Mural ‘Bercantum’ Dengan Merdeka 118, Ini Hidden Spot Menarik Di Petaling Street

Share

Kalau selalu ke Petaling Street untuk cari makan atau berjalan sekitar Chinatown, kali ini cuba masuk sedikit ke lorong belakangnya. Ada satu spot mural yang semakin mencuri perhatian kerana dari sudut tertentu, lukisan pada dinding kelihatan seolah-olah bersambung terus dengan Menara Merdeka 118 di belakang.

Memang cukup menarik untuk kaki fotografi dan mereka yang suka mencari hidden spot sekitar Kuala Lumpur.

Street Art Dengan ‘Bonus’ Merdeka 118

Lorong belakang Petaling Street ini dihiasi mural berwarna-warni yang mengetengahkan budaya, tarian, pakaian tradisional serta elemen kehidupan masyarakat Malaysia. Menariknya, kedudukan Merdeka 118 yang menjulang di belakang bangunan lama menjadikan kawasan ini mempunyai visual cukup unik gabungan KL lama dan KL moden dalam satu frame.

Jalan Sultan, Kuala Lumpur Kredit Foto: bujalx / Thread

Kalau berdiri pada titik dan angle yang betul, bahagian mural berwarna biru pula nampak seperti bersambung dengan struktur sebenar Merdeka 118. Hasil gambarnya memang boleh buat orang tertanya-tanya sama ada ia kebetulan atau sengaja direka begitu.

Kat Mana Nak Cari?

Spot mural ini terletak di kawasan lorong belakang Petaling Street, sekitar Jalan Sultan dan Jalan Petaling, tidak jauh dari Kwai Chai Hong. Antara rujukan lokasi yang dikongsikan pengunjung ialah kawasan Street Art Lane sekitar 76, Jalan Petaling, 50000 Kuala Lumpur.

Jalan Sultan, Kuala Lumpur Kredit Foto: bujalx / Thread

Ada juga pengunjung berkongsi koordinat sekitar 3.14338° N, 101.69854° E. Apabila sampai di lorong tersebut, berjalan sehingga ke bahagian hujung dan cari penanda kedudukan kamera pada permukaan jalan untuk mendapatkan perspektif mural yang paling menarik.

Naik Pengangkutan Awam Lagi Mudah

Kalau tak mahu pening fikir pasal parkir, boleh naik MRT atau LRT dan turun di Pasar Seni

sebelum berjalan kaki ke kawasan Petaling Street.

Dari situ, perjalanan boleh disambung dengan meneroka Chinatown, Jalan Sultan dan Kwai Chai Hong. Memang sesuai dijadikan satu itinerary santai untuk city walk sekitar Kuala Lumpur. Stesen Pasar Seni juga disebut sebagai antara akses pengangkutan awam paling mudah untuk ke kawasan mural ini.

Waktu Cantik Untuk Bergambar

Kalau nak pencahayaan lebih cantik, cuba datang sekitar 8 pagi hingga 10 pagi atau lewat petang sekitar 5 petang hingga 7 malam. Cahaya pada waktu ini biasanya lebih lembut berbanding tengah hari dan lebih mudah untuk mendapatkan detail mural serta bangunan Merdeka 118 dalam satu gambar.

Jalan Sultan, Kuala Lumpur Kredit Foto: bujalx / Thread

Untuk gambar yang lebih dramatik, cuba ambil dari sudut sedikit rendah supaya menara nampak lebih tinggi. Wide lens juga sesuai kalau nak masukkan keseluruhan mural dan menara sekali dalam frame.

Satu Lagi Port City Walk Yang Patut Simpan

Petaling Street memang bukan sekadar tempat cari makanan dan membeli-belah. Lorong-lorong kecil di sekitarnya sekarang semakin menarik diterokai kerana dipenuhi seni jalanan, bangunan lama dan sudut-sudut kota yang jarang diperhatikan.

Jadi kalau hujung minggu nanti tak tahu nak ke mana, boleh masukkan spot mural Merdeka 118 ini dalam senarai. Tak perlu keluar jauh dari KL pun untuk dapat gambar yang nampak macam travel ke tempat lain.

Lokasi: Street Art Lane, sekitar Jalan Petaling/Jalan Sultan, Kuala Lumpur
Stesen terdekat: MRT/LRT Pasar Seni
Cadangan waktu: Pagi atau lewat petang
Aktiviti: Bergambar, street photography & city walk

Oleh
Syahir Hannan