputusan untuk mengeluarkan mereka dari situ untuk dihantar ke negara ketiga tetapi dengan bersyarat di mana melalui proses saringan di mana hanya yang layak sahaja akan dihantar ke negara ketiga manakala yang selebihnya akan dihantar pulang ke negara asal.
Pada ketika itu, Penguasa Penjara, Saidun Othman, adalah antara pegawai dan anggota keselamatan, yang berdepan detik getir bersama lima rakan setugas Jabatan Penjara, 15 anggota polis serta dua anggota tentera. Pasukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri itu turut dibantu 30 Ikatan Relawan Malaysia (RELA), namun jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan saki-baki penghuni Pulau Bidong yang menyerbu pejabat menyerbu pejabat pasukan kita. Mereka marah dan menunjuk perasaan membantah keputusan PBB kerana mahu membuat saringan memilih yang layak ke negara ketiga. Mereka beranggapan semuanya layak dan tidak mahu dihantar pulang.
Demonstrasi itu berlanjutan selama seminggu disusuli dengan mogok lapar. Mereka enggan menyentuh makanan yang disediakan petugas Palang Merah Antarabangsa. Pada masa sama, banyak poster protes mula dinaikkan dan ada antaranya yang bertulis ‘hidup atau mati’, ‘Kami mahu keadilan,’; ‘Bebaskan kami’ dan ‘Kami tidak mahu pulang’. Sepanjang tempoh itu juga, petugas keselamatan terus berdiplomasi memujuk mereka supaya bertenang.
Kemuncak tunjuk perasaan itu memang mengerikan kerana ramai yang mencederakan diri sendiri. Menikam badan dengan senjata tajam. Mereka mahu menunjukkan tanda protes kepada PBB. Walaupun mereka tidak menyerang pihak kita, namun kita terpaksa hadap kerana bertugas di bahagian keselamatan.
Demonstrasi itu berakhir dengan aman selepas beberapa perundingan dan akhirnya, semua penghuni di Pulau Bidong dipindahkan ke kem Sungai Besi sementara menunggu proses menghantar mereka ke negara ketiga. Di sini penghuni diasingkan mengikut kategori keluarga, bujang, lelaki dan wanita, kanak-kanak serta ibu tunggal.
Unit keselamatan yang terdiri daripada pemimpin mereka sendiri telah ditubukan pada ketika itu. Ini bertujuan mengawal mereka supaya tidak bertindak ganas atau mengganggu ketenteraman penghuni lain. Jika ada yang melakukan kesalahan, mereka akan ditangkap dan dibicarakan. Jika bersalah, mereka akan dikurung di dalam bilik tahanan khas seperti ‘monkey house’.
‘Monkey house’ adalah bilik tahanan kecil yang cuma boleh memuatkan beberapa individu pada satu-satu masa dan mereka tidak boleh berdiri. Ini bermakna, sepanjang tempoh tahanan itu, mereka cuma boleh duduk atau berbaring saja dan langsung tidak dibenarkan balik ke blok penempatan.
Kita ingat dengan penutupan Pulau Bidong dengan menempatkan semua pelarian di Kem sungai Besi dapatlah menangani masalah pelarian ini namun tidak sama sekali kerana
kehadiran mereka di Kem Sungai Besi memberi masalah lebih besar kepada anggota keselamatan. Di dalam kem ini, mereka telah menunjukkan perangai mereka yang sebenar, mereka telah mewujudkan puak-puak samseng dan menindas rakan sepelarian mereka sendiri. Mereka juga mewujudkan pelbagai pusat hiburan dan pelacuran haram di dalam kem berkenaan, selain melakukan penyalahgunaan dadah.
Disebabkan hal ini pihak keselamatan telah mengambil keputusan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke dalam kem mereka untuk membanteras gejala yang tidak bermoral yang dilakukan mereka. Mereka membantah tindakan anggota keselamatan, hingga mencetuskan rusuhan besar pada Jun 1995 yang hampir menggugat kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia yang telah memberi perlindungan kepada mereka selama ini.
