Luar Negara

Nak Rasa Amsterdam Yang Sebenar? 5 Kawasan Ini Patut Masuk Dalam Itinerari Anda

Share

Amsterdam bukan sekadar terusan cantik dan bangunan klasik, Amsterdam sebenarnya lebih menarik apabila anda keluar dari laluan pelancong biasa dan mula meneroka kawasan yang punya karakter tersendiri.

Setiap sudut di bandar ini ada suasana berbeza. Ada kawasan yang tenang dengan deretan rumah lama, ada yang lebih moden dan kreatif, manakala ada juga yang sentiasa hidup dengan suasana kota yang sibuk. Sebab itu, kalau anda bercadang ke Amsterdam, jangan hanya fokus pada tempat wajib bergambar saja.

Sebaliknya, luangkan masa untuk menikmati bandar ini melalui kawasan kejiranannya. Di sinilah anda boleh rasa sendiri “vibe” Amsterdam yang lebih santai, dekat dengan kehidupan lokal dan tentunya lebih berwarna.

  1. Jordaan, kawasan klasik yang paling memikat

Jordaan antara kawasan paling popular di Amsterdam dan sering jadi pilihan pelancong yang mahu menikmati suasana bandar yang lebih tenang. Terusan kecil, lorong berbatu, rumah klasik dan kafe comel menjadikan kawasan ini sangat fotogenik.

Kalau anda sukakan suasana Eropah yang old-school, Jordaan memang tempat yang patut diteroka. Berjalan kaki di sini pun sudah cukup untuk buat anda jatuh cinta dengan Amsterdam.

Tour Boat on Canal in Amsterdam, Netherlands Kredit Foto: Marcelo Verfe
  1. De Pijp, meriah dan penuh vibe lokal

Kalau mahu lihat sisi Amsterdam yang lebih santai dan hidup, De Pijp memang lokasi yang sesuai. Kawasan ini terkenal dengan suasana muda, pilihan kafe menarik dan deretan kedai yang menjadikannya antara spot kegemaran pelancong serta penduduk tempatan.

De Pijp sesuai untuk anda yang suka berjalan tanpa agenda terlalu padat. Suasananya lebih kasual, tapi tetap ada tarikan tersendiri yang buat kawasan ini terasa sangat hidup.

De Pijp Amsterdam, Netherlands Kredit Foto: Gül Işık
  1. Museumplein, elegan dan penuh sentuhan budaya

Museumplein pula menawarkan sisi Amsterdam yang lebih kemas, luas dan elegan. Kawasan ini cukup terkenal kerana menempatkan beberapa muzium utama, selain ruang terbuka yang sering jadi tumpuan pelancong.

BACA LAGI: Travel Ke Luar Negara? Ini Cara Cari Makanan Halal Dengan Lebih Mudah

Walaupun terkenal dengan elemen seni dan budaya, suasana di sini tetap santai. Sesuai untuk anda yang mahu menikmati Amsterdam dalam mood yang lebih tenang dan teratur.

Entrance to a Museum in Amsterdam, Netherlands Kredit Foto: Petar Avramoski

 

  1. Amsterdam Centrum, jantung kota yang tak pernah surut

Ini adalah kawasan paling ikonik dan sering menjadi lokasi pertama yang diteroka oleh pelancong. Amsterdam Centrum menampilkan suasana bandar yang sibuk dengan terusan, jambatan, bangunan klasik dan deretan kedai yang sentiasa dipenuhi orang ramai.

Kalau ini kali pertama anda menjejakkan kaki ke Amsterdam, kawasan ini memang wajib masuk dalam senarai. Banyak sudut menarik untuk bergambar dan paling mudah untuk rasa suasana bandar yang sebenar.

Canal and Church View Amsterdam, Netherlands Kredit Foto: Emre Gencer
  1. NDSM Wharf, sisi kreatif Amsterdam yang lain daripada lain

Bagi yang mahu melihat Amsterdam dari sudut berbeza, NDSM Wharf patut diberi perhatian. Kawasan ini terkenal dengan suasana lebih moden, urban dan kreatif, lengkap dengan seni jalanan serta pemandangan waterfront yang unik.

Berbeza dengan imej klasik Amsterdam, NDSM Wharf memberi pengalaman yang lebih segar. Sesuai untuk pelancong yang suka tempat beridentiti, santai dan ada elemen seni kontemporari.

Vibrant Street Art on Amsterdam, Netherlands Kredit Foto: Vibrant Street Art on Amsterdam

Amsterdam sememangnya bandar yang paling sedap dinikmati secara perlahan. Lagi banyak anda berjalan dan meneroka kawasannya, lagi jelas keunikan bandar ini akan terasa. Bukan hanya cantik pada gambar, tetapi juga kaya dengan suasana yang membuatkan setiap kawasan ada cerita tersendiri.

Jadi kalau anda merancang trip ke Amsterdam, pastikan lima kawasan ini masuk dalam itinerari. Barulah percutian anda bukan sekadar singgah, tetapi benar-benar dapat rasa Amsterdam yang sebenar.

Oleh
Syahir Hannan