Tindakan ganas kumpulan perusuh pada pagi 5 Jun 1995 menyebabkan tiga blok kediaman di Kem Transit Sementara Sungai Besi yang menempatkan lebih 4,500 pelarian Vietnam musnah sama sekali.
Yang menyayat hati, rusuhan ini mengorbankan seorang pelarian dan mencederakan lebih 10 anggota yang terlibat dalam operasi mengawal keselamatan iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bomba dan polis hutan (PPH). Tidak cukup dengan rusuhan yang berlangsung selama lebih 16 jam, kebakaran besar turut menggemparkan warga kota khususnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Besi dan Bukit Jalil.
Kepulan asap yang menjulang tinggi dikatakan dapat disaksikan dari jarak puluhan kilometer. Dalam operasi mengawal rusuhan itu, seramai 1,200 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota polis, FRU, PPH, bomba, unit pengesan bom dan unit anjing pengesan dikerahkan ke tempat kejadian.
Serbuan awal polis ketika itu berjaya menemui pelbagai senjata tajam seperti lembing, parang, senapang panah dan pedang yang dihasilkan oleh kumpulan perusuh. Berdasarkan kenyataan rasmi Dewan Negara yang dibaca oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berhubung insiden ini, kekecohan dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati pelarian terhadap keputusan kerajaan yang mahu menghantar mereka pulang ke negara asal.
Menurut beliau dalam kenyataan itu, pelarian Vietnam cuba menunjukkan bantahan dan mendapatkan simpati dunia terhadap rancangan kerajaan menghantar mereka pulang ke Vietnam yang sudah dipersetujui oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). Mereka juga masih menaruh harapan untuk dihantar menetap ke negara ketiga yang mereka anggap dapat memberikan perlindungan walaupun permohonan mereka ditolak oleh negara berkenaan.
Pilihan kumpulan pelarian ketika itu adalah untuk mendapatkan tempoh perlindungan lebih lama di negara ini sementara menunggu giliran dihantar ke negara-negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Kanada dan Eropah yang dikelola oleh UNHCR.
Bagaimanapun, atas syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa itu, keutamaan mengikuti program pemindahan ke negara ketiga itu hanya melibatkan pelarian yang mempunyai kelayakan profesional.
Tersepit dalam keadaan itu, sebahagian daripada pelarian turut berusaha meraih simpati antarabangsa sehingga mendapat perhatian dari negara luar. Kenyataan yang sama juga menyatakan pemberontakan berpunca daripada tindakan kerajaan membina pagar berangkai di kem berkenaan bagi mengasingkan kumpulan pelarian yang bermati-matian enggan dihantar pulang dengan puak yang lebih bertimbang rasa.
Ia merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk menghalang kumpulan hardcore daripada menghasut kumpulan pelarian yang lain. Dalam rundingan itu, kumpulan pelarian mendesak kerajaan supaya tempoh perlindungan dilanjutkan kerana mereka takut pulang ke negara asal.
Mereka tidak berani pulang kerana takut dikenakan hukuman mati oleh pemerintah komunis negara itu. Rundingan menemui jalan buntu sehingga tercetusnya rusuhan. Selepas tewas dalam ‘pertempuran’ dengan pihak berkuasa, beratus-ratus ‘kepala samseng’ ditahan dan dihantar ke kem tahanan sementara pelarian di Kerayong, Pahang.
Betapa susah dan mencabarnya Pasukan Khas di bawah MKN serta semua agensi keselamatan kita bagi menangani isu pelarian ini. Buat baik dibalas baik namun tidak sangka sebaliknya pula yang kita dapat. Tahniah kepada MKN dan juga semua agensi keselamatan kita pada ketika itu yang akhirnya berjaya menyelesaikan dan meleraikan masalah isu pelarian Vietnam ini.
Sentiasa up to date tentang tempat healing dan relax dengan LIBUR.
Berlibur dan download
sekarang!
Setiap tahun apabila tibanya Hari Bapa, ramai yang mula mencari cara istimewa untuk menghargai insan yang selama ini menjadi tempat bergantung dan sumber inspirasi